Radhiah tabah terima takdir
Azlan Hafeedz
Daripada sebesar biji kacang hijau ketika usia 6 bulan, ketumbuhan di pipinya kini sebesar 27 sm panjang dan 22 sm tinggi dengan berat 30 gram
“Memang saya inginkan kebebasan dan keriangan seperti gadis remaja lain tetapi apakan daya, diri ini terhalang oleh penyakit, menyebabkan dunia saya hanyalah rumah dan keluarga saja”Radhiah Mardhiah Muhamad
Pesakit ketumbuhan di pipi
“JIKA diikutkan hati, saya tidak mahu ke sekolah kerana malu dengan ketumbuhan di muka. Saya sedar tidak memiliki rupa yang cantik seperti gadis lain tetapi demi masa depan, saya kuatkan semangat kerana tidak mahu hati ibu bapa terluka.”
Demikian luahan hati seorang gadis, Radhiah Mardhiah Muhamad, 16, yang menghidap penyakit ketumbuhan saraf pada bahagian pipi kanannya sejak berusia enam bulan.
Setiap pagi sebelum ke sekolah, Radhiah termenung di cermin mengenangkan nasibnya yang malang itu.
Kadangkala dia menghabiskan masanya dengan berkurung dalam bilik termasuk mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di rumahnya sebaik pulang dari sekolah.
Bukan kerana sombong, tetapi Radhiah terlalu malu hendak bergaul dengan rakan sebayanya lantaran penyakitnya itu. Ini menyebabkan ibunya, Wan Aisyah Wan Nawang, 57, dan ayahnya, Muhamad Mamat, 73, menjadi teman sejati.
Penyakit ketumbuhan saraf yang dihidapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, itu mula dikesan ketika Radhiah berusia enam bulan.
Tetapi, daripada saiz sebesar biji kacang hijau, ketumbuhan itu membesar kepada 27 sentimeter (sm) panjang dan 22 sm tinggi dengan berat, 30 gram.
Keadaan itu menyebabkan mata kiri Radhiah menjadi semakin sepet.
Radhiah berkata, apabila tengah malam dia sering menangis bersendirian kerana terlalu sakit di pipi kanannya hingga terpaksa menelan ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.
Katanya, kekerapan denyutan pada ketumbuhan itu membuatkan kehidupannya kurang selesa terutama ketika belajar di sekolah menyebabkan pembelajarannya sering terganggu.
“Saya sering berulang alik bersama ibu bapa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Pelbagai rawatan tradisional dan moden dilalui tetapi hingga kini ia tidak menampakkan sebarang hasil, malah kian bertambah teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tawang, Bachok, Kelantan baru-baru ini.
Menurut Radhiah, apa yang membimbangkannya, dia pernah dimaklumkan seorang doktor pakar, jika penyakitnya itu dibedah, dia bakal berhadapan risiko kemungkinan matanya tidak dapat ditutup selama-lamanya.
Katanya, selain itu, mulutnya turut menjadi tidak normal atau renyuk termasuk pertuturan menjadi tidak jelas.
“Ini membuatkan hati saya bertambah runsing mengenangkan nasib malang yang menimpa saya satu persatu itu.
“Memang saya inginkan kebebasan dan keriangan seperti gadis remaja lain tetapi apakan daya, diri ini terhalang oleh penyakit, menyebabkan dunia saya hanyalah rumah dan keluarga saja,” katanya sedih.
Ibu Radhiah, Wan Aisyah pula berkata, dia terkilan kerana anak bongsunya itu menjadi mangsa ‘tarik tali’ dua hospital di negeri ini.
Katanya, tahun lalu dia membawa Radhiah ke sebuah hospital di Kubang Kerian, Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan pertama.
“Saya kesal kerana pelbagai alasan diberi doktor hospital itu, kononnya doktor pakar yang sepatutnya merawat penyakit anak saya itu sudah berkhidmat di sebuah hospital luar negara.
“Ini menyebabkan saya terpaksa membawa Radhiah ke HRPZII, tetapi sehingga kini keputusannya masih belum dibuat walaupun beberapa contoh darah dan daging ketumbuhan itu sudah diambil,” katanya.
Mengenai kos rawatan pembedahan Radhiah, Wan Aisyah berkata, dia masih belum mengetahui jumlah sebenar tetapi dianggarkan puluhan ribu ringgit.
“Saya akan berusaha mencari wang sebanyak itu asalkan penyakit Radhiah boleh sembuh seperti sedia kala. Kalau boleh, saya hendak lihat Radhiah pulih sebelum kami menghembuskan nafas yang terakhir,” katanya sedih.
Sesiapa yang bersimpati atau ingin menghulurkan derma kepada Radhiah, boleh menghubungi Wan Aisyah melalui talian, 09-7788024.
No comments:
Post a Comment