Tuesday, August 14, 2007

Khabar terbaru Karim Sulaiman

Klpos, 14 ogos 2007



ALHAMDULILLAH.. Karim Sulaiman semakin pulih dari sakit ganjil yang dihadapinya

Oleh: Saodah Ismail

KELMARIN, 12 Ogos hari lahir Karim Sulaiman, Pengarang Berita Harian yang ketika ini sedang bercuti sakit di rumahnya di Taman Seri Gombak. Usia anak jati Johor ini, 46 tahun.

Ironinya, meskipun isteri tercintanya Siti Hawa seorang pakar buat kek dan biskut, tapi tiada kek harijadi untuk Karim. Bukan tidak ingat, kata Hawa, tapi pada masa yang sama banyak tempahan kek yang terpaksa disiapkan.

"Tidak mengapalah tak ada kek atau pulut kuning. Pada usia-usia begini, semua itu sudah tidak perlu, zaman itu sudah lama berlalu. Apa yang penting kita masih bersama keluarga dan berbual-bual dengan rakan taulan," kata Karim yang menerima banyak ucap selamat dari kawan-kawan melalui sms.

Sepanjang perbualan kami di telefon, percakapan Karim semakin jelas. Sebelum ini, jika melalui telefon, saya hanya boleh mengetahui mengenai Karim melalui perbualan dengan Hawa. Tetapi kini Karim boleh berbual di dalam telefon dan bercakap seperti biasa.

Sambil melawak, satu sikapnya yang tidak pernah berubah sejak dulu, peminat setia lagu-lagu retro ini memberitahu hari jadinya juga selepas ini akan disambut bersama Ina Naim dan suaminya Suhaimi, "Kerana mereka nikah pada hari jadi saya!"


Penulis (kanan) bersama bekas Pegawai Perhubungan Awam TV3 Norisah Sulaiman menziarahi Karim di rumahnya

Berat badan bertambah

Begitulah Karim, yang selalu bersikap positif dalam hidupnya dan sentiasa ceria. Dia yang kini semakin pulih bahkan memberitahu berat badannya sudah meningkat dari 35 kilogram ke 50 kilogram. Bukan itu saja, dia kini sudah berupaya memanjat anak tangga. Semuanya berkat kesabaran dan ketabahan melalui ujian Allah.

Karim kini menjalani rawatan yang dinamakan 'ivig' sebulan sekali di HKL di mana untuk rawatan itu, dia kena duduk hospital selama satu minggu. Rawatan Ivig katanya adalah proses kemasukan darah haemoglobin ke dalam badan dan telah digunakan secara meluas di luar negara. Rawatan itu agak mahal dan dianggarkan menelan kos untuk satu sesi saja sebanyak RM10,000. Mujur dalam kes Karim,ia ditanggung oleh pihak kerajaan.

Penyakit yang dihidapi Karim, scleromyxoedema, adalah yang pertama dirujuk kepada kerajaan melalui Kementerian Kesihatan manakala dalam jurnal dunia pula dilaporkan terdapat sebanyak 150 kes seumpamanya di seluruh dunia.

"Syukur Alhamdulillah, memang bila sudah sakit kita memerlukan semangat yang kuat dan kesabaran yang bukan sedikit. Tidak ada sakit yang boleh sembuh secepat kilat, inilah yang dinamakan ujian dan saya rasa berysukur kerana ramai pihak, termasuk kawan-kawan yang membantu memberi dorongan, sokongan dan sumbangan kepada saya sekeluarga.

"Budi baik semua rakan-rakan amat saya hargai, hanya Tuhan saya yang dapat membalasnya," katanya yang menyatakan keinginan untuk menemui Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Latiff Ahmad yang banyak membantu beliau sekeluarga.

Ketika ditanya apakah yang dilakukannya sepanjang hari di rumah, Karim berkata mujur negara telah maju dalam teknologi IT kerana itulah caranya dia mengisi waktu di samping mengikuti perkembangan semada di dalam dan luar negara. Dia merupakan pengunjung klpos.com yang setia setiap pagi dan malam.

Pengunjung setia klpos.com

"Saya masuk dua kali sehari, satu sebelah pagi dan sekali lagi malam sebelum tidur, iaitu selepas jam 12. Selain itu, saya juga membaca berita-berita lain secara online serta blog rakan-rakan. Itulah kerja saya sentiasa menghadap komputer," katanya yang hanya berhenti untuk mengerjakan solat fardhu secara duduk.

Apakah rancangan TV yang menarik baginya. Menurut Karim, selain Buletin Utama sebagai wajib setiap hari, dia juga gemar menonton rancangan "Mari Mengaji" yang disiarkan di TV9 setiap petang.

"Di rumah sekarang ini, hanya tinggal kami berempat, saya Hawa dan dua orang anak kami, empat lain sudah tinggal di asrama," katanya.

Begitulah Karim menghabiskan masanya dalam sehari, manakala Hawa, isterinya, selain setia menjaga suami juga sibuk di dapur membuat kek dan biskut serta tempahan-tempahan lain untuk majlis minum petang atau majlis makan-makan orang perseorangan atau pejabat.


Isterinya Karim, Siti Hawa membantu suaminya, gambar ini diambil beberapa bulan lalu (Foto: Bernama)

Kisah isteri dan anak-anak

Masakan Hawa memang sedap, bahkan saya sendiri sukakan 'apple pie' buatannya yang lembut lagi istimewa – lebih enak dari yang dijual di kafe dan hotel. Selain itu, Hawa juga handal membuat pelbagai jenis kek kerana selama mereka di London dulu (ketika Karim menjadi wakil Berita Harian di London), Hawa sempat mengikuti kursus dalam pembikinan kek dan biskut. Sebab itu, Karim sentiasa bangga memberitahu, "Biskut-biskut Hawa tak sama dengan biskut Melayu biasa, tau!"

Dan, bagaimanakah keluarga ini meraikan hari jadi Karim semalam?

"Kerana hari Ahad selalunya hari kami sekeluarga keluar melawat anak- anak di asrama. Jadi, Hawa masak untuk anak-anak, masing-masing selalunya telefon minta Hawa masa itu dan ini," cerita Karim.

Anak sulongnya, Haira Nadira kini di asrama UIA dalam Pengajian Bahasa Inggeris, dan tiga anaknya di Sekolah Asrama Sains Cheras Selangor iaitu Khaira Nabila (tingkatan 5), Khaira Nazura (tingkatan 4) dan Khair Najid (tingkatan 1).

Semoga Karim dan Hawa sentiasa diberikan kekuatan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Selamat hari jadi Karim, semoga Tuhan panjangkan umur dan kurniakan kesihatan.

Penulis pernah berkerja bersama dengan Saudara Karim Sulaiman di Berita Harian- Pengarang

BERITA BERKAITAN

1 comment:

Unknown said...

Al fatihah untuk Arwah Karim