Monday, June 18, 2007

Bapa istimewa tetap cekal

Berita Harian, 18 jun 2007



SANTAI: Suhairi, Rohani dan Nurul memberi makan ikan di kolam.

Berkerusi roda bukan halangan bagi Suhairi Abdullah, isteri bentuk keluarga sempurna, bimbing dua anak untuk berjaya

RUTIN hidup pasangan Suhairi Abdullah, 49, dan Rohani Jaafar, 42, seperti kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak bersekolah yang lain. Menyediakan sarapan, menghantar anak ke sekolah serta menjalankan aktiviti harian lain termasuk menonton wayang, bercuti dan sebagainya

Tidak sedikitpun berbeza daripada kebolehan ibu bapa normal yang lain walaupun hakikatnya kedua-dua pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 18 tahun lalu ini, insan istimewa, menggunakan kerusi roda untuk bergerak akibat penyakit polio dihidapi sejak zaman kanak-kanak lagi.

TANGGUNGJAWAB: Suhairi
selalu menyemak kerja
sekolah anak.

Suhairi berkata, walaupun dia dan isteri tidak seperti ibu bapa normal yang lain khususnya yang tidak mengalami cacat anggota, tetapi beliau tidak menyifatkan itu sebagai sesuatu kekurangan yang boleh menghalang mereka membina keluarga sempurna seperti yang diidamkan.

“Sempurna mendatangkan definisi berbeza bagi setiap orang, dan untuk kami berdua, cukuplah sekadar memiliki anak yang berpelajaran lagipun saya tidak mempunyai harta yang menggunung sebagai bekalan masa depan mereka. Dengan ilmu saya berharap mereka akan mampu membina masa depan yang lebih baik.

“Walaupun tidak menjadi pelajar terbaik dengan berbelas A, mempunyai kelulusan peringkat sekolah dan kalau boleh institusi pengajian tinggi, juga sudah amat membahagiakan kami berdua, kerana ilmu pengetahuan itulah yang boleh dijadikan sandaran membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dua anak perempuannya itu Nor Ezaiti, 17, dan Nurul Shafiqah, 11, masing-masing bersekolah di Sungai Buloh, Selangor dan Keramat, Kuala Lumpur.

Menampung perbelanjaan keluarga, Suhairi dan isteri mengusahakan perniagaan bengkel termasuk mengubahsuai kenderaan orang kurang upaya dan membuka kedai jahit baju untuk lelaki dan wanita, di Keramat, Kuala Lumpur. Kemahiran diperoleh selepas menyertai Pusat Pemulihan Cheras (PPC) ketika remaja dulu.

Menyingkap mengenai pengalamannya sebagai bapa istimewa, Suhairi tidak menafikan pernah terdetik rasa kecewa di hatinya apabila merasakan beliau tidak selayaknya bergelar bapa apabila isteri dan anak terpaksa bersusah ke klinik untuk mendapatkan rawatan bulanan ketika melahirkan anak sulung.

“Ketika itu kenderaan tidak ada maka kami berdua terpaksa bersusah mendapatkan kenderaan sama ada awam atau menumpang rakan. Air mata rasa bagaikan terlalu murah ketika itu, saya rasa macam tidak mampu membantu isteri.

“Sungguhpun keadaan kami begini tetapi saya yakin dalam diri, akan mendapat anak yang sempurna, tidak seperti kami. Saya yakin itu, dan saya percaya Allah itu maha Adil...Allah itu maha Adil,” katanya berulang kali.

Tetapi itu kisah 17 tahun yang lalu, kerana hari ini hidupnya semakin ceria sementelah permata hati semakin meningkat dewasa. Katanya, beliau selalu mengingatkan kepada anaknya, walaupun beliau bukan bapa normal, itu bukan halangan untuk mereka berasa rendah diri dan malu.

“Saya ingatkan kepada mereka secara luaran saya begini, tetapi apa kehendak mereka, khususnya yang membabitkan pelajaran, tidak pernah saya ketepikan dan katakan tidak. Kalau anak orang lain pergi melancong, ke pantai dan sebagainya, kami juga lakukan perkara sama kerana saya mahu mereka berbangga menjadi anak kami.

“Bukan tidak pernah mereka bertanya, kanak-kanak mereka ingin tahu apa yang dilihatnya. Seperti anak saya, masa kecil dulu dia selalu juga bertanya kenapa saya begitu, dan begini, tetapi kita terangkanlah yang sepatutnya, sebab mungkin dia berasa hairan, kita tidak serupa orang lain.

“Sungguhpun pun begitu, Alhamdulillah kerana mendidik mereka berdua tidak pernah menimbulkan masalah yang besar kerana mereka bukan saja anak yang patuh, sebaliknya tidak pernah meminta yang bukan-bukan. Kalau ada kesalahan yang mereka lakukan umpamanya balik lambat ke, saya tidak marah sebaliknya bertanya dan memberikan nasihat,” katanya.

Beliau berpegang kepada prinsip, dalam dunia ini tiada istilah bapa sempurna, sebaliknya bapa berjaya. Pada pandangannya, seorang bapa boleh dikatakan berjaya apabila mampu memberikan yang terbaik untuk keluarga khususnya daripada segi kasih-sayang. Material bukan perkara utama ia mungkin menjadi pelengkap saja.

“Justeru mana-mana lelaki yang berhajat berkahwin dan memiliki anak, perkara paling utama mereka perlukan ialah bersedia menerima orang baru dan reda menghadapi dugaan yang kita tidak tahu bila akan sampai dan dalam bentuk bagaimana pula rupanya,” katanya.

Sementara itu Rohani berkata, pada hari bersejarah umpama sambutan hari lahir, mereka sekeluarga akan memasak sesuatu yang istimewa. Kegiatan itu turut membabitkan anak seperti menolong mengupas bawang, mengelap meja dan pinggang mangkuk.

Malah, bagi memastikan sambutan itu lebih meriah, beliau tidak lupa memanggil rakan baik anak ke rumah.

“Walaupun sederhana saja, yang penting majlis itu meriah. Pada kami sambutan seperti ini perlu diadakan kerana ia boleh mendatangkan keseronokan kepada anak, dan meninggalkan pengalaman manis yang mereka akan kenang pada masa depan,” katanya.

Bagi Nurul pula, walaupun tidak selalu membelikan hadiah untuk bapa dan ibu tercinta sempena sambutan berkenaan, beliau dan kakaknya tidak akan melupakan memberikan ucapan selamat kerana baginya ingatan lebih penting berbanding hadiah.

No comments: