Thursday, June 28, 2007

Ahli perniagaan OKU rugi RM20,000 diragut depan bank

Utusan Malaysia, 28 jun 2007

SEREMBAN 27 Jun – Seorang ahli perniagaan orang kurang upaya (OKU) kerugian kira-kira RM20,000 apabila diragut seorang lelaki semasa memasuki pintu sebuah bank di Jalan Datuk Bandar Tunggal di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, sampul surat berisi wang tunai RM50,000 yang dipegang mangsa berusia 40-an telah terkoyak dan terjatuh akibat direntap oleh suspek yang kemudian bertaburan di hadapan bank berkenaan.

Bagaimanapun suspek difahamkan sempat mengutip wang yang terjatuh sebanyak kira-kira RM20,000 dari lantai kaki lima bank itu.

Difahamkan, mangsa pergi ke bank itu untuk memasukkan wang berkenaan melalui mesin deposit wang tunai di kaunter perkhidmatan bank berkenaan.

Bertongkat

Mangsa yang bertongkat kerana kecacatan di bahagian kaki kanannya itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian itu berlaku dengan pantas.

Suspek yang tidak bertopeng kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta Honda Accord berwarna perak dipandu rakannya yang menunggu di tepi jalan berkenaan.

Mangsa yang berasal dari Damansara, Selangor tidak cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seremban, Supritendan Ahmad Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

‘‘Kita sedang menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,’’ katanya.

Monday, June 25, 2007

Orang ramai patut bantu OKU

Berita Harian, 25 jun 2007


BATU PAHAT: Sikap segelintir masyarakat yang kurang prihatin terhadap masalah golongan kurang bernasib baik terutama orang kurang upaya (OKU) menyebabkan golongan berkenaan terus terpinggir serta tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Memburukkan lagi keadaan, ada kalangan ibu bapa yang enggan memberi kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga sanggup mengurung anaknya di rumah kerana malu dengan kecacatan yang dialami.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz, berkata kerajaan menyediakan peruntukkan bagi membantu OKU serta golongan lain yang kurang bernasib baik seperti ibu tunggal, fakir miskin serta pesakit kronik, namun tanpa pembabitan semua lapisan masyarakat, agak sukar untuk mengagihkan bantuan itu sepenuhnya.

"Masalah utama dalam masyarakat kita sekarang apabila masih ramai yang mengambil sikap tidak mempedulikan mereka yang kurang bernasib baik itu. Sikap acuh tak acuh seperti itu sebenarnya membantutkan usaha kerajaan untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Sikap yang paling keji ialah keengganan ibu bapa sendiri yang tidak mahu mendaftar anak mereka yang cacat. Sepatutnya tidak timbul rungutan masih ada OKU yang tidak menerima bantuan kerana kerajaan menyediakan peruntukkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pendaftaran Terbuka OKU dan Perhimpunan Pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Batu Pahat, di Sekolah Kebangsaan Parit Raja, di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Aziz Kaprawi serta isteri dan Ketua Briged Kebajikan Perdana (BKP) Parlimen Sri Gading, Ashar Ahmad.

Program tiga hari anjuran bersama Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang), BKP Parlimen Sri Gading dan JKM itu dihadiri lebih 100 pelatih dari sembilan PDK daerah ini.

Mohamad berkata, ketika ini tahap kesedaran masyarakat di seluruh negara terhadap OKU masih agak rendah iaitu kurang daripada 20 peratus.

Beliau berkata, pelbagai kempen yang dijalankan oleh agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pasukan sukarela beruniform tidak memberi sebarang kesan jika sikap masyarakat masih tidak berubah.

"Agak menyedihkan apabila ada kalangan mereka yang berpendidikan tinggi malah berjawatan tinggi juga tidak mempedulikan OKU. Ini cukup menyedihkan," katanya.

Sunday, June 24, 2007

Program cegah kes OKU peringkat awal

Berita Minggu, 24 jun 2007

KUANTAN: Kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program pengesanan serta pemulihan awal kecacatan kanak-kanak bagi membendung ia menjadi lebih teruk sehingga golongan itu menjadi orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata antara langkah itu ialah penyediaan 3,061 klinik meliputi 1,943 Klinik Desa, 857 Klinik Kesihatan, 168 Klinik Bergerak dan 93 Klinik Ibu dan Anak bagi mengesan kecacatan pada peringkat awal.

“Antara 1,500 hingga 1,800 kes kanak-kanak bawah usia 7 tahun dikesan setiap tahun memerlukan pemulihan awal disebabkan masalah kurang upaya,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Intervensi Awal Mencegah Kecacatan Kanak-Kanak, di Dewan Konvensyen Jubli Perak, di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Naib Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor dan Yang Dipertua Persatuan Isteri Wakil Rakyat Pahang, Datin Seri Junaini Kassim.

Najib berkata, sebagai langkah intervensi awal dan pemulihan kecacatan, kerajaan mewujudkan 225 Klinik Kesihatan menyediakan perkhidmatan pemulihan sejak 1996.

Menerusi kemudahan itu, beliau berkata, tahun lalu, 3,000 kanak-kanak menjalani pemulihan perubatan di klinik berkenaan.

“Di samping itu, program saringan autisme di kalangan kanak-kanak bawah usia 3 tahun turut diwujudkan di beberapa daerah, di samping kegiatan di 364 Pusat Dalam Komuniti (PDK) di seluruh negara mengendalikan 9,260 kanak-kanak kurang upaya.

“Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengendalikan program pencegahan awal dengan memberi fokus kepada sesuatu kecacatan seperti Persatuan Sindrom Down, Autisme dan Dyslexia. Usaha ini perlu diberi pujian dan pengiktirafan kerana melambangkan keprihatinan mereka ke arah mewujudkan masyarakat penyayang,” katanya.

Najib berkata, satu teras utama Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) ialah meningkatkan tahap dan kemapanan mutu hidup masyarakat, justeru fokus utama kerajaan ialah memantapkan perkhidmatan bagi kanak-kanak.

Katanya, ini termasuk kegiatan intervensi awal, pencegahan penderaan dan pengabaian kanak-kanak meliputi pencegahan kecacatan, rawatan dan pemulihan kanak-kanak kurang upaya.

Sementara itu, Rosmah dalam ucapannya berkata, kempen intervensi awal mencegah kecacatan kanak-kanak antara usaha Bakti dan badan amal negeri menyedarkan ibu bapa dan penjaga kepentingan penyediaan fizikal lebih selamat di rumah untuk anak.

Jangan ketepikan anak kurang upaya – Najib

Utusan Malaysia, 24 jun 2007

KUANTAN 23 Jun – Golongan ibu bapa diminta tidak membiarkan anak- anak mereka yang kurang upaya terkurung di dalam rumah sebaliknya perlu menyertai program pemulihan yang disediakan oleh pusat-pusat yang menyediakan program tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Program Semai Bakti contohnya boleh disertai ibu bapa yang mempunyai anak- anak kurang upaya agar dapat memahami kecacatan awal yang dihadapi oleh anak mereka.

Katanya, adalah penting bagi ibu bapa menyertai program latihan itu dalam usaha memberi kefahaman dengan mendalam cara-cara mencegah dan mengurus kecacatan anak-anak.

“Saya percaya masih terdapat lagi kanak-kanak kurang upaya khususnya di tanah rancangan Felda yang tidak diketengahkan oleh ibu bapa mereka, mungkin disebabkan malu atau hanya menerima takdir dan ketentuan Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Intervensi Awal Mencegah Kecacatan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Kempen itu merupakan projek khas Program Semai Bakti yang dijayakan oleh Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (Bakti) Menteri dan Timbalan Menteri, Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Najib seterusnya melahirkan kegembiraannya mengenai pelaksanaan Program Semai Bakti yang dilancarkan dua tahun lalu di Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu yang dilaksanakan secara menyeluruh di 43 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda di seluruh negara.

Beliau turut mencadangkan agar golongan ibu bapa kanak-kanak kurang upaya terus memberi sokongan padu kepada program tersebut demi membela nasib anak mereka yang kurang upaya.

Selain itu, beliau berkata, latihan secara berterusan juga perlu dilaksanakan untuk tenaga pengajar bagi Pusat PDK Felda dalam usaha memantapkan lagi pengetahuan dan pemahaman mereka mengenai intervensi awal kecacatan.

Beliau juga meminta agar pihak Felda mengumpul maklumat ke atas ahli keluarga Felda yang mempunyai anak- anak kurang upaya dan maklumat itu boleh menjadi pangkalan data penting kepada pentadbiran Felda dan Semai Bakti dalam membantu mereka memberi latihan dan kemahiran.

Najib juga berharap Felda mempertimbangkan cara-cara bagaimana mengambil anak-anak felda yang kurang upaya sebagai tenaga kerja sama ada di agensi felda atau anak-anak syarikatnya.

“Saya pasti, dengan latihan dan bimbingan. Besar kemungkinan ada di antara mereka yang kurang upaya mampu bekerja dan menyumbang dalam aktiviti ekonomi Felda,” katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib mencadangkan agar sektor swasta dan agensi kerajaan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada golongan kurang upaya di negara ini.

Katanya, langkah itu bukan sahaja dapat membela nasib golongan itu, malah mengaplikasikan sepenuhnya kemahiran-kemahiran tertentu yang dimiliki oleh mereka.

“Kita menyarankan agar peluang pekerjaan boleh diberikan kepada mereka mengikut kemahiran dan kemampuan mereka yang sesuai dengan jenis pekerjaan yang terdapat di sektor swasta atau jabatan dan agensi kerajaan,” katanya.

Kata Najib, sektor swasta dan agensi kerajaan boleh mencontohi seperti yang dilakukan oleh sebuah syarikat perubatan di Pulau Pinang yang mengambil 50 peratus golongan kurang upaya bekerja di syarikat berkenaan.

Ditanya sejauh mana agensi dan jabatan kerajaan memberi peluang kepada golongan orang kurang upaya bekerja di sektor itu, Najib memberitahu, setakat ini sememangnya sudah ada mereka berkenaan yang bekerja di agensi dan jabatan kerajaan tetapi ia boleh dipertingkatkan lagi.

Monday, June 18, 2007

Bapa istimewa tetap cekal

Berita Harian, 18 jun 2007



SANTAI: Suhairi, Rohani dan Nurul memberi makan ikan di kolam.

Berkerusi roda bukan halangan bagi Suhairi Abdullah, isteri bentuk keluarga sempurna, bimbing dua anak untuk berjaya

RUTIN hidup pasangan Suhairi Abdullah, 49, dan Rohani Jaafar, 42, seperti kebanyakan ibu bapa yang memiliki anak bersekolah yang lain. Menyediakan sarapan, menghantar anak ke sekolah serta menjalankan aktiviti harian lain termasuk menonton wayang, bercuti dan sebagainya

Tidak sedikitpun berbeza daripada kebolehan ibu bapa normal yang lain walaupun hakikatnya kedua-dua pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga sejak 18 tahun lalu ini, insan istimewa, menggunakan kerusi roda untuk bergerak akibat penyakit polio dihidapi sejak zaman kanak-kanak lagi.

TANGGUNGJAWAB: Suhairi
selalu menyemak kerja
sekolah anak.

Suhairi berkata, walaupun dia dan isteri tidak seperti ibu bapa normal yang lain khususnya yang tidak mengalami cacat anggota, tetapi beliau tidak menyifatkan itu sebagai sesuatu kekurangan yang boleh menghalang mereka membina keluarga sempurna seperti yang diidamkan.

“Sempurna mendatangkan definisi berbeza bagi setiap orang, dan untuk kami berdua, cukuplah sekadar memiliki anak yang berpelajaran lagipun saya tidak mempunyai harta yang menggunung sebagai bekalan masa depan mereka. Dengan ilmu saya berharap mereka akan mampu membina masa depan yang lebih baik.

“Walaupun tidak menjadi pelajar terbaik dengan berbelas A, mempunyai kelulusan peringkat sekolah dan kalau boleh institusi pengajian tinggi, juga sudah amat membahagiakan kami berdua, kerana ilmu pengetahuan itulah yang boleh dijadikan sandaran membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dua anak perempuannya itu Nor Ezaiti, 17, dan Nurul Shafiqah, 11, masing-masing bersekolah di Sungai Buloh, Selangor dan Keramat, Kuala Lumpur.

Menampung perbelanjaan keluarga, Suhairi dan isteri mengusahakan perniagaan bengkel termasuk mengubahsuai kenderaan orang kurang upaya dan membuka kedai jahit baju untuk lelaki dan wanita, di Keramat, Kuala Lumpur. Kemahiran diperoleh selepas menyertai Pusat Pemulihan Cheras (PPC) ketika remaja dulu.

Menyingkap mengenai pengalamannya sebagai bapa istimewa, Suhairi tidak menafikan pernah terdetik rasa kecewa di hatinya apabila merasakan beliau tidak selayaknya bergelar bapa apabila isteri dan anak terpaksa bersusah ke klinik untuk mendapatkan rawatan bulanan ketika melahirkan anak sulung.

“Ketika itu kenderaan tidak ada maka kami berdua terpaksa bersusah mendapatkan kenderaan sama ada awam atau menumpang rakan. Air mata rasa bagaikan terlalu murah ketika itu, saya rasa macam tidak mampu membantu isteri.

“Sungguhpun keadaan kami begini tetapi saya yakin dalam diri, akan mendapat anak yang sempurna, tidak seperti kami. Saya yakin itu, dan saya percaya Allah itu maha Adil...Allah itu maha Adil,” katanya berulang kali.

Tetapi itu kisah 17 tahun yang lalu, kerana hari ini hidupnya semakin ceria sementelah permata hati semakin meningkat dewasa. Katanya, beliau selalu mengingatkan kepada anaknya, walaupun beliau bukan bapa normal, itu bukan halangan untuk mereka berasa rendah diri dan malu.

“Saya ingatkan kepada mereka secara luaran saya begini, tetapi apa kehendak mereka, khususnya yang membabitkan pelajaran, tidak pernah saya ketepikan dan katakan tidak. Kalau anak orang lain pergi melancong, ke pantai dan sebagainya, kami juga lakukan perkara sama kerana saya mahu mereka berbangga menjadi anak kami.

“Bukan tidak pernah mereka bertanya, kanak-kanak mereka ingin tahu apa yang dilihatnya. Seperti anak saya, masa kecil dulu dia selalu juga bertanya kenapa saya begitu, dan begini, tetapi kita terangkanlah yang sepatutnya, sebab mungkin dia berasa hairan, kita tidak serupa orang lain.

“Sungguhpun pun begitu, Alhamdulillah kerana mendidik mereka berdua tidak pernah menimbulkan masalah yang besar kerana mereka bukan saja anak yang patuh, sebaliknya tidak pernah meminta yang bukan-bukan. Kalau ada kesalahan yang mereka lakukan umpamanya balik lambat ke, saya tidak marah sebaliknya bertanya dan memberikan nasihat,” katanya.

Beliau berpegang kepada prinsip, dalam dunia ini tiada istilah bapa sempurna, sebaliknya bapa berjaya. Pada pandangannya, seorang bapa boleh dikatakan berjaya apabila mampu memberikan yang terbaik untuk keluarga khususnya daripada segi kasih-sayang. Material bukan perkara utama ia mungkin menjadi pelengkap saja.

“Justeru mana-mana lelaki yang berhajat berkahwin dan memiliki anak, perkara paling utama mereka perlukan ialah bersedia menerima orang baru dan reda menghadapi dugaan yang kita tidak tahu bila akan sampai dan dalam bentuk bagaimana pula rupanya,” katanya.

Sementara itu Rohani berkata, pada hari bersejarah umpama sambutan hari lahir, mereka sekeluarga akan memasak sesuatu yang istimewa. Kegiatan itu turut membabitkan anak seperti menolong mengupas bawang, mengelap meja dan pinggang mangkuk.

Malah, bagi memastikan sambutan itu lebih meriah, beliau tidak lupa memanggil rakan baik anak ke rumah.

“Walaupun sederhana saja, yang penting majlis itu meriah. Pada kami sambutan seperti ini perlu diadakan kerana ia boleh mendatangkan keseronokan kepada anak, dan meninggalkan pengalaman manis yang mereka akan kenang pada masa depan,” katanya.

Bagi Nurul pula, walaupun tidak selalu membelikan hadiah untuk bapa dan ibu tercinta sempena sambutan berkenaan, beliau dan kakaknya tidak akan melupakan memberikan ucapan selamat kerana baginya ingatan lebih penting berbanding hadiah.

Bapa tunggal cekal layan empat anak istimewa

Berita harian, 18 jun 2007



KASIH BAPA: Md Jusoh (dua dari kiri) melayan empat anaknya
yang cacat menjamu selera di kediamannya di Kampung
Telok Bagan, Tandop, Alor Star.

Petani beri layanan baik buktikan kasih sayang kepada arwah isteri

ALOR STAR: Biarpun tidak pernah menerima hadiah atau penghargaan pada sambutan Hari Bapa yang diraikan setiap tahun, seorang bapa tunggal di Kampung Telok Bagan, Tandop dekat sini, tetap tabah menjaga empat anaknya yang cacat.

Bagi Md Jusoh Mat, 68, anugerah atau penghargaan tidak sebesar mana nilainya, berbanding melihat kehidupan empat anaknya yang serba kekurangan terurus dengan baik sepanjang masa.

Selepas kematian isterinya, Sopiah Hussein, 62, akibat sakit lutut tiga tahun lalu, beliaulah yang menjadi ibu dan ayah kepada Mokhtar, 45; Saniyah, 42; Mohd Yusuf, 37 dan Siti Aminah, 32.

Mokhtar mengalami cacat penglihatan selepas diserang demam panas ketika berusia 32 tahun, manakala Mohd Yusuf, Saniyah dan Siti Aminah pula tidak boleh berjalan kerana menghadapi masalah tulang rapuh sejak kecil.

Mohd Yusop turut mengalami cacat pada tangan kiri yang saiznya lebih kecil apabila tulangnya patah dua kali kerana rapuh ketika kecil.

Dua lagi anaknya, iaitu Bushra, 44, dan Noraini, 40, normal dan mereka sudah berumah tangga serta tinggal di rumah berasingan bersama keluarga masing-masing.

"Selepas kematian isteri, saya terpaksa mengambil alih tugas memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian keempat-empat anak sebelum keluar bekerja di sawah padi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Bagi Md Jusoh, biar pun dibantu oleh Saniyah yang berkesot untuk bergerak, beliau lebih gemar melakukan kerja rumah sendiri kerana kasihan melihat anak ketiganya itu.

Daripada empat beradik yang cacat itu, Saniyah lebih aktif dan membantu bapanya.

Katanya, selain buta beliau akan memastikan Mokhtar mengambil ubat setiap hari kerana penyakit lelah yang dialaminya agak serius.

"Disebabkan dia tidak dapat melihat, saya terpaksa mengasingkan dan memberinya makan ubat sebelum bekerja setiap pagi kerana bimbang dia tersilap ambil ubat," katanya.

Md Jusoh berkata, beliau berazam untuk memberikan layanan terbaik kepada keempat-empat anaknya itu sebagai lambang kasih sayang yang tidak pernah luntur kepada arwah isterinya yang melahirkan anak mereka.


Tuesday, June 12, 2007

Putera tak putus asa anjur program OKU

Berita Harian, 12 jun 2007

Monday, June 11, 2007

Jangan diskriminasi OKU – MTUC

Utusan Malaysia, 11 jun 2007

KUALA LUMPUR 10 Jun – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa terdapat segelintir majikan sektor swasta di negara ini masih mendiskriminasikan golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Presidennya, Shafie BP. Mamal berkata, terdapat ratusan OKU di negara ini gagal mendapat pekerjaan menyebabkan golongan tersebut hidup susah.

Menurut beliau, sektor swasta tidak seharusnya memandang rendah terhadap kecacatan yang dialami oleh golongan tersebut.

Katanya, golongan istimewa itu boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan sumbangan mereka perlu diiktiraf.

‘‘Jika majikan mendiskriminasikan OKU, di manakah tanggungjawab sosial mereka? Apakah mereka yang buta atau bisu tidak boleh menghasilkan produktiviti yang baik.

‘‘Majikan mungkin boleh beri pelbagai sebab mengapa tidak mengambil OKU bekerja tetapi kadangkala alasan mereka itu tidak munasabah,’’ katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memaparkan kisah seorang graduan Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Zahir Zainol, 40, yang terpaksa menjual aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM4 sehari.

Setelah diberhentikan kerja sebagai pegawai bank tiga tahun lalu, Mohd. Zahir gagal mendapat pekerjaan walaupun telah menghadiri lebih 10 temu duga kerja atas alasan dia tidak boleh bertutur kerana bisu.

Lebih menyedihkan, rumah keluarganya yang berharga RM90,000 di Rawang terpaksa dilelong apabila mereka tidak lagi mampu membayar pinjaman.

Menurut isterinya, Noryati Khalid, 39, suaminya pernah menghadiri beberapa temu duga syarikat swasta dan kerajaan tetapi kesemuanya gagal atas alasan Mohd. Zahir tidak boleh bertutur.

Kata Shafie, majikan harus bangga apabila menawarkan pekerjaan kepada OKU.

‘‘Langkah itu membuktikan bahawa mereka tidak lupa untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya.

‘‘Mengapa harus kita memandang serong terhadap golongan OKU sedangkan ada kemungkinan hasil kerja mereka lebih baik daripada manusia normal?’’ ujarnya.

Nasib Mohd. Zahir dapat perhatian syarikat komputer

Utusan Malaysia, 11 jun 2007

Oleh AZMAN MD.NOOR

BALING 10 Jun – Tidak sampai 24 jam selepas kisah kepayahan Mohd. Zahir Zainol, 40, lulusan Diploma Sains Komputer mendapat pekerjaan kerana bisu disiarkan dalam muka depan Mingguan Malaysia, sebuah syarikat komputer di Alor Star hari ini tampil menawarkan kerja kepadanya.

Isterinya, Noryati Khalid, 39, menghubungi pejabat Utusan Malaysia hari ini bagi memaklumkan berita gembira itu.

Menurutnya, keluarga mereka dikunjungi oleh wakil syarikat berkenaan di rumahnya di Batu 47, Jalan Weng, Kampung Bawah Gunung dekat sini hari ini bagi menawarkan kerja kepada suaminya.

“Alhamdulillah ada syarikat menawarkan kerja untuk suami saya hari ini.

“Walaupun suami saya masih belum mengetahui latar belakang syarikat yang menawarkan kerja secara ikhlas itu, saya dan keluarga amat gembira dengan perkembangan terbaru ini,” katanya.

Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohd. Zahir yang sukar mendapatkan pekerjaan meskipun memiliki Diploma Sains Komputer dan 13 tahun pengalaman selepas diberhentikan kerja sebagai pegawai bank.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui akibat bisu, dia gagal mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun telah menghadiri lebih 10 kali temu duga di pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Akibat kegagalan mendapatkan pekerjaan, lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu terpaksa berniaga aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan bagi menyara keluarganya dengan mendapat hasil jualan sebanyak RM4 sehari.

Rumah yang dibeli Mohd. Zahir bernilai RM90,000 di Rawang, Selangor turut dilelong selepas gagal membayar pinjaman.

Selasa lalu, Utusan Malaysia turut menyiarkan kisah graduan kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, yang gagal mendapat pekerjaan kerana status Orang Kurang Upaya (OKU) ekoran penyakit ‘soft bone’ yang dialaminya walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Darul Iman (UDM) dan Diploma Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berikutan itu, nasib Mohamad Fadhly dari Terengganu, mendapat perhatian pengurusan Pasar Raya Besar Mydin yang menawarkan kerja kepadanya bagi jawatan pegawai inventori.

Noryati berkata, dia bersyukur dengan tawaran itu kerana ada pihak simpati dengan nasib yang dialami suaminya sejak diberhentikan kerja.

Dia memberitahu, syarikat berkenaan akan membuat tawaran secara rasmi tidak lama lagi.

Sementara itu, prihatin dengan nasib yang menimpa Mohd. Zahir, Pemuda UMNO Baling juga menawarkannya kerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat (IT) dengan pergerakan itu.

Pekerjaan itu ditawarkan sendiri oleh ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika mengunjungi rumah keluarga Mohd. Zahir petang ini.

Abdul Azeez berkata, pihaknya menawarkan gaji sebanyak RM 1,000 sebulan dengan insentif lain termasuk insurans sekiranya Mohd. Zahir menerima tawaran tersebut.

Menurutnya, Mohd. Zahir boleh mula bekerja esok jika dia bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Katanya, tawaran kerja itu dibuat atas dasar kebolehan bekas pegawai bank tersebut dalam bidang yang diceburinya.

“Pagi esok dia boleh melaporkan diri di pejabat Pemuda dan akan bertanggungjawab memasukkan semua data Pergerakan Pemuda dan Putera bahagian,” ujarnya.

Sunday, June 10, 2007

OKU mahu pecah rekod

Harian Metro, 10 jun 2007

Oleh MUHD IZAWAN BAHARIN

PORT DICKSON: Kecacatan tidak menjadi penghalang kepada empat orang kurang upaya (OKU) untuk mencipta rekod tersendiri berenang merentasi Selat Melaka secara bergilir-gilir bersama 22 individu lain, sempena 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia.

Dalam program Malindo Unity Swim yang bermula semalam, 26 peserta dikehendaki berenang secara bergilir-gilir bermula dari Batu 5, Port Dickson ke Pulau Rupat, Indonesia dan berpatah balik dengan jarak keseluruhan pergi dan balik kira-kira 95 kilometer.

Atas nama ‘renang kerana perpaduan’, acara renang itu yang dijangka berakhir jam 3 petang hari ini bakal dicatatkan di dalam Malaysian Book of Records (MBR).

Perenang OKU, Wong Chee Kin, 33, berkata walaupun dia ada pengalaman dalam sukan renang, termasuk menyertai pertandingan Paralimpik, berenang merentasi Selat Melaka memberi cabaran baru.

“Ini kali pertama saya berenang di laut secara bergilir-gilir dengan rakan lain. Pengalaman ini sesuatu yang berharga, tambahan pula ia sempena meraikan hubungan diplomatik dua negara.

“Program ini turut menyemai perpaduan kerana perenang membabitkan pelbagai bangsa dan latar belakang,” katanya yang ditemui pada Majlis Pelancaran Malindo Unity Swim dan Bulan Perpaduan peringkat Negeri Sembilan di Selesa Beach Resort, di sini, malam kelmarin.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Entulu Belaun. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk T Rajagopalu dan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan.

Joseph yang juga peserta program itu akan mengetuai perenang lain merentasi Selat Melaka.

Sementara itu, Wong berkata, kekurangannya berbanding insan lain tidak pernah menghalangnya untuk membuktikan dia mampu melakukan sesuatu yang luar biasa.

“Saya sungguh bersemangat untuk menjayakan program julung kali ini,” katanya yang cacat kedua-dua kaki.

Perenang, Johari Zainudin, 41, berkata dia menjalani beberapa sesi latihan sebelum menyertai program itu.

“Saya mempunyai pengalaman dalam bidang renang, tetapi latihan tetap diperlukan sebagai persediaan menyertai program ini,” katanya.

Johari berkata, dia yakin keselamatan perenang terjamin berikutan mereka akan berenang di dalam sangkar.

Han Ah Wah, 51, pula berkata, dia tidak menghadapi masalah walaupun menjadi antara peserta yang berusia.

“Matlamat program ini sebenarnya sangat baik kerana selain memupuk perpaduan kaum, ia dapat mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat,” katanya.

Seorang lagi perenang, K Subramaniam, 42, berharap program ini dapat dijadikan acara tahunan, selain menarik lebih ramai peserta.

“Ia juga berpotensi menarik perhatian pelancong untuk menyaksikan acara istimewa ini,” katanya.

50 OKU ucap tahniah

Harian Metro, 10 jun 2007

KOTA BARU: Seramai 50 individu kurang upaya dari Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan (Yokuk) Panchor, di sini, tidak ketinggalan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang melangsungkan pernikahan dengan Jeanne Abdullah, semalam.

Bagi meraikan hari bersejarah itu, Yokuk turut menyediakan satu kain rentang memaparkan gambar Perdana Menteri dan Jeanne yang ditandatangani 50 orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Yokuk yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim, berkata seluruh rakyat Malaysia gembira dengan perkahwinan itu dan mendoakan Perdana Menteri dan isteri kekal bahagia sepanjang hayat.

Menurutnya, kain rentang yang ditandatangani itu akan diserahkan kepada Abdullah sebagai tanda gembira rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan kedudukan terhadap perkahwinan itu.

Pada majlis itu semalam, insan istimewa, termasuk yang buta, berkerusi roda dan hilang upaya, menurunkan tandatangan dan kata-kata ucapan khusus untuk diserah kepada Perdana Menteri.

Pada majlis itu juga, Yokuk menerima 15 kerusi roda yang disumbangkan Kelab Rotary Diraja dan Kelab Rotary Kota Bharu.

`Diploma Sains Komputer tidak bererti kerana saya bisu’

Utusan Malaysia, 10 jun 2007

Oleh: AZMAN MD. NOOR

MOHD. ZAHIR ZAINOL.

BALING 9 Jun - Diploma Sains Komputer tidak bererti kerana bisu.

Inilah kenyataan hidup yang terpaksa dilalui oleh Mohd. Zahir Zainol (gambar), 40, setelah diberhentikan kerja sebagai pegawai bank sejak tiga tahun lalu apabila lebih 10 temu duga kerja yang dihadirinya gagal atas alasan dia tidak boleh bertutur.

Demi menampung perbelanjaan keluarganya, Mohd. Zahir, bekas pegawai bank lulusan Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kini terpaksa menjual aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM4 sehari.

Lebih menyedihkan, rumah keluarganya yang berharga RM90,000 di Rawang terpaksa dilelong apabila mereka tidak lagi mampu membayar pinjaman.

Mohd. Zainol dan keluarganya kini menumpang di rumah ibu mertuanya, Saarah Md. Zain, 59, di Batu 47, Jalan Weng, Kampung Bawah Gunung, Baling, dekat sini.

Menurut isterinya, Noryati Khalid, 39, suaminya pernah menghadiri banyak temuduga di sektor swasta dan kerajaan tetapi kesemuanya gagal atas alasan Mohd. Zahir tidak boleh bertutur.

Katanya, kecacatan yang dialami oleh suaminya itu menyukarkannya untuk meyakinkan syarikat atau jabatan kerajaan mengambilnya bekerja.

Jelasnya, suaminya itu mampu memahami dengan jelas setiap percakapan dan berkemahiran dalam bahasa Inggeris.

''Walaupun dia telah menghadiri lebih 10 kali temu duga, tetapi masih gagal atas alasan tidak boleh bertutur," katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Tambah Noryati, Mohd. Zahir yang mempunyai kad OKU berstatus ketidakupayaan fizikal bagaimanapun tidak pernah putus asa membelek akhbar setiap hari bagi mencari peluang kerja yang diiklankan.

“Bukan sahaja di akhbar, malah ada ahli keluarga juga membantu untuk mencari kerja tetapi semuanya hampa,” katanya sayu.

Mohd. Zahir diberhentikan kerja pada 2004 ekoran penstrukturan semula organisasi bank berkenaan (BBMB Securities, kini dikenali Ecm Libra Securities Sdn. Bhd.).

Dia bekerja di bank itu selama 13 tahun dengan bertanggungjawab berkaitan saham melalui komputer dan menerima gaji RM1,700 sebulan.

Menurut Noryati, selepas suaminya diberhentikan, mereka sekeluarga mengambil keputusan pulang ke kampung sambil berniaga aiskrim yang diproses sendiri di rumahnya bagi membiayai persekolahan tiga anak mereka.

Tiga anak pasangan berkenaan ialah Mohd. Fauzan, 12, dan Mohd. Fazrul, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera Baling, serta Norfatin Fahirah, 6, yang belajar di tadika berdekatan rumah mereka.

“Dengan menjual aiskrim antara 15 dan 20 batang sehari, itulah yang suami saya dapat lakukan sambil berharap akan mendapat kerja yang sesuai dengannya,” ujar Noryati yang bekerja membersih dan mencuci rumah seorang peniaga bagi menampung pendapatan keluarganya.

Keluarga tersebut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Noryati berkata, dia sedih kerana sepanjang berkhidmat selama 13 tahun dengan bank berkenaan, soal kecacatan suaminya tidak pernah timbul.

Justeru dia berharap dengan kelulusan dan pengalaman Mohd. Zahir dalam bidang komputer, akan ada pihak mengambil suaminya bekerja dalam bidang tersebut.

