Malaysia Today: Kita dan mereka
Kita dan mereka
Oleh Hishamuddin Rais
Pada tahun ini saya telah pergi ke Brickfeilds pada malam menyambut hari jadi Siddhartha Gautama Buddha. Sebenarnya saya telah datang ke pesta ini hampir saban tahun. Ini kerana kuil terbesar Buddha dalam kota Kuala Lumpur ini terletak tidak begitu jauh dari tempat saya tinggal.
Pada tahun ini juga untuk pertama kalinya saya juga telah pergi ke Batu Caves pada hari Thaipusam. Kali pertama saya menaiki tangga ke Batu Caves pada tahun 1960, semasa saya dalam darjah empat. Ketika itu, saya datang ke Batu Caves bersama satu rombongan sekolah dari Jelebu. Melawat Kuala Lumpur dari daerah pendalaman adalah satu yang diidam-idamkan oleh murid sekolah. Batu Caves ketika itu adalah salah satu tempat yang wajib dilawati.
Batu Caves yang saya temui di Hari Thaipusam tahun ini amat jauh berubah dari apa yang pernah saya lihat dahulu. Ianya telah begitu jauh berubah dari apa yang ditulis oleh A. Samad Ahmad dalam Nakhoda Tenggang. Buku hikayat ini telah saya baca dalam tahun 60’an.
Di kedua-dua mukim suci ini ada satu perkara yang amat jelas saya lihat. Saya ternampak begitu banyak sekali orang-orang kurang upaya/cacat – lelaki/perempuan dewasa dan kanak-kanak. Mereka ini dari semua bangsa. Ada India, Cina dan Melayu. Mereka semuanya menempatkan diri mereka di tepi-tepi jalan laluan orang ramai. Dicelah-celah ribuan manusia yang ingin melakukan ibadat ini kelihatan badan-badan manusia kerdil kurang upaya/cacat cuba meraih simpati.
Ada pelbagai bentuk kecacatan yang saya lihat – di Batu Caves dan di kuil Brickfeilds. Ada yang menjalar, ada yang menelentang, ada yang merangkak, ada yang buta, ada yang kudung, ada yang tepok. Ada yang berkudis, ada yang kaki berbalut, malah berpelbagai bentuk insan cacat. Kesemua yang cacat ini datang mencari sedekah di hari kesucian agama ini.
Di sini saya bukan ingin menimbulkan kesalahan terhadap orang kurang upaya/cacat. Apa yang ingin saya timbulkan ialah sikap kita – orang yang tidak cacat – terhadap mereka. Saya menyedari ada orang yang akan merasa ngeri, takut, terperanjat atau mual – apabila berhadapan dengan orang cacat. Gangguan perasaan melihat insan cacat ini mungkin lebih hebat dari perasaan kita apabila kita melawat wad kecemasan di hospital kerajaan.
Ini berlaku kerana apabila kita berhadapan dengan orang cacat maka dengan serta-merta sifat kita sebagai manusia akan diuji. Jika kita melihat orang cacat maka kita dengan serta-merta akan menilai diri kita yang dianggap ‘tidak cacat’. Kita berhadapan dengan satu kenyataan bahawa badan manusia ini tidak semestinya penuh dengan kesempurnaan. Dalam sekelip mata kewujudan sifat kita sebagai insan akan dicabar.
Semua perasaan-perasaan ini dapat saya fahami kenapa ianya wujud. Tetapi ada satu perkara yang ingin saya timbulkan terutama kepada kita semua yang mengakui memiliki sifat yang sempurna. Saya ingin mencari/bertanya kenapa perasaan ini timbul. Rasa saya perasaan ini timbul kerana selama ini insan yang kita anggap cacat itu telah kita jauhkan dari pandangan kita. Kita hanya terserempak dengan mereka ketika hari-hari kesucian agama – Thaipusam atau Hari Vesak.
Sebenarnya dalam masyakat mana-mana pun orang-orang cacat wujud. Dalam masyarakat semaju Eropah atau masyarakat di Dunia Ketiga, insan cacat ini sentiasa wujud. Cuma yang berbeza, di Malaysia ini saya perhatikan orang-orang cacat ini amat terpinggir. Mereka terlalu jauh dari kehidupan harian kita. Kita merasakan bahawa hanya kita yang ‘sempurna’ sahaja yang memiliki dunia ini. Orang kurang upaya/cacat wajib diperam jauh dari pandangan kita. Sikap inilah yang menjadikan kita terperanjat apabila kita berhadapan dengan insan kurang upaya/cacat.
Kita – yang mengakui sebagai insan sempurna – langsung tidak ambil peduli tentang orang-orang cacat dan keperluan mereka untuk sama-sama merayakan hidup. Kota Kuala Lumpur saya anggap terlalu ganas terhadap orang kurang upaya/cacat. Malah, Putrajaya yang dikatakan kota terancang juga tidak mesra cacat. Tidak wujud jalan-jalan khusus atau lorong-lorong untuk pengguna kerusi roda. Tidak wujud jalan-jalan khusus untuk orang buta. Tangga dan jalan yang diselirati dengan simen tembok walau pun rendah akan menjadi musuh kepada insan kurang upaya/cacat.
Gedung-gedung membeli-belah yang berdiri angkuh dalam kota kita, langsung tidak memberi perhatian kepada manusia cacat. Seolah-olah orang cacat ini adalah sampah yang akan mengotorkan gedung perniagaan. Mereka perlu dijauhkan. Justeru, gedung ini dibuat tanpa memberi ruang untuk orang kurang upaya/cacat.
Saya pernah bekerja selama 7 tahun sebagai pelayan restoran dalam kota London. Adalah menjadi satu kebiasaan untuk saya menerima pelanggan yang datang dengan kereta sorong. Ada yang datang ditolak oleh kawan, penjaga atau kekasih. Ada yang datang bersendirian dengan kereta sorong roda berinjin. Restoran kami akan menyedia meja khas untuk pelanggan kurang upaya/cacat. Pelanggan buta yang datang makan ke restoran kami adalah perkara biasa. Sebagai pelayan, saya hanya perlu menerangkan setiap jenis masakan sebelum si buta memesan.
Malah, di hujung minggu di pusat kota London, saya sering ternampak kumpulan-kumpulan orang kurang upaya/cacat - tua dan muda - berbaris dipimpin oleh seorang ketua untuk menaiki keretapi bawah tanah atau bas. Walaupun mereka cacat tetapi mereka juga dianggap sebagai anggota masyarakat. Mereka melawat pameran lukisan, melawat muzium, berlegar di kedai buku, duduk bersantai di kafe atau pergi menonton teater atau wayang. Kecacatan tidak menghalang mereka dari merayakan kehidupan.
Orang-orang cacat tidak semestinya tidak memiliki perasaan, tanpa cita-cita atau tanpa keberahian seksual. Mereka juga sama seperti kita. Tidak ada perbezaan yang hakiki di antara mereka yang cacat dengan orang yang menganggap diri mereka tidak cacat. Kekuatan fikrah kita adalah sama walaupun kekuatan fizikal mereka mungkin kurang. Biasanya dalam masyakat kita di Malaysia ini orang-orang yang tidak cacat memiliki sedikit sikap keangkuhan yang ‘patronising’. Kita tidak mahu mendirikan lantai budaya yang sama rata di antara yang cacat dengan yang tidak cacat. Lihat sahajalah kawasan Brickfields. Kawasan ini dari awal lagi telah dijadikan ‘port’ untuk orang-orang yang kurang penglihatan dan pendengaran. Wilayah ini adalah zon orang-orang buta/pekak/bisu - tempat mereka belajar, bertemu, bersiar-siar, tempat mereka membuka perniagaan rumah urut dan di sini juga berpusatnya persatuan mereka.
Tetapi bayangkan adakah kita telah menjadikan daerah ini satu wilayah yang mesra cacat? Jalan-jalan di sini, untuk orang-orang buta dan kurang upaya mungkin lebih bahaya dari jalan raya ke lapangan terbang Baghdad. Setiap masa ada sahaja ‘musuh’ yang melintas dengan laju. Saya tidak pernah ternampak seorang pemandu kereta di Brickfeilds yang akan memberikan laluan kepada orang buta untuk melintas jalan. Pemandu kereta cukup angkuh dan mungkin si pemandu menganggap orang-orang cacat ini hanya menyusahkan lalu lintas mereka.
Pada hemat saya, untuk permulaan kawasan Brickfeilds wajib diwujudkan sebagai satu wilayah mesra cacat. Kawasan ini perlu dilengkapkan dengan segala kemudahan untuk keselesaan orang-orang cacat. Jadikan wilayah ini satu kawasan percubaan awal untuk kita sama-sama melihat dan memahami apa/bagaimana seharusnya kita lakukan perkara-perkara terbaik untuk orang-orang cacat.
Selain dari menyediakan keselesaan untuk mereka merayakan hidup, kita juga wajib sedar mereka adalah warga yang memiliki hak untuk disediakan ruang. Ruang-ruang dan kemudahan sebaik mungkin untuk melonjak potensi fikrah dan kehidupan mereka seluas mungkin. Mereka juga memiliki potensi untuk memberikan sumbangan fikrah dan daya kreatif.
Saya rasa adalah satu tamparan kepada kita semua apabila orang kurang upaya/cacat datang meminta-minta sedekah di Hari Thaipusam atau di Hari Vesak setahun sekali. Ini adalah gambaran bahawa masyarakat kita sama ada Hindu, Buddha, Islam atau Kristian masih belum memahami kitab-kitab suci yang kita miliki. Untuk saya, jalan ke syurga dan Firdausi bukan di hadapan Batu Caves, di pintu kuil, di Mekah atau ke Baitulmaqdis. Jalan dan lorong ke syurga ada di hadapan mata kita. Hanya kita yang buta dan gagal melihatnya.

No comments:
Post a Comment