Friday, June 08, 2007

Bahasa isyarat diiktiraf

Berita Harian, 8 jun 2007


Keprihatinan masyarakat bantu elak wujud jurang komunikasi antara golongan pekak, normal

JOHOR BAHRU: Pekak adalah kecacatan yang tersembunyi dan golongan ini kelihatan normal sekali gus tiada sebab mengapa mereka tidak boleh berinteraksi dengan masyarakat.

Bagaimanapun, disebabkan tiada hubungan dua hala antara yang normal dengan golongan pekak, berlaku salah faham serta layanan tidak sewajarnya sehingga wujud jurang pemisah antara mereka.

Sehubungan itu, anggota masyarakat perlu mengambil inisiatif dengan mempelajari serta memahami budaya orang pekak bagi memudahkan hubungan sosial dan interaksi dengan mereka.

Kebanyakan anggota masyarakat lebih suka membiarkan golongan itu menangani kekurangan berkenaan dengan bergaul sesama mereka.

Disebabkan itu, golongan pekak lebih suka hidup dalam kelompok sendiri di mana mereka berasa lebih yakin untuk berkomunikasi dan berkongsi pengalaman melalui bahasa unik iaitu bahasa isyarat.

Secara am, kehidupan golongan pekak tidak jauh berbeza dengan golongan boleh mendengar cuma mereka tidak boleh bercakap dan ini menyebabkan gaya berkomunikasi itu agak berbeza.

Keistimewaan golongan pekak mereka mempunyai budaya unik, iaitu isyarat nama berdasarkan personaliti untuk panggilan kerana mereka tidak boleh mendengar namanya dipanggil. Begitu juga dengan isyarat menunjukkan tempat, bangunan atau personaliti terkenal.

Bahasa isyarat adalah bahasa yang dikongsi bukan saja golongan pekak di negara ini, malah ia merentas sempadan hingga ke negara yang mengiktiraf bahasa isyarat seperti Jepun, Thailand, New Zealand dan Australia.

Golongan pekak di negara ini menggunakan kaedah Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), yang memerlukan khidmat jurubahasa apabila berurusan dengan mereka yang tidak memahami bahasa berkenaan.

Justeru, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) menubuhkan Pusat Latihan Malaysian Sign Language (MySL) yang digerakkan melalui sumbangan Yayasan Tan Sri Othman Yeop mensasarkan melatih 100 jurubahasa dalam tempoh lima tahun.

Pengarahnya, Mejar Sazali Abd Hamid, berkata pusat itu menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang terlatih dan bertauliah serta memperluaskan perkhidmatannya kepada orang pekak di seluruh negara.

Selain itu, katanya, ia juga dapat membantu meningkatkan penguasaan jurubahasa isyarat kepada guru serta kaunselor sekolah di Sekolah Pendidikan Khas dan Integrasi serta pentadbir sekolah.

"Pusat ini juga mewujudkan komunikasi tanpa halangan di semua agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak. Ia juga membangunkan perkhidmatan penterjemahan dalam talian terus serta kamus bahasa isyarat Maya," katanya.

Katanya, pusat itu juga menyediakan kursus jangka pendek selama tiga minggu iaitu kursus intensif MySL khas untuk jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berurusan dengan warga pekak.

Katanya, kini terdapat 30,000 orang pekak di seluruh negara berdaftar dengan MFD.

Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini, berkata orang pekak akan mengalami stres jika tidak mendapat kerjasama daripada orang normal .

Katanya, dunia orang pekak berbeza dan perbezaan itu tidak dapat difahami tanpa komunikasi.

Sehubungan itu, katanya, anggota masyarakat perlu membantu memberi perkhidmatan secara berkesan kepada golongan berkenaan.

Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Kluang, Johari Dahali, berkata beliau antara 30 pentadbir dan guru pendidikan khas seluruh negara terpilih mengikuti kursus bahasa isyarat orang pekak.

Katanya, beliau kagum dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang tidak membosankan serta kelengkapan makmal yang canggih.

Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar, SMK Datuk Penggawa Barat Pontian, Md Razi Md Jidi, berkata ilmu kemahiran bahasa isyarat yang diperolehi melalui kursus akan diaplikasikan apabila berinteraksi dengan pelajar pekak sekolah berkenaan.

Selain itu, katanya, beliau juga boleh menggunakan kemahiran baru itu apabila berdepan dengan golongan berkenaan di tempat awam atau kawasan perumahannya.

FAKTA NOMBOR:
Persekutuan Orang Pekak Malaysia


  • 30,000 - Orang pekak

  • 100 - Jurubahasa orang pekak tempoh lima tahun

  • 30 - Pentadbir diberi kursus bahasa isyarat.
  • No comments: