Monday, June 11, 2007

Nasib Mohd. Zahir dapat perhatian syarikat komputer

Utusan Malaysia, 11 jun 2007

Oleh AZMAN MD.NOOR

BALING 10 Jun – Tidak sampai 24 jam selepas kisah kepayahan Mohd. Zahir Zainol, 40, lulusan Diploma Sains Komputer mendapat pekerjaan kerana bisu disiarkan dalam muka depan Mingguan Malaysia, sebuah syarikat komputer di Alor Star hari ini tampil menawarkan kerja kepadanya.

Isterinya, Noryati Khalid, 39, menghubungi pejabat Utusan Malaysia hari ini bagi memaklumkan berita gembira itu.

Menurutnya, keluarga mereka dikunjungi oleh wakil syarikat berkenaan di rumahnya di Batu 47, Jalan Weng, Kampung Bawah Gunung dekat sini hari ini bagi menawarkan kerja kepada suaminya.

“Alhamdulillah ada syarikat menawarkan kerja untuk suami saya hari ini.

“Walaupun suami saya masih belum mengetahui latar belakang syarikat yang menawarkan kerja secara ikhlas itu, saya dan keluarga amat gembira dengan perkembangan terbaru ini,” katanya.

Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohd. Zahir yang sukar mendapatkan pekerjaan meskipun memiliki Diploma Sains Komputer dan 13 tahun pengalaman selepas diberhentikan kerja sebagai pegawai bank.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui akibat bisu, dia gagal mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun telah menghadiri lebih 10 kali temu duga di pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Akibat kegagalan mendapatkan pekerjaan, lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu terpaksa berniaga aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan bagi menyara keluarganya dengan mendapat hasil jualan sebanyak RM4 sehari.

Rumah yang dibeli Mohd. Zahir bernilai RM90,000 di Rawang, Selangor turut dilelong selepas gagal membayar pinjaman.

Selasa lalu, Utusan Malaysia turut menyiarkan kisah graduan kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, yang gagal mendapat pekerjaan kerana status Orang Kurang Upaya (OKU) ekoran penyakit ‘soft bone’ yang dialaminya walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Darul Iman (UDM) dan Diploma Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berikutan itu, nasib Mohamad Fadhly dari Terengganu, mendapat perhatian pengurusan Pasar Raya Besar Mydin yang menawarkan kerja kepadanya bagi jawatan pegawai inventori.

Noryati berkata, dia bersyukur dengan tawaran itu kerana ada pihak simpati dengan nasib yang dialami suaminya sejak diberhentikan kerja.

Dia memberitahu, syarikat berkenaan akan membuat tawaran secara rasmi tidak lama lagi.

Sementara itu, prihatin dengan nasib yang menimpa Mohd. Zahir, Pemuda UMNO Baling juga menawarkannya kerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat (IT) dengan pergerakan itu.

Pekerjaan itu ditawarkan sendiri oleh ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika mengunjungi rumah keluarga Mohd. Zahir petang ini.

Abdul Azeez berkata, pihaknya menawarkan gaji sebanyak RM 1,000 sebulan dengan insentif lain termasuk insurans sekiranya Mohd. Zahir menerima tawaran tersebut.

Menurutnya, Mohd. Zahir boleh mula bekerja esok jika dia bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Katanya, tawaran kerja itu dibuat atas dasar kebolehan bekas pegawai bank tersebut dalam bidang yang diceburinya.

“Pagi esok dia boleh melaporkan diri di pejabat Pemuda dan akan bertanggungjawab memasukkan semua data Pergerakan Pemuda dan Putera bahagian,” ujarnya.

No comments: