MAJLIS PELANCARAN KOD AMALAN PENGGAJIAN ORANG KURANG UPAYA DI SEKTOR SWASTA, PUTRAJAYA
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia di atas penghormatan yang diberikan kepada saya untuk menyampaikan ucapan di majlis yang penuh bermakna ini dan seterusnya merasmikan Pelancaran Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta pada hari ini.
Saya juga merasa sungguh berbangga kerana pada hari ini telah lahir sebuah Kod Amalan yang kita nanti-nantikan yang merupakan satu usaha yang murni dan mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap golongan Orang Kurang Upaya. Ini selaras dengan aspirasi negara untuk memupuk satu masyarakat Malaysia yang penyayang. Tahniah dan syabas kepada Jabatan Buruh di atas kejayaan menyiapkan sebuah Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya di Sektor Swasta.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Golongan Orang Kurang Upaya adalah salah satu dari kumpulan sasar dalam program pembangunan sosial dan Kerajaan adalah amat komited untuk membantu mereka supaya dapat menjalani penghidupan normal sama seperti orang biasa, mendapat peluang yang sama dari segi ekonomi dan sosial dan bersama menikmati hasil dari pembangunan negara dan Kerajaan sentiasa mengambil berat menjaga dan membela nasib Orang Kurang Upaya. Kerajaan sedar bahawa Orang Kurang Upaya mempunyai hak dan hasrat yang sama seperti orang lain untuk bekerja menikmati hidup selesa, berdikari dan bersama menyumbang kepada pembangunan negara. Justeru itu bahawa usaha yang bersungguh oleh semua pihak amatlah perlu dirancang dan dijalankan bagi menjamin kesejahteraan hidup Orang Kurang Upaya tercapai.
Sejak 10 tahun dahulu jawatankuasa Kebangsaan Penggalakan Orang Kurang Upaya di sektor swasta telah ditubuhkan dan berikutan dari itu pelbagai usaha telah dijalankan untuk menempatkan Orang kurang Upaya di dalam sektor pekerjaan. Hasil daripada usaha ini seramai 4,360 Orang Kurang upaya telah ditempatkan di sektor swasta, Bilangan ini amat kecil jika dibandingkan dengan bilangan Orang Kurang Upaya yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat iaitu seramai 99,500 orang. Sementara itu adalah dianggarkan jumlah Orang Kurang Upaya dinegara ini adalah melebihi 220,000 orang iaitu berdasarkan kepada norma anggaran antarabangsa sekurang-kurangnya 1 % dari penduduk dunia terdiri dari Orang Kurang Upaya.
Saya pasti semua Orang-orang Kurang Upaya seboleh-bolehnya tidak mahu bergantung sahaja kepada bantuan dan belas ehsan dan menjadi beban kepada orang lain untuk penghidupan mereka. Mereka juga mahu bekerja, berdikari, dan bersama memainkan peranan dalam masyarakat yang kian maju. Bagi setiap insane, pekerjaan bukan sahaja satu hak asasi untuk berdikari dan hidup selesa, tetapi adalah juga maruah diri. Orang Kurang Upaya juga mahu dianggap sebagai rakyat yang berguna dan produktif. Saya percaya masih ramai lagi Orang Kurang Upaya yang mampu melaksanakan pelbagai jenis pekerjaan jika diberi peluang dan kesempatan. Sudah ternyata bahawa terdapat ramai pekerja Orang Kurang Upaya yang bukan sahaja setanding tetapi juga dapat menunjukkan pencapaian yang lebih tinggi dari pekerja-pekerja lain. Tidak dinafikan usaha untuk menempatkan Orang Kurang Upaya dalam pekerjaan sentiasa menghadapi rintangan, halangan dan sekatan-sekatan. Kita tidak sepatutnya merasa kecewa apabila menemui kegagalan dan seharusnya meneruskan usaha dan mencari pendekatan baru dan terus membantu mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Atas cadangan Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri Malaysia kepada Kementerian Sumber Manusia supaya meningkatkan lagi kesedaran masyarakat tentang kemampuan kejayaan Orang Kurang Upaya dalam bidang kerjaya di samping sebagai galakkan kepada Orang Kurang Upaya dan dorongan kepada majikan saya telah menyarankan kepada Jabatan Buruh supaya menyediakan sebuah Kod Amalan untuk Orang Kurang Upaya.
Hari ini kita akan dapat menyaksikan dengan jelas bahawa usaha-usaha kita telah membuahkan hasil yang sangat menggalakkan. Jabatan Buruh dengan bantuan beberapa pihak telah berjaya menyiapkan sebuah buku kod yang mempunyai objektif-objektif berikut :-
Pertama, sebagai garis panduan kepada agensi Kerajaan, majikan, pertubuhan majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan pertubuhan-pertubuhan Orang Kurang Upaya serta Orang Kurang Upaya sendiri, untuk pendaftaran dan penempatan Orang Kurang Upaya yang berkeupayaan bekerja di sektor swasta;
Kedua, meningkatkan kesedaran majikan di sektor swasta untuk segera memberi peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya; dan
Ketiga, memupuk semangat dan kesedaran supaya Orang Kurang Upaya menyiapkan diri dengan keupayaan, kelayakan dan kemahiran untuk bersaing di sektor pekerjaan agar dapat bersama menyumbang ke arah pembangunan negara.
Kod Amalan ini adalah digubal mengandungi prosedur lengkap tentang tatacara pendaftaran dan penempatan Orang Kurang Upaya secara lebih sistematik dan komprehensif. Pemakaian kod ini adalah meliputi semua golongan yang terlibat termasuklah agensi pelaksanaan, persatuan, majikan dan Orang Kurang Upaya sendiri. Semua pihak yang berkaitan mempunyai tanggungjawab yang jelas supaya memain peranan masing-masing di dalam meningkatkan penempatan Orang Kurang Upaya di sektor swasta. Jabatan Buruh adalah agensi utama yang akan meneraju dan menggerak agar penggunaan Kod Amalan ini dapat dijadikan bahan rujukan yang amat berguna dalam melaksanakan dan mengendalikan usaha meningkatkan penglibatan Orang Kurang Upaya dalam bidang pekerjaan.
Dalam konteks peranan dan skop Kod Amalan ini majikan adalah golongan yang amat penting untuk sama membantu mewujudkan peluang pekerjaan bagi Orang Kurang Upaya. Saya ingin mengesyorkan kepada setiap majikan di negara ini supaya mengikis prasangka dan pandangan negatif terhadap kebolehan dan kemampuan Orang Kurang Upaya dan membuka sebanyak mungkin peluang pekerjaan kepada mereka. Pengalaman menunjukkan bahawa jika diberi peluang serta latihan yang bersesuaian, Orang Kurang Upaya memang mampu melaksanakan sebarang tugas yang diberikan kepada mereka dengan cekap dan produktif.
Di samping itu pertubuhan Orang Kurang Upaya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang amat penting di bawah Kod Amalan ini untuk memdorong kejayaan program ini. Saya ingin menyeru kepada pertubuhan-pertubuhan Orang Kurang Upaya supaya bekerjasama di antara sama lain menuju ke arah satu dimensi berusaha untuk kebajikan masyarakat Malaysia dan sama-sama menjadi rakan kongsi dalam pembangunan di negara ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Salah satu lagi rintangan yang dihadapi oleh Orang Kurang Upaya dalam usaha mereka mendapatkan pekerjaan ialah tahap perbelajaran dan tahap kemahiran yang diperlukan. Orang Kurang Upaya perlu membuat persediaan untuk memasuki alam pekerjaan termasuklah aspek akademik dan kemahiran lain. Oleh itu institusi latihan pembelajaran, institusi latihan vokasional dan latihan kemahiran hendaklah menyediakan peluang yang sama dengan mengadakan kemudahan dan program yang sesuai untuk golongan ini berpeluang meningkatkan keupayaan mereka. Sejajar dengan usaha-usaha Kerajaan yang menjerus ke arah kemajuan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Orang Kurang Upaya perlu diberi pendedahan dan peluang yang lebih tinggi untuk meningkatkan kemahiran ICT di kalangan Orang Kurang Upaya. Trend kerjaya masa kini menjanjikan peluang yang lebih cerah kepada Orang Kurang Upaya kerana kemajuan teknologi telah memudahkan sesuatu kerja dilaksanakan. Pada masa ini peluang pekerjaan tidak lagi tertumpu kepada tenaga empat kerat tetapi lebih kepada pembangunan teknologi elektronik dan kepada ilmu dan kemahiran. Kerajaan sememangnya menggalakkan penubuhan lebih banyak industri berorientasikan automosi di sektor swasta. Oleh yang demikian, adalah digalakkan golongan Orang Kurang Upaya untuk lebih cenderung ke arah memperlengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan ICT untuk lebih berdaya saing di pasaran pekerjaan.
Tidak dinafikan bahawa di sektor swasta khususnya perlu mengambil kira kos dan keuntungan di dalam operasi yang dijalankan. Kerajaan telah memberi kemudahan perlepasan cukai bagi majikan yang menggaji Orang Kurang Upaya. Kementerian Sumber Manusia bersedia memberi penjelasan yang terperinci mengenai skim potongan cukai bagi menarik minat majikan menggaji Orang Kurang Upaya.
Dasar memperuntukan 1 % peluang pekerjaan di sektor awam seperti yang terkandung di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 10/1988 merupakan satu lagi usaha positif oleh Kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan bagi orang kurang upaya di negara ini. Berdasarkan kira-kira 800,000 pekerjaan yang wujud dalam Perkhidmatan Awam, dasar tersebut akan dapat menyediakan sekurang-kurangnya sebanyak 8,000 peluang pekerjaan kepada Orang Kurang Upaya. Semua agensi kerajaan telahpun diberi saranan supaya menimbangkan Orang Kurang Upaya bagi mengisi kekosongan di Agensi masing-masing.
Saya berharap selepas terlancarnya Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya Di Sektor Swasta, Jabatan Buruh bersama badan-badan dan agensi yang berkaitan akan meneruskan tindakan susulan dengan program yang lebih komprehensif agar matlamat untuk mengintregrasikan Orang Kurang Upaya ke dalam masyarakat dapat dicapai.
Akhir kata saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat di dalam menyediakan buku Kod Amalan dan menganjurkan majlis ini dengan jayanya dan dengan amat sukacita saya melancarkan Kod Amalan Penggajian Orang Kurang Upaya Di Sektor Swasta pada pagi ini.
Sekian, terima kasih.
No comments:
Post a Comment