Saturday, August 11, 2007

Geran RM22 juta bantu OKU berniaga

Utusan Malaysia, 11 ogos 2007

KUALA TERENGGANU 10 Ogos – Kerajaan menyediakan geran RM22 juta untuk Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-OKU) di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, geran yang dilaksanakan sejak tahun lepas untuk tempoh lima tahun bertujuan memberi bantuan kewangan kepada OKU yang ingin memulakan atau membangunkan perniagaan.

“Sehingga sekarang 44 pengusaha OKU diberi menerima SBGP-OKU dengan jumlah bantuan RM1.8 juta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pekerjaan Peringkat Negeri Terengganu di sini, hari ini.

Abdul Rahman berkata, terdapat 135,000 OKU berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan daripada jumlah, sebanyak 15,000 orang yang mendaftar dengan JTK untuk mencari pekerjaan menerusi Sistem Penempatan OKU.

Sehingga Julai ini, katanya, JTK berjaya mendaftarkan 9,274 OKU melalui sistem itu dan berjaya menempatkan 6,852 OKU dalam pelbagai jawatan.

Menurutnya, pelbagai usaha dijalankan untuk menempatkan OKU ke alam pekerjaan tetapi faktor OKU itu sendiri dan keengganan majikan menerima OKU menyebabkan golongan itu terpinggir dalam arus pembangunan negara.

“Atas pelbagai alasan dan masalah, JTK mengambil kesimpulan iaitu OKU sahaja yang dapat memahami keperluan OKU atau bantu OKU untuk bantu OKU yang lain.

“Oleh itu, platform yang terbaik untuk OKU ialah menggalakkan mereka menjadi usahawan OKU dan atas dasar ingin membantu OKU,” katanya.

Beliau berharap lebih ramai lagi OKU dapat merebut peluang meningkatkan taraf hidup dan mendapat peluang yang sama dalam bidang sosial dan ekonomi negara ini.

Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Pekerjaan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Ahmad Mudi Onn Nor dan Pemangku Pengarah JTK Negeri, Burhanuddin Jusoh.

Wednesday, August 08, 2007

Radhiah tabah terima takdir

Harian Metro, 4 julai 2007

Azlan Hafeedz

Daripada sebesar biji kacang hijau ketika usia 6 bulan, ketumbuhan di pipinya kini sebesar 27 sm panjang dan 22 sm tinggi dengan berat 30 gram

“Memang saya inginkan kebebasan dan keriangan seperti gadis remaja lain tetapi apakan daya, diri ini terhalang oleh penyakit, menyebabkan dunia saya hanyalah rumah dan keluarga saja”Radhiah Mardhiah Muhamad

Pesakit ketumbuhan di pipi



“JIKA diikutkan hati, saya tidak mahu ke sekolah kerana malu dengan ketumbuhan di muka. Saya sedar tidak memiliki rupa yang cantik seperti gadis lain tetapi demi masa depan, saya kuatkan semangat kerana tidak mahu hati ibu bapa terluka.”

Demikian luahan hati seorang gadis, Radhiah Mardhiah Muhamad, 16, yang menghidap penyakit ketumbuhan saraf pada bahagian pipi kanannya sejak berusia enam bulan.

Setiap pagi sebelum ke sekolah, Radhiah termenung di cermin mengenangkan nasibnya yang malang itu.

Kadangkala dia menghabiskan masanya dengan berkurung dalam bilik termasuk mengulang kaji pelajaran secara bersendirian di rumahnya sebaik pulang dari sekolah.

Bukan kerana sombong, tetapi Radhiah terlalu malu hendak bergaul dengan rakan sebayanya lantaran penyakitnya itu. Ini menyebabkan ibunya, Wan Aisyah Wan Nawang, 57, dan ayahnya, Muhamad Mamat, 73, menjadi teman sejati.

Penyakit ketumbuhan saraf yang dihidapi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, itu mula dikesan ketika Radhiah berusia enam bulan.

Tetapi, daripada saiz sebesar biji kacang hijau, ketumbuhan itu membesar kepada 27 sentimeter (sm) panjang dan 22 sm tinggi dengan berat, 30 gram.

Keadaan itu menyebabkan mata kiri Radhiah menjadi semakin sepet.

Radhiah berkata, apabila tengah malam dia sering menangis bersendirian kerana terlalu sakit di pipi kanannya hingga terpaksa menelan ubat penahan sakit bagi mengurangkan kesakitan.

Katanya, kekerapan denyutan pada ketumbuhan itu membuatkan kehidupannya kurang selesa terutama ketika belajar di sekolah menyebabkan pembelajarannya sering terganggu.

“Saya sering berulang alik bersama ibu bapa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dua kali sebulan bagi mendapatkan rawatan susulan.

“Pelbagai rawatan tradisional dan moden dilalui tetapi hingga kini ia tidak menampakkan sebarang hasil, malah kian bertambah teruk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tawang, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Radhiah, apa yang membimbangkannya, dia pernah dimaklumkan seorang doktor pakar, jika penyakitnya itu dibedah, dia bakal berhadapan risiko kemungkinan matanya tidak dapat ditutup selama-lamanya.

Katanya, selain itu, mulutnya turut menjadi tidak normal atau renyuk termasuk pertuturan menjadi tidak jelas.

“Ini membuatkan hati saya bertambah runsing mengenangkan nasib malang yang menimpa saya satu persatu itu.

“Memang saya inginkan kebebasan dan keriangan seperti gadis remaja lain tetapi apakan daya, diri ini terhalang oleh penyakit, menyebabkan dunia saya hanyalah rumah dan keluarga saja,” katanya sedih.

Ibu Radhiah, Wan Aisyah pula berkata, dia terkilan kerana anak bongsunya itu menjadi mangsa ‘tarik tali’ dua hospital di negeri ini.

Katanya, tahun lalu dia membawa Radhiah ke sebuah hospital di Kubang Kerian, Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan pertama.

“Saya kesal kerana pelbagai alasan diberi doktor hospital itu, kononnya doktor pakar yang sepatutnya merawat penyakit anak saya itu sudah berkhidmat di sebuah hospital luar negara.

“Ini menyebabkan saya terpaksa membawa Radhiah ke HRPZII, tetapi sehingga kini keputusannya masih belum dibuat walaupun beberapa contoh darah dan daging ketumbuhan itu sudah diambil,” katanya.

Mengenai kos rawatan pembedahan Radhiah, Wan Aisyah berkata, dia masih belum mengetahui jumlah sebenar tetapi dianggarkan puluhan ribu ringgit.

“Saya akan berusaha mencari wang sebanyak itu asalkan penyakit Radhiah boleh sembuh seperti sedia kala. Kalau boleh, saya hendak lihat Radhiah pulih sebelum kami menghembuskan nafas yang terakhir,” katanya sedih.

Sesiapa yang bersimpati atau ingin menghulurkan derma kepada Radhiah, boleh menghubungi Wan Aisyah melalui talian, 09-7788024.

Tuesday, August 07, 2007

Jualan e-Book secara Online di buka

Pak Ngah e-Book Center

Website e-book: http://pakngahebook.blogspot.com/


dalam tu ada cara-cara nak buat order e-book.

Judul e-Buku

1. Perjalananku
Pengarang OKU : Abdul Malek bin Othman
B.Sc(Hons) UTM, 1994

Sinopsis:


Buku yang bertajuk "Perjalananku" ini menceritakan pengalaman dan memoir penulis sendiri dalam mengharungi liku-liku hidup yang penuh mencabar sebagai manusia yang serba kekurangan berbanding orang lain.

Adalah diharapkan dengan terbitnya e-buku ini akan memberikan semangat dan motivasi kepada masyarakat sama ada mereka normal atau Orang Kurang Upaya (OKU) dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Apabila kita menghadapai dugaan atau musibah dari Allah SWT, maka hendaklah kita meyakini rukun iman iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar. Boleh jadi sesuatu yang kita tidak suka itu adalah lebih baik kepada kita. Begitu juga sebaliknya boleh jadi sesuatu yang kita suka itu akan mendatangkan keburukan kepada kita. Sesungguhnya segala sesuatu yang dijadikan oleh Allah SWT itu terkandung seribu satu hikmah di dalamnya yang kadangkala tidak tercapai oleh akal fikiran manusia sebagai hamba Allah yang amat terbatas ini.

Kod Buku : CO 001
Harga RM10.00

2. Kisah Yasser

Pengarang OKU: Abdul Malek bin Othman
B.Sc(Hons) UTM, 1994

Sinopsis:


Kisah Yasser merupakan sebuah buku cerita rakyat berbentuk hikayat yang mengandungi 76 bab. Jalan ceritanya mudah dan menggunakan suasana nusantara di abad ke-15 sewaktu agama Islam telah bertapak di Tanah Melayu dan Tanah Seberang.

Buku ini mengisahkan seorang anak yang kematian ibunya dianiaya oleh sauadara tirinya. Dia telah dibuang oleh saudara-saudara tirinya ke dalam hutan. Bermula dari situlah dia menghadapai dugaan dan cabaran sehingga akhirnya dia menjadi Raja di negeri lain.


Kod Buku : CR 002
Harga RM10.00


http://pakngahebook.blogspot.com/

Sunday, August 05, 2007

AirAsia sedia kren khas untuk OKU di dua LCCT

Berita Harian, 5 ogos 2007

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) meningkatkan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini dengan menyediakan kren pengangkut khas atau 'ambulift' kepada golongan itu.

Dua kren pengangkut khas itu akan ditempatkan di LCCT di sini dan Kota Kinabalu, Sabah bagi menyahut permintaan OKU yang mahu AirAsia menyediakan kemudahan kepada mereka sesuai dengan cogan kata syarikat penerbangan itu, 'Kini Semua Orang Boleh Terbang'.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes, berkata syarikat memperuntukkan bajet RM6 juta bagi meningkatkan kemudahan OKU termasuk membeli dua 'ambulift' serta peralatan lain seperti kerusi roda khas untuk digunakan dalam pesawat.

"Syarikat prihatin dengan permintaan golongan OKU selepas berbincang dengan wakil daripada The Barrier-Free Enviroment and Accesible Transport Group (Beat) malah mahu mengambil ahli mereka bersama menyertai krew AirAsia," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program meningkatkan kemudahan OKU di LCCT di sini, semalam.

Turut hadir Penyelaras Beat, Christine Lee.

Bulan lalu, Beat yang dianggotai 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan piket secara aman di LCCT, di sini sebagai membantah tindakan AirAsia yang dianggap mendiskriminasikan OKU kerana enggan membenarkan penumpang berkerusi roda menaiki pesawat.

Sebelum ini, Tony dilaporkan menafikan dakwaan Beat dan menegaskan kakitangan AirAsia akan membawa sendiri penumpang berkerusi roda menaiki pesawat tanpa bayaran tambahan.

Tony dilaporkan berkata, masalah ketiadaan kemudahan sudah dibincangkan beberapa kali dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan sehingga kini kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Berikutan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dilaporkan mengarahkan MAHB dan AirAsia berbincang berhubung penyediaan kemudahan untuk penumpang berkerusi roda dan kurang upaya menaiki pesawat serta menekankan dasar kerajaan berhubung kemudahan OKU adalah jelas.

Tony berkata, syarikat membuat keputusan membeli sendiri dua kren pengangkut khas atau 'ambulift' kerana tidak mahu terus terus berbincang mengenai isu kemudahan untuk penumpang OKU dengan MAHB tanpa sebarang hasil.





"Jadi kita beli sendiri dan gunakan ia untuk penumpang AirAsia," katanya.

Beliau berkata, syarikat akan menawarkan pekerjaan kepada sekurang-kurangnya tujuh OKU untuk bertugas di bahagian kaunter penumpang dan pusat panggilan AirAsia.

Sementara itu, mengulas mengenai isu permohonan akses terhad ke Singapura dengan dua penerbangan setiap hari yang dihalang Penerbangan Malaysia (MAS), Tony berkata, syarikat sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan.

"Syarikat menyerahkan isu ini kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menimbangkannya.

"Kita berada dalam pasaran terbuka. Majlis hari ini (semalam) jelas menunjukkan AirAsia mendengar, membantu dan mengeluarkan peruntukan jika perlu," katanya.

Sementara itu, Tony berkata, syarikat juga sedang menyediakan mekanisme membolehkan penumpang yang menghadapi masalah penerbangan tertangguh dipulangkan sebahagian daripada tambangnya.

"Kita masih menjalankan kajian...jika ini dilaksanakan, AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang melakukannya," katanya.

Saturday, August 04, 2007

OKU kagum layanan mesra pekerja restoran makanan segera

Berita Harian, 4 ogos 2007


DALAM kempen membina masyarakat penyayang, kita sering dihidangkan melalui media mengenai pelbagai kisah cabaran hidup Orang Kurang Upaya (OKU). Cabaran hidup OKU termasuklah kegiatan harian mereka dalam mencari rezeki, pelajaran, perubatan, riadah dan sebagainya.

OKU biasanya dikategorikan mengikut jenis kecacatan seperti anggota, penglihatan, bisu dan akal. Tahap kecacatan mereka pula menunjukkan sejauh mana cabaran mereka dalam kegiatan harian yang terbahagi kepada tahap ringan, sederhana, berat dan tahap amat berat.

Tahap ringan ialah mereka yang mempunyai kecacatan sedikit dan segala urusan harian boleh dilakukan tanpa sebarang bantuan orang lain atau peralatan khas. Contohnya, OKU yang kudung sebelah tangan sama ada di pergelangan tangan mahupun dari siku ke atas, OKU pekak bisu dan lain-lain.

Tahap sederhana pula ialah OKU yang menggunakan peralatan khas untuk kegiatan harian mereka dan boleh melakukan kerja tanpa bantuan orang lain dengan ada peralatan berkenaan, contohnya OKU mengguna kerusi roda dan OKU penglihatan menggunakan tongkat.

OKU tahap berat ialah mereka yang memerlukan bantuan orang lain dalam sesuatu kegiatan. Ini mungkin disebabkan anggota mereka seperti kedua-dua belah tangan dan kaki tidak dapat berfungsi dengan sempurna atau kudung.

OKU tahap amat berat ialah mereka yang mempunyai gabungan kecacatan, iaitu anggota, pancaindera atau mental. Contohnya, kedua-dua belah kaki dan tangan cacat dan pada masa yang sama tidak dapat bertutur dengan jelas.

Kehidupan OKU yang serba mencabar memberi mereka semangat untuk mengharungi liku hidup ini. Tidak dinafikan juga ada OKU yang tidak dapat menerima cabaran berkenaan dan akhirnya kecundang dalam dugaan hidup.

Mereka memilih untuk menagih simpati orang ramai sebagai sumber rezeki, iaitu sebagai peminta sedekah. Ini berbeza pula sekiranya, OKU berkenaan menggunakan apa saja anggota yang masih ada untuk mencari rezeki, contohnya OKU penglihatan menggunakan kepandaian bermain alat muzik untuk menghiburkan orang ramai di kaki lima.

Bagi saya, duit yang dilontar kepada mereka bukanlah duit sedekah, tetapi bayaran atas hiburan yang diberi.

Kita lihat pula bagaimana orang ramai yang digolongkan sebagai ‘tidak mesra OKU’ berhadapan dengan golongan OKU. Mereka ini saya boleh golongkan kepada beberapa kategori juga, iaitu pertama beranggapan golongan OKU sebagai beban masyarakat; kedua golongan OKU sebagai golongan tidak upaya dipandang hina.

Ketiga pula golongan OKU tiada apa yang beza dan itu adalah nasib mereka; keempat golongan OKU sebagai mereka yang cekal dan bantuan patut diberikan demi kemanusiaan dan kelima golongan OKU sebagai mereka yang memberi inspirasi dalam hidup mereka.

Dengan kategori itu, mungkin kita dapat memahami kategori manakah individu yang ‘tidak mesra OKU’ apabila berhadapan dengan OKU.

Kisah ingin saya kongsi bersama di sini ialah pengalaman sendiri ketika singgah di restoran makanan segera di KL Sentral baru-baru ini. Saya sebenarnya golongan OKU tahap ringan, iaitu kudung di sebelah tangan kanan tanpa siku.

Ketika melangkah masuk ke pekarangan restoran itu sambil menggalas beg komputer riba, seorang pekerja lengkap beruniform menyapa dengan senyuman dan bertanya sama ada saya ingin pesan bungkus atau duduk makan.

Saya menjawab bahawa saya ingin duduk makan. Lantas dia menunjuk ke arah tempat duduk kosong sambil mengeluarkan kertas untuk mendapatkan pesanan.

Apabila siap mencatat, dia terus ke kaunter membuat pesanan. Ketika itu saya sangkakan saya perlu ke kaunter untuk membuat bayaran, tetapi dia datang kembali dengan membawa resit.

Dia menyerahkan resit berkenaan dan saya bertanya sama ada perlu membayar di kaunter, dengan senyuman dia menjawab bahawa dia akan bantu saya membayar di kaunter.

Selepas itu dia kembali dengan menatang makanan yang dipesan sambil membawa wang baki. Tidak cukup dengan itu, dia bertanyakan sama ada saya perlukan sos cili atau tomato. Akhir sekali dia membawa kedua-dua sos cili dan tomato untuk saya sambil berkata panggil dia sekiranya saya perlukan apa-apa bantuan lagi.

Saya sempat melihat tag namanya yang tertera Puteri. Mungkin pengalaman saya di atas hanyalah kisah yang biasa di sebuah restoran makanan segera. Namun, setiap gerak-geri dan layanan yang diberikan oleh Puteri jelas menunjukkan dia mempunyai naluri untuk berkhidmat dengan cemerlang dan dia berkhidmat dengan penuh minat serta gembira.

Kepekaannya terhadap layanan terbaik untuk OKU dapat saya rasakan walaupun saya sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk beratur dan menatang makanan ke tempat duduk.

Oleh Ong Boo Siong (Koordinator Projek Tanpa Halangan Persatuan Shuang Fu untuk Orang Kurang Upaya, Kuala Lumpur)