Wednesday, June 14, 2006

Keistimewaan mesti tumpu keperluan asas OKU (Berita Harian 10 Jun 2006)

KUALA LUMPUR: Taraf kehidupan Orang Kurang Upaya (OKU) di negara ini masih tidak banyak berubah walaupun pelbagai usaha dijalankan kerajaan untuk memastikan golongan terbabit tidak terus terpinggir.


Ini berikutan pelbagai keistimewaan seperti tambahan pembebasan cukai, pengecualian cukai jalan bagi kenderaan OKU buatan Malaysia dan diskaun tambang pengangkutan, hanya dinikmati sebahagian golongan itu.

Presiden Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam), Dr Tiun Ling Ta, berkata keistimewaan itu tidak dapat dikecapi berikutan majoriti OKU hidup dalam kemiskinan, tidak mempunyai pendapatan untuk membayar cukai, apatah lagi membeli kereta atau melancong.

“Pendekatan yang berasaskan akar umbi dengan mengambil kira keperluan asas OKU berdasarkan keperluan majoriti OKU itu sendiri harus diberi perhatian dan keutamaan.

“Pendekatan harus berasaskan hak dan bukannya berasaskan kebajikan supaya mereka dapat memainkan peranan lebih aktif dalam masyarakat,” katanya pada Seminar Kebangsaan Berkenaan Isu Semasa Yang Dihadapi OKU di Malaysia, yang dirasmikan Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datin Paduka
Chew Mei Fun, di sini, semalam.

Dr Tiun berkata, banyak hak OKU yang sepatutnya dinikmati golongan itu dinafikan dan ini boleh dianggap satu diskriminasi dan prejudis terhadap mereka.

Katanya, penafian hak itu antaranya gagal meneruskan persekolahan kerana tiada kemudahan disediakan, tidak dapat menggunakan perkhidmatan penerbangan tambang murah serta tidak dapat bergerak bebas berikutan kemudahan disediakan tidak mesra OKU.

“Situasi ini bertentangan dengan deklarasi antarabangsa yang menetapkan setiap negara harus menjamin penyertaan menyeluruh dan tanpa diskriminasi terhadap OKU,” katanya.

Sehubungan itu, katanya cadangan memperkasakan institut pengajian tinggi (IPT) dengan menyediakan kemudahan awam mesra pelajar OKU disambut baik, tetapi cadangan itu masih tidak menyeluruh kerana tidak membabitkan sekolah rendah dan menengah.

“Secara umum, sekolah di negara ini (kecuali sekolah pendidikan khas) tidak mempunyai kemudahan mesra OKU seperti bangunan yang bertingkat dan tiada tandas khas,” katanya.

Sementara itu, Chew berkata, kementerian sentiasa komited untuk mengubah nasib OKU di negara ini untuk memberikan pendidikan dan latihan bagi membolehkan mereka hidup berdikari.

“Antaranya, kita menyediakan latihan dalam pelbagai bidang seperti elektronik, pakaian, juruteknik, pembantu tadbir dan bidang teknologi maklumat supaya mereka menceburi bidang pekerjaan,” katanya.

No comments: