Peserta cacat penglihatan sertai Tilawah Saudara Kita
LIMA peserta cacat penglihatan bakal bersaing dalam kategori golongan kurang upaya (OKU) pada Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita Kebangsaan 2006 pada 5 dan 6 Julai depan.
Penganjur memperkenalkan kategori baru itu berikutan kesungguhan saudara baru itu yang ingin mengambil bahagian dalam tilawah kali ini.
Majlis Tilawah al-Quran Saudara Kita (dulunya Saudara Baru) diperkenalkan September tahun lalu oleh Nusantara Gems Sdn Bhd.
Tilawah kali ini dianjurkan Nusantara Gems Sdn Bhd dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Allied Coordinating Committee of Islamic (ACCIN).
Pengarah Urusan Nusantara Gems, Datuk Raja Rezza Shah, berkata kesungguhan mereka bukan saja bakal memeriahkan majlis tilawah kali ini, malah dilihat sebagai cabaran hebat kepada golongan celik.
“Kesungguhan mereka membanggakan kita kerana berjaya menarik minat golongan cacat penglihatan untuk menyertai ujian tilawah kali ini. Jadi, kita putuskan untuk wujudkan kategori khas untuk OKU.
“Bukan senang bagi orang buta untuk belajar al-Quran tetapi mereka buktikan mereka juga boleh. Inilah keindahan kitab al-Quran kerana sesiapa saja boleh dan bertanggungjawab memartabatkan ayat suci Allah,” katanya.
Selain kategori OKU yang baru diperkenalkan, dua kategori dipertandingkan iaitu kategori terbuka dan kategori millenium untuk peserta yang memeluk Islam pada 2000 hingga kini.
Majlis itu dianjurkan khusus untuk memberi peluang saudara baru yang sudah pandai membaca al-Quran atau baru berjinak dengan ilmu al-Quran menunjukkan kebolehan menyampaikan bacaan dengan betul dan secara berlagu.
Turut diadakan kali ini adalah pertandingan azan untuk kanak-kanak dan saudara baru.
Shah Rezza berkata, sehingga kini 100 peserta sudah mendaftar untuk menyertai tilawah yang bakal diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 5 Julai depan.
Johan qari dan qariah kategori terbuka masing-masing akan menerima wang tunai RM10,000, tiket umrah, piala pusingan, persalinan dan hamper makanan tambahan.
Naib johan menerima wang tunai RM5,000, tiket umrah, persalinan dan hamper makanan tambahan. Tempat ketiga menerima wang tunai RM3,000, tiket umrah, persalinan dan hamper makanan tambahan.
Johan qari dan qariah kategori millenium pula masing-masing menerima wang tunai RM5,000, naib johan (RM3,000), tempat ketiga (RM1,000) berserta tiket umrah, persalinan dan hamper makanan tambahan.
Johan pertandingan azan bakal membawa pulang piala pusingan Tengku Hasanal, putera Tengku Mahkota Pahang dan wang tunai RM1,000, naib johan (RM500) dan tempat ketiga (RM300).
Bagi kategori OKU, johan akan menerima wang tunai RM1,000 dan setiap peserta menerima hadiah saguhati.
No comments:
Post a Comment