Zulhanif kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan
Berita Minggu, 11 Februari 2007
PEKAN: Kanak-kanak kenit, Zulhanif Abdul Halim, 7, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, dekat sini kini boleh ‘duduk sama tinggi’ dengan rakan sebaya selepas menerima kerusi khas disumbangkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), semalam.
Pelajar kenit dengan ketinggian 72 sentimeter dan berat 7.5 kilogram itu mengalami kesukaran menyesuaikan diri dan mengikuti pembelajaran kerana kerusi dan meja dalam kelas terlalu besar untuk saiznya yang kecil.
Kerusi ciptaan sekumpulan pensyarah UMP yang diberi nama ‘Zump’ diserahkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di sini semalam.
Naib Canselor UMP, Prof Datuk Dr Mohamed Said Mat Lela, berkata nama Zump adalah gabungan nama Zulhanif dan UMP.
“Ini adalah projek khidmat masyarakat UMP mereka bentuk dan fabrikasi kerusi khas dengan pacuan motor elektrik. Ia disesuaikan dengan asas ergonomik pelajar terbabit dari segi ketinggian dan saiz badan,” katanya.
Kerusi yang dibina dengan kos kira-kira RM12,000 itu mempunyai bahagian rehat tangan dan kaki, bahagian duduk yang boleh dilaras dan rak buku di kiri serta kanan tempat duduk.
Selain itu, ciri tambahan kerusi itu dilengkapi pelindung keselamatan dan mudah alih.
Projek khidmat masyarakat itu diketuai Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) UMP, Profesor Madya Dr Rosli Abu Bakar dan dibantu Gan Leong Ming, Wong Hong Mun, Devarajan Ramasamy, Mohd Fazli Ismail, Faizul Syahidan Rajuli dan Mohd Aminuddin Ayob.
Zulhanif walaupun kurang bercakap tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya menerima kerusi khas itu dan tidak keberatan apabila diminta mencubanya sambil diperhatikan orang ramai.
“Saya suka dengan kerusi ini kerana dapat duduk lebih selesa dalam kelas. Malah, saya termimpi-mimpi apabila diberitahu akan mendapat kerusi ini,” katanya.
Bapanya, Abdul Halim Sulaiman, 30, berkata kerusi itu akan memudahkan anaknya mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.
“Sebelum ini, dia terpaksa mendongak untuk melihat ke arah papan hitam, tetapi dengan adanya kerusi ini kedudukannya boleh diubah suai,” katanya.
Beliau menyifatkan sumbangan itu tidak ternilai harganya kepada Zulhanif dan beliau sekeluarga.
“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit memberikan sumbangan ini, terutama UMP,” katanya.
No comments:
Post a Comment