Monday, July 02, 2007

Cacat jadi pendorong

Harian Metro, 1 julai 2007

Oleh FAIZA ZAINUDIN

GEORGETOWN: Kecacatan yang dialami akibat kemalangan jalan raya ketika berusia 16 tahun dianggap Zafwan Rahimi, 20, sebagai pendorong utamanya untuk cemerlang dalam pelajaran dan berjaya dalam kehidupan.

Anak muda berusia 20 tahun dari Kemaman, Terengganu itu berkata, sebelum kemalangan menimpa dirinya yang membuatkan dia lumpuh dari paras pinggang ke bawah, dia malas belajar.

“Sebelum berlaku kemalangan, saya malas belajar kerana fikir saya ada kudrat untuk melakukan sebarang kerja yang disukai jika tidak berjaya dalam pelajaran.

“Apabila lumpuh dan hanya menggunakan kerusi roda, baru saya berfikir dan belajar bersungguh-sungguh kerana menyedari kemampuan saya terhad,” katanya pada sidang media pengambilan pelajar baru bagi Sidang Akademik tahun 2007/2008, di Desasiswa Aman Damai, Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar) USM, Prof Madya Omar Osman dan Ketua Penolong Pendaftar (Kemasukan dan Pengambilan Bahagian Pengurusan Akademik) USM, Mazula Sabudin.

Zafwan antara 4,339 pelajar baru yang melapor diri di tiga kampus USM bagi mengikuti Minggu Suaikenal bagi pengambilan Sidang Akademik 2007/2008 bermula semalam hingga 7 Julai ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,065 pelajar mengikuti pengajian di kampus induk di sini; 700 pelajar di kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan baki selebih 574 pelajar di kampus Kesihatan, Kelantan.

Pengambilan itu sangat istimewa kerana turut membabitkan enam pelajar kurang upaya, tiga pasang kembar, seorang pelajar warga emas, 37 pelajar antarabangsa dan 24 pelajar daripada golongan minoriti seperti Orang Asli dan Kadazan.

Pasangan kembar, Faridah Satimen dan adiknya, Fazilah, 20, tidak menyangka mereka ditempatkan di universiti dan kursus sama, meskipun menghantar permohonan berasingan.

Anak kelima dan keenam daripada tujuh beradik berasal dari Kluang, Johor itu, mengikuti pengajian Sarjana Muda Sastera dan Pendidikan.

“Kami tidak kisah berpisah kerana baik untuk berdikari, tetapi tidak sangka pula kami masih bersama di universiti ini dengan kursus dan asrama sama,” kata Faridah yang tua 10 minit daripada Fazilah.

Sementara itu, Omar berkata, sejajar dengan status universiti itu sebagai universiti penyelidikan, pengambilan bagi pelajar sarjana muda dikurangkan sebanyak tujuh peratus bagi memberi tambahan 10 peratus kepada pelajar kursus sarjana.

Katanya, usaha itu dapat membantu melahirkan lebih ramai cendekiawan dalam bidang teras yang ditawarkan universiti berkenaan.

“Universiti ini juga tidak melupakan golongan kurang upaya (OKU) dengan menawarkan pelbagai program untuk mereka.

“Kami juga menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti pengangkutan, asrama yang selesa dengan kemudahan tandas dan bilik khusus untuk mereka, selain kemudahan untuk golongan itu,” katanya.

No comments: