Monday, June 04, 2007

OKU menangis cari kerja

Harian Metro, 4 Jun 2007

KUALA LUMPUR: “Saya pernah menangis kerana sukar mendapat pekerjaan, meskipun banyak permohonan dihantar. Saya harap, golongan berada bantulah kami, jika tidak, insan seperti kami akan terus tercicir,” kata Nurfarhana Kannagi Abdullah, 33, yang cacat penglihatan.

Saudara baru yang memeluk Islam sejak sembilan tahun lalu itu ditemui ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang- orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) kali ke-12 di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields, semalam.

“Kami bukan minta dilahirkan begini, jangan buruk sangka dan pandang serong dengan kekurangan ini. Kami boleh kerja dan berilah peluang,” katanya.

Seorang lagi ahli Pertis, Rosnah Ahmad, 47, berkata berikutan kesukaran mendapat kerja, ramai rakannya terpaksa menjadi penjual tisu di jalanan.

“Mereka terpaksa. Jika tidak, apa anak dan keluarga nak makan,” katanya.

Rosnah berkata, bukan mudah untuk mendapat pekerjaan, sama ada di sektor awam atau swasta, kerana tahap kepercayaan yang masih rendah terhadap mereka meskipun golongan itu kini mempunyai ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan kemahiran.

“Kami ada pelajaran dan kemahiran, termasuk mahir dalam penggunaan atau membaiki komputer, tetapi bila minta kerja dan apabila mereka lihat kami buta, ramai tak percaya dengan kami. Jika keadaan ini berterusan, saya yakin pada masa depan, ramai OKU seperti kami akan menganggur,” katanya.

Mesyuarat Pertis itu dirasmikan Penasihat Pertis yang juga Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Datuk Zamani Sulaiman. Hadir sama, Yang Dipertua Pertis, Mohamed Ismail.

Mengulas rintihan ahlinya, Mohamed mengakui, lebih ramai OKU tiada pekerjaan tetap berbanding mereka yang memperoleh kerja tetap.

Katanya, antara faktor ia berlaku kerana ada antara mereka tidak memenuhi syarat ditetapkan, sama ada sektor awam atau swasta.

Ditanya adakah tindakan sesetengah mereka yang menjual tisu didalangi sindiket, Mohamed berkata, sepanjang pengetahuannya mereka yang selalu menemani OKU terbabit adalah rakan atau saudara sendiri.

2 comments:

Anonymous said...

LAMAN MENCARI KERJA YANG MUDAH DAN BERKESAN WWW.INDEED.COM ATAU MUDAH.MY....CUMA TAIP JENIS DAN LOKASI PEKERJAAN DIKEHENDAKI SEMUA SENARAI KELUAR.

Anonymous said...

LAMAN MENCARI KERJA YANG MUDAH DAN BERKESAN WWW.INDEED.COM ATAU MUDAH.MY....CUMA TAIP JENIS DAN LOKASI PEKERJAAN DIKEHENDAKI SEMUA SENARAI KELUAR. (TAIP 'oku' semua syarikat kehendaki golongan ini akan keluar).