Monday, June 12, 2006

Pusat Pertuturan Kiu latih kanak-kanak pekak kuasai ilmu( Utusan Malaysia 17 mei 2006)

Oleh: ZUARIDA MOHYIN

KEKURANGAN diri bukanlah penghalang kepada Muhammad Anas Zulkhairi (kiri) untuk menguasai Muqaddam.

UMUM beranggapan seseorang yang cacat pendengaran atau pekak akan turut kehilangan keupayaan untuk bercakap apalagi menguasai kemahiran menulis. Malah sangkaan sedemikian jugalah diyakini oleh penulis semenjak dahulu lagi terhadap mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) atau insan istimewa ini.

Namun satu tugasan berkaitan Persatuan Kebangsaan Pekak Malaysia (PKPM) baru-baru ini menyedarkan bukan sahaja penulis malah para hadirin pada majlis itu bahawa insan istimewa ini juga berupaya untuk bercakap, membaca, menulis dan mengira.

Ini terbukti apabila sekumpulan kanak-kanak dari Pusat Pertuturan Kiu berjaya mendendangkan beberapa buah lagu, mendeklamasikan sajak dengan sempurna sebutannya sama ada dalam bahasa Malaysia mahupun bahasa Inggeris. Tambah menyentuh hati adalah apabila melihat kanak-kanak ini boleh membaca Muqaddam dan ada di antara mereka telah khatam al-Quran.

Tanpa melengahkan masa, penulis terus mendapatkan Guru Besarnya, Roslina Ahmad dan berharap beliau sudi berkongsi kejayaan Pusat Pertuturan Kiu. Alhamdulillah, permintaan itu umpama pucuk dicita ulam mendatang buat kedua-dua belah pihak.

Pada hari yang dijanjikan, penulis ditemani jurugambar Nazeri Abu Bakar berkunjung ke pusat tersebut yang terletak di kawasan Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia (MKKM) iaitu di alamat 25A, Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Ia terletak di belakang Sekolah Menengah Datuk Lokman, Kampung Pandan.

Menurut Roslina, Pusat Pertuturan Kiu sebelum ini bermula sekadar sebagai pusat tuisyen yang mengajar kaedah yang dikenali Pertuturan Kiu pada 1989. Namun, lama-kelamaan kaedah baru ini semakin mendapat sambutan kerana perubahan serta pencapaian kanak-kanak cacat pendengaran yang dapat dilihat dalam tempoh yang begitu singkat.

"Menerusi Pertuturan Kiu, kanak-kanak seawal usia lima tahun boleh mempelajarinya. Dalam tempoh tiga bulan pertama, mereka ini mampu menyebut perkataan-perkataan mudah atau suku kata terbuka seperti batu, saya, makan, tomato dan banyak lagi.

"Menerusi kaedah Pertuturan Kiu Bahasa Malaysia (PKBM), setiap suku kata yang diucapkan dapat dilihat dan didengar pada masa yang sama. Sungguhpun dengan penggunaan alat bantuan pendengaran membantu antara lima hingga 10 peratus proses pendengaran, namun kanak-kanak ini diwajibkan menggunakannya sebelum bergelar warga Pusat Pertuturan Kiu.

"Kanak-kanak pada peringkat tadika di sini akan dilatih mengeluarkan suara. Begitu juga di peringkat sekolah rendah. Apa yang dipelajari di pusat ini sama seperti silibus sekolah rendah kerajaan. Bagi menyambung pelajaran sekolah menengah pula, ia terpulang kepada ibu bapa berdasarkan kemampuan anak-anak mereka.

"Alhamdulillah, kebanyakan bekas-bekas pelajar sekolah ini tidak menghadapi masalah apabila meneruskan persekolahan di sekolah biasa. Ini kerana menerusi kaedah ini, lambat laun kanak-kanak ini boleh membaca pergerakan bibir sekali gus membuktikan mereka boleh berdikari pada kemudian hari," terangnya sambil menasihatkan agar ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang cacat pendengaran supaya tidak lagi malu dan menyisihkan anak-anak mereka daripada berhadapan dengan realiti kehidupan.

Apatah lagi, tegas Roslina, peringkat awal pertumbuhan otak kanak-kanak adalah tahap yang paling sesuai untuk menguasai bahasa pertama dengan mudah dan bersahaja.

Malah Pusat Pertuturan Kiu juga menyediakan pengajaran secara percuma PKBM kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang cacat pendengaran. Kemahiran ini, kata Roslina, boleh dikuasai dalam tempoh singkat iaitu tiga atau empat hari sahaja.

Secara tidak langsung, ketika di rumah ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain dapat meneruskan komunikasi antara mereka dengan kanak-kanak cacat pendengaran ini. Yang pasti, tidak ada had sempadan masa dan usia dalam kaedah Pertuturan Kiu.

Tambahan pula, kanak-kanak pekak ini mempunyai hak untuk belajar bercakap dan menulis bahasa ibunda. Hakikatnya, jangan salahkan mereka tetapi salahkan diri kita sendiri kerana menyembunyikan kebenaran dan harapan. Inilah fenomena yang berlaku kepada kanak-kanak cacat pendengaran di Malaysia sedangkan mereka juga mampu berjaya dan insya-Allah berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan insan normal lain.

Menyingkap sejarah sebelum diperkenalkan kaedah Pertuturan Kiu, Roslina memberitahu, mereka yang cacat pendengaran di Malaysia menggunakan Bahasa Malaysia Kod Tangan (BMKT) di sekolah-sekolah bantuan kerajaan.

"Dalam kaedah ini, satu kod atau satu isyarat melambangkan sesuatu objek. Ini menyebabkan mereka ini tidak dapat membezakan, contohnya bunga, flower dan lebih membimbangkan mereka juga tidak tahu membaca kerana selama ini mereka sekadar menghafal.

"Selain itu, sehingga kini diakui bahawa kod tangan telah sampai ke peringkat tidak cukup isyarat. Jumlah yang diperakui sebagai BMKT yang ada sekarang hanya sesuai untuk tahap lapan tahun. Ini menyebabkan banyak lagi aspek bahasa yang tidak diliputi seperti dari segi teknikal dan sebagainya.

"Lebih merisaukan, kod yang diguna pakai sekarang ada yang mengalami tokok-tambah secara sewenang-wenangnya, menyebabkan kod-kod tangan ini berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri lain," katanya. Kekurangan ini juga telah menyebabkan gejala lebih serius timbul iaitu apabila kod tangan dicipta mengikut pemahaman kelompok mereka sendiri yang kebiasaannya membawa maksud yang negatif.

Menjelaskan serba ringkas tentang kelebihan kaedah Pertuturan Kiu, Roslina berkata, lapan bentuk tangan mewakili konsonan manakala terdapat tiga posisi untuk bunyi-bunyi vokal. Apabila kemahiran ini dapat dikuasai, secara tidak langsung kanak-kanak cacat pendengaran boleh diajar bertutur dan menguasai bahasa.

Pusat Pertuturan Kiu diletakkan di bawah PKPM, sebuah badan bukan kerajaan yang bertanggungjawab untuk memperbaiki kualiti kehidupan masyarakat pekak di negara ini. PKPM didaftarkan pada 1961.

"Pertuturan Kiu pada asalnya dicipta oleh Dr. R. Orin Cornett dari Universiti Gallaudet, Wasington, Amerika Syarikat pada 1967 yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak pekak di negara itu untuk membaca gerakan bibir dalam bahasa Inggeris setepat yang mampu mereka dengar.

"Sayangnya, atas beberapa sebab tertentu pada bahasa Inggeris, kaedah ini tidak begitu berjaya di Amerika dan negara-negara yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka.

"Lantaran itu, pada 1988 Timbalan Presiden PKPM, Tan Chin Guan telah mengambil inisiatif ke Amerika Syarikat bertemu dengan Dr. Orin dengan hasrat menjalankan projek penyelidikan pengubahsuaian melihat sama ada kaedah ini sesuai ditukarkan kepada bahasa Malaysia.

"Alhamdulillah kunjungan itu berbuahkan sinar baru kepada masa depan orang cacat pendengaran di negara ini. Ini kerana, menurut Dr. Orin, bahasa Malaysia lebih mudah sebab bunyi yang terhasil daripada huruf vokal 'a' adalah konsisten. Terbukti pelajar yang menggunakan kaedah ini mampu bertutur, membaca, menulis malah mengira setanding kanak-kanak seusia mereka yang normal.

"Tambah menggembirakan orang pekak yang beragama Islam juga boleh diajarkan berdoa, azan serta ayat-ayat di dalam sembahyang malah membaca al-Quran," kata Roslina. Menurutnya, penantian menjadikan Pusat Pertuturan Kiu berdaftar atas sekolah swasta akhirnya kesampaian apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan penubuhannya pada 2002.

Pusat Pertuturan Kiu beroperasi dari pukul 8.30 hingga 11.30 pagi bagi peringkat tadika manakala bagi sekolah rendah bermula dari 7.30 pagi hingga 1.00 petang. Setengah jam selepas waktu sekolah diperuntukkan untuk kelas Iqra.

Kata Roslina lagi, keunggulan pusat ini tidak ke mana tanpa komitmen jitu daripada 13 gurunya dalam mengendalikan 68 murid merangkumi sekolah rendah dan tadika.

Pusat ini sungguhpun nampak terhad kawasannya namun ia mempunyai kemudahan seperti empat kelas tadika, lima kelas sekolah rendah, bilik pejabat sekolah, bilik PKPM, surau, bengkel kemahiran hidup, bilik pertuturan, perpustakaan, kantin dan padang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi pusat ini di talian 03-9287 0739.

No comments: