Norimah miliki pusat urut walaupun cacat penglihatan
Oleh: RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
|
|
SATU masa lalu kisah hidupnya menjadi paparan dalam media menerusi ruangan Kisah Masyarakat. Kesusahannya mengharungi hidup terpampang dan ia meraih simpati untuk saat itu sahaja.
Menyedari dia tidak boleh bergantung kepada simpati masyarakat, akhirnya ibu tunggal berusia 53 tahun ini nekad melakukan sesuatu untuk menampung hidupnya.
Kini setelah 18 tahun berlalu, Norimah Ahmad berjaya membuktikan kepada masyarakat dia mampu membesarkan dua orang anak perempuannya tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain.
Menyusuri setiap kejayaan yang tertulis pada keratan akhbar dan rencana yang terpampang di satu sudut Pusat Rawatan Nuri Refleksologi miliknya sendiri, terbuktilah ketabahan wanita ini bukan hanya perlu dibaca tetapi patut dicontohi.
Dengan semangat dan kecekalan itu Norimah membina kehidupannya bersandarkan usaha dan kemahiran yang dimilikinya.
Menyingkap kisah waktu remajanya, Norimah tidak pernah berpisah walau sedetik pun dengan keluarganya sejak dari kecil lagi.
Namun, demi mencari pengalaman dan mencuba dunia baru, pada usia 17 tahun Norimah mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) sebagai calon persendirian.
Tidak cukup dengan SRP, Norimah mencuba nasib untuk lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak enam kali.
Ternyata kesungguhan Norimah tidak pernah berhenti walaupun tahap penglihatannya mencapai tahap yang kritikal dan dia gagal dalam SPM.
Tidak lama selepas itu Norimah bertemu jodoh dan memperoleh dua orang puteri, Norazatul Hafiza Mohd. Amin dan Noraini Azlin Mohd. Amin. Sayangnya, jodoh Norimah tidak panjang.
Kegagalan dalam rumah tangga tidak pernah mematahkan semangat wanita yang berasal dari Negeri Sembilan ini.
“Saya sentiasa ingin berjaya dan mencapai kepuasan hidup dengan kebolehan yang ada.
“Tanpa mengenal erti putus asa, bermula pada tahun 1984, saya telah mempelajari seni urutan fisiologi daripada seorang guru di Temerloh, Pahang,” jelasnya.
Bercerita tentang perniagaan yang diceburinya, Norimah berkata, ketika berumur 22 tahun dia telah mendapat kepercayaan sebagai tenaga pelatih di Pusat Latihan Orang Buta, Brickfield, Kuala Lumpur.
“Sebagai wanita, saya terfikir untuk melakukan satu perubahan bagi menyara keluarga dan memastikan anak-anak saya berjaya. Dengan pengalaman yang ada, saya mengambil langkah awal membuka perniagaan di Plaza Warisan, Kuala Lumpur,” bicara anak sulung daripada sembilan adik-beradik ini.
Namun, kedai Norimah hanya mampu bertahan selama setahun di Plaza Warisan kerana kurang sambutan ekoran kegawatan ekonomi ketika itu.
Tetapi wanita ini tidak mudah mengalah. Norimah kemudian mengambil keputusan untuk membuka kedai di Tingkat 2, Medan Mara, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Kini setelah hampir 11 tahun, Norimah mampu berbangga dengan kemajuan perniagaannya yang bukan sahaja membantu masyarakat mengenal punca penyakit tetapi memberi peluang kepada pekerja lain yang rata-ratanya senasib dengan diri Norimah.
Ditanya tentang resipi kejayaannya melentur anak-anak, Norimah memberitahu, dia tidak pernah mengabaikan anak-anak walaupun dia terlalu sibuk dengan kerja.
“Anak-anak saya tinggal di asrama ketika bersekolah dan saya akan membawa mereka ke kedai semasa cuti sekolah.
“Kini anak bongsu saya sedang mengambil kursus urutan di Jepun dan yang sulung baru sahaja menghabiskan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Saya ingin mewariskan perniagaan saya kepada anak-anak supaya bidang ini nanti tidak akan lenyap begitu sahaja,” jelas Norimah yang pernah mengikuti kursus urutan di China dan India.
Wanita yang begitu teliti dalam memastikan anak-anaknya berjaya ini menyimpan cita-cita untuk memiliki sebuah pusat latihan sendiri dan ingin menjadi pengajar urutan refleksologi profesional.
Norimah menasihatkan golongan yang kurang upaya dan ibu tunggal supaya jangan menganggap diri keseorangan. Mereka sendiri perlu berusaha untuk mengubah nasib diri.
No comments:
Post a Comment