Wednesday, August 15, 2007

Tidak boleh ubati penyakit palsi serebral, sindrom down

Utusan Malaysia, 15 ogos 2007

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Seorang pakar hari ini mendedahkan terdapat usaha pihak tertentu termasuk sekumpulan doktor yang sengaja membuat kenyataan bahawa sel stem daripada darah tali pusat boleh mengubati penyakit berkaitan otak kanak-kanak seperti palsi serebral dan sindrom down.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatal, Hospital Pakar Damansara, Dr. Musa Mohd. Nordin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ia merupakan satu usaha untuk menarik lebih ramai ibu bapa menyimpan sel stem darah tali pusat dalam bank khas yang disediakan oleh pihak swasta.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan senario itu sebagai sesuatu yang amat malang kerana tiada bukti dari segi perubatan bahawa sel stem boleh mengubati dua penyakit tersebut.

“Ada beberapa pihak termasuk di kalangan para doktor yang mengutarakan bahawa sel stem boleh merawat anak-anak yang istimewa ini sedangkan tiada bukti mengenainya dalam konteks bukti asas perubatan.

“Oleh itu Persatuan Pediatrik Malaysia akan mengeluarkan panduan mengenai isu tersebut supaya ibu bapa boleh membuat pilihan dengan berasaskan fakta dan tidak terperangkap dengan pemasaran emosi yang kian berleluasa ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sementara itu Dr. Musa turut mengingatkan golongan ibu bapa supaya lebih berhati-hati apabila didekati oleh ejen pemasaran bank sel stem darah tali pusat swasta.

“Jangan mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang disediakan. Mereka sering membuat tuntutan kesihatan tanpa sokongan fakta perubatan,” ujarnya.

Tambahan pula katanya, setakat ini tiada anggaran tepat kebarangkalian seorang anak memerlukan sel-sel sendiri yang disimpan.

“Anggaran paling hampir adalah satu dalam setiap 1,000 hingga satu hingga 200,000 bagi satu kes. Anggaran ini menunjukkan kemungkinan sel-sel tersebut akan digunakan adalah amat rendah.

“Oleh itu bagi saya konsep ‘insurans biologi’ yang kerap dipromosikan oleh bank tali pusat swasta adalah tidak tepat dan tidak kukuh,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perkembangan industri bank sel stem swasta Musa berkata, beliau lebih cenderung pengumpulan darah tali pusat dilakukan oleh Pusat Tabung Darah Negara.

“Bank sel stem diuruskan sebagai suatu perniagaan yang berunsurkan keuntungan dan banyak terdapat kritikan terhadap pemasaran emosi yang dilakukan untuk menarik minat pelanggan.” katanya.

No comments: