Showing posts with label Buta. Show all posts
Showing posts with label Buta. Show all posts

Monday, August 27, 2007

Gay paksa tukang urut OKU

http://groups.yahoo.com/group/gokum/message/3016

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Siti Fatimah Hassan

KUALA LUMPUR: Golongan gay atau homoseksual gersang sanggup membayar 'duit
tip' antara RM100 hingga RM200 kepada tukang urut cacat penglihatan semata-mata
untuk memuaskan nafsu seks yang sedang bergelora.

Tindakan tidak senonoh golongan terbabit mempergunakan golongan kurang upaya
(OKU), menimbulkan perasaan kurang selesa pengamal perubatan tradisional di
kalangan orang cacat penglihatan yang mendakwa perkhidmatan ditawar
disalahertikan.

Perkara itu didedahkan sendiri seorang daripada tukang urut cacat penglihatan
terbabit yang hanya dikenali sebagai Zamri, dengan mendakwa ada di antara
golongan terbabit bertindak keterlaluan apabila meminta melakukan perbuatan keji
termasuk beronani dan 'urut batin'.

Zamri berkata, kewujudan terlalu banyak pusat urut maksiat di sekitar ibu kota
menyebabkan orang ramai turut menganggap golongan senasibnya menawarkan
perkhidmatan sama apabila sanggup 'berhabis' berbanding caj urutan biasa.

"Tidak kira apa bangsa sekali pun, semua mempunyai niat yang satu iaitu
semata-mata untuk mendapatkan 'khidmat songsang' daripada kami," katanya kepada
Harian Metro, ketika ditemui di Brickfields, di sini.

Selain itu, Zamri berkata kebanyakan mereka itu tanpa segan silu meminta
perkhidmatan songsang berkenaan malah yang lebih berani 'meraba-raba' tubuh
badan tukang urut buta ketika mengurut golongan terbabit.

"Perkara seperti ini sering berlaku. Mereka hanya datang dan terus bertanyakan
mengenai perkhidmatan itu. Sepatutnya kami yang mengurut mereka, tetapi bertukar
sebaliknya apabila mereka pula yang 'mengurut' kami.

"Mungkin dia ingat orang celik biasa melakukan perkara keji lalu menganggap
golongan seperti kami melakukan perbuatan sama, tetapi mereka silap kerana kami
bukan tukang urut jenis itu," katanya yang mengusahakan pusat urut di Gombak.

Tindakan itu dikatakan menjadi jalan alternatif bagi mereka yang ingin
memuaskan nafsu apabila pusat urut maksiat sedia ada kendalian orang normal
sering diserbu pihak berkuasa selain ada pula yang mencari 'selera baru'.

Harian Metro difahamkan pusat urut dimaksudkan itu banyak beroperasi di sekitar
Pandan Jaya dan Pandan Indah, selain spa gay di ibu kota seperti di Bukit
Bintang sering kali menjadi tumpuan golongan songsang terbabit.

Malah, pendedahan Harian Metro pada 21 Februari lalu turut menyelongkar
mengenai sindiket 'rumah urut gay tempatan' yang dikendalikan individu normal
dikesan semakin berani menonjolkan diri dengan memancing pelanggan mewah
antarabangsa menerusi panggilan telefon.

Perkhidmatan eksklusif itu ditawarkan terus ke depan pintu dan tukang urut gay
idaman akan memberikan perkhidmatan berdasarkan keperluan pelanggan, manakala
lokasinya terserah kepada kedua-dua pihak kerana tukang urut dihantar sindiket
menggunakan pengangkutan peribadi.

Sebelum transaksi bagi dwiperkhidmatan gay termasuk urutan dan teman sosial
dipersetujui antara kedua-dua pihak, satu ejen khas yang dilantik sindiket
ditugaskan untuk menjadi perantara bagi menerima panggilan terbabit.

Saturday, August 11, 2007

RM440 juta disedia untuk pelajar istimewa

Berita Harian, 11 ogos 2007

JABATAN Pendidikan Khas (JPK) Kementerian Pelajaran akan memastikan peruntukan kerajaan sebanyak RM440 juta dimanfaatkan sepenuhnya untuk 35,000 pelajar istimewa di sekolah pendidikan khas dan integrasi seluruh negara.

Peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan itu bertujuan memastikan pelajar istimewa turut menerima kemudahan pendidikan sempurna seperti pelajar normal.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Jabatan Pendidikan Khas), Azizah Abd Gani, berkata peruntukan besar itu digunakan bagi menampung kos pembangunan pengajaran dan pembelajaran (P&P) terutama pembelian peralatan pendidikan.

Beliau berkata, kos pembelian barangan dan peralatan itu kini semakin meningkat kerana sebahagian besar perlu diimport dan pertukaran mata wang asing itu adalah faktor menyumbang kepada peningkatan kos.

“Selain itu, peruntukan juga digunakan untuk menghantar tenaga pengajar sekolah terbabit mengikuti kursus berkaitan di luar negara, antaranya Australia, New Zealand, Jepun, Jerman dan United Kingdom.

“Walaupun jumlah pelajar istimewa ini kurang satu peratus daripada populasi lima juta pelajar sekolah rendah dan menengah, peruntukan besar diperlukan kerana kerajaan mahukan kemudahan terbaik disediakan untuk mereka.

“Setakat ini Malaysia adalah negara paling berjaya di rantau ini dalam menyediakan program pendidikan menyeluruh kepada pelajar kurang upaya sama ada menerusi sekolah pendidikan khas mahupun integrasi,” katanya ketika ditemui di Putrajaya, baru-baru ini.

Setakat ini, sejumlah 32 sekolah pendidikan khas beroperasi seluruh negara dan daripada jumlah itu, 28 sekolah rendah manakala empat lagi sekolah menengah. Selain itu, pelajar istimewa turut ditempatkan di 1,180 sekolah biasa berkonsepkan integrasi.

Mengulas lanjut pembelian peralatan P&P pelajar istimewa, Azizah berkata, ia membabitkan kos tinggi, contohnya untuk seunit embosser iaitu alat bantuan pembelajaran pelajar cacat penglihatan, harganya antara RM60,000 hingga RM70,000.

“Bagi menampung kos bantuan pendengaran pelajar cacat pendengaran pula, kami perlu membelanjakan RM25,000 untuk setiap telinga.

“Kini ada teknologi menanam koklea disediakan, tetapi kosnya tinggi hingga mencecah RM80,000. Bagaimanapun, ada beberapa kes, ibu bapa berkemampuan menyediakan sendiri alat itu untuk anak mereka,” katanya.

Tuesday, July 31, 2007

UUM tawar kursus untuk pelajar cacat penglihatan

Berita Harian, 31 julai 2007

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) muncul universiti awam kedua selepas Universiti Malaya yang menawarkan tempat kepada golongan cacat penglihatan bagi meneruskan pengajian di universiti itu bermula sesi akademik Julai tahun depan.

Penawaran itu dilaksanakan menerusi program We Care 2007 anjuran bersama Persatuan Pertubuhan Antarabangsa dan Sains Sosial (AIESEC), UUM dan St Nicholas Home, Pulau Pinang sebagai alternatif kepada golongan cacat penglihatan melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Multimedia, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Kedah, Datuk Azimi Daim, berkata golongan cacat penglihatan berhak mendapatkan peluang sama rata seperti pelajar lain untuk meneruskan pengajian di universiti dan UUM akan membantu dan memberikan peluang berkenaan.

Katanya, program We Care 2007 menunjukkan keprihatinan dan kewibawaan pelajar UUM membantu masyarakat itu dengan mewujudkan suasana kondusif kepada mereka untuk bersama-sama pelajar lain.

“Dengan terlaksananya program ini, UUM akan menjadi contoh kepada universiti lain kerana berjaya merealisasikan misi untuk menjadi universiti yang prihatin terhadap golongan cacat penglihatan.

“Saya berharap UUM dapat menyediakan kemudahan yang sempurna bagi memastikan keselesaan bagi golongan berkenaan meneruskan pengajian dan menjalani kehidupan seharian di universiti,” katanya di Sintok, semalam.

Beliau turut mengumumkan sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM5,000 kepada AIESEC UUM bagi melaksanakan program berkenaan.

Monday, June 18, 2007

Bapa tunggal cekal layan empat anak istimewa

Berita harian, 18 jun 2007



KASIH BAPA: Md Jusoh (dua dari kiri) melayan empat anaknya
yang cacat menjamu selera di kediamannya di Kampung
Telok Bagan, Tandop, Alor Star.

Petani beri layanan baik buktikan kasih sayang kepada arwah isteri

ALOR STAR: Biarpun tidak pernah menerima hadiah atau penghargaan pada sambutan Hari Bapa yang diraikan setiap tahun, seorang bapa tunggal di Kampung Telok Bagan, Tandop dekat sini, tetap tabah menjaga empat anaknya yang cacat.

Bagi Md Jusoh Mat, 68, anugerah atau penghargaan tidak sebesar mana nilainya, berbanding melihat kehidupan empat anaknya yang serba kekurangan terurus dengan baik sepanjang masa.

Selepas kematian isterinya, Sopiah Hussein, 62, akibat sakit lutut tiga tahun lalu, beliaulah yang menjadi ibu dan ayah kepada Mokhtar, 45; Saniyah, 42; Mohd Yusuf, 37 dan Siti Aminah, 32.

Mokhtar mengalami cacat penglihatan selepas diserang demam panas ketika berusia 32 tahun, manakala Mohd Yusuf, Saniyah dan Siti Aminah pula tidak boleh berjalan kerana menghadapi masalah tulang rapuh sejak kecil.

Mohd Yusop turut mengalami cacat pada tangan kiri yang saiznya lebih kecil apabila tulangnya patah dua kali kerana rapuh ketika kecil.

Dua lagi anaknya, iaitu Bushra, 44, dan Noraini, 40, normal dan mereka sudah berumah tangga serta tinggal di rumah berasingan bersama keluarga masing-masing.

"Selepas kematian isteri, saya terpaksa mengambil alih tugas memasak, mengemas rumah dan membasuh pakaian keempat-empat anak sebelum keluar bekerja di sawah padi," katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Bagi Md Jusoh, biar pun dibantu oleh Saniyah yang berkesot untuk bergerak, beliau lebih gemar melakukan kerja rumah sendiri kerana kasihan melihat anak ketiganya itu.

Daripada empat beradik yang cacat itu, Saniyah lebih aktif dan membantu bapanya.

Katanya, selain buta beliau akan memastikan Mokhtar mengambil ubat setiap hari kerana penyakit lelah yang dialaminya agak serius.

"Disebabkan dia tidak dapat melihat, saya terpaksa mengasingkan dan memberinya makan ubat sebelum bekerja setiap pagi kerana bimbang dia tersilap ambil ubat," katanya.

Md Jusoh berkata, beliau berazam untuk memberikan layanan terbaik kepada keempat-empat anaknya itu sebagai lambang kasih sayang yang tidak pernah luntur kepada arwah isterinya yang melahirkan anak mereka.


Tuesday, May 15, 2007

Guru buta tabah didik pelajar

Utusan Malaysia, 15 Mei 2007

Oleh ADNAN MOHAMAD

KUALA TERENGGANU 14 Mei – Cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini untuk mencurahkan jasanya mendidik pelajar agar menjadi warga negara berguna.

Walaupun terpaksa dipimpin setiap kali ke kelas untuk mengajar, Mohamed Ismail, 53, tidak pernah berasa rendah diri, sebaliknya berbangga kerana bidang perguruan yang diceburinya dapat membantu pelajar terutama dari golongan miskin untuk mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Mohamed ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini menganggap dirinya umpama lilin yang menerangi orang lain meski pun beliau sendiri tidak pernah melihat cahaya kerana buta sejak lahir.

“Menurutnya, setakat ini beliau tidak menghadapi masalah semasa mengajar atau bergerak di dalam kelas menggunakan tongkat kerana sering dibantu oleh guru-guru lain serta para pelajar sekolah berkenaan.

“Mereka selalu memimpin saya untuk dibawa ke kelas atau ke bilik guru sebaik sahaja selesai mengajar,” ujarnya yang mengajar mata pelajaran Sejarah untuk pelajar tingkatan satu dan dua SMK Seri Nilam.

Mohamed yang menceburi bidang perguruan sejak 26 tahun lalu memberitahu, semua bahan pengajaran diperoleh dari huruf braile yang kemudiannya diterjemahkan oleh isteri, Junainah Wan Chik, 49, atau anak-anaknya sebelum dicetak dan diagihkan kepada pelajar.

Di atas kecemerlangannya, Mohamed yang mempunyai tujuh anak dianugerahkan Guru Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2005.

“Saya bangga kerana walaupun cacat penglihatan namun saya diberi kepercayaan untuk mengajar murid-murid normal,” ujarnya.

Seperti guru-guru lain, beliau yang berkelulusan Diploma Pendidikan dan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Melayu serta Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya (UM) bangga kerana jasa mereka diingati melalui sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.

Bagi Mohamed, sambutan Hari Guru disambut dengan perasaan terharu kerana segala jerih payah golongan guru dihargai dan disanjung tinggi.

Katanya, cabaran dalam bidang perguruan bukan sedikit malah menuntut kekuatan semangat yang jitu jika tidak mahu kecundang di tengah jalan.

“Para pelajar serta ibu bapa sekarang tidak sama seperti dulu, justeru para guru perlu mempunyai kemahiran komunikasi dan menyelesaikan masalah supaya tidak timbul sebarang salah faham,” ujarnya.

Wednesday, April 04, 2007

Hishammuddin ‘belajar semula’ di sekolah rendah

Utusan Malaysia, 4 April 2007

PARIS 3 April – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ‘kembali semula’ ke bilik darjah hari ini untuk mempelajari selanjutnya tentang program mengintegrasikan pelajar cacat penglihatan dengan rakan sebaya mereka yang normal di sebuah sekolah rendah.

Sambil duduk di bangku di bilik darjah, beliau bertanya dengan penuh minat kepada cikgu Valerie Rouget mengenai cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan program seperti itu, peralatan yang diperlukan dan bentuk kelonggaran yang perlu ada bagi menjadikan inisiatif itu satu kejayaan.

‘‘Saya memang percaya bahawa pelajar cacat penglihatan harus diintegrasikan dengan kanak-kanak normal di sekolah,’’ katanya ketika melawat Ecole Elementary – satu-satunya sekolah rendah di Paris dengan kelas untuk pelajar cacat penglihatan.

Rouget memberitahu Hishammuddin, ada lapan pelajar di bawah jagaannya, berumur antara 6 dan 12 tahun, yang mempelajari subjek seperti Matematik dan Bahasa Perancis.

Hishammuddin yang kagum dengan apa yang disaksikannya di sekolah itu yang dibina pada 1886, memberitahu pegawai yang mengiringi beliau dan Pengetua sekolah itu, Thierry Jallerat bahawa beliau mengabadikan dalam ingatan apa yang akan dilakukan sekembalinya ke tanah air kelak.

‘‘Meskipun bilik darjah perlu kecil dengan tidak lebih daripada 12 pelajar, kepimpinan sekolah dan kelas serta guru yang mempunyai autonomi untuk menentukan kemajuan pelajar, amat mustahak.

‘‘Hubungan sekolah-ibu bapa juga amat penting bagi kejayaan pelaksanaan program berkenaan,’’ kata Hishammuddin yang diiringi dalam lawatan itu oleh Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan di kementerian berkenaan, Datuk Yusoff Harun dan Timbalan Pengarah Bahagian Latihan Guru, Datin Asariah Mior Shaharuddin.

Lawatan

Delegasi itu turut disertai Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Razali Ismail dan Anggota Parlimen Cameron Highlands, S. K. Devamany, seorang bekas guru.

Lawatan ke sekolah itu, yang mempunyai pelajar berjumlah 360 orang, merupakan sebahagian daripada jadual padat Hishammuddin hari ini, iaitu hari kedua dalam lawatan empat hari beliau ke sini.

Beliau kemudian dijadual meraikan delegasi 192 anggota tetap UNESCO (Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu) dalam jamuan tengah hari dan melawat Institut Antarabangsa bagi Perancangan Pendidikan.

– Bernama

Friday, December 22, 2006

Kerani bank saman HUSM kerana cuai

Berita harian, 22 Disember 2006

KOTA BHARU: Seorang kerani Bank Simpanan Nasional (BSN) memfailkan tuntutan saman terhadap Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang didakwanya cuai ketika menjalankan pembedahan resdung sehingga menyebabkannya cacat penglihatan.

Plaintif, Saharuddin Husin, 36, yang berkhidmat dengan BSN cawangan Kota Bharu mendakwa HUSM dan dua lagi defendan iaitu pakar otorinolaringologi, Dr Rushdan Ismail serta Unsains Tech Services Sdn Bhd cuai sehingga menyebabkan mata kirinya juling dan pandangan tidak jelas.

Akibat kecuaian defendan pertama yang juga Dr Rushdan itu, plaintif mendakwa kecederaan pada mata, kesakitan, tekanan mental dan tidak dapat menjalankan pekerjaan dengan baik.

Sehubungan itu, beliau menuntut defendan membayar ganti rugi kos rawatan dan tambang serta penginapan di Pakistan ketika mendapatkan rawatan susulan sebanyak RM21,356.76.

Selain itu, plaintif turut menuntut defendan menanggung kos rawatan dan perubatan lanjutan serta laporan perubatan.

Bapa kepada empat cahaya mata itu, dalam writ samannya mendakwa beliau menghidap penyakit resdung yang dikenali sebagai `rhinosinusitis with nasal polyps' dan dimasukkan ke HUSM untuk menjalani pembedahan oleh Dr Rushdan.

Bagaimanapun, dakwanya, defendan pertama secara cuai menjalankan pembedahan sehingga menyebabkan pendarahan berlaku dalam mata plaintif sehingga menyebabkannya juling dan semua objek dilihat nampak dua.

Selain itu, plaintif yang memfailkan tuntutan itu menerusi peguamnya, Mohd Nasir Md Daud daripada Tetuan Zainal & Mariani di Mahkamah Tinggi sini, semalam, mendakwa sakit kepala dan tengkuk secara berterusan sehingga kini dan penyakit resdungnya tidak pulih.

Berikutan kecacatan dan kesakitan yang dialaminya, plaintif terpaksa menjalani pembedahan dan rawatan lanjutan di Pakistan, namun matanya yang juling tidak berubah.

Beliau mendakwa defendan pertama gagal memberi penerangan mengenai risiko pembedahan yang dijalankan dan mengesahkan pembedahan itu hanya kecil dan tidak berisiko.

"Defendan pertama membuat potongan pembedahan yang terlalu besar hingga menyebabkan ia menjangkaui kawasan mata, selain gagal membaik pulih kecederaan dan kecacatan dialaminya,” katanya.



"Atas kecuaian defendan, saya terpaksa menjalani rawatan dengan beberapa pakar termasuk pakar luar negara dan menghabiskan wang yang banyak, namun kecederaan masih tidak dapat disembuhkan," dakwanya.



Thursday, December 07, 2006

Harun Ahmad buta bukan penghalang jadi komposer

Utusan Malaysia, 7 disember 2006

Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Harun AHMAD (kiri)di dalam studio menerbit lagu Rebah untuk Ina Naim.

DIA yang dilahirkan pada awalnya dalam keadaan sempurna, akhirnya terpaksa akur dengan kehendak Ilahi apabila kehilangan penglihatan ketika usia mencecah 17 tahun.

Sejak itu, keindahan alam semesta dan wajah-wajah setiap ahli keluarga serta sahabat-handai, sudah tidak dapat dilihatnya lagi.

Tiba-tiba segalanya berubah. Harun Ahmad pada awalnya mengalami pandangan yang kabur (akibat masalah urat retina) tetapi dia tidak mengambil kisah sehinggalah pada suatu hari, dunia dipandangnya gelap gelita.

Seperti insan lain, Harun, 37, mengaku pada awalnya dia berasa sedih dengan nasib yang menimpa dirinya.

Namun, dia cepat insaf dan bersyukur kerana Allah masih lagi memberinya peluang untuk menghirup udara di bumi ini biarpun dalam keadaan buta.

Berbekalkan semangat itulah, Harun tidak mahu mengaku kalah kepada kekurangan diri. Dia terus mendaftar diri di Persatuan Orang Buta, Brickfields, Kuala Lumpur untuk belajar menyesuaikan diri sebagai orang kurang upaya (OKU).

Alhamdulillah, dalam persatuan tersebut dia belajar mengurut dan pada waktu yang sama belajar bermain gitar.

“Pada mulanya saya sedih bila tiba-tiba saja pandangan menjadi gelap. Tapi kemudian saya fikir semula, hidup mesti diteruskan. Jadi saya pun mula menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai anggota Persatuan Orang Buta Brickfields pada tahun 1988,” kata Harun yang minat menyanyi itu.

Melalui bimbingan daripada pembimbing-pembimbing persatuan itu, Harun yang berasal dari Felda Ulu Tebrau, Ulu Tiram, Johor mula menyedari dia mendapat keistimewaan lain setelah satu nikmat pancainderanya ditarik balik.

Keistimewaan yang diperoleh selepas buta ialah bakat mencipta lagu. Padahal sebelum itu dia tidak pernah terfikir untuk menjadi komposer selain minat menyanyi.

Lagu pertama ciptaan anak ke-12 daripada 13 beradik itu ialah Langkah Seiringan dendangan kumpulan Exists pada tahun 1991.

Menceritakan pengalaman pertama mendapat ilham mencipta lagu, kata Harun: “Satu pagi sewaktu sedang bancuh kopi, tiba-tiba saja datang idea melodi untuk lagu Langkah Seiringan itu yang dimuatkan dalam album sulung Exists, Untukmu Ibu. Dalam masa setengah jam sahaja lagu dan lirik itu siap. Lagu tersebut dirakamkan di Singapura.

“Saya pun tidak tahu dari mana bakat mencipta itu datang. Itulah kekuasaan Allah, Dia tarik yang ini, Dia bagi yang lain. Mungkin kalau saya sihat seperti dulu, saya tidak dapat bakat mencipta lagu,’’ kata Harun yang amat berterima kasih kepada Jojo Production kerana memberi peluang padanya mengetengahkan bakatnya itu.

Populariti lagu Langkah Seiringan kemudiannya memberi peluang pada Harun untuk menyumbang lagu kedua kepada Exists iaitu Janji Padamu yang dimuatkan dalam album kedua kumpulan tersebut. Dia kemudian turut mencipta lagu untuk kumpulan Mega menerusi lagu Suara Cinta dan Cinta untuk kumpulan Diana.

Bagaimanapun pada tahun 1994, Harun tidak aktif mencipta lagu kerana menumpukan perhatian sebagai tukang urut di Pulau Langkawi.

Namun empat tahun kemudian dia kembali mencipta lagu untuk Ashira. Bagaimanapun ternyata lagu ciptaan Harun sentiasa membawa tuah kepada Exists. Kali ini Exists popular dengan lagu Jesnita pula. Lagu lain yang turut menjadi siulan ramai ialah Hadirlah Mustika (Spin), Bicara Kasih (Elly Mazlein), Satu Kenangan (Kristal), Lafaz Cinta (Khai), Alya Mysara (Mamat) dan bakal berada di pasaran nanti Wanita (Leez AF4) serta Rebah (Ina Naim).

“Hingga kini saya telah mencipta lebih 50 buah lagu. Ada yang saya buat lirik sendiri dan bila tidak cukup masa saya minta orang lain tuliskan. Saya suka buat melodi yang catchy.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah belajar dengan mana-mana guru untuk mencipta lagu. Semua kebolehan itu kurniaan Allah. Begitu juga dengan lirik, selalunya ia datang secara spontan,’’ kata Harun.

Biarpun buta namun Harun tetap aktif seperti orang lain. Selain mencipta lagu, suami kepada Fauziah Hashim dan bapa kepada Fatin Nurhalika, 8, dan Fatin Nurhidayah, 5 tahun itu juga bertugas sebagai Pengurus Promosi di Marya Studio yang kini sedang mempromosikan album penyanyi baru, Bard.

Sebelum ini Harun pernah menjawat jawatan yang sama di syarikat Music Valley dan Zezz Entertainment.

“Saya bersyukur kerana masih ada pihak yang percaya dengan saya. Walaupun saya begini namun saya mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik kerana saya ada ramai kenalan dalam bidang ini. Selebih itu saya mempunyai keluarga yang sempurna,’’ katanya yang bercadang untuk menjalani rawatan di luar negara suatu hari nanti.

Monday, December 04, 2006

Tumor mata himpit saraf optik, sebabkan buta

Utusan Malaysia, 4 disember 2006


Doktor,

SUAMI saya menghidap penyakit tumor di bahagian mata sebelah kiri. Dia mula-mula mengalami mata berair dan sakit kepala yang teruk, terasa berdenyut-denyut. Suami pernah membuat pemeriksaan mata sebanyak tiga kali di salah sebuah hospital universiti pada tahun 1993 tetapi kini, tidak lagi.

Ini kerana, dia seorang yang terlalu penakut orangnya. Buat masa sekarang, kelopak mata dan kening sebelah kirinya sudah tersembol tinggi dan kelihatan bengkak seperti mata buaya. Saya rasa, tumor yang dihadapinya itu berada pada bahagian belakang biji matanya.

Suami saya ada bertanya dengan kawannya yang juga merupakan seorang doktor mengenai keadaan matanya itu. Menurutnya, sekali pun dibedah, peluangnya adalah 50/50 sahaja dan kemungkinan ia akan berakhir dengan buta. Ini menambahkan lagi kengeriannya untuk menjalani pemeriksaan mata yang sempurna.

Soalan saya doktor, adakah mata suami boleh diubati dengan cara laser di mana- mana pusat rawatan yang menawarkan perkhidmatan sebegitu kerana saya tahu ada beberapa institusi di negara kita yang memang menawarkannya? Ini kerana, suami saya tidak mahu matanya dibedah.

Saya pernah menghubungi beberapa hospital yang menggunakan laser ini tetapi mereka menasihatkan agar saya membawa suami berjumpa pakar mata terlebih dahulu.

- DOLLY

Dolly,

Berdasarkan penerangan yang diberikan, keadaan mata suami puan nampaknya serius. Terdapat pelbagai jenis tumor atau barah yang boleh melibatkan kawasan mata, sama ada di dalam bebola mata ataupun persekitarannya.

Tumor ini boleh jadi tumbuh secara akut atau merebak secara perlahan-lahan seperti di dalam kes yang menimpa suami puan.

Puan tidak memberi penjelasan tentang keadaan penglihatan mata suami puan, sama ada masih seperti dahulu atau sudah kabur kerana salah satu kesan serius tumor pada kawasan mata adalah ia menghimpit saraf optik mata dan boleh menyebabkan kebutaan.

Saya tidak dapat memberikan penjelasan sama ada tumor suami puan ini boleh dirawat secara laser atau bedah ataupun tidak, tanpa membuat pemeriksaan teliti.

Suami puan juga kemungkinan besar memerlukan pemeriksaan CT Scan kepala dan orbit untuk mengetahui saiz tumor dan sejauh mana ia telah merebak.

Apa yang boleh saya sarankan di sini adalah supaya puan membawa suami berjumpa doktor pakar mata dengan segera.

Jawapan disediakan oleh Pakar Perunding Mata, Hospital Pakar Shah Alam, Selangor.

Tuesday, November 28, 2006

Pertunjukan fesyen wanita buta

Berita Harian, 28 november 2006


AHMEDABAD: Sekumpulan model buta mengadakan pertunjukan fesyen yang disifatkan penganjur sebagai yang pertama kali seumpamanya diadakan di India bertujuan mengikis tanggapan stereotaip masyarakat terhadap golongan cacat.

Dengan berpakaian India lebih 30 wanita muda berjalan tanpa bantuan pada satu pertunjukan di Ahmedabad, ibu negeri Gujerat.

“Saya tidak nampak bagaimana diri saya dengan berpakaian baru ini tetapi saya gembira,” kata seorang peserta, Ekta, 23.

“Saya pernah mendengar mengenai pertunjukan fesyen dan pakaian pereka melalui televisyen tetapi tidak pernah mengimpikan berjalan seperti yang dilakukan model,” katanya yang mengenakan sari hijau yang dihiasi labuci.

Penganjur berkata, pertunjukan fesyen berkenaan yang menarik kira-kira 200 penonton adalah yang pertama kali pernah diadakan di India, negara yang mempunyai 22 juta penduduk cacat yang berhadapan dengan diskriminasi dan tidak mendapat hak yang saksama.

“Orang buta tidak dikira sebahagian daripada masyarakat menyebabkan mereka bosan dan terasing daripada kehidupan glamour dan dunia yang menarik,” kata Mukta Dagli dari Pragya Chaksu Sanstha, badan kebajikan bagi mereka yang hilang penglihatan.

“Kami ingin membawa masyarakat buta keluar daripada kehidupan gelap mereka. Sekarang dunia melihat mereka.”

Wanita muda berkenaan mengenakan sendiri pakaian dan solekan mereka dan diberikan latihan selama seminggu bagaimana cara untuk catwalk dan bergaya dengan bantuan koreografer.

“Kami muda, cantik dan harap akan melakukan lebih banyak pertunjukan untuk mendapat keyakinan melawan kehidupan gelap kami,” kata Shweta Kothari, 25. – Reuters


Thursday, November 02, 2006

Apa itu Jaws?

Oleh: Toyol Cyber

Apa itu Jaws?

jaws ni ada dua.
1. jaws ialah seekor ikan besar. Ikan ni khabarnya, boleh makan orang.
yalah sebab dia besar.

2. jaws ialah salah satu screen reader bagi orang-orang buta. Fungsi
screen reader ini ialah untuk membolehkan orang-orang buta mengetahui
text-text yang terpapar di screen komputer. Dia hanya boleh membaca text
dan tidak akan membaca grafik atau gambar serta foto. kalau ada grafik,
jaws hanya akan menyebut grafik atau diamkan diri. kalau ada gambar, dia
akan terus mendiamkan dirinya tanpa berkata walau sepatah pun.

Jaws ini didatangkan dari Amerika Syarikat. jadi kalau dia cakap melayu
alahai macam mat Salleh. Ok, kalau siapa nak dengar Jaws bercakap, sila
clic link di bawah. Saya telah merakamkan suara jaws untuk membaca sebuah
cerpen karangan orang buta yang bertajuk Temanku, harapanku. Ini dibaca
oleh jaws sreen reader itu sendiri. Saya telah menggunakan sound forge
untuk merakamkannya. Ok clic link di bawah.
http://www.sendspace.com/file/6nk9bo
file ini file mp3.
Ok sambung balik penerangan tentang Jaws.

Bila orang tulis rengkas, jaws akan baca entah hapa-apalah. Aku seniri
pun tak paham. Ok, kalau boleh saya nak salah seorang, hantar ke mail
peribadi saya, satu artikal yang betul-betul menggunakan tulisan rengkas
macam orang cited selalu buat. nanti saya bagi jaws tu baca dan saya
rakamkan dan anda semua dengar sendiri bagaimana peliknya jaws baca.

Sebab itu kalau boleh, elakkan daripada menghantar guna ayat rengkas.

(Ok, dengar dulu, kalau ada apa-apa, barulah hangpa tanya)

Sekian Ddari Toyol Cyber 007.

Toyol Cyber, Duri dalam daging, Gunting dalam lipatan.

Thursday, September 28, 2006

Bakat insan istimewa

Berita Harian, 28 september 2006


Pertandingan Deklamasi Puisi MAB jadi medan luahan rasa, gelanggang kritik isu semasa

PERTANDINGAN Deklamasi Puisi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (MAB) 2006 di Dewan Utama Kompleks MAB, Brickfields, baru-baru ini, menjadi medan luahan rasa kelompok terbabit dan gelanggang kritik isu semasa.

Tidak ketinggalan, kebanyakan peserta acara anjuran MAB Kuala Lumpur/Selangor dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), turut memilih puisi bertema keamanan dan kasih sayang insan.

Juara pertandingan, Penolong Pengarah, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Zahari Hashim, menyampaikan lagu puisi Harga Remaja karya Prof Rahman Shaari sambil diiringi muzik rekorder tiupan anaknya, Nur Shafikah Izzati, 11.

Tidak ketinggalan, Zahari turut mencuri kesempatan menyampaikan puisi sinis ciptaannya, Berilah Aku Peluang, yang meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap layanan kelompok cacat penglihatan:

Kami dikatakan insan kurang upaya
lalu keupayaan kami
yang masih tersisa
bagai dilupakan.

Naib johan, pengamal urutan refleksi, Mohd Syukri Sahman, yang turut menarik tumpuan pada malam itu, memperdengarkan puisi ciptaannya, Kezaliman Memuncak Kedamaian Dipijak.

Puisi itu dicipta ketika beliau mendengar siaran radio waktu pagi di rumahnya, mempamerkan kepekaan beliau kepada hiruk-pikuk kezaliman kelompok berkuasa yang hanya mementingkan diri sendiri:

Amankah dunia
andai kezaliman memuncak
amankah dunia
andai kedamaian dipijak
badan mati berselerak dipijak
henyak tersepak
dunia sedang bergolak.
Amankah dunia
setiap meja bermesyuarat
mencari kata sepakat
gencatan senjata tanpa syarat
tunjuk perasaan di setiap tempat
oleh lapisan masyarakat
tanpa kira pangkat dan darjat.

Pembantu Tadbir Kesetiausahaan, Kementerian Penerangan Malaysia, Mohamad Harun, pemenang tempat ketiga menyampaikan puisi karya Bashiroh Norlaili Yahya, Aku Bukan Bebanan:

Tahukah engkau teman
akulah insan yang istimewa
biarpun hidup dalam kegelapan
namun dengan cahaya hati yang terang
aku masih mampu berdiri
dalam meraih sebuah kejayaan.

Ketua pengadil, Ahmad Sarju, yang mengadili pertandingan bersama Mohd Ghazali Yusof, mengakui mereka terpaksa membuat pemilihan dengan teliti kerana semua peserta memiliki bakat istimewa dan ada kelebihan tersendiri.

“Kami berharap pertandingan ini merintis acara seumpamanya pada masa hadapan. Meskipun ada kelemahan, tetapi ia adalah dari aspek sebutan. Kami yakin bakat peserta masih boleh digilap agar lebih cemerlang,” katanya.

Turut hadir pada acara itu ialah Pengerusi MAB Selangor, Mohd Ghazali Tocheh dan Koordiator Pena, Dr Ahmad Razali Yusof selain khalayak turut dihiburkan dengan beberapa lagu nyanyian ahli MAB Wilayah Persekutuan, Anuar Bidin.

Turut mengambil bahagian pada pertandingan itu ialah Zulkarnain Abu Bakar, Mohd Hafiz Halim, Zuraidah Warsi, Abu Zarin Hussin, Rosli Ibrahim, Noreshah Mohamad, Zainab Awang Mat Salleh, Ismail Omar dan Nazri Samat.

Tuesday, September 26, 2006

Kesan masalah penglihatan anak bermula sejak bayi

Berita Harian, 26 September 2006

Oleh Nasron Sira Rahim



DR ZAINAL menerangkan bagaimana kanak-kanak melihat pada Seminar Dunia Penglihatan Kanak-kanak di Menara PKNS.


Info: Penglihatan bayi

  • Bayi mula belajar untuk melihat sehingga penglihatan mereka kekal pada usia sekitar lapan tahun.

  • Ketika peringkat awal dilahirkan, mata bayi adalah kabur dan tidak dapat melihat dengan jelas apa yang anda lakukan di hadapan mereka.

  • Pada usia sebelum enam minggu, bayi gemar melihat benda yang memiliki corak seperti kotak putih dan hitam yang besar.

  • Bayi berusia sebulan gemar melihat bahagian tepi sesuatu benda seperti dagu, pipi atau bahagian antara dahi dan rambut manakala bayi berusia dua bulan mula melihat bahagian muka yang lain seperti mata dan hidung.

  • Warna hitam dan putih yang memiliki kontras menarik minat bayi berusia satu hingga dua bulan manakala pada usia dua hingga tiga bulan, mereka mampu membezakan dua corak berdasarkan warna.

  • Mata mereka mampu mengikuti objek bergerak pada usia empat bulan. Pada usia setahun, bayi tertarik pada objek yang dilihatnya dan cuba mencapai objek itu.

  • Penglihatan tiga dimensi yang berkaitan jarak hanya diperoleh bayi pada usia empat hingga lima bulan.


  • Tuesday, September 19, 2006

    Warga emas dapat ‘mata baru’

    Berita Harian, 19 september 2006


    MMAFEF, Standard Chartered tawar rawatan bedah mata, buang katarak secara percuma kepada masyarakat luar bandar



    PENUH TELITI: Dr Premadeva (kiri) memeriksa
    mata Misah yang menghidap katarak
    di Hospital Keningau, Sabah.

    KENINGAU: Apabila penglihatannya semakin kabur terutama di mata kanan, Misah Dungkui menyangka keadaan itu disebabkan faktor usianya yang mencecah 80 tahun.

    Apa yang tidak diketahui warga emas itu ialah katarak yang menyelaputi matanya semakin menghampiri tahap bahaya dan boleh menyebabkan Misah hilang penglihatan tanpa rawatan sewajarnya.

    Menetap di pedalaman daerah ini sejak sekian lama, Misah adalah antara penduduk luar bandar yang mempunyai tanggapan rawatan mata sebagai sesuatu yang mahal kerana perkhidmatannya cuma disediakan di hospital bandar.

    Menyedari perkara itu, Kumpulan Perubatan Sabah dan Yayasan Tabung Persatuan Perubatan Mata Malaysia (MMAFEF) dengan kerjasama Standard Chartered Bank Berhad (Standard Chartered) mengambil inisiatif bertandang ke pedalaman Sabah bagi menawarkan rawatan dan pembedahan mata percuma untuk masyarakat luar bandar.

    Menerusi program `Sabah Mission for Vision' yang dilancarkan pada 2002 itu, Misah dan ratusan penduduk lain berpeluang melihat `sinar baru' selepas menjalani rawatan membuang selaput pada kanta mata, sekali gus menyelamatkan mereka daripada hilang penglihatan buat selama-lamanya.

    "Mulanya saya agak gementar kerana macam-macam gambaran terbayang dalam fikiran, lebih-lebih lagi kerana selama ini mata saya tidak pernah diperiksa.

    "Bila ada peluang begini, saya beranikan diri sebab bimbang penglihatan makin hari makin kabur.

    "Sudah bertahun-tahun saya melihat dengan sebelah mata dan peluang mendapat rawatan ini bagaikan rahmat buat saya," katanya ketika ditemui di Hospital Keningau (HK), baru-baru ini.

    Katarak adalah kerosakan yang menyebabkan kanta mata berselaput dan rabun, sekali gus menjejaskan penglihatan.

    Orang dewasa berusia 60 tahun ke atas, pesakit kencing manis yang gagal mengawal penyakit, bayi atau kanak-kanak yang ibunya mengalami Rubella ketika mengandung adalah antara golongan berisiko tinggi menghidap katarak.

    Justeru, usaha murni badan bukan kerajaan (NGO) bersama Standard Chartered dalam membantu menyelamatkan pesakit katarak daripada buta, sewajarnya disokong dan diteladani semua pihak, seiring konsep keprihatinan sejagat yang digalakkan kerajaan.

    Program berusia empat tahun itu sudah memanfaatkan 800 individu yang menjalani pembedahan di hospital Tenom, Papar, Beaufort, Ranau dan Keningau dengan kos rawatan berpatutan.

    Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Awang Setia, berkata pendekatan itu memberi peluang baru kepada penduduk kurang bernasib baik untuk menikmati secebis nikmat hasil keprihatinan pihak bertanggungjawab.

    "Rawatan dan pembedahan dilakukan di hospital berhampiran dengan mereka yang memerlukan.

    "Keadaan itu dengan sendirinya mengurangkan beban pesakit yang selama ini memikirkan soal kos pengangkutan ke pekan atau bandar semata-mata untuk mendapatkan rawatan kesihatan," katanya.

    Dr Awang berkata, kira-kira 90,000 pesakit buta akibat katarak di seluruh negeri ini, dengan sebahagian besarnya adalah penduduk kawasan pedalaman yang kurang kesedaran mengenai masalah berkenaan.

    Sementara itu, Siti Nauyah Dumuruh, 70, dari Kampung Baita, pernah menjalani pemeriksaan mata di hospital lama daerah itu beberapa tahun lalu tetapi mengakui itulah kali pertama dan terakhir melakukannya.

    "Penglihatan saya semakin kabur sejak awal bulan lalu dan doktor yang ditemui sempena program ini menasihatkan saya menjalani pembedahan membuang selaput mata kanan.

    "Ketika disebut pembedahan memanglah saya cemas tetapi selepas mendengar penerangan, barulah saya yakin meneruskannya kerana saya tidak mahu menjadi buta," katanya.

    Seorang ibu tunggal, Nabiah Sabiani, 56, berkata beliau mengumpul wang selama dua tahun untuk membiayai rawatan mata.

    "Dalam tempoh itu, saya berjaya mengumpul RM500 hasil jualan sayur-sayuran di kampung, selain bantuan anak-anak semata-mata untuk menjalani rawatan membuang katarak," katanya.

    Kajian Mata Kebangsaan 1996 menunjukkan Sabah mencatat masalah penglihatan tertinggi di Malaysia iaitu 4.23 peratus berbanding kadar kebangsaan, 2.73 peratus.

    Dalam senarai penghidap katarak pula, Sabah menduduki tempat ketiga selepas Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kadar 3.32 peratus.

    Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered, Shayne Nelson, berkata sebanyak 26 Kem Pemulihan Mata diadakan di Sabah setiap tahun.

    "Ia bermula tahun ini dan dalam setiap program, kita menempatkan dua doktor sukarelawan yang akan melakukan 10 pembedahan," katanya.

    Tahun lalu, Standard Chartered menyumbang 26 alat pembedahan perubatan mata mudah alih berjumlah RM190,000 di Sabah.


    KEBANGAAN: Hospital Keningau mampu merawat ramai
    pesakit dengan kemudahan yang lebih baik.



    FAKTA NOMBOR
    Penghidap katarak

  • 3 peratus - Pesakit di Sabah belum mendapat rawatan
  • 800 - Menjalani pembedahan menerusi `Sabah Mission for Vision'
  • RM380,000 - Sumbangan Standard Chartered bagi Kem Pemulihan Mata
  • RM160,000 - Dana disalurkan kepada MMAFEF
  • Tuesday, September 12, 2006

    Orang buta belajar guna komputer

    Berita Harian, 12 september 2006


    Hari Teknologi Maklumat dapat sambutan golongan cacat penglihatan pelajari cara guna internet, kuasai ICT

    TUNJUK MINAT: Pelajar Sekolah Pendidikan Khas
    dari Batu Lintang cuba menggunakan komputer
    'Daisy' pada pameran sempena Hari Teknologi

    Maklumat dan Komunikasi Kepada Orang Buta
    dan Cacat Penglihatan.

    KUCHING: Semua pihak menyedari kepentingan teknologi komputer dan komunikasi (ICT) dapat membantu kehidupan seharian dan ini turut disedari golongan yang cacat penglihatan di negeri ini.

    Walaupun serba kekurangan, mereka menunjukkan minat mendalam dan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memperoleh perisian dan peralatan terkini di pasaran supaya tidak ketinggalan dalam penguasaan teknologi ICT seperti orang biasa.

    Menyedari perkara ini, Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) mengadakan Hari Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kepada Orang Buta dan Cacat Penglihatan, di sini, baru-baru ini.

    Majlis itu mendapat sambutan lebih 100 orang cacat penglihatan dari sekolah khas dan ahli dari pelbagai pertubuhan orang buta negeri, menghadirinya untuk merasai sendiri pengunaan beberapa perisian dan kelengkapan komputer yang dipamerkan.

    President NCBM, S Kulasegaran, berkata ramai golongan cacat penglihatan di Sarawak mahir mengunakan komputer kerana adanya peluang latihan diberikan oleh Pusat Pemulihan Kebajikan Negeri Sarawak di Kota Samarahan.

    Bagaimanapun, NCBM tetap mengadakan hari berkenaan kerana percaya masih ada golongan itu belum menyedari mengenai kelengkapan dan perisisan terkini yang dapat digunakan mereka untuk mengikuti perkembangan dunia ICT.

    "Kita mempamerkan pelbagai kelengkapan dan perisian yang mampu membolehkan orang cacat penglihatan membaca skrin komputer, pencarian internet, dan muat turun maklumat dari jaringan internet," katanya.

    Antaranya ialah perisian Kurzweil yang boleh menukarkan teks elektronik atau cetak menjadi ucapan, peralatan BookCourier yang dapat membaca fail teks daripada jaringan internet, perisian Mobile Speak and Talx yang membolehkan orang buta mengunakan telefon bimbit termasuk mengunakan pesanan ringkas SMS, peralatan PAC Mate dan Braille Note untuk membaca skrin komputer serta tongkat sonar yang dilengkapkan dengan teknologi GPS (Global Positioning System).

    "Apa yang NCBM dan Persatuan Orang Buta bimbang sekarang, ialah masih ada golongan cacat penglihatan ketinggalan perkembangan teknologi ICT. Kami mahu bertindak segera untuk mewujudkan kesamarataan tahap penguasaan teknologi ini," katanya.

    Sehubungan itu, NCBM turut menimbangkan untuk mewajibkan semua golongan terbabit mengikuti kelas kemahiran komputer kerana percaya penguasaan teknologi itu akan menyediakan peluang perkerjaan kepada golongan itu kelak.

    INGIN TAHU: Golongan
    cacat penglihatan belajar
    menggunakan komputer pada
    pameran di Kuching,
    baru-baru ini.


    Seorang peserta, Ata Nyuga, 33, berkata, beliau sangat seronok dan bersemangat menghadiri pameran itu sebagai warga cacat penglihatan dari negeri ini kerana berpeluang mengetahui pelbagai prisian dan peralatan terkini khas untuk mereka menerokai kemajuan ICT.

    "Walaupun buta, kami menyedari dalam dunia globalisasi sekarang semua orang mesti mengetahui pengunaan teknologi ICT.

    "Komputer bukan asing bagi saya kerana saya sendiri belajar mengunakan komputer sejak bangku sekolah lagi.

    "Dulu komputer tak secanggih sekarang kerana hanya boleh mengeluarkan bunyi suara tetapi kini macam-macam boleh digunakan termasuk internet," katanya.

    Beliau berkata, harga komputer sudah mampu dimiliki dan pelbagai perisian berada di pasaran tetapi bagi golongan orang buta untuk memiliki peralatan canggih seperti Braillie Note ia adalah satu cabaran kerana harganya mencecah RM12,000.

    Katanya, sebagai pekerja biasa di Pelabuhan Kuching dengan pendapatan hingga RM600, peralatan canggih itu baginya sangat mahal dan berharap kerajaan dapat membantu golongan itu memperolehnya.

    "Promosi pengunaan komputer bagi golongan cacat penglihatan patut juga dilakukan dengan kerap supaya orang ramai serta syarikat swasta menyedari yang kami pun berkemahiran mengunakan komputer dan akan menawarkan pekerjaan kepada kami," katanya.

    Sementara itu, Maoh Janting, 36, turut memuji pameran itu yang pertama kali diadakan di negeri ini yang memberikan peluang untuk menunjukkan kepada masyarakat yang buta tidak ketinggalan dalam pengunaan ICT.

    "Pameran seperti ini akan menunjukkan kami tidak dipinggirkan oleh kerajaan dan golongan kurang upaya juga ada diberi peruntukan dalam pembangunan pendidikan ICT," katanya.

    Maoh meminati bidang komputer kerana ia banyak membantu dalam tugasnya sebagai guru di Sekolah Pendidikan Khas Batu Lintang dan mengeluarkan belanja sendiri untuk memiliki komputer dengan perisian khas baginya memperolehi bahan pengajaran dari internet.

    "Dengan mengunakan komputer dan perisian khas, kami dapat mengunakan jaringan internet untuk mencari bahan pengajaran dan komputer akan membacakannya untuk kami tanpa perlu bantuan orang lain membacakanya," katanya.

    Beliau yang berminat mendapatkan Book Courier yang kecil dan senang dibawa ke kelas untuk membawa bahan yang dimuat turun dari internet bagi tujuan pengajaran.

    "Saya meminta kerajaan membantu membekalkan peralatan seperti BookCourier ke sekolah khas agar pelajar cacat penglihatan mudah untuk belajar melalui pengunaan bahan daripada internet," katanya.

    Al-Quran tulisan braille diedar

    Berita Harian, 12 september 2006


    AQBG1 enam jilid dibekal secara berperingkat ke sekolah rendah, menengah

    KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Buku Teks (BBT) membekalkan al-Quran dalam Bentuk Braille Gred Satu (AQBG1) untuk kegunaan semua pelajar Islam yang cacat penglihatan, mulai tahun ini.

    Pengarah BBT, Ab Rasid Yaakop, berkata AQBG1 dibekalkan kepada pelajar terbabit di sekolah dan program pendidikan khas integrasi cacat penglihatan di seluruh negara.

    Sambil menjelaskan projek itu adalah hasil kerjasama julung kali dengan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), katanya, setiap sekolah turut menerima sekurang-kurang satu set AQBG1 untuk simpanan.

    Beliau berkata, idea berkenaan tercetus hasil lawatan kerja Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ke Brunei Darussalam awal tahun lalu.

    “Segala urusan penerbitan dan percetakan AQBG1 adalah tanggungjawab pihak Pertis sepenuhnya, manakala urusan pembekalan al-Quran ini pula diuruskan BBT dengan bantuan Jabatan Pendidikan Khas.

    “Al-Quran ini adalah transkripsi daripada manuskrip kitab al-Quran asal tanpa membuat sebarang perubahan kecuali sedikit modifikasi terhadap tulisan yang sesuai dengan keperluan individu cacat penglihatan.

    “Malah, AQBG1 sudah melalui proses penyemakan dan mendapat pengesahan daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

    “Pembekalan AQBG1 kepada pelajar terbabit adalah menerusi Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT),” katanya kepada Berita Harian.

    Ab Rasid berkata, setiap set AQBG1 mengandungi enam jilid yang dibekalkan secara berperingkat kepada pelajar berkenaan pada peringkat persekolahan rendah dan menengah.

    Beliau berkata, jangka hayat set al-Quran terbabit ialah antara dua hingga tiga tahun berdasarkan kekerapan penggunaannya yang boleh menghauskan cetakan tulisan braille berkenaan.

    Katanya, antara