Tuesday, July 10, 2007

Anak hidap autisme perlu daftar

Berita Harian, 10 julai 2007

MUAR: Masalah kewangan tidak harus dijadikan alasan untuk tidak menghantar kanak-kanak yang mengalami masalah gangguan perkembangan otak seperti autisme untuk belajar di pusat khas untuk golongan berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Mark Mathew, berkata Pusat Intervensi Autisme (Nasom) yang pertama di negeri itu dibuka di Jalan Orkid, Taman Mutiara di sini.

Katanya, pembukaan pusat berkenaan bertujuan mengajar kanak-kanak berkenaan supaya mempunyai kehidupan lebih baik dan mampu berdikari.

"Kami tidak mahu kerana masalah kewangan, kanak-kanak hilang peluang belajar sedangkan mereka boleh mempunyai peluang kehidupan lebih baik jika mengetahui kaedah rawatan dan pembelajaran yang betul," katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Autisme Muar, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Senator Tay Puay Chuan dan turut dihadiri Pengerusi Nasom, Teh Bay Chun.

Mathew berkata, walaupun penyakit autisme belum dapat disembuhkan, penghidapnya menerusi kaedah rawatan yang betul dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Katanya, maklumat yang diperoleh sebelum ini mendapati terdapat lebih 30 kanak-kanak autisme di daerah itu tetapi hanya 12 pelajar tampil mendaftar di sekolah itu.

"Masalah ini timbul mungkin kerana faktor yuran yang tinggi menyebabkan ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membatalkan hasrat untuk menghantar anak mereka ke pusat berkenaan.

"Jika kerana masalah berkenaan, Nasom mohon ibu bapa yang masih belum menghantar anak autisme ke pusat berkenaan tampil dan datang berbincang," katanya.

No comments: