Thursday, July 26, 2007

Artritis Reumatoid bukan penyakit orang tua, angin

Berita Harian, 26 julai 2007


MENELITI: Aishah Ong (dua dari kiri) meneliti tangan dua pesakit RA,
Ding Mee Hong dan Lim sambil diperhatikan Dr Chow (kiri) selepas
majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Sekolah
Yuk Choi, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Lima daripada 1,000 penduduk Malaysia dianggarkan mengalami masalah kronik babitkan keletihan, sendi

ANDAIAN masyarakat bahawa penyakit artritis reumatoid (RA) adalah penyakit orang tua, penyakit angin atau ‘yap foong’ menyebabkan penyakit ini sering dipandang sebelah mata. Hakikatnya, RA antara penyakit kronik yang boleh meletihkan badan, sekali gus mampu menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri.

RA tidak menunjukkan gejala kerana ia menyerang sendi secara senyap sehingga kita sering mengabaikan tanda awal yang sinonim dengan penyakit ini. Kurang kesedaran dan pendidikan awal dalam mengawal serta mencegah penyakit berkenaan dilihat sebagai punca mengapa penyakit itu sering dikesan pada peringkat serius.

Sehubungan itu, Yayasan Artritis Malaysia (AFM) buat julung kali melancarkan Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan, baru-baru ini dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai RA.


SIHAT: Senaman membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan
pada sendi.

Presiden AFM, Dr Chow Sook Khuan, berkata pengenalan terhadap Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan itu juga adalah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya penyakit RA selain memberi maklumat mengenai cara pengawalan penyakit berkenaan.

“Ramai antara kita menganggap bahawa penyakit ini tidak bahaya, malangnya salah faham itu menyebabkan ramai pesakit RA gagal mengenalpasti penyakit berkenaan serta tidak mendapatkan rawatan sewajarnya bagi menanganinya secara optimal.

“Dianggarkan lima daripada 1,000 penduduk di negara ini menghidap penyakit RA dan angka itu amat membimbangkan. Pelancaran hari khusus untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit ini diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap RA,” katanya pada majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh penaung AFM, Datuk Dr Aishah Ong.

Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa 7 Julai sebagai tarikh yang ditetapkan bagi sambutan Hari RA Kebangsaan.

Pada majlis itu, satu pameran mengenai penyakit RA turut diadakan seiring dengan matlamat meningkatkan memberikan pemahaman orang ramai mengenai bahaya penyakit itu.

Kajian menunjukkan pada 2000, penyakit RA menyerang lebih enam juta orang dan mendapati pesakit wanita lebih ramai berbanding lelaki. Malah, kajian itu juga mendapati penyakit berkenaan boleh berlaku pada usia kurang 50 tahun.

Dr Chow berkata, kebanyakan pesakit hanya berjumpa doktor selepas tidak mampu menahan sakit atau ketika menghadapi masalah dalam melakukan tugas harian.

Malah, katanya, ada juga antara mereka yang sudah mencapai tahap yang membimbangkan iaitu mengalami kerosakan atau kecacatan teruk terhadap sendi sehingga menyukarkan pergerakan.

“Tanda awal menunjukkan seseorang akan menghidap penyakit RA ialah bermula pada jari, tangan dan pergelangan kedua-dua belah tangan. Antara lain pesakit menjadi letih, berlaku kekejangan pada waktu pagi atau duduk dalam tempoh yang lama, badan lemah, selesema sehingga demam, sakit, pada otot badan, hilang berat badan, anemia serta kelenjar berlendir,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, pesakit akan mengalami pelbagai masalah dan menjejaskan mutu kehidupan termasuk sukar untuk bekerja berikutan pergerakan terbatas. Bahaya penyakit RA dan kesan jangka panjang jelas menunjukkan betapa perlunya masyarakat memahami kesan terhadap pesakit.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat yang ada menunjukkan gejala awal penyakit itu seperti mengalami kesakitan terutama pada bahagian sendi supaya berjumpa doktor atau pakar reumatologi secepat mungkin.

Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelak penyakit daripada terus merebak ke tempat lain dan sampai ke tahap yang lebih teruk.

“Pada peringkat awal atau sebelum menghidap penyakit ini, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan lebih banyak senaman. Bagaimanapun, mereka yang sudah dikesan menghidap penyakit RA bimbang bahawa senaman akan meningkatkan tahap kesakitan.

“Hakikatnya, senaman secara tetap akan membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan pada sendi. Pada masa sama, senaman juga dapat melenturkan dan memberi kekuatan pada otot serta memberi kesihatan pada jantung dan memberi daya ketahanan yang tinggi,” katanya.


FAKTA: Penyakit Artritis Reumatoid (RA)
  • penyakit jangka masa panjang
    Rawatan:
  • Biologik- mengandungi protein manusia dan haiwan
    Pemakanan:
  • Kepelbagaian - makan pelbagai jenis makanan untuk khasiat pemakanan yang diperlukan.
  • Keseimbangan - kurangkan lemak, gula dan lebihkan buah-buahan dan sayuran, ikan serta yang mengandungi kalsium dan zat besi.
  • Kesederhanaan - makan dengan jumlah yang kecil tetapi lebih kerap bagi menjaga berat badan.
  • No comments: