Saturday, August 04, 2007

OKU kagum layanan mesra pekerja restoran makanan segera

Berita Harian, 4 ogos 2007


DALAM kempen membina masyarakat penyayang, kita sering dihidangkan melalui media mengenai pelbagai kisah cabaran hidup Orang Kurang Upaya (OKU). Cabaran hidup OKU termasuklah kegiatan harian mereka dalam mencari rezeki, pelajaran, perubatan, riadah dan sebagainya.

OKU biasanya dikategorikan mengikut jenis kecacatan seperti anggota, penglihatan, bisu dan akal. Tahap kecacatan mereka pula menunjukkan sejauh mana cabaran mereka dalam kegiatan harian yang terbahagi kepada tahap ringan, sederhana, berat dan tahap amat berat.

Tahap ringan ialah mereka yang mempunyai kecacatan sedikit dan segala urusan harian boleh dilakukan tanpa sebarang bantuan orang lain atau peralatan khas. Contohnya, OKU yang kudung sebelah tangan sama ada di pergelangan tangan mahupun dari siku ke atas, OKU pekak bisu dan lain-lain.

Tahap sederhana pula ialah OKU yang menggunakan peralatan khas untuk kegiatan harian mereka dan boleh melakukan kerja tanpa bantuan orang lain dengan ada peralatan berkenaan, contohnya OKU mengguna kerusi roda dan OKU penglihatan menggunakan tongkat.

OKU tahap berat ialah mereka yang memerlukan bantuan orang lain dalam sesuatu kegiatan. Ini mungkin disebabkan anggota mereka seperti kedua-dua belah tangan dan kaki tidak dapat berfungsi dengan sempurna atau kudung.

OKU tahap amat berat ialah mereka yang mempunyai gabungan kecacatan, iaitu anggota, pancaindera atau mental. Contohnya, kedua-dua belah kaki dan tangan cacat dan pada masa yang sama tidak dapat bertutur dengan jelas.

Kehidupan OKU yang serba mencabar memberi mereka semangat untuk mengharungi liku hidup ini. Tidak dinafikan juga ada OKU yang tidak dapat menerima cabaran berkenaan dan akhirnya kecundang dalam dugaan hidup.

Mereka memilih untuk menagih simpati orang ramai sebagai sumber rezeki, iaitu sebagai peminta sedekah. Ini berbeza pula sekiranya, OKU berkenaan menggunakan apa saja anggota yang masih ada untuk mencari rezeki, contohnya OKU penglihatan menggunakan kepandaian bermain alat muzik untuk menghiburkan orang ramai di kaki lima.

Bagi saya, duit yang dilontar kepada mereka bukanlah duit sedekah, tetapi bayaran atas hiburan yang diberi.

Kita lihat pula bagaimana orang ramai yang digolongkan sebagai ‘tidak mesra OKU’ berhadapan dengan golongan OKU. Mereka ini saya boleh golongkan kepada beberapa kategori juga, iaitu pertama beranggapan golongan OKU sebagai beban masyarakat; kedua golongan OKU sebagai golongan tidak upaya dipandang hina.

Ketiga pula golongan OKU tiada apa yang beza dan itu adalah nasib mereka; keempat golongan OKU sebagai mereka yang cekal dan bantuan patut diberikan demi kemanusiaan dan kelima golongan OKU sebagai mereka yang memberi inspirasi dalam hidup mereka.

Dengan kategori itu, mungkin kita dapat memahami kategori manakah individu yang ‘tidak mesra OKU’ apabila berhadapan dengan OKU.

Kisah ingin saya kongsi bersama di sini ialah pengalaman sendiri ketika singgah di restoran makanan segera di KL Sentral baru-baru ini. Saya sebenarnya golongan OKU tahap ringan, iaitu kudung di sebelah tangan kanan tanpa siku.

Ketika melangkah masuk ke pekarangan restoran itu sambil menggalas beg komputer riba, seorang pekerja lengkap beruniform menyapa dengan senyuman dan bertanya sama ada saya ingin pesan bungkus atau duduk makan.

Saya menjawab bahawa saya ingin duduk makan. Lantas dia menunjuk ke arah tempat duduk kosong sambil mengeluarkan kertas untuk mendapatkan pesanan.

Apabila siap mencatat, dia terus ke kaunter membuat pesanan. Ketika itu saya sangkakan saya perlu ke kaunter untuk membuat bayaran, tetapi dia datang kembali dengan membawa resit.

Dia menyerahkan resit berkenaan dan saya bertanya sama ada perlu membayar di kaunter, dengan senyuman dia menjawab bahawa dia akan bantu saya membayar di kaunter.

Selepas itu dia kembali dengan menatang makanan yang dipesan sambil membawa wang baki. Tidak cukup dengan itu, dia bertanyakan sama ada saya perlukan sos cili atau tomato. Akhir sekali dia membawa kedua-dua sos cili dan tomato untuk saya sambil berkata panggil dia sekiranya saya perlukan apa-apa bantuan lagi.

Saya sempat melihat tag namanya yang tertera Puteri. Mungkin pengalaman saya di atas hanyalah kisah yang biasa di sebuah restoran makanan segera. Namun, setiap gerak-geri dan layanan yang diberikan oleh Puteri jelas menunjukkan dia mempunyai naluri untuk berkhidmat dengan cemerlang dan dia berkhidmat dengan penuh minat serta gembira.

Kepekaannya terhadap layanan terbaik untuk OKU dapat saya rasakan walaupun saya sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk beratur dan menatang makanan ke tempat duduk.

Oleh Ong Boo Siong (Koordinator Projek Tanpa Halangan Persatuan Shuang Fu untuk Orang Kurang Upaya, Kuala Lumpur)

1 comment:

zackzahar said...

mmg btul saya sokong sbb sya pun dilayan dgn baik apabila menjamu selera di restaurat fast food.
mereka lebih baik dari segi perkhidmatan dri kedai restaurant di luar