Friday, June 08, 2007

Bahasa isyarat diiktiraf

Berita Harian, 8 jun 2007


Keprihatinan masyarakat bantu elak wujud jurang komunikasi antara golongan pekak, normal

JOHOR BAHRU: Pekak adalah kecacatan yang tersembunyi dan golongan ini kelihatan normal sekali gus tiada sebab mengapa mereka tidak boleh berinteraksi dengan masyarakat.

Bagaimanapun, disebabkan tiada hubungan dua hala antara yang normal dengan golongan pekak, berlaku salah faham serta layanan tidak sewajarnya sehingga wujud jurang pemisah antara mereka.

Sehubungan itu, anggota masyarakat perlu mengambil inisiatif dengan mempelajari serta memahami budaya orang pekak bagi memudahkan hubungan sosial dan interaksi dengan mereka.

Kebanyakan anggota masyarakat lebih suka membiarkan golongan itu menangani kekurangan berkenaan dengan bergaul sesama mereka.

Disebabkan itu, golongan pekak lebih suka hidup dalam kelompok sendiri di mana mereka berasa lebih yakin untuk berkomunikasi dan berkongsi pengalaman melalui bahasa unik iaitu bahasa isyarat.

Secara am, kehidupan golongan pekak tidak jauh berbeza dengan golongan boleh mendengar cuma mereka tidak boleh bercakap dan ini menyebabkan gaya berkomunikasi itu agak berbeza.

Keistimewaan golongan pekak mereka mempunyai budaya unik, iaitu isyarat nama berdasarkan personaliti untuk panggilan kerana mereka tidak boleh mendengar namanya dipanggil. Begitu juga dengan isyarat menunjukkan tempat, bangunan atau personaliti terkenal.

Bahasa isyarat adalah bahasa yang dikongsi bukan saja golongan pekak di negara ini, malah ia merentas sempadan hingga ke negara yang mengiktiraf bahasa isyarat seperti Jepun, Thailand, New Zealand dan Australia.

Golongan pekak di negara ini menggunakan kaedah Bahasa Isyarat Malaysia (BIM), yang memerlukan khidmat jurubahasa apabila berurusan dengan mereka yang tidak memahami bahasa berkenaan.

Justeru, Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) menubuhkan Pusat Latihan Malaysian Sign Language (MySL) yang digerakkan melalui sumbangan Yayasan Tan Sri Othman Yeop mensasarkan melatih 100 jurubahasa dalam tempoh lima tahun.

Pengarahnya, Mejar Sazali Abd Hamid, berkata pusat itu menyediakan perkhidmatan jurubahasa isyarat yang terlatih dan bertauliah serta memperluaskan perkhidmatannya kepada orang pekak di seluruh negara.

Selain itu, katanya, ia juga dapat membantu meningkatkan penguasaan jurubahasa isyarat kepada guru serta kaunselor sekolah di Sekolah Pendidikan Khas dan Integrasi serta pentadbir sekolah.

"Pusat ini juga mewujudkan komunikasi tanpa halangan di semua agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan kepada orang pekak. Ia juga membangunkan perkhidmatan penterjemahan dalam talian terus serta kamus bahasa isyarat Maya," katanya.

Katanya, pusat itu juga menyediakan kursus jangka pendek selama tiga minggu iaitu kursus intensif MySL khas untuk jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berurusan dengan warga pekak.

Katanya, kini terdapat 30,000 orang pekak di seluruh negara berdaftar dengan MFD.

Sementara itu, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaini, berkata orang pekak akan mengalami stres jika tidak mendapat kerjasama daripada orang normal .

Katanya, dunia orang pekak berbeza dan perbezaan itu tidak dapat difahami tanpa komunikasi.

Sehubungan itu, katanya, anggota masyarakat perlu membantu memberi perkhidmatan secara berkesan kepada golongan berkenaan.

Guru Penolong Kanan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn, Kluang, Johari Dahali, berkata beliau antara 30 pentadbir dan guru pendidikan khas seluruh negara terpilih mengikuti kursus bahasa isyarat orang pekak.

Katanya, beliau kagum dengan teknik pengajaran dan pembelajaran yang tidak membosankan serta kelengkapan makmal yang canggih.

Guru Penolong Kanan, Hal Ehwal Pelajar, SMK Datuk Penggawa Barat Pontian, Md Razi Md Jidi, berkata ilmu kemahiran bahasa isyarat yang diperolehi melalui kursus akan diaplikasikan apabila berinteraksi dengan pelajar pekak sekolah berkenaan.

Selain itu, katanya, beliau juga boleh menggunakan kemahiran baru itu apabila berdepan dengan golongan berkenaan di tempat awam atau kawasan perumahannya.

FAKTA NOMBOR:
Persekutuan Orang Pekak Malaysia


  • 30,000 - Orang pekak

  • 100 - Jurubahasa orang pekak tempoh lima tahun

  • 30 - Pentadbir diberi kursus bahasa isyarat.
  • Thursday, June 07, 2007

    Mydin tawar kerja kepada Fadhly

    Utusan Malaysia, 7 jun 2007

    Oleh IRMAN HASHIM

    KUALA TERENGGANU 6 Jun – Nasib graduan kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, yang gagal mendapat pekerjaan sejak setahun lalu ekoran kecacatannya, mendapat perhatian Pasar Raya Besar Mydin yang menawarkan kerja kepadanya.

    Menurut Mohamad Fadhly, seorang pegawai dari Jabatan Sumber Manusia syarikat itu menghubunginya hari ini meminta beliau hadir ke ibu pejabatnya di Kuala Lumpur untuk sesi temuduga bagi jawatan pegawai inventori.

    Katanya, pegawai itu memintanya hadir ke ibu pejabat syarikat itu minggu depan untuk berbincang mengenai tawaran berkenaan.

    ‘‘Mungkin saya akan pergi pada hari Isnin atau Selasa minggu hadapan apabila keadaan membenarkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Utusan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohamad Fadhly yang gagal mendapatkan kerja kerana status orang kurang upaya (OKU) ekoran penyakit soft bone yang dialaminya walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan UDM dan Diploma Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

    Menurut Mohamad Fadhly, jawatan pegawai inventori itu menawarkan gaji sebanyak RM800 sebulan tidak termasuk elaun.

    Katanya, dia bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Mydin yang sanggup mengambil graduan kurang upaya sepertinya bekerja di gedung mereka.

    ‘‘Saya tidak memilih kerja dan sanggup menerima apa sahaja jawatan yang ditawarkan oleh Mydin dan saya yakin mampu melaksanakan tugas yang diberikan,” ujarnya.

    Menurutnya, sebagai anak sulung, beliau bertanggungjawab untuk membantu menyara keluarganya memandangkan ayah dan ibunya, Mustafa Usman, 59, dan Fattimah Che Tawang, 57, sudah bersara.

    “Mak, ayah dah pencen dan saya anak sulung daripada tiga beradik, apa yang sangat diperlukan sekarang adalah kerja bagi meneruskan kehidupan,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu Mohamad Fadhly turut memberitahu, beliau menerima panggilan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) hari ini bertanyakan sama ada telah mengisi borang permohonan jawatan yang ditawarkan oleh SPA.

    Wednesday, June 06, 2007

    Berilah saya kerja – Fadhly

    Utusan Malaysia, 6 Jun 2007

    KUALA TERENGGANU 5 Jun – Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Darul Iman (UDM) dan Diploma Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, masih gagal mendapat pekerjaan kerana statusnya sebagai Orang Kurang Upaya (OKU).

    Semua syarikat yang memanggilnya untuk menghadiri sesi temuduga enggan mengambil Mohamad Fadhly bekerja apabila mengetahui statusnya sebagai OKU, walaupun beliau telah menyatakan kesediaan untuk di tempatkan di mana-mana negeri.

    Pelajar orang kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa menunjukkan skrol Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan dengan Kepujian yang diterima kepada ayahnya Mustaffa Osman (kanan), ibunya Fattimah Che Tawang dan adiknya Hadi Iskandar dan Mohd. Fitree pada majlis 'Idul-Ilmi' KUSZA di Universiti Darul Iman Kampus KUSZA, Kuala Terengganu semalam. – Gambar FAUZI BAHARUDIN.

    ‘‘Saya telah mengisi borang di Internet untuk mendapatkan pekerjaan tetapi tidak memasukkan status OKU, jadi apabila syarikat menghubungi saya untuk ditemuduga dan saya memaklumkan kepada mereka mengenai status OKU, serta-merta permohonan saya ditolak.

    ‘‘Saya hanya minta diberi peluang menunjukkan kebolehan bekerja,” katanya yang turut memohon pekerjaan sebagai pustakawan di UDM, ketika ditemui selepas majlis konvokesyen ke-22 institusi itu di sini hari ini.

    Mohamad Fadhly merupakan antara 909 orang graduan kumpulan terakhir yang menerima diploma dan ijazah di bawah Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) kerana bermula tahun depan, semua graduan institusi berkenaan menerima diploma dan ijazah mereka di bawah nama UDM.

    Diploma dan ijazah berkenaan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Kusza. Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong dan Naib Canselor UDM, Datuk Prof. Dr. Alias Daud.

    Mengimbas kepayahannya apabila terpaksa berulang alik menghadiri kuliah dan bergantung kepada bantuan rakan ketika belajar di universiti itu, Mohamad Fadhly bertekad membuktikan bahawa kecacatan tidak menghalangnya untuk berjaya dalam pelajaran.

    Lebih membanggakan beliau yang berketinggian 94 sentimeter memperoleh kepujian kelas kedua dalam Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan.

    Mohamad Fadhly yang mengalami penyakit soft bone’ berkata, sepanjang pengajiannya di UDM (Kusza) selama dua tahun, beliau banyak bergantung kepada rakan-rakan untuk ke kuliah kerana tinggal di rumah sewa.

    ‘‘Saya akan menumpang kereta atau motosikal rakan untuk ke kelas dan apabila mereka tiada kelas jadi saya pun tidak ke kelas,” katanya.

    Pemuda lumpuh tauke ayam

    Berita Harian, 6 jun 2007

    TEKUN BERUSAHA: Said bersama ternakan ayamnya di
    Kampung Kesom Che Nordin, Manir, Kuala Terengganu.

    Said tak harap simpati, berhasrat besarkan ternakan dengan bina reban baru

    KUALA TERENGGANU: Lumpuh dari paras pinggang tidak pernah menghalang Said Jusoh, 49, dari Kampung Kesom Che Nordin, di sini untuk berdikari mengusahakan ternakan ayam daging bagi menyara hidup tanpa mengharapkan ehsan orang lain.

    Bermula dengan sedikit simpanan daripada pampasan insurans yang diterimanya akibat dihempap dahan balak ketika bertugas di Segamat, Johor, pada 1982, Said membelanjakan kira-kira RM1,000 untuk membuat reban dan membeli kira-kira 240 ekor anak ayam untuk diternak.

    Sekarang Said sudah boleh tersenyum dengan pendapatan yang diterimanya hasil jualan kira-kira 2,000 ayam daging semusim dengan pendapatan sekitar RM800 hingga RM1,500 sebulan melalui titik peluhnya sendiri tanpa perlu menagih simpati orang lain.

    "Semuanya bermula pada 1990 selepas hampir tujuh tahun saya hanya dibantu ahli keluarga terdekat untuk meneruskan penghidupan, saya bertemu dengan kenalan sekampung yang mengusahakan ternakan ayam daging.

    "Ketika itu saya ada sedikit simpanan dan kebetulan saya memang berminat dengan ternakan ayam. Saya tekadkan usaha dan mencuba yang terbaik melaksanakan apa yang kudrat saya termampu selain meminta bantuan terutama keluarga untuk melakukan tugasan yang tak dapat saya lakukan," katanya yang ditemui di rumahnya di sini, semalam.

    Kini dengan bantuan bahan asas, termasuk benih ayam dan makanan serta bantuan pinjaman modal pusingan sebanyak RM20,000 melalui Tabung Usahawan Peladang Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Said berhasrat membesarkan lagi ternakannya dengan membina reban baru yang mampu memuatkan kira-kira 2,000 anak ayam.

    Katanya, dia berpegang kepada prinsip tidak mudah putus asa dan jangan jadikan kekurangan sebagai halangan untuk berjaya seperti orang lain.

    "Saya beruntung kerana mendapat sokongan padu dan galakan daripada adik beradik," katanya yang kini tinggal bersama adik bongsunya Alias Jusoh, 37, dan isteri serta empat anak saudaranya.

    Sementara itu, Pengarah LPP negeri, Rosli Harun, berkata sikap yang ditunjukkan Said perlu dicontohi kerana meskipun kurang upaya tetapi masih mempunyai kekuatan dalam mencari pendapatan sendiri tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

    "Tidak ramai mereka yang kurang upaya mempunyai kekuatan dan semangat untuk berjaya tanpa menjadikan kekurangan sebagai satu alasan. Said membuktikan dia boleh dan sikap yang ditunjukkan terutama kesungguhan dalam mengikuti kursus anjuran LPP membanggakan.

    "LPP membantu menyediakan pinjaman modal pusingan serta bantuan bahan asas terutama benih dan makanan ayam selain membantu dari pemasaran," katanya.

    Katanya, kekuatan Said adalah dia sanggup berdepan dengan cabaran dan sanggup menerima bantuan yang ditawarkan LPP serta mempunyai pengurusan yang cekap.

