Sunday, June 24, 2007

Jangan ketepikan anak kurang upaya – Najib

Utusan Malaysia, 24 jun 2007

KUANTAN 23 Jun – Golongan ibu bapa diminta tidak membiarkan anak- anak mereka yang kurang upaya terkurung di dalam rumah sebaliknya perlu menyertai program pemulihan yang disediakan oleh pusat-pusat yang menyediakan program tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Semai Bakti contohnya boleh disertai ibu bapa yang mempunyai anak- anak kurang upaya agar dapat memahami kecacatan awal yang dihadapi oleh anak mereka.

Katanya, adalah penting bagi ibu bapa menyertai program latihan itu dalam usaha memberi kefahaman dengan mendalam cara-cara mencegah dan mengurus kecacatan anak-anak.

“Saya percaya masih terdapat lagi kanak-kanak kurang upaya khususnya di tanah rancangan Felda yang tidak diketengahkan oleh ibu bapa mereka, mungkin disebabkan malu atau hanya menerima takdir dan ketentuan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Intervensi Awal Mencegah Kecacatan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Kempen itu merupakan projek khas Program Semai Bakti yang dijayakan oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) Menteri dan Timbalan Menteri, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Najib seterusnya melahirkan kegembiraannya mengenai pelaksanaan Program Semai Bakti yang dilancarkan dua tahun lalu di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu yang dilaksanakan secara menyeluruh di 43 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda di seluruh negara.

Beliau turut mencadangkan agar golongan ibu bapa kanak-kanak kurang upaya terus memberi sokongan padu kepada program tersebut demi membela nasib anak mereka yang kurang upaya.

Selain itu, beliau berkata, latihan secara berterusan juga perlu dilaksanakan untuk tenaga pengajar bagi Pusat PDK Felda dalam usaha memantapkan lagi pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai intervensi awal kecacatan.

Beliau juga meminta agar pihak Felda mengumpul maklumat ke atas ahli keluarga Felda yang mempunyai anak- anak kurang upaya dan maklumat itu boleh menjadi pangkalan data penting kepada pentadbiran Felda dan Semai Bakti dalam membantu mereka memberi latihan dan kemahiran.

Najib juga berharap Felda mempertimbangkan cara-cara bagaimana mengambil anak-anak felda yang kurang upaya sebagai tenaga kerja sama ada di agensi felda atau anak-anak syarikatnya.

“Saya pasti, dengan latihan dan bimbingan. Besar kemungkinan ada di antara mereka yang kurang upaya mampu bekerja dan menyumbang dalam aktiviti ekonomi Felda,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib mencadangkan agar sektor swasta dan agensi kerajaan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan kurang upaya di negara ini.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat membela nasib golongan itu, malah mengaplikasikan sepenuhnya kemahiran-kemahiran tertentu yang dimiliki oleh mereka.

“Kita menyarankan agar peluang pekerjaan boleh diberikan kepada mereka mengikut kemahiran dan kemampuan mereka yang sesuai dengan jenis pekerjaan yang terdapat di sektor swasta atau jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Kata Najib, sektor swasta dan agensi kerajaan boleh mencontohi seperti yang dilakukan oleh sebuah syarikat perubatan di Pulau Pinang yang mengambil 50 peratus golongan kurang upaya bekerja di syarikat berkenaan.

Ditanya sejauh mana agensi dan jabatan kerajaan memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya bekerja di sektor itu, Najib memberitahu, setakat ini sememangnya sudah ada mereka berkenaan yang bekerja di agensi dan jabatan kerajaan tetapi ia boleh dipertingkatkan lagi.

No comments: