Tuesday, July 17, 2007

Tentera selaras program anak istimewa

Berita Harian, 17 julai 2007

SUNGAI BESI: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menyelaras semua program di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) bagi memastikan kanak-kanak istimewa anak warga tentera mendapat perhatian sewajarnya.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, berkata pelarasan itu membabitkan kandungan pembelajaran, prasarana dan teknologi yang diperlukan di pusat berkenaan.

“ATM mempunyai tanggungjawab menyediakan pusat pemulihan seumpama itu (PPDK) bagi memastikan kanak-kanak istimewa ini mendapat perhatian sewajarnya,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Bas Khas PPDK Al-Mawaddah Kem Sungai Besi, di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, ATM walaupun pasukan besar, mempunyai tanggungjawab memberi perhatian kepada kanak-kanak istimewa.

“Penubuhan pusat ini membolehkan kanak-kanak istimewa dapat berdikari apabila mereka dewasa,” katanya sambil menambah, ATM sedia memberi peruntukan dan memastikan PPDK dilengkapkan kemudahan teknologi terkini bagi memastikan kanak-kanak istimewa itu mendapat kemudahan terbaik.

“Kewujudan pusat ini memberi peluang dan kesedaran pemulihan bukan saja kepada kanak-kanak terbabit tetapi ahli keluarga serta saudara terdekat bagi meningkatkan potensi golongan istimewa itu,” katanya.

No comments: