Azam khatam al-Quran
SEPANG: “Kalau boleh saya nak khatam al-Quran di Australia dan dapat sekurang-kurangnya 6A dalam PMR (Penilaian Menengah Rendah),” kata Muhammad Azuan Harris Mohd Alias, 15, penghidap penyakit ketumbuhan pelik di muka dikenali Sindrom Proteus.
Katanya, dia ingin menghabiskan masa tiga bulan di negara itu, terutama selepas menjalani pembedahan untuk menghabiskan baki beberapa juzuk.
“Saya berazam untuk khatam al-Quran ketika di sana. Mungkin dengan masa yang panjang, hasrat saya dapat ditunaikan. Sekarang ini pun, saya dah habis lebih 20 juzuk.
“Saya juga berharap dapat keputusan bagus dalam PMR, ketika peperiksaan percubaan saya dapat 4A,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.
Dia ditemani ibu bapanya, Mohd Alias Hamid, 40, dan Nurhanim Md Zain, 39, selain dua adiknya, Muhammad Aiman Harris, 8, dan Nur Alleysea Harris, 4, untuk menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di Women’s and Children’s Hospital di Adelaide, Australia.
Mereka berlepas pada jam 9.45 malam tadi dengan pesawat MH139.
Hadir sama pada majlis ringkas itu Naib Presiden Kanan Sumber Manusia Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM), Datuk Abdul Aziz Abu Bakar dan Pengurus Besar Kanan Operasi Lapangan Terbang Penerbangan Malaysia (MAS), Mohd Nadziruddin Mohd Basri.
Pembedahan itu membabitkan kos RM16,000 dengan RM11,000 hasil kutipan derma Badan Kebajikan Islam TM (Bakit), manakala bakinya disumbangkan TM.
Mohd Alias bekerja sebagai juruteknik TM di Alor Star, Kedah manakala Nurhanim pegawai pemasaran Celcom di negeri itu.
Nurhanim berkata, anaknya mampu membaca al-Quran dengan lancar biarpun dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna.
“Malah di kampung, dia mengajar kanak-kanak lain mengaji. Kami akan membantunya khatam al-Quran sepanjang tiga bulan di Adelaide, insya-Allah,” katanya.
Sebagai ibu, kata Nurhanim, dia hanya mampu mendoakan supaya anak sulungnya itu akan sembuh satu hari kelak selepas menjalani 30 kali pembedahan sejak berusia dua tahun.
“Malah inilah kali kelima kami ke Adelaide untuk menjalani pembedahan di hospital itu. Hampir setiap detik saya berdoa untuk Along (Azuan) supaya dia sembuh dan mampu menjalani kehidupan seperti remaja lain pada masa depan,” katanya.