Monday, June 19, 2006

PBT mesti sedia kemudahan untuk orang kurang upaya

Berita Harian, 16 jun 2003

ARKITEK dan pemilik bangunan perlu memberi perhatian serius terhadap kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) dalam setiap pelan rekaan bangunan pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pernah berkata bahawa perkara itu tidak perlu diwajibkan sebaliknya lahir daripada rasa prihatin terhadap kekurangan golongan berkenaan yang perlu diberi kemudahan sewajarnya.

"Kita minta mereka sediakan kemudahan untuk golongan ini sebagai satu kebiasaan, bukannya atas permintaan khas tapi lahir daripada rasa prihatin. Kita tidak boleh bersikap diskriminasi terhadap golongan ini kerana mereka juga berhak mendapat perkhidmatan dan kemudahan terbaik. Saya tidak anggap tambahan kepada kemudahan ini sebagai besar atau memerlukan perbelanjaan yang banyak." katanya.

Di samping itu Abdullah meminta seluruh masyarakat supaya tidak menganggap golongan OKU sebagai bebanan sebaliknya berusaha memastikan mereka diberi peluang latihan dan kemahiran untuk golongan itu berdikari.

Luahan Abdullah pastinya lahir daripada sikap keprihatinannya terhadap warga OKU yang mahu setiap lapisan masyarakat peka dengan kehendak dan keperluan golongan berkenaan dalam menyediakan kemudahan asas. Perkara itu turut didedahkan Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat yang mendapati sesetengah pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak peduli kemudahan asas yang sepatutnya disediakan untuk OKU.

Menterinya, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman, berkata kegagalan PBT menyediakan kemudahan infrastruktur, khususnya laluan pejalan kaki dan laluan memasuki bangunan menyukarkan golongan itu menjalankan kegiatan harian.

"Sesebuah bandar di bawah pentadbiran PBT perlu mengambil kira segala aspek komuniti setempat, termasuk kebajikan OKU dalam memastikan golongan itu turut mendapat tempat yang sama taraf dalam kelompok masyarakat sekeliling.


"Sebagai contoh, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur {DBKL) ) lebih menonjol dalam memberikan kemudahan untuk OKU yang tidak hanya kepada laluan pejalan kaki, sebaliknya kemudahan lain di bangunan komersial.
"Malah, kementerian turut memastikan setiap bangunan baru yang akan dibina mempunyai kemudahan untuk OKU dan sekiranya kemudahan asas itu tidak dipatuhi, sijil layak menduduki (CF) tidak akan dikeluarkan.


"Sudah tiba masanya PBT di kawasan lain memberi perhatian dengan menyediakan kemudahan dan kebajikan kepada OKU termasuk kemudahan lain seperti diskaun untuk perkhidmatan pengangkutan," katanya.
Presiden Persatuan Orang Buta Malaysia, Profesor Datuk Dr Ismail Md Salleh, berkata, setakat iniDBKL menampakkan tindak balas mereka terhadap OKU.


Antara tindakan yang dilaksanakan oleh DBKL ialah menyediakan papan tanda yang mesra OKU, sistem lantai khusus untuk orang buta dan tidak membenarkan sebarang kegiatan gerai di kaki lima.


"Hasil kerjasama antara pihak persatuan dengan DBKL membolehkan OKU turut selesa dan dapat menjalani kehidupan seharian sama seperti masyarakat normal," katanya, baru-baru ini.


Mengikut definisi yang diterima pakai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Orang Kurang Upaya bermakna seseorang yang tidak berupaya menentukan sendiri bagi memperoleh sepenuhnya atau sebahagiannya daripada keperluan biasa seseorang individu dan atau tidak dapat hidup bermasyarakat sepenuhnya disebabkan suatu kekurangan sama ada dari segi fizikal atau mental dan sama ada ia berlaku sejak lahir atau kemudian daripada itu.


Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula mengkategorikan OKU kepada empat kategori utama iaitu orang kurang upaya anggota termasuk polio, lumpuh dan spastik; orang kurang upaya penglihatan termasuk penglihatan terhad (low vision) orang kurang upaya pendengaran termasuk masalah pertuturan dan orang kurang upaya akal termasuk sindrom down serta autisme.


Dianggarkan jumlah OKU berdaftar dengan JKM adalah lebih 90,000 orang dan tidak berdaftar dianggarkan lebih 180,000 orang seluruh negara.


Tinjauan Berita Harian di sekitar Lembah Klang mendapati kemudahan untuk OKU semakih banyak dan mesra pengguna seperti di kawasan pusat belih-belah tempat letak kereta, lif, stesen dan perkhidmatan kereta api transit ringan (LRT) .


Apa yang menyedihkan ialah sikap kurang peka dan penting diri masih wujud di kalangan orang ramai. Contoh paling jelas ialah tempat letak kereta untuk kemudahan OKU digunakan sesuka hati oleh pengguna normal. Mereka turut disapa oleh wakil Berita Harian yang bertanyakan mengapa meletakkan kenderaan mereka di tempat yang tidak sepatutnya.


Hanya kerana malas untuk mencari, hendak cepat dan tiada masa serta sikap atau minda masih tertutup adalah jawapan yang boleh dirumuskan terhadap orang ramai yang menggunakan kemudahan untuk OKU.


Persoalan sekarang ialah ada masyarakat masih cetek pemikiran atau buat tidak tahu sedangkan jelas terpampang logo OKU diletakkan di tempat yang sudah disediakan oleh pihak berkaitan.


Adakah tidak memadai kemudahan asas yang disediakan untuk masyarakat normal sehingga mereka sanggup berebut kemudahan asas khusus untuk OKU.

No comments: