Thursday, August 02, 2007

Penyakit mental perlu dapat rawatan segera

Berita Harianj, 2 ogos 2007


Bantuan awal mengurangkan masalah daripada menjadi lebih serius





TEKANAN kerja, masalah peribadi atau campur tangan keluarga dalam hal tertentu boleh memberi gangguan emosi kepada individu. Masalah kewangan berpanjangan atau kegagalan memenuhi keperluan hidup juga boleh menyumbang kepada persekitaran yang menyebabkan penyakit mental.

Kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kira-kira satu daripada setiap 10 orang mengalami gangguan emosi atau mental. Bagaimanapun, takrif gangguan emosi didapati sangat longgar kerana panas baran, resah, gelisah, mudah bersedih, kecewa, terlalu bimbang, takut dan murung boleh dikategorikan sebagai gangguan emosi dan penyakit mental.

Tanda gangguan emosi dan penyakit mental boleh dikesan pada peringkat awal, antaranya perubahan tingkah laku yang sangat ketara, mudah marah, tiada selera makan, sukar untuk tidur, cepat kecewa dan mempunyai perasaan rendah diri yang mendalam.

Jika gejala itu berpanjangan dan gagal dikendalikan dalam tempoh dua minggu, individu berkenaan patut mendapatkan rawatan atau ahli keluarga dan rakan membantu individu itu mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri.

Gangguan emosi dan penyakit mental yang dibiarkan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan menjadi lebih serius dan mengakibatkan skizofrenia.

Pengarah Hospital Bahagian Hulu Kinta, Perak, Datuk Dr Suarn Singh, berkata skizofrenia berlaku akibat perubahan kimia dan biologi dalam otak.

Beliau yang juga Pakar Perunding Kanan Psikiatri (Forensik) berkata, pesakit skizofrenia biasanya mengatakan mereka mendengar bunyi tertentu atau merasa ada sesuatu yang ingin mencederakan mereka.

"Pesakit skizofrenia perlu dirawat secara intensif oleh pakar dengan dua kaedah rawatan, iaitu secara biokimia menerusi pengambilan ubat dan rawatan secara psikologi. Rawatan psikologi membabitkan kaunseling untuk pesakit dan juga keluarga," katanya pada majlis penyampaian sijil tamat kursus pendidikan keluarga untuk 42 peserta oleh Tindakan Isu Kesihatan Mental Kinta (KAMI) di Hospital Bahagia Hulu Kinta, Perak baru-baru ini.

Individu yang mengalami gangguan emosi dan mental biasanya adalah orang yang tidak mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membiarkan masalah berkenaan membelenggu mereka hingga masalah itu menjadi lebih parah.

Masalah yang semakin sukar diselesaikan mengakibatkan krisis dan seterusnya gagal dikendalikan oleh individu berkenaan.

Dr Suarn berkata, gangguan emosi dan mental juga kerap berlaku ke atas individu yang mempunyai keyakinan diri yang sangat rendah.

"Jika tidak mempunyai sokongan daripada keluarga atau majikan, gangguan ini menjadi lebih parah. Masalah mental yang serius dan skizofrenia boleh membawa kepada pesakit membunuh diri,” katanya.

Dr Suarn berkata, kajian Kementerian Kesihatan menunjukkan kejadian membunuh diri di negara ini tiada kaitan dengan agama, kaum atau latar belakang keluarga.

"Pesakit mental yang membunuh diri biasanya disebabkan masalah peribadi atau gangguan dalam diri dan tidak berkaitan dengan pegangan agama atau tradisi budaya. Justeru, membunuh diri berlaku pada semua kaum di negara ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Perak, Datin Dr Ranjit Kaur Praim Singh, berkata penyakit mental bukan akibat kesilapan yang dilakukan oleh pesakit berkenaan atau keluarga mereka, tetapi disebabkan pelbagai faktor persekitaran.

Jika anda dapat mengesan tanda gangguan emosi dengan cepat, anda boleh membantu rakan sekerja, jiran atau ahli keluarga mendapatkan rawatan. Rawatan pada peringkat awal gangguan didapati dapat memberi kesan yang lebih baik.

Rawatan penyakit mental yang ada sekarang sangat efektif dan berkesan berbanding 20 tahun lalu. Kaedah lama rawatan penyakit mental tidak memberi kepentingan kepada peranan keluarga dalam merawat pesakit.

Pesakit biasanya ditempatkan di institusi dan diberi ubat serta rawatan yang difikirkan perlu oleh pakar psikiatri.

"Tetapi, kini cara rawatan baru menyedari peranan keluarga sebagai penjaga dalam memulihkan pesakit. Keluarga pesakit adalah sumber amat penting untuk memudahkan rawatan psikososial bagi penjagaan menyeluruh untuk pesakit.

"Kementerian Kesihatan menggalakkan pembabitan masyarakat, keluarga dan individu dalam menangani isu berkaitan penjagaan kesihatan," katanya.

Bagi membabitkan masyarakat dalam rawatan penyakit mental, Kementerian Kesihatan mewujudkan program kesihatan mental dalam komuniti, iaitu pesakit yang stabil boleh mendapatkan ubat dari klinik kesihatan berhampiran.

Di Perak, Dr Ranjit berkata, program pemulihan dalam komuniti dalam bentuk psikososial dilakukan menerusi empat klinik kesihatan, iaitu di Simee, Bagan Datoh, Selama dan Tanjung Malim.

Program seumpama itu dan sokongan keluarga akan membantu pesakit mental menguruskan kehidupan mereka dengan lebih sempurna.

FAKTA:
Tanda gangguan emosi/mental

  • Perubahan tingkah laku yang ketara.
  • Cepat marah
  • Hilang selera makan
  • Susah tidur
  • Mudah kecewa
  • Rendah diri

  • 1 comment:

    Anonymous said...

    Pengidap skizofernia tak termasuk dalam OKU ka?Aku salah satu darinya..

    Apa yang aku nak paparkan..penyakit skizofernia boleh diubati dengan ayat quran.

    Dua kali aku alaminya.Bapak aku yang ubatinya dengan menggunakkan ayat quran dalam tempoh 44 hari.Kini aku ambik pil untuk cegah pernyakit berulang kembali.

    Email aku kalau ada cerita best ka pasal penyakit nih....lapan_tapak@hotmail.com