Tuesday, July 31, 2007

UUM tawar kursus untuk pelajar cacat penglihatan

Berita Harian, 31 julai 2007

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) muncul universiti awam kedua selepas Universiti Malaya yang menawarkan tempat kepada golongan cacat penglihatan bagi meneruskan pengajian di universiti itu bermula sesi akademik Julai tahun depan.

Penawaran itu dilaksanakan menerusi program We Care 2007 anjuran bersama Persatuan Pertubuhan Antarabangsa dan Sains Sosial (AIESEC), UUM dan St Nicholas Home, Pulau Pinang sebagai alternatif kepada golongan cacat penglihatan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Multimedia, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kedah, Datuk Azimi Daim, berkata golongan cacat penglihatan berhak mendapatkan peluang sama rata seperti pelajar lain untuk meneruskan pengajian di universiti dan UUM akan membantu dan memberikan peluang berkenaan.

Katanya, program We Care 2007 menunjukkan keprihatinan dan kewibawaan pelajar UUM membantu masyarakat itu dengan mewujudkan suasana kondusif kepada mereka untuk bersama-sama pelajar lain.

“Dengan terlaksananya program ini, UUM akan menjadi contoh kepada universiti lain kerana berjaya merealisasikan misi untuk menjadi universiti yang prihatin terhadap golongan cacat penglihatan.

“Saya berharap UUM dapat menyediakan kemudahan yang sempurna bagi memastikan keselesaan bagi golongan berkenaan meneruskan pengajian dan menjalani kehidupan seharian di universiti,” katanya di Sintok, semalam.

Beliau turut mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM5,000 kepada AIESEC UUM bagi melaksanakan program berkenaan.

Sunday, July 29, 2007

Pertunjukan bantu golongan kurang upaya

http://groups.yahoo.com/group/gokum/message/2980

Oleh Hidayah Mohammad

PERTUNJUKAN fesyen berprestij bertemakan ‘Art from the Heart’ itu diadakan
bagi membantu orang kurang upaya (OKU) dari Rumah Amal Cheshire menerusi kutipan
dana.

Kutipan berkenaan bertujuan untuk membina bangunan bagi memudahkan OKU
melaksanakan tanggungjawab meningkatkan ekonomi negara menerusi projek Program
Berikuasa Ekonomi atau Economic Empowerment Programme.

Pengerusi majlis minum petang amal itu, Datin Seri Sharifah Hishmah
Shahabuddin, berkata menerusi majlis yang diserikan dengan pertunjukan fesyen
oleh 10 pereka fesyen terkenal itu diharap dapat membantu golongan berkenaan
meningkatkan semangat dan keyakinan diri dalam menempuh kehidupan yang penuh
cabaran.

“Tujuan kutipan dana ini dilakukan adalah bagi meningkatkan kualiti hidup OKU
di rumah kebajikan berkenaan. Hasil kutipan ini, kami akan menyalurkannya bagi
membina bangunan khusus untuk mereka menjalani latihan Economic Empowerment
Programme dengan lebih sistematik.

“Program berkenaan memberi peluang kepada mereka mempelajari enam kemahiran
membabitkan pengurusan pejabat, teknologi komputer dan maklumat, perkhidmatan
layanan, pembuatan roti, kraftangan serta perladangan atau penternakan,” katanya
ketika berucap pada majlis berkenaan.

Tetamu kehormat yang berangkat pada majlis berkenaan, Raja Permaisuri Agong,
Tuanku Nur Zahirah; Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Akashah; Raja Puan
Besar Perak, Tuanku Zara Salim dan Tengku Laksamana Perlis, Datuk Seri Diraja
Syed Razlan Jamalullail.

Hadir sama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil; Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Mohamed
Razak dan Pengerusi Rumah Amal Cheshire Selangor, Khatijah Suleiman.

Antara pereka fesyen yang terbabit menonjolkan himpunan pakaian baru mereka
ialah, Jarumas, Kartini, Jendela Batik, Karl Ng, Ratu, Albert King dan Ridz.
Himpunan segar yang ditonjolkan pada majlis itu memeriahkan suasana apabila
masing-masing menonjolkan rekaan hebat mereka.

Sharifah Hishmah yang berpengalaman dalam industri fesyen selama lebih 20 tahun
lalu, berkata menerusi Art from the Heart pihaknya mensasarkan sebanyak
RM500,000 untuk hasil kutipan dana berkenaan.

“Bantulah kami untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan bantuan derma yang
dihulurkan, sekali gus akan membahagiakan mereka. Kami turut gembira apabila
mereka berjaya mempelajari enam kemahiran yang disediakan nanti menerusi kutipan
derma dari anda,” katanya.

Thursday, July 26, 2007

Pergerakan Hong tidak selincah seperti dulu

Berita Harian, 26 julai 2007


“PADA mulanya hanya sakit pada bahagian sendi kemudian badan menjadi letih. Tetapi saya tidak menyangka pula sakit yang sering kali dianggap biasa dalam kehidupan seharian membawa kepada penyakit Artritis Reumatoid (RA) sehingga menyebabkan jari, tangan dan kaki saya berubah daripada bentuk asal.

“Pergerakan dan perjalanan terbatas serta tidak bebas melakukan aktiviti harian seperti dulu lagi,” itulah luahan pesakit RA, Ding Mee Hong, 45 tahun.

SABAR: Mee Hong menghidap
penyakit RA sejak 23
tahun lalu berharap
pulih seperti sedia
kala.


Beliau yang berasal dari Lumut, Perak menghidap penyakit RA sejak 23 tahun lalu.

Katanya, selepas disahkan doktor menghidap RA, beliau pasrah dan hanya berserah kepada ketentuan Tuhan walaupun sudah menjalankan pelbagai jenis rawatan membabitkan tradisional mahupun perubatan moden.

“Keadaan menjadi lebih teruk pada sembilan tahun lalu. Saya sudah tidak mampu melakukan tugasan harian sebagai isteri dan ibu yang sepatutnya menjaga kebahagiaan dan kesejahteraan rumah tangga.

“Mujur ada suami dan ibu yang baik serta prihatin. Segala kelengkapan harian seperti menyikat rambut, memakai baju, ke tandas, memasak dibantu oleh kedua-dua insan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Mee Hong, ibu kepada dua anak berusia lapan dan 12 tahun itu berkata, walaupun jari tangan dan kaki berubah menjadi kecut sekali gus menyukarkan pergerakan, beliau tetap mahu meneruskan kehidupan seperti dulu iaitu membantu perniagaan suami.

“Saya perlu melakukan sesuatu. Apabila sibuk, saya lupa akan penyakit yang dialami sekali gus membantu melancarkan aktiviti harian walaupun pergerakan tidak seperti dulu. Jika duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti, saya akan menjadi runsing dan tidak keruan.

“Jadi, dengan itu, saya mesti melakukan sesuatu supaya pemikiran tidak hanya tertumpu pada bahagian yang sakit. Bagi saya, rasa sakit datang daripada minda kita yang kosong,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

Katanya, apabila menyedari penyakit itu merbahaya dan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya, fikiran menjadi bingung. Selain itu beliau juga mengakui mengalami tekanan emosi hampir setiap hari.

“Bagaimanapun, berkat kesungguhan suami dan ibu yang menjaga saya, saya berjaya menguatkan diri untuk terus menjalankan rawatan perubatan moden.

Artritis Reumatoid bukan penyakit orang tua, angin

Berita Harian, 26 julai 2007


MENELITI: Aishah Ong (dua dari kiri) meneliti tangan dua pesakit RA,
Ding Mee Hong dan Lim sambil diperhatikan Dr Chow (kiri) selepas
majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Sekolah
Yuk Choi, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Lima daripada 1,000 penduduk Malaysia dianggarkan mengalami masalah kronik babitkan keletihan, sendi

ANDAIAN masyarakat bahawa penyakit artritis reumatoid (RA) adalah penyakit orang tua, penyakit angin atau ‘yap foong’ menyebabkan penyakit ini sering dipandang sebelah mata. Hakikatnya, RA antara penyakit kronik yang boleh meletihkan badan, sekali gus mampu menyebabkan pesakit hilang keupayaan diri.

RA tidak menunjukkan gejala kerana ia menyerang sendi secara senyap sehingga kita sering mengabaikan tanda awal yang sinonim dengan penyakit ini. Kurang kesedaran dan pendidikan awal dalam mengawal serta mencegah penyakit berkenaan dilihat sebagai punca mengapa penyakit itu sering dikesan pada peringkat serius.

Sehubungan itu, Yayasan Artritis Malaysia (AFM) buat julung kali melancarkan Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan, baru-baru ini dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai RA.


SIHAT: Senaman membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan
pada sendi.

Presiden AFM, Dr Chow Sook Khuan, berkata pengenalan terhadap Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan itu juga adalah untuk memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai bahaya penyakit RA selain memberi maklumat mengenai cara pengawalan penyakit berkenaan.

“Ramai antara kita menganggap bahawa penyakit ini tidak bahaya, malangnya salah faham itu menyebabkan ramai pesakit RA gagal mengenalpasti penyakit berkenaan serta tidak mendapatkan rawatan sewajarnya bagi menanganinya secara optimal.

“Dianggarkan lima daripada 1,000 penduduk di negara ini menghidap penyakit RA dan angka itu amat membimbangkan. Pelancaran hari khusus untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit ini diharap dapat membuka minda masyarakat terhadap RA,” katanya pada majlis pelancaran Hari Artritis Reumatoid Kebangsaan di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh penaung AFM, Datuk Dr Aishah Ong.

Sempena majlis itu, beliau turut mengumumkan bahawa 7 Julai sebagai tarikh yang ditetapkan bagi sambutan Hari RA Kebangsaan.

Pada majlis itu, satu pameran mengenai penyakit RA turut diadakan seiring dengan matlamat meningkatkan memberikan pemahaman orang ramai mengenai bahaya penyakit itu.

Kajian menunjukkan pada 2000, penyakit RA menyerang lebih enam juta orang dan mendapati pesakit wanita lebih ramai berbanding lelaki. Malah, kajian itu juga mendapati penyakit berkenaan boleh berlaku pada usia kurang 50 tahun.

Dr Chow berkata, kebanyakan pesakit hanya berjumpa doktor selepas tidak mampu menahan sakit atau ketika menghadapi masalah dalam melakukan tugas harian.

Malah, katanya, ada juga antara mereka yang sudah mencapai tahap yang membimbangkan iaitu mengalami kerosakan atau kecacatan teruk terhadap sendi sehingga menyukarkan pergerakan.

“Tanda awal menunjukkan seseorang akan menghidap penyakit RA ialah bermula pada jari, tangan dan pergelangan kedua-dua belah tangan. Antara lain pesakit menjadi letih, berlaku kekejangan pada waktu pagi atau duduk dalam tempoh yang lama, badan lemah, selesema sehingga demam, sakit, pada otot badan, hilang berat badan, anemia serta kelenjar berlendir,” katanya.

Dalam jangka masa panjang, pesakit akan mengalami pelbagai masalah dan menjejaskan mutu kehidupan termasuk sukar untuk bekerja berikutan pergerakan terbatas. Bahaya penyakit RA dan kesan jangka panjang jelas menunjukkan betapa perlunya masyarakat memahami kesan terhadap pesakit.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat yang ada menunjukkan gejala awal penyakit itu seperti mengalami kesakitan terutama pada bahagian sendi supaya berjumpa doktor atau pakar reumatologi secepat mungkin.

Pengesanan dan rawatan awal dapat mengelak penyakit daripada terus merebak ke tempat lain dan sampai ke tahap yang lebih teruk.

“Pada peringkat awal atau sebelum menghidap penyakit ini, orang ramai dinasihatkan supaya melakukan lebih banyak senaman. Bagaimanapun, mereka yang sudah dikesan menghidap penyakit RA bimbang bahawa senaman akan meningkatkan tahap kesakitan.

“Hakikatnya, senaman secara tetap akan membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan pada sendi. Pada masa sama, senaman juga dapat melenturkan dan memberi kekuatan pada otot serta memberi kesihatan pada jantung dan memberi daya ketahanan yang tinggi,” katanya.


FAKTA: Penyakit Artritis Reumatoid (RA)
  • penyakit jangka masa panjang
    Rawatan:
  • Biologik- mengandungi protein manusia dan haiwan
    Pemakanan:
  • Kepelbagaian - makan pelbagai jenis makanan untuk khasiat pemakanan yang diperlukan.
  • Keseimbangan - kurangkan lemak, gula dan lebihkan buah-buahan dan sayuran, ikan serta yang mengandungi kalsium dan zat besi.
  • Kesederhanaan - makan dengan jumlah yang kecil tetapi lebih kerap bagi menjaga berat badan.
  • Monday, July 23, 2007

    Robot bertangan seperti manusia

    SEKUMPULAN pembuat robot di Jepun akhirnya berjaya menghasilkan prototaip tangan buatan menggunakan ‘otot udara’ yang boleh melakukan kerja-kerja yang memerlukan kelembutan seperti memegang telur.

    Robot yang dibangunkan di kilang robot, Squse, Kyoto itu mempunyai tangan seberat 400 gram dengan lima jari saiz manusia menggunakan fiber tiruan yang boleh dikawal oleh tekanan udara.

    “Sebelum ini, robot hanya digunakan bagi membantu manusia melakukan kerja-kerja berat tetapi kami ingin robot melakukan kerja mudah yang dilakukan oleh tangan manusia,” kata Presiden Squse, Mikio Shimuzu.

    Syarikat berkenaan bercadang menghantar kira-kira 50 prototaip tangan robot kepada institut dan firma penyelidikan dengan rancangan memasarkannya ke luar negara.

    Pensyarah Kejuruteraan Tepat, Universiti Tokyo, Hiroshi Yokoi, ‘otot udara’ mungkin akan menjadi teknologi utama bagi membangunkan tangan tiruan jenis baru di masa akan datang.

    “Apabila dibandingkan dengan robot yang dijana dengan motor, tangan yang menggunakan otot udara lebih ringan dan kurang bising.

    “Dijangka penggunaanya akan menjadi lebih praktikal apabila digunakan pada mereka yang mengalami kecederaan bagi bahagian tangan,” katanya.

    – KHAIRUNNISA