Thursday, July 26, 2007

Pergerakan Hong tidak selincah seperti dulu

Berita Harian, 26 julai 2007


“PADA mulanya hanya sakit pada bahagian sendi kemudian badan menjadi letih. Tetapi saya tidak menyangka pula sakit yang sering kali dianggap biasa dalam kehidupan seharian membawa kepada penyakit Artritis Reumatoid (RA) sehingga menyebabkan jari, tangan dan kaki saya berubah daripada bentuk asal.

“Pergerakan dan perjalanan terbatas serta tidak bebas melakukan aktiviti harian seperti dulu lagi,” itulah luahan pesakit RA, Ding Mee Hong, 45 tahun.

SABAR: Mee Hong menghidap
penyakit RA sejak 23
tahun lalu berharap
pulih seperti sedia
kala.


Beliau yang berasal dari Lumut, Perak menghidap penyakit RA sejak 23 tahun lalu.

Katanya, selepas disahkan doktor menghidap RA, beliau pasrah dan hanya berserah kepada ketentuan Tuhan walaupun sudah menjalankan pelbagai jenis rawatan membabitkan tradisional mahupun perubatan moden.

“Keadaan menjadi lebih teruk pada sembilan tahun lalu. Saya sudah tidak mampu melakukan tugasan harian sebagai isteri dan ibu yang sepatutnya menjaga kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga.

“Mujur ada suami dan ibu yang baik serta prihatin. Segala kelengkapan harian seperti menyikat rambut, memakai baju, ke tandas, memasak dibantu oleh kedua-dua insan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mee Hong, ibu kepada dua anak berusia lapan dan 12 tahun itu berkata, walaupun jari tangan dan kaki berubah menjadi kecut sekali gus menyukarkan pergerakan, beliau tetap mahu meneruskan kehidupan seperti dulu iaitu membantu perniagaan suami.

“Saya perlu melakukan sesuatu. Apabila sibuk, saya lupa akan penyakit yang dialami sekali gus membantu melancarkan aktiviti harian walaupun pergerakan tidak seperti dulu. Jika duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, saya akan menjadi runsing dan tidak keruan.

“Jadi, dengan itu, saya mesti melakukan sesuatu supaya pemikiran tidak hanya tertumpu pada bahagian yang sakit. Bagi saya, rasa sakit datang daripada minda kita yang kosong,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

Katanya, apabila menyedari penyakit itu merbahaya dan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya, fikiran menjadi bingung. Selain itu beliau juga mengakui mengalami tekanan emosi hampir setiap hari.

“Bagaimanapun, berkat kesungguhan suami dan ibu yang menjaga saya, saya berjaya menguatkan diri untuk terus menjalankan rawatan perubatan moden.

No comments: