Mail dikurung demi keselamatan
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
|
KETIKA melangkah masuk ke rumah pangsa tiga bilik di Flat Taman Putra Damai, Kelana Jaya, Selangor, hati saya terkejut melihat pintu bilik bersebelahan dengan bilik tidur utama telah digantikan dengan pagar yang diperbuat daripada dawai besi.
Tanpa perlu bertanya kepada tuan rumah, saya mendapat jawapannya. Pintu pagar itu dijadikan seperti ‘pagar keselamatan’ untuk mengelakkan ahli rumah dan tetamu diganggu oleh penghuni bilik tersebut.
Tuan rumah, Siti Ainon Husin, 55, memberitahu pintu kayu di bilik tidur itu telah digantikan dengan pagar kayu berdawai besi untuk mengelakkan anaknya, Mohd. Azman Shahbudin, 39, keluar dari rumah.
Mengapa Mohd. Azman dikurung seperti itu? Jika difikir mungkin disangka ibunya bersikap kejam, namun jauh di sudut hati si ibu, tiada langsung dia terniat untuk melakukannya. Namun, dek kecacatan mental yang dialami Mohd. Azman, tindakan itu terpaksa dibuat.
Mohd. Azman dilahirkan dengan kecacatan pada bahagian otaknya. Dia tidak mampu mengawal tingkah laku serta pergerakannya.
Jika dilepaskan, kata ibunya, dikhuatiri dia akan merayau dan mengganggu orang lain.
“Mak cik terpaksa ‘mengurung’ Mail (panggilan Mohd. Azman di rumah) begini, kalau terlepas susah nanti,” ujarnya sayu dalam pertemuan di kediamannya baru-baru ini.
Siti Ainon berkata, Mohd. Azman sebenarnya merupakan anak tirinya. Pun begitu dia tidak pernah mengabaikan perhatian terhadap Mohd. Azman yang dianggap seperti anak kandungnya yang lain.
“Mak cik membesarkan dia (Mohd. Azman) sejak dia berumur empat tahun selepas pak cik (merujuk kepada suami, Shahbudin Abdul Wahab) mengahwini mak cik.
“Ibu kandung Mail telah meninggal dunia, sebab itu mak cik mengambil tanggung jawab untuk memelihara Mail,” ujarnya dalam nada sebak.
Walaupun keadaan Mohd. Azman begitu, Siti Ainon tidak pernah mengeluh atau mengalami kesukaran untuk memeliharanya. Malah, menurutnya, kerja-kerja tersebut dilakukan dengan penuh ikhlas dan kesabaran tanpa rasa bebanan.
“Kebelakangan ini mak cik dan pak cik sering saja sakit-sakit. Kudrat kami tidak berdaya lagi untuk mengambil tugas menguruskan Mail yang semakin kuat tenaganya,” katanya dalam nada sedih.
Walaupun kadangkala tugas menguruskan diri Mohd. Azman dipikul adik-adiknya yang lain, namun mereka tidak dapat melakukannya pada setiap masa kerana masing-masing mempunyai kerja dan tanggungjawab sendiri.
“Kami kini meneruskan hidup dengan wang yang diberi oleh anak-anak. Syukurlah Mail tidak bergantung kepada sebarang ubat,” katanya.
Sepanjang perbualan, saya sempat memerhatikan tingkah laku Mohd. Azman. Sikapnya tidak ubah seperti kanak-kanak kecil. Pada tangannya sentiasa tergenggam penyangkut baju yang menjadi barangan permainannya.
Air liur pula tidak henti-henti keluar dari mulutnya. Kadangkala dia bersuara namun butiran percakapannya tidak dapat difahami oleh sesiapa.
“Mohd. Azman tidak boleh bercakap, namun dia boleh memahami apa yang kita bualkan,” tambah ibunya.
Siti Ainon dan suaminya bersyukur kerana setakat ini Mohd. Azman belum pernah diserang penyakit kronik. Dia cuma setakat demam biasa.
“Kami berharap sebelum mata kami terpejam biarlah Mail boleh menguruskan dirinya sendiri,’’ ujar Siti Ainon mengakhiri bicara.
Kepada pembaca yang ingin memberi bantuan kepada Mohd. Azman, anda boleh berkunjung ke rumahnya yang beralamat di 226, Blok A, Flat Taman Putra Damai, Jalan PJU 1A/42, Kelana Jaya, Selangor atau menghubungi keluarganya di talian 017-6192973.
No comments:
Post a Comment