    Beliau berkata, kekuatan itu yang menjadikannya lebih berjaya dan mampu pergi lebih jauh jika terus dibimbing kerana dia mampu menyahut cabaran.

    Cacat tidak halang Ashraf untuk belajar

    Utusan Malaysia, 6 jun 2007

    ALOR STAR 5 Jun – Lahir sebagai insan cacat, tidak pernah menghalang seorang pelajar, Muhammad Ashraf Anuar, 18, untuk menuntut ilmu, malah hasratnya memasuki pusat pengajian tinggi juga kini sudah tercapai.

    Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (STAR) berkata, walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ekoran kedua-dua kakinya yang lemah dan tidak boleh berdiri, dia tetap berazam untuk berjaya dalam pelajaran.

    ‘‘Sokongan ibu bapa menguatkan lagi semangat saya untuk berjaya dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui selepas menyelesaikan urusan pendaftaran pelajar baru bagi sesi pengajian 2007/2008 Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini hari ini.

    Beliau adalah antara 525 pelajar baru Kuin yang membuat pendaftaran bagi mengikuti pengajian peringkat diploma dan ijazah, manakala pelajar luar negara pula akan mendaftar pada bulan depan.

    Ashraf yang akan mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan berkata, dia tidak pernah patah semangat untuk belajar dan peluang menuntut di Kuin akan digunakan bagi mendalami bidang agama.

    ‘‘Saya memilih Kuin kerana latar belakang pensyarahnya termasuk tenaga pengaj ar dari Universiti Al-Azhar, Mesir,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

    Seorang lagi pelajar baru KUIN, Ahmad Zaid, 19, berkata, dia berminat untuk menyambung pengajian di sini kerana mahu mempelajari bidang agama dan menguasai bahasa Arab.

    ‘‘Saya berazam untuk mempelajari ilmu agama di sini dan berharap dapat mengikuti pengajian dalam Diploma Bahasa Arab dengan jaya,” katanya.

    Rakannya, Muhammad Sofian Zahir, 21, pula berkata, dia amat berterima kasih kepada pengurusan Kuin yang menawarkan tempat kepadanya untuk belajar di kolej universiti tersebut.

    ‘‘Saya yakin pensyarah di sini amat baik sekali terutama dengan adanya tenaga pengajar dari Asia Barat,” katanya yang akan mengikuti Diploma Tahfiz AlQuran WalQiraat.

    Tuesday, June 05, 2007

    Pasangan rayu bantuan biayai rawatan tiga anak

    Berita Harian, 5 jun 2007

    GEORGETOWN: Sepasang suami isteri memohon simpati orang ramai bagi membiayai kos perubatan tiga anak mereka yang mengalami masalah kegagalan otak berfungsi.

    S Nathan, 38, seorang peniaga dari Lunas, Kedah dan isteri, M Mariamah, 36, suri rumah sepenuh masa, tidak mampu menanggung perbelanjaan dua anak mereka yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

    N Rageswari, 12, dan N Bawani, 4, dirawat di hospital itu sejak dua bulan lalu manakala N Tanaletchumi, 13, yang pekak dan bisu, mempunyai simpton yang sama dan dijadualkan dimasukkan ke HPP bulan depan.

    Anak sulung pasangan itu, N Murali, 16, terpaksa berhenti sekolah. Hanya dua anak pasangan itu yang bersekolah iaitu N Tamilarasan, 10 dan N Ambarasi, 11.

    Nathan, yang menjual peralatan sembahyang ketika ditemui di HPP berkata, dia tidak mampu menanggung segala kos perubatan ketiga-tiga anaknya dan perbelanjaan harian keluarga.

    "Saya sukar untuk memberi tumpuan kepada kerja selepas anak saya dimasukkan ke HPP," katanya yang turut menanggung tunggakan bayaran bulanan rumahnya.

    Beliau berkata, penyakit anaknya itu bermula ketika mereka masih kecil selepas diserang demam panas dan kerap terkena penyakit sawan.

    "Kami terkejut apabila doktor mengesahkan Rageswari dan Bawani mengalami masalah otak yang tidak berfungsi dan terpaksa dirawat di HPP sehingga ke hari ini,' katanya.

    Nathan juga berharap penderitaannya akan mendapat simpati Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

    Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 016-4564857.

    Monday, June 04, 2007

    OKU menangis cari kerja

    Harian Metro, 4 Jun 2007

    KUALA LUMPUR: “Saya pernah menangis kerana sukar mendapat pekerjaan, meskipun banyak permohonan dihantar. Saya harap, golongan berada bantulah kami, jika tidak, insan seperti kami akan terus tercicir,” kata Nurfarhana Kannagi Abdullah, 33, yang cacat penglihatan.

    Saudara baru yang memeluk Islam sejak sembilan tahun lalu itu ditemui ketika Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang- orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) kali ke-12 di Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) Brickfields, semalam.

    “Kami bukan minta dilahirkan begini, jangan buruk sangka dan pandang serong dengan kekurangan ini. Kami boleh kerja dan berilah peluang,” katanya.

    Seorang lagi ahli Pertis, Rosnah Ahmad, 47, berkata berikutan kesukaran mendapat kerja, ramai rakannya terpaksa menjadi penjual tisu di jalanan.

    “Mereka terpaksa. Jika tidak, apa anak dan keluarga nak makan,” katanya.

    Rosnah berkata, bukan mudah untuk mendapat pekerjaan, sama ada di sektor awam atau swasta, kerana tahap kepercayaan yang masih rendah terhadap mereka meskipun golongan itu kini mempunyai ilmu dalam bidang teknologi maklumat dan kemahiran.

    “Kami ada pelajaran dan kemahiran, termasuk mahir dalam penggunaan atau membaiki komputer, tetapi bila minta kerja dan apabila mereka lihat kami buta, ramai tak percaya dengan kami. Jika keadaan ini berterusan, saya yakin pada masa depan, ramai OKU seperti kami akan menganggur,” katanya.

    Mesyuarat Pertis itu dirasmikan Penasihat Pertis yang juga Setiausaha Dewan Negara, Parlimen Malaysia, Datuk Zamani Sulaiman. Hadir sama, Yang Dipertua Pertis, Mohamed Ismail.

    Mengulas rintihan ahlinya, Mohamed mengakui, lebih ramai OKU tiada pekerjaan tetap berbanding mereka yang memperoleh kerja tetap.

    Katanya, antara faktor ia berlaku kerana ada antara mereka tidak memenuhi syarat ditetapkan, sama ada sektor awam atau swasta.

    Ditanya adakah tindakan sesetengah mereka yang menjual tisu didalangi sindiket, Mohamed berkata, sepanjang pengetahuannya mereka yang selalu menemani OKU terbabit adalah rakan atau saudara sendiri.