Showing posts with label sindrom tulang lembut. Show all posts
Showing posts with label sindrom tulang lembut. Show all posts

Thursday, January 11, 2007

Pemuda bantu pelajar istimewa

Berita Harian, 11 Januari 2007


PASIR MAS: Pelajar hidap penyakit tulang reput yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2006, Ahmad Fajrul Adha Mohamed Kamil, dijadikan anak angkat Pergerakan Pemuda Umno mulai semalam.

Ahmad Fajrul Adha, 13, yang kini belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bunut Susu dipilih sebagai anak angkat pertama Pemuda Umno oleh Ketuanya, Datuk Hishammuddin Hussein, yang juga Menteri Pelajaran.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Harrison Hassan, berkata pihaknya mengadakan lawatan khusus ke SMK Bunut Susu bagi meninjau keadaan Ahmad Fajrul Adha yang kini memasuki Tingkatan Satu untuk memastikan dia dapat belajar dengan sempurna.

Katanya, Pemuda Umno akan berbincang dengan Jabatan Pelajaran Negeri untuk menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk infrastruktur di sekolah bagi memudahkan pergerakan Ahmad Fajrul Adha.

"Ahmad Fajrul Adha sudah memiliki kerusi roda elektrik sumbangan kerajaan negeri baru-baru ini. Biro Pendidikan Pemuda Umno akan menyalurkan bantuan lain setiap tahun sepanjang Ahmad Fajrul belajar di sini.

"Kami akan menyediakan kerusi dan meja khas untuk Ahmad Fajrul Adha supaya dia dapat belajar dengan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyerahkan peralatan sekolah termasuk buku kepada Ahmad Fajrul yang ditemani ibunya Norma Yusof, 39, dan Pengetuanya, Nik Hasnah Nik Li, di SMK Bunut Susu, di sini, semalam.

Rombongan turut disertai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas Tumpat, Che Hussin Che Soh dan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kelantan, Dali Hussin.

Sebelum itu, rombongan Pemuda Umno melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru, Tumpat yang ditenggelami banjir sejak dua hari lalu.

Harrison berkata, Pemuda Umno akan menyalurkan elaun khas secara bulanan kepada Ahmad Fajrul Adha dalam tempoh terdekat ini.

"Saya difahamkan, keluarganya ada memohon untuk mendapatkan elaun itu sejak Ahmad Fajrul Adha bersekolah di Darjah Lima tetapi belum diluluskan lagi. Sebagai tambahan, kami akan menyalurkan bantuan menerusi Bantuan Kebajikan Pelajar (BKP) dengan kerjasama JPN Kelantan,” katanya.

Saturday, January 06, 2007

Kerajaan Negeri Sumbang Kerusi Roda Elektronik kepada Pelajar Cemerlang UPSR

Kelatedaily, 4 Januari 2007


Berita Kelate

TUMPAT, 3 Jan: Kerajaan Negeri memenuhi Impian murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kelantan 2006, Ahmad Fajrul Adha Mohamed Kamil, yang menghidap penyakit reput tulang, untuk memiliki kerusi roda elektronik sejak enam tahun lalu, termakbul semalam.

Ahmad Fajrul Adha, 12, yang mengalami kecacatan kekal sejak lahir akibat penyakit itu, menerima sumbangan kerusi roda elektronik bernilai RM5,500 itu daripada Tabung Orang Kurang Upaya Kelantan.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan, Datuk Husam Musa, kepadanya yang ditemani oleh ibunya, Norma Yusof, 39, dan bapanya, Mohamed Kamil Isa, 43.

Norma berkata, beliau sekeluarga amat berterima kasih kepada tabung Orang Kurang Upaya Kelantan kerana menyumbangkan kerusi roda elektronik yang dapat membantu pergerakan anaknya ketika di sekolah.

"Dengan kerusi roda ini, saya tidak perlu lagi mendukung Adha masuk ke kelas seperti yang dilakukan sejak enam tahun lalu. Kami sudah lama berhasrat membeli kerusi roda ini untuk Adha tetapi pendapatan ayahnya tidak cukup untuk kami berbuat demikian,? katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan itu ketika Majlis Jamuan Aidiladha anjuran penduduk Kampung Alor Durian di sini, semalam.

Pada majlis itu juga, Husam turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rengah (PMR) Mohd Izamani Mohd Kamil, 15, yang memperoleh keputusan 9A.

Tabung itu juga akan menyumbangkan sebuah lagi kerusi roda elektronik kepada pelajar, Wan Abdul Aziz Wan Hussin, 14, yang lumpuh separuh badan sejak lahir.

Ahmad Fajrul Adha ketika ditemui, berkata beliau tidak sabar lagi untuk menggunakan kerusi roda terbabit di sekolah.

"Kerusi roda ini menjadi impian saya selama ini bagi memudahkan pergerakan di sekolah dan di rumah selepas melihatnya di hospital sebelum ini, tetapi harganya yang mahal menyebabkan impian saya terpendam.

"Mujurlah ada pihak yang bermurah hati menyumbangkan kerusi roda untuk saya dan ibu saya tidak perlu lagi mendukung saya hingga ke kelas seperti sebelum ini," katanya.

Husam berkata, Tabung Orang Kurang Upaya Kelantan diperuntukkan RM1 juta untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negeri sepanjang tahun ini.

Katanya, tabung itu turut membiayai pembedahan seperti membaiki mulut sumbing di Hospital Universiti Sains Malaysia.//bHarian

Sunday, September 17, 2006

Dua beradik 10 tahun terbaring

Berita Minggu, 17 September 2006
KUCHING: “Saya terlalu sedih apabila memikirkan nasib dua anak saya ini yang hanya mampu berbaring sepanjang masa sejak kira-kira 10 tahun lalu,” kata seorang ibu, Niah Bujang, 49, dari Kampung Gedong kira-kira 100 kilometer dari sini, mengenai anaknya yang disahkan menghidap sindrom tulang lembut.

PERLU BANTUAN : Zaidell dan Nurlaila bersama ibu mereka, Niah di rumah mereka di Kampung Gedong.

Niah berkata, dua anaknya, Zaidell Sapian, 19 dan adiknya Nurlaila, 12, tidak seperti remaja seusia kerana mereka tidak berupaya melakukan apa-apa kecuali berbaring.

Sehubungan itu, dua anak itu mesti dijaga sepanjang masa termasuk terpaksa disuap makanan dan dimandikan.

Katanya, beliau yang mempunyai empat anak lain, tidak dapat berjauhan daripada Zaidell dan Nurlaila kerana mereka perlu diberi perhatian sepanjang masa.

Selain membuat kerja rumah dan menjaga mereka, beliau tidak dapat bekerja membantu suaminya, Sapian Nerawi, 59, untuk menambah pendapatan keluarga, yang sememangnya serba kekurangan.

“Sebagai petani, pendapatan suami saya kurang daripada RM400 sebulan, ia tidak mencukupi sedangkan saya tidak dapat membantu kerana menjaga Zaidell dan Nurlaila.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat ada memberi kami RM140 setiap tiga bulan namun jumlah itu tidak mencukupi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Niah berkata, paling merisaukan, kedua-dua anaknya itu belum memiliki kad pengenalan kecuali sijil lahir.

Katanya, beliau dan suami tiada daya untuk membawa anak mereka ke Jabatan Pendaftaran bagi membuat dokumen pengenalan diri.