Monday, June 05, 2006

OKU-Peristiwa di KTMB, Johor Baharu


OKU-Peristiwa di KTMB, Johor Baharu

Tujuan aku menulis artikel sebegini adalah sekadar berkongsi pengalaman suka dan duka sebagai orang kurang upaya(OKU) kepada masyarakat, semoga ia menjadi pengajaran berguna kepada kita semua. Sebelum ini aku banyak menulis artikel mengenai agama, isu semasa dan politik. Rasanya sudah genap setahun aku menjadi penulis setia di internet terutamanya yahoogroups harakahdaily, PAS Selangor, PAS Wilayah dan hidayahnet iaitu bermula Ramadhan/oktober 2004. Terima kasih kepada moderator yang menyiarkan tulisanku.

Berbagai email aku terima meminta nasihat, pandangan malah meminta aku menulis artikel sebagai hujah dalam masalah wahabi dan sebagainya, dari pengirimMalaysia hinggalah Indonesia. Ada yang memanggilku Ustaz, terdetik dihatiku, jika mereka tahu aku hanyalah seorang hamba yang lemah. Pak Ngah adalah OKU, seorang insan yang selalu dilabel warga kelas kedua. Perkara ini tentu tidak akan berlaku.

Masih segar dalam ingatanku suatu peristiwa di Keretapi Tanah Melayu Berhad, Johor Bharu(KTMB JB). Peristiwa itu berlaku dalam bulan April 1994. Mungkin ini merupakan satu kisah dukaku. Ketika itu aku baru sahaja habis final exam bagi semester terakhirku di UTM, aku juga telah berjaya menyiapkan projek tahun akhirku di dalam bidang Statistik atau sesetengah pelajar mengatakan tesis.

Semua kerja telah beres, 2 atau 3 hari lagi aku akan pulang, sebagai pengguna setia kerusi roda dan sebuah motorsikal yang diubahsuai khas untuk orang-orang cacat. Aku perlulah menghantar dahulu motorsikalku balik ke rumahku di Kuala Lumpur. Aku telah meminta tolong pada dua orang sahabatku yang ku panggil Shamsul dan Lebai untuk menemani aku dari Skudai ke Johor Baharu(JB) yang jaraknya kira-kira 14 km. Bagi OKU sepertiku itu adalah perjalanan yang jauh dengan kesibukan kenderaan yang melalui jalanraya menuju ke JB.

Aku menunggang motorsikalku yang besar terpampang ‘AWAS PEMANDU CACAT’ sendirian dan 2 orang sahabatku dengan sebuah motorsikal lain. Sesampai di KTMB, JB kawanku pergi ke kaunter penghantaran barang bertujuan untuk mengepos motorsikal roda tigaku.

Pegawai KTMB tidak mahu membawa motorsikalku dengan berbagai alasan, puas kami merayu tetapi tidak dilayan. Kena marah adalah dengan jelingan yang sungguh tajam dari pegawai-pegawai KTMB. Mentang-mentanglah kami hanya student, ikan bilislah katakana. Aku sebenarnya sudah letih memandu ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaanku, terasa hina betul diri ini, maklumlah warga kelas kedua. Hanya kesabaran yang tinggi sebagai pengubat duka bagiku.

Kemudian, aku terpaksa menyewa teksi. Motorsikal roda tigaku dipandu oleh Shamsul sementara Lebai memandu motorsikal yang satu lagi. Kami terus bertanya ke kedai di sekitar JB jika ada syarikat pengangkutan yang boleh membawa motorsikal roda tigaku ke KL. Mereka kata di Tampoi ada.

Kami pun berpatah balik ke Tampoi, Akhirnya dapat juga aku mengepos motorsikalku dengan syarikat penghantar berlori. Aku dikenakan caj RM200, suatu nilai yang besar untuk pelajar ketika itu. Jika melalui KTMB sekitar RM70-RM80 sahaja. Bila balik di kampus UTM, caj teksi pula.

Itulah sikap masyarakat kita! , padahal masa aku pos motorsikal dari KL ke JB setahun yang lepas boleh aje. Walaupun ayahku kena sindir pada mulanya, pakcik nak berniaga tak payahlah guna khidmat KTMB. Ayahku menerangkan ini motorsikal orang cacat bukan untuk berniaga. Mungkin kerana malu agaknya maka motorsikal roda tigaku yang ada side car bertujuan membawa kerusi rodaku selamat di bawa KTMB ke JB.

Inilah sebenarnya sikap masyarakat kita! Padaku slogan masyarakat penyayang adalah hipokrik semata-mata. Di dalam iklan PETRONAS ada iklan kononya ada skim bantuan untuk orang cacat. Bagiku itu juga semata-mata retorik. Aku pernah minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dulu masa di UTM, ditolak sebab tak layak. Kamu ada komputer alasanya, tanpa komputer macam mana aku nak menyiapkan tesis tahun akhirku.

Insyallah, aku akan kembali lagi dengan kisah suka dukaku bertujuan untuk masyarakat menyelami kehidupan OKU. Memang ada tulisan tentang OKU di akhbar-akhbar tapi itu tidaklah mengambarkan keadaan sebenarnya. Hanya mereka yang mengalami yang tahu apa ertinya menjadi OKU. Dalam media bila OKU dapat jemputan ke majlis, terima bantuan sedikit sudah digambarkan terlalu gembira.

Adakah setakat program berkala, kadang-kadang bila hendak tiba Aidilfitri sudah cukup mencapai sasaran, MASYARAKAT PENYAYANG? Adakah ini sudah memadai?

Wallahu a’lam.

No comments: