Thursday, January 25, 2007

KTMB siasat kakitangan enggan bantu OKU

Berita Harian, 25 Januari 2007


KAMI merujuk kepada surat ‘OKU kecewa’ dari Kepala Batas, Pulau Pinang bertajuk ‘KTMB Rawang tak mesra OKU’ yang disiarkan pada 17 Januari lalu. Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ingin mengucapkan terima kasih di atas maklum balas beliau.

KTM Berhad memohon maaf di atas kesukaran yang dialami ‘OKU kecewa’ seperti yang dimaklumkan oleh beliau. KTM Berhad mempunyai dasar di mana kakitangan dikehendaki memberi kerjasama kepada golongan kurang upaya sekiranya diperlukan walaupun stesen berkenaan mempunyai kemudahan OKU.

KTM Berhad akan menjalankan siasatan berkenaan dakwaan ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mana-mana kakitangan yang didapati mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap golongan kurang upaya.

SHAHRIZA EMBI,

Pengurus Komunikasi Korporat

Keretapi Tanah Melayu Berhad.

Wednesday, January 24, 2007

Jangan sembunyi anak kurang upaya – Shahrizat

Utusan Malaysia, 24 Januari 2007

Oleh: ARSHAD KHAN

RAUB 23 Jan. – ‘‘Tolonglah jangan rantai anak kurang upaya, tolonglah jangan sembunyikan mereka, hantarlah mereka ke pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),’’ demikian rayu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau membuat rayuan itu ketika mengulas laporan akhbar hari ini mengenai seorang lelaki kurang siuman yang dirantai di rumahnya, terkorban dalam satu kebakaran yang turut memusnahkan kediamannya di Kampung Acheh, di sini, semalam.

Jelas Shahrizat, memang bukan mudah untuk menjaga ahli keluarga dari kalangan orang kurang upaya (OKU) tetapi beban itu boleh dikongsi dengan kerajaan yang semakin prihatin dengan nasib golongan berkenaan.

‘‘Masalah tidak akan selesai jika anak-anak OKU dipinggirkan.

‘‘Jangan takut dan jangan malu, hantar anak-anak (kumpulan OKU) ke PDK atau JKM, kita akan jaga mereka seperti anak-anak sendiri,’’ katanya pada Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang), di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Noriah Kasnon.

Dalam kejadian di Pekan, semalam, mangsa, Mohd. Mujid Harun, 37, yang tinggal bersama keluarganya dikatakan terperangkap di dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumahnya sewaktu kebakaran kira-kira pukul 4.40 petang.

Ahli keluarga lain yang turut berada di rumah ketika kejadian ialah ibunya, Kalthum Hassan, 72, adik mangsa, Mohd. Najib Harun, 35, dan anak saudaranya, Mohd. Mohaimin Mohd. Najib, 5.

Shahrizat menambah, anak-anak yang dihantar ke PDK akan dilatih dengan sebaik mungkin dan diberikan penjagaan profesional.

‘‘Golongan OKU sendiri sebenarnya mahu berdikari dan tidak mahu bergantung pada sesiapa,’’ katanya.

Dalam pada itu, Shahrizat berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, setakat ini terdapat 364 PDK di seluruh negara dengan 60 daripadanya didirikan di kawasan Felda.

Jumlah keseluruhan pelatih di kesemua PDK kini kata beliau, ialah seramai 9,683 orang manakala 1,433 orang guru bertugas secara sukarela.

Menurut beliau, dengan peruntukan tahun ini sebanyak RM17.5 juta, kementerian merancang menaik taraf peralatan dan kemudahan yang ada di setiap PDK serta memberi latihan untuk meningkatkan kemahiran guru-guru pelatih bersesuaian dengan pelbagai teknik pembelajaran yang terkini.

‘‘Sekarang ini banyak modul latihan yang terkini untuk golongan OKU ini dan latihan itu akan dimulakan pada tahun ini juga,’’ katanya

Friday, January 19, 2007

Mahkamah Sesyen: Rogol wanita terencat akal

Harian Metro, 19 Januari 2007

SUBANG JAYA: Seorang lelaki durjana dipercayai memberikan `minuman misteri’ kepada wanita terencat akal berusia 29 tahun sebelum merogolnya di sebuah rumah di Seri Kembangan, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa didakwa dibawa ke rumah suspek sebelum diberi minuman berkenaan sehingga menyebabkannya pening dan separuh sedar.

Mangsa yang dalam keadaan `mamai’ itu dirogol dalam sebuah bilik sebelum dihantar pulang ke rumahnya tidak jauh dari situ, kira-kira sejam selepas itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Muhd Fuad Talib, berkata mangsa dikatakan berjumpa suspek kira-kira jam 3 petang hari yang sama.

Thursday, January 18, 2007

Kuktem cipta kerusi murid kenit

Utusan Malaysia, 18 Januari 2007

Oleh: AIZAWATI AHMAD

KUANTAN 17 Jan. – Kanak-kanak kenit, Muhd. Zull Hanif Abd. Halim, bakal menerima sebuah kerusi separuh automatik yang direka khas oleh Kolej Universiti Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (Kuktem) bagi memudahkan murid tahun satu itu menjalani proses pembelajaran seperti kanak-kanak lain.

Idea kreatif itu tercetus apabila Rektor Kuktem, Profesor Datuk Dr. Mohammad Said Mat Lela membaca laporan yang disiarkan Utusan Malaysia pada 4 Januari lalu mengenai kanak-kanak tersebut yang memulakan alam persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang, Pekan.

Zull Hanif cuma setinggi 72 sentimeter atau kira-kira 2 kaki 6 inci dengan berat badan 7.5 kilogram.

Dr. Mohammad Said berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu setelah membaca laporan berita yang menyiarkan mengenai keprihatinan pihak sekolah yang bercadang memotong kaki meja serta kerusi bagi disesuaikan dengan saiz tubuh Zull Hanif.

‘‘Saya sendiri telah meminta sekumpulan pensyarah Kuktem agar memikirkan satu idea terbaik bagi membantu kanak-kanak ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, bersesuaian dengan kepakaran yang dimiliki oleh Kuktem, maka tercetus idea untuk mereka cipta sebuah kerusi khas menggunakan teknologi bermotor agar Zull Hanif dapat menggunakannya semasa di kelas.

Jelas beliau, pihaknya membentuk satu pasukan khas yang diketuai oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Profesor Madya, Dr. Rosli Abu Bakar bagi mereka cipta kerusi itu.

Dr. Rosli pula ketika ditemui memberitahu, empat pensyarah Kuktem sedang sibuk berbincang menghasilkan reka bentuk terbaik dengan dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan mesra pengguna.

‘‘Setakat ini, kita hanya buat draf awal. Kerja-kerja menyempurnakan reka bentuk kerusi khas itu masih diteruskan.

‘‘Apa yang boleh saya jelaskan di sini ialah kerusi itu kelak bakal berfungsi bagi memudahkan Zull Hanif duduk sama tinggi dan menggunakan meja yang sama dengan rakan sekelasnya,” ujarnya.

Menerangkan lebih lanjut fungsi kerusi itu, beliau berkata, kerusi menggunakan teknologi bermotor itu berupaya bergerak ke atas dan ke bawah bagi memudahkan kanak-kanak kerdil tersebut berada sama paras dengan ketinggian meja di kelasnya.

Tambah beliau, bagi memastikan kerusi istimewa itu ‘mesra pengguna’, ia juga boleh digerakkan ke hadapan dan ke belakang agar kedudukan Zull Haniff dengan meja berkenaan dapat diselaraskan.

‘‘Bagi memastikan keselesaan dan keselamatan Zull Haniff terjamin, kita juga akan melengkapkan kerusi dengan rak buku, tali pinggang keselamatan dan sebuah platform bagi memudahkan dia meletakkan kakinya,” jelasnya lagi.

Menurut Dr. Rosli, kerusi itu yang dianggarkan berharga RM5,000 akan memiliki berat keseluruhan antara 45 dan 50 kilogram bagi memastikan ia benar-benar stabil.

Katanya, untuk aspek mudah alih, roda akan dipasang di bahagian bawah selain dilengkapi butang khas bagi memudahkan Zull Hanif mengawal pergerakan kerusi itu.

Beliau menjelaskan, pihaknya memerlukan masa kira-kira empat minggu bagi melengkapkan kerusi itu agar ia benar-benar sempurna untuk digunakan.

Tuesday, January 16, 2007

China Press




Sila klik gambar untuk baca.

Sumber: Malaysia Paralympic Council