Thursday, June 08, 2006

Salahkah Kami di panggil Orang Kurang Upaya (OKU)?

Menurut kajian Dr Helaine iaitu seorang warga Belanda dari Fakulti Kajian Sosial, Universiti Nanyang, Singapura, terdapat perbezaan panggil OKU di Malaysia berbanding dengan di Barat. Di Malaysia pada mulanya mereka memanggil OKU dengan nama Orang Cacat kemudian Insan Istimewa dan yang terbaru Orang Kurang Upaya (disabled people). Ini berbeza dengan di Barat yang kini mengelar OKU sebagai Physically Challenged Person atau Orang Tercabar Fizikal. Mungkin kerana perbezaan dari segi nama dan panggilan ini menyebabkan persepsi masyarakat terhadap OKU amat negatif. OKU digambarkan amat membebankan dan menyusahkan masyarakat seperti sampah masyarakat yang tidak bernilai langsung.

Ini tambah diburukan lagi dengan iklan di media massa sekarang yang mengambarkan OKU lemah dan tak bermaya dengan muka yang murung mengambil kad OKU. Sebenarnya kad ini dulu dikenali sebagai kad Jabatan Kebajikan Masyarakat yang kami komuniti OKU pun tidak tahu apa sebenarnya fungsinya. Nak dikata boleh dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat mungkin mimpi disiang hari. OKU seperti saya dan rakan-rakan masih tertanya-tanya apa 20 kelebihan itu?

OKU juga selalu dipaparakan beserta dengan lagu yang mendayu-dayu dan menyedihkan ini membuatkan tanggapan masyarakat terhadap OKU semakin parah sehinggakan OKU tidak diberi peluang untuk bekerja. Tiada syarikat yang sanggup mengaji OKU bekerja. Jika ada pun OKU berijazah atau kelulusan yang lebih tinggi hanya ditawarkan gaji sekitar RM500-RM600 sebulan seolah-olah kami warga asing yang lebih rendah tarafnya dari warga Indonesia yang datang ke Malaysia tanpa apa-apa kelulusan.

Apabila tiba musim perayaan pula, OKU dimanupulasi seolah-olah terlalu gembira dengan sedikit bantuan, hamper dan jamuan beserta konsert dari artis yang kononnya membuat kerja amal. Selepas itu Oku terus dipinggirkan, mungkin untuk menunggu sambutan perayaan berikutnya. Itulah persepsi masyarakat dan nasib OKU di Malaysia.

Kenapa iklan di media massa tidak menampilkan OKU yang berjaya? Sekurang-kurangnya akan memberi motivasi pada OKU yang lain dan mengikis tanggapan negatif masyarakat terhadap OKU. Bukan tiada OKU yang berjaya walaupun bilangannya teramat kecil.

OKU memang tertindas di bumi Hadhari ini. OKU tiada skim insurans khas. Tiada apa-apa skim bantuan untuk OKU dalam bidang ekonomi misalnya jika hendak memulakan perniagaan. Malahan Akta Kebebasan Bergerak di luar dan di dalam bangunan yang diwartakan pada 1991 di sesetengah negeri di Malaysia hanyalah merupakan Kod yang boleh dilanggar oleh kontraktor dengan sesuka hati kerana jika tidak mematuhinya mereka tidak boleh didakwa di mahkamah. Sekolah-sekolah dan sistem pendidikan OKU kurang peralatan dan tidak cukup tenaga pengajar, hanya Perpustakaan Universiti Malaya yang ada buku rujukan tulisan Braille.

Di sini saya mengambil contoh seorang OKU buta yang kini merupakan ibu tunggal kepada 5 orang anaknya di Sabah. Beliau telah menamatkan pengajian di Universiti Malaya sekitar tahun 1984 atau 1985. Beliau terrpaksa menunggu sehingga 8 tahun baru memperolehi pekerjaan dengan Yayasan Sabah. Pada penulis dengan ketabahan beliau ini tidak selayaknya dia digelar OKU tetapi lebih molek jika dipanggil Phisically Challenge Person.

Baru-baru ini timbul isu pengemis mewah OKU buta di Kosmo. Seandainya masyarakat masih tidak memberi peluang yang seluas-luasnya untuk OKU bekerja dan berdikari, selagi itulah gejala ini akan berlaku. Tapi satu kemuskilan penulis apabila mendakwa pengemis mewah OKU buta memiliki kancil? Setahu penulis hanya orang yang ada pendapatan tetap iaitu ada slip gaji dan mempunyai lessen memandu baru boleh membeli kereta. Dah la buta tiada slip gaji pula. Adakah ini satu kebenaran atau sekadar provokasi melariskan akhbar? Yang jadi mangsa sudah tentu OKU buta di dalam persepsi buruk masyarakat.

Wallahua’lam….

No comments: