Monday, June 12, 2006

Robot berkaki ganti kerusi roda (Berita Harian 26 April 2006)


http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Dunia/20060426230644/Art...

TOKYO: Seorang penyelidik Jepun mempamerkan sepasang kaki robot di Tokyo semalam yang membolehkan pengguna menggunakan tangga malah dijadikan pengganti kepada kerusi roda.

"Kami mahu mencipta robot yang boleh melakukannya dan berjalan di permukaan kasar," kata profesor kejuruteraan di Universiti Waseda di Tokyo, Atsuo Takanishi.

Takanishi berusaha menghasilkan mesin itu sejak 2003 dengan kerjasama pengeluar robot, Tmsuk Co.

Matlamat mereka ialah untuk mencipta robot berkaki dua yang dapat beroperasi sepenuhnya dalam persekitaran manusia - terutamanya seperti tangga bagi membolehkannya memanjat.

Versi terbaru robot berkenaan, WL-16RIII, boleh mengatasi keadaan sukar secara mekanikal.

Dalam satu demonstrasi di Tokyo, seorang penuntut Takanishi menunggang robot - yang mempunyai beberapa persamaan dengan mesin 'Wrong Trousers' dalam filem Wallace and Gromit - naik turun tangga dan berjalan di sepanjang laluan dipenuhi kerikil di luar rumah.

WL-16RIII beroperasi menggunakan sepasang kayu bedik. Bagaimanapun, Takanishi juga berharap untuk membangunkan sebuah model lain yang boleh berfungsi lebih bebas tanpa peralatan itu bagi membolehkan ia dijadikan pengganti kerusi roda dan memberi peluang kepada warga tua atau orang kurang upaya yang sukar menggunakan tangan atau lengan untuk terus menggunakan robot.

Takanishi dan Tmsuk berharap dapat menyempurnakan model itu tahun depan atau tahun berikutnya boleh digunakan dalam bidang sukan seperti polo versi robot, kata jurucakap Tmsuk, Rie Sudo. Mereka berharap mesin lebih bersifat autonomi, versi pengganti kerusi roda dalam masa lima tahun, katanya.

Firma Tmsuk Co beribu pejabat di Kitakyushu, kira-kira 848 kilometer di
barat daya Tokyo. – AP

No comments: