Showing posts with label autistik. Show all posts
Showing posts with label autistik. Show all posts

Tuesday, July 10, 2007

Anak hidap autisme perlu daftar

Berita Harian, 10 julai 2007

MUAR: Masalah kewangan tidak harus dijadikan alasan untuk tidak menghantar kanak-kanak yang mengalami masalah gangguan perkembangan otak seperti autisme untuk belajar di pusat khas untuk golongan berkenaan.

Yang Dipertua Persatuan Autisme Kebangsaan Malaysia (Nasom), Mark Mathew, berkata Pusat Intervensi Autisme (Nasom) yang pertama di negeri itu dibuka di Jalan Orkid, Taman Mutiara di sini.

Katanya, pembukaan pusat berkenaan bertujuan mengajar kanak-kanak berkenaan supaya mempunyai kehidupan lebih baik dan mampu berdikari.

"Kami tidak mahu kerana masalah kewangan, kanak-kanak hilang peluang belajar sedangkan mereka boleh mempunyai peluang kehidupan lebih baik jika mengetahui kaedah rawatan dan pembelajaran yang betul," katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Autisme Muar, di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Senator Tay Puay Chuan dan turut dihadiri Pengerusi Nasom, Teh Bay Chun.

Mathew berkata, walaupun penyakit autisme belum dapat disembuhkan, penghidapnya menerusi kaedah rawatan yang betul dapat menjalani kehidupan lebih baik.

Katanya, maklumat yang diperoleh sebelum ini mendapati terdapat lebih 30 kanak-kanak autisme di daerah itu tetapi hanya 12 pelajar tampil mendaftar di sekolah itu.

"Masalah ini timbul mungkin kerana faktor yuran yang tinggi menyebabkan ada ibu bapa yang tidak berkemampuan membatalkan hasrat untuk menghantar anak mereka ke pusat berkenaan.

"Jika kerana masalah berkenaan, Nasom mohon ibu bapa yang masih belum menghantar anak autisme ke pusat berkenaan tampil dan datang berbincang," katanya.

Friday, December 15, 2006

Memahami anak-anak autistik

Utusan Malaysia, 15 Disember 2006

Oleh Dr. Tam Cai Lian (Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan Kesihatan Semulajadi Kolej Universiti Sunway)

ANNIE anak yang cukup comel. Dia jarang menangis dan boleh diletakkan dalam buaian berjam-jam lamanya. Tetapi ketika menjangkau umur tiga tahun, perangainya banyak berubah.

Dia kerap menunjukkan tingkah laku mengganggu dan jarang ada pertembungan mata (eye contact) dengan sesiapa. Tingkah lakunya amat agresif dan sukar dikawal.

Dengan sedikit sahaja gangguan emosi, dia akan menjerit, berguling di lantai dan menghantukkan kepalanya ke dinding. Seisi keluarga cuba bertolak ansur dan memenuhi kemahuannya untuk mengelakkan kecederaan fizikal.

Ibunya berasa letih dan tertekan untuk menjaga dan mengajar anaknya. Atas usaha yang gigih dan kesabaran yang tinggi, tidak juga nampak perubahan yang ketara atas tingkah laku anaknya.

Ibu bapa Annie berasa amat khuatir dan berikhtiar untuk mengubati penyakitnya. Selepas menjalani dianogsis yang rapi daripada pakar, disahkan bahawa anaknya menghidap kecelaruan autistik.

Apabila seseorang bayi dilahirkan, ibu bapa menaruh harapan untuk menjaga dan menyayangi darah dagingnya dengan sempurna. Pada masa yang sama, mereka berharap anak dapat membalas jasa mereka.

Namun, malangnya dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik.

Autisme ialah sejenis kecelaruan yang tidak diberi perhatian yang serius oleh ibu bapa disebabkan oleh kejahilan mereka. Sedangkan mengikut Persatuan Psikiatrik Amerika (APA) pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20 orang dalam setiap 10,000 manusia.

Terdapat kanak-kanak yang menghadapi isolasi yang serius sejak peringkat bayi. Mereka mengasingkan diri daripada pergaulan, pertembungan mata dan amat sukar untuk berinteraksi serta melahirkan perasaan hatinya.

Ramai di antara mereka melukakan diri sendiri atau melakukan perbuatan yang sama secara berulang-ulang selama berjam-jam. Secara tradisional, situasi ini dikenali sebagai ‘infantile autism’ (berasal daripada perkataan Greek, Autus bererti diri).

Kini, para penyelidik mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk membantu anaknya.

Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik. Antaranya adalah ketidakupayaan dalam komunikasi. Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif.

Mereka hidup dalam dunia sendiri. Pada peringkat bayi, anak autistik tidak peduli sama ada dipeluk atau tidak oleh ibu bapanya.

Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi.

Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan muka dalam pertuturan.

Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri.

Hampir 50 peratus daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik pertuturan. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar ‘echolalia’, iaitu mengulangi perkataan orang lain.

Contohnya kalau ditanya ‘Annie, sudah makan?’. Dia akan membalas dengan mengulangi hampir keseluruhan ayat dengan berkata ‘Annie, nak makan?’. Dalam kebanyakan kes, bukan sahaja perkataan diulangi malah intonasinya juga sama.

Walaupun ada segelintir anak autistik yang dapat bertutur, namun mereka tetap menghadapi masalah berinteraksi dengan sekeliling secara berkesan.

Selain itu, anak autistik memperlihatkan tingkah laku dan minat yang agak luar biasa. Annie misalnya suka menyusun alat permainannya dengan cara yang sama pada tempat yang sama.

Tiada siapa yang berani menyentuh atau menukar cara susunannya. Sekiranya alat permainannya hilang atau pernah ditukar cara susunan, dia akan mengamuk dan melonjak-lonjak.

Anak autistik sangat sensitif terhadap kehilangan benda. Mereka mempunyai kesabaran menyusun berpuluh-puluh biji guli secara teratur setiap hari tanpa berasa bosan.

Mereka dapat mengesan dengan cepat walaupun kehilangan satu atau dua biji gulinya. Keupayaan yang menakjubkan ini digelar maintenance of sameness iaitu pengekalan kesamaan.

Anak autistik sanggup menggunakan masa yang panjang untuk mengulangi sesuatu perbuatan seperti memusingkan badan dalam bulatan, melambai tangan di depan mata sendiri atau menggigit kuku.

Sekiranya perbuatannya diganggu, mereka akan mengamuk dan menunjukkan ketidakstabilan emosi. Anak autistik sering melakukan sesuatu mengikut kemahuannya tanpa merujuk kepada orang lain.

Sikap mereka yang angkuh, suka menghafal, mengulang dan tidak menghiraukan kewujudan orang lain merupakan halangan yang merumitkan proses pembelajaran mereka.

Menurut APA lagi, kebanyakan tanda anak autistik dapat dikesan sebelum usia mereka mencecah 3 tahun. Hampir 50 peratus daripada anak autistik mempunyai IQ (Darjah Kecerdasan) kurang daripada 50, iaitu julat kecacatan akal yang serius.

Sementara itu, hampir 25 peratus tergolong dalam julat IQ 50 hingga 70 manakala bakinya memperlihatkan purata IQ yang melebihi 70.

Ujian IQ amat berguna untuk menentukan pronogsis anak autistik. Semakin tingginya skor IQ, semakin kurang sokongan keluarga yang diperlukan.

Untuk mereka yang memperoleh skor IQ yang rendah juga menghadapi masalah menguasai kebolehan berkomunikasi. Anak sedemikian memerlukan sokongan sosial dan pendidikan yang jauh lebih banyak apabila dewasa.

Untuk kebanyakan kes, keupayaan menguasai sesuatu bahasa dan skor IQ merupakan petunjuk ramalan yang boleh dipercayai untuk masa depan anak autistik.

Punca berlakunya kecelaruan autistik boleh ditinjau daripada perspektif psikologikal, sosial dan biologikal. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak penerokaan.

Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa.

Pada peringkat permulaan, Kanner (1943) mengatakan autisme berpunca daripada faktor biologikal.

Dingin

Tidak lama kemudian, pakar klinikal pula membantah dengan mengatakan autisme adalah dipelajari. Keadaan anak sedemikian disebabkan ibu bapa yang bersikap dingin, tidak suka bergaul dan suka mengawal tingkah laku anaknya.

Pada tahun 1967, Bettelheim turut menyokong dengan mengatakan bahawa kecelaruan autistik berlaku hasil daripada gaya layanan ibu bapa yang bercorak kesempurnaan, jarang berkomunikasi dengan anak dan secara relatifnya, jenis keluarga sedemikian mempunyai status ekonomi yang tinggi.

Bettelheim percaya bahawa tingkah laku anak autistik sama seperti askar Jerman yang masih hidup di kem ketika Perang Dunia Kedua. Kumpulan askar ini menunjukkan ciri-ciri autistik seperti tidak prihatin, mengasingkan diri dan juga kelihatan murung.

Pembaca pasti dapat membayang betapa pedihnya hati ibu bapa yang memarahi dirinya dan menyalahkan diri sendiri di atas kelahiran anak sedemikian.

Dari perspektif lain, pada tahun 1975, Cox dan pakar psikologi yang lain telah menjalankan penyelidikan ke atas ibu bapa anak autistik.

Mereka mendapati ibu bapa ini bersifat mesra, suka bergaul dan berintraksi. Walaupun memiliki anak-anak autistik, mereka juga melahirkan anak-anak lain yang normal.

Tahun kebelakangan ini, dimensi biologikal pula lebih diberi keutamaan oleh para penyelidik dan pusat kesihatan profesional.

Beberapa faktor telah dikaitkan dengan kecelaruan autistik termasuk German measles, hypsarrhythmia, cytomegalovirus dan kesukaran bersalin. Terdapat juga bukti yang menunjukkan bahawa autisme disebabkan faktor genetik.

Risiko

Jones dan Szatmari (1988), mengatakan bahawa ramai ibu tidak mahu mengandung selepas melahirkan anak autistik kerana bimbang akan risiko mendapat anak yang menghidap kecelaruan tersebut lagi.

Menurut Cook, 2001, keluarga yang mempunyai anak autistik menghadapi kebarangkalian 3 peratus hingga 5 peratus untuk melahirkan anak autistik yang berikutnya.

Faktor genetik dikaitkan dengan sindrom X yang mengandungi komponen biokimia. Bukti terbaik untuk faktor genetik lahir daripada kajian anak kembar “Twin Studies”.

Kajian ini menunjukkan bahawa anak autistik daripada kembar monozigotik memperlihatkan peratusan autisme yang tinggi, iaitu 70 peratus manakala peratusan autisme untuk anak kembar dyzygotic adalah – 0 (Folstein & Rosen, 2001).

Keputusan kajian menunjukkan bahawa kecelaruan autistik boleh diwarisi. Penyelidik genetik mencadangkan bahawa gen yang terlibat dalam kecelaruan autistik mungkin terletak pada kromosom 2,7,15 dan x.

Bukti sedemikian turut diperoleh oleh Wassink et al (2001) yang mengatakan bahawa gen WNT2 terletak pada kromosom 7 yang mana gen inilah yang memainkan peranan utama dalam menyebabkan kecelaruan autistik.

Untuk kebanyakan anak autistik, mereka menghadapi aras serotonin dan dopamine yang tinggi.

Tsai dan Ghasinddin pada 1992 pula mengatakan 30 hingga 75 peratus daripada golongan autistik memperlihatkan struktur neurologikal yang luar biasa.

Manakala penyelidik yang menggunakan teknologi CT dan MRT mendapati bahawa wujudnya keadaan yang luar biasa untuk bahagian serebelum iaitu saiz yang lebih kecil berbanding orang normal.

Walaupun keluarbiasaan otak ini bukan dijumpai di setiap kajian, ini merupakan dapatan yang lebih boleh dipercayai. Menurut kajian, jantina merupakan satu faktor bahaya yang signifikan.

Lelaki menunjukkan kecenderungan yang lebih tinggi menghidap autisme berbanding dengan perempuan. Kadarnya adalah tiga hingga empat lelaki berbanding perempuan, satu sahaja.

Kajian autistik merupakan suatu bidang yang baru dan masih memerlukan suatu kombinasi teori yang lebih lengkap.

Kebanyakan anak autistik tidak dapat menjaga dirinya dengan sempurna. Mereka terpaksa berada di rumah bersama ahli keluarganya. Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya berputus asa.

Penulis mempunyai seorang rakan yang anaknya Pennie telah menghidap kecelaruan autistik. Pada peringkat permulaan, pasangan suami isteri ini berasa kecewa dan sedih. Mereka enggan menerima kenyataan.

Namun atas pegangan agama dan azam yang kukuh, mereka telah berubah sikap dan ingin membantu anaknya dengan hati terbuka. Pennie telah dihantar ke sekolah khas ketika berumur 4 tahun untuk menerima pendidikan.

Untuk menjayakan program bimbingan si anak, mereka telah mengambil bahagian secara aktif. Pada hakikatnya, penguasaan bahasa dan keupayaan bersosialisasi merupakan aspek penting dalam segala rawatan atau program yang dikendalikan.

Selepas dua tahun menjalani latihan dari sekolah khas, Pennie menampakkan perubahan yang ketara. Dia lebih ceria, mesra dan tidak lagi begitu agresif.

Selain itu, kanak-kanak itu mulai boleh duduk diam untuk mendengar seketika dan berkomunikasi secara ringkas. Tingkah lakunya yang tidak normal juga banyak berkurangan. Ibu bapa dan guru menggunakan teknik pengukuhan seperti diberi buku bergambar selepas berjaya dalam suatu pembelajaran.

Anak merupakan kurniaan Tuhan. Anak-anak autistik yang malang ini seharusnya menerima limpahan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarganya.

Dari segi perubatan psikososial misalnya, penekanan dari segi komunikasi dan sosiolisasi diberi keutamaan. Untuk perubatan biologikal pula, didapati kesannya tidak begitu baik.

Kebanyakan terapi anak autistik meliputi pendidikan khas dalam bidang komunikasi dan sosiolisasi. Pendekatan tingkah laku didapati paling berkesan dalam membantu penguasaan pembelajaran anak autistik.

Apabila dewasa, anak autistik harus digalakkan mengambil bahagian dalam intervensi yang melibatkan komuniti. Ibu bapa anak autistik harus menerima sokongan moral daripada ahli-ahli keluarga dan masyarakat kerana mereka menghadapi tekanan yang tinggi.

Komuniti juga harus bersimpati dan prihatin terhadap anak autistik, menghulurkan bantuan dan sokongan moral supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.

Kepada ibu bapa, jangan sekali-kali berputus asa jika mempunyai anak autistik. Berikanlah rawatan dan pendidikan khas seberapa awal yang boleh kepada anak-anak dan jangan biarkan mereka terabai begitu sahaja.

Friday, August 18, 2006

Kebajikan OKU agenda DBKL

Berita Harian, 18 ogos 2006



MESRA: Shahrizat (tengah) bersalaman dengan penghuni rumah
anak-anak kurang upaya ketika majlis Pelancaran Tabung Kebajikan
dan Pendidikan Impian.


Impian perlukan RM250,000 setahun untuk menyediakan pusat terapi berkualiti, kemudahan pembelajaran kepada kanak-kanak autisme


KUALA LUMPUR: Golongan kurang upaya (OKU) di ibu kota akan terus mendapat sokongan dan perhatian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang akan menjadikan program kebajikan mereka sebagai antara agenda penting DBKL.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan, berkata kepentingan untuk memberikan kerjasama kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilihat kunci untuk mencapai matlamat dalam menyatukan masyarakat menerusi pelbagai kegiatan sosial, kebajikan dan ekonomi OKU di ibu kota.

Beliau berkata, DBKL mempunyai sebuah jabatan khas yang bertindak mengendalikan program berkaitan sosial yang mana menumpukan kepada kebajikan warga emas, anak yatim, orang miskin dan OKU.

“Sehingga 31 Julai lalu, DBKL sudah membelanjakan sebanyak RM400,000 bagi menjayakan pelbagai program berkaitan kemasyarakatan di ibu kota termasuk satu program untuk OKU, tiga untuk anak yatim, lapan untuk ibu tunggal, 23 untuk warga emas, 27 untuk belia dan dadah dan 68 untuk jawatankuasa penduduk.

“Walaupun hanya satu program bagi OKU, tidak bermakna DBKL tidak prihatin dan kurang memberikan bantuan kepada mereka malah kita akan bekerjasama sepenuhnya kepada semua pertubuhan kebajikan di ibu kota dalam melaksanakan program yang dirancang mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival Tabung Kebajikan dan Pendidikan Institut Masalah Pembelajaran dan Autisme Malaysia (Impian) bersama

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di sini, baru-baru ini.

Impian adalah sebuah institut tidak berasaskan keuntungan yang menjaga dan mendidik seramai 40 kanak-kanak berusia antara 2 hingga 25 tahun yang mengalami penyakit Autisme iaitu gangguan dalam perkembangan mental kanak-kanak menyebabkan mereka mengalami masalah pertuturan, komunikasi dan juga mempunyai tingkah laku yang luar biasa.

Kanak-kanak autisme mempunyai kebolehan mendengar dan melihat, tetapi tidak boleh menyampaikan secara langsung kepada orang di sekeliling seolah-olah mereka hidup dalam dunia mereka sendiri.

Sementara itu, Pengerusi Karnival Impian, Noor Hadi Ismail, berkata Impian mempunyai harapan dan cabaran untuk memajukan serta membangunkan potensi kanak-kanak istimewa ke peringkat normal selain diterima masyarakat.

Katanya, dalam usaha memajukan institusi terbabit, pihaknya terpaksa menghadapi pelbagai masalah seperti kewangan dan kepakaran yang perlu diatasi secara berperingkat.

“Sumber kewangan Impian bergantung kepada yuran sekolah yang dikenakan iaitu pada tahap paling minimum selain sumbangan orang ramai. Kami memerlukan kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 setiap bulan bagi menjalankan operasi termasuk gaji pekerja, penyelenggaraan air dan elektrik dan alat bantuan mengajar.

“Kami memerlukan RM250,000 setahun untuk menjalankan operasi ini seperti penyediaan pusat terapi berkualiti dan kemudahan pembelajaran untuk kanak-kanak berkenaan dan bantuan daripada orang ramai mahupun syarikat korporat amat diperlukan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menyumbang kepada tabung itu boleh menyerahkan derma mereka menerusi cek ‘Tabung Kebajikan Dan Pendidikan Impian’ ke akaun Standard Chartered Bank nombor 873-1-5657142-9.

Monday, July 03, 2006

Permata Hati: Kasih bapa buat si cilik autistik

Berita Harian, 3 julai 2006


HATI bapa mana yang tidak runsing apabila si anak tidak menyahut apabila dipanggil? Lantas Kenny Tan Pe Ten mengambil keputusan membawa anaknya Benjamin Tan berjumpa doktor. Risau dan gelisah menghimpit naluri kebapaannya mengenangkan anak itu mungkin bermasalah pendengaran.


“Doktor mengesahkan pendengaran anak saya normal tetapi saya tetap tidak berpuas hati kerana dia masih tidak menunjukkan reaksi atau berpaling sekiranya saya memanggil,” kata Tan.

Justeru melalui seorang kawan, Tan membawa Benjamin ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana menurut rakannya itu Benjamin mempunyai tanda autisme.

“Tafsiran rakan saya benar, Benjamin disahkan autistik. Ketika itu umurnya baru dua tahun setengah dan doktor di HUKM menasihati saya membawa Benjamin ke National Autisme Society of Malaysia (NASOM). Di sana, Benjamin diasuh perkara asas seperti memahami arahan untuk duduk, makan, pakai baju seperti kanak-kanak normal,” katanya.

Sejak setahun lepas, Tan menghantar Benjamin ke Super Touch KL bagi menjalani proses pembelajaran khas untuk kanak-kanak autistik. Beliau kini boleh menarik nafas lega kerana banyak kemajuan boleh dilihat pada Benjamin. Jika dulu anaknya itu terlalu aktif dan tidak boleh duduk diam, kini si kecil boleh memahami arahan serta patuh apabila Tan memintanya duduk di sebelah.

Autisme diklasifikasikan sebagai kecelaruan perkembangan neuro atau mental yang menyebabkan insan autistik gagal berinteraksi secara normal, menghadapi persekitaran komunikasi terhad, berlainan kecenderungan dan kelakuan daripada insan biasa.

Penghidap autisme tidak dapat dikenal pasti melalui fizikal dan ia jauh sekali dari kecacatan mental. Apa yang pasti, sehingga kini punca sebenar autisme masih belum dapat dikenal pasti. Namun apa yang membanggakan, kanak-kanak autistik mempunyai kelebihan istimewa berbanding kanak-kanak normal. Benjamin tidak terkecuali!

“Berbanding anak saya yang lain, Benjamin sangat kreatif. Menyelesaikan teka silang kata bukan suatu masalah baginya walaupun orang dewasa belum tentu boleh melakukan perkara serupa. Dia juga boleh mewarna dengan baik. Pendek kata kerja kreatif nampak hidup di tangan Benjamin,” kata ayah berusia 36 tahun itu.

Sebagai ayah, Tan berharap anak sulungnya itu dapat memasuki sekolah formal seperti kanak-kanak lain apabila mencecah usia persekolahannya nanti. Berdasarkan perkembangan Benjamin yang kini berusia lima tahun, beliau sudah mulai bergaul dengan rakan sebaya. Jika dulu kanak-kanak comel itu menolak untuk bermain dengan adiknya, kini Benjamin betah melayani kerenah mereka!

Ketika ditemui di Restoran McDonald Jalan Pahang, Benjamin dan Tan hanya berdua tanpa ibunya. Tan memaklumkan anaknya itu bukan saja rapat dengannya tetapi turut manja dengan ibu dan nenek. Sebagai bapa kepada anak istimewa, tan tidak mahu bertindak melepaskan tanggungjawab kepada isterinya saja. Katanya Benjamin perlu ayah dan ibu!

Sempena bulan khas untuk bapa, Ronald McDonald Children’s Charities Fund of Malaysia (RMCC) membawa Benjamin yang juga pelajar Super Touch KL bagi meraikan bapa. Walaupun Benjamin tidak mahu bertutur terutama di hadapan orang yang tidak dikenalinya, namun riak wajahnya cukup memberitahu ‘Saya sayang papa!’.

FAKTA
Ciri kanak-kanak autistik


  • Ketidakupayaan untuk berhubung melalui pertuturan atau membentuk pertalian peribadi normal.
  • Corak tingkah laku berulang dan terhad.
  • Perwatakan lebih muda daripada usia mereka.
  • Tidak suka bersosial dan berkomunikasi dengan orang lain.
  • Meniru pertuturan orang lain atau gaya yang dilihat di televisyen.
  • Masalah pendengaran.
  • Kerap berkhayal dengan dunia mereka sendiri.
  • Tidak mengendahkan rasa sakit.
  • Makan makanan yang terhad jenisnya.


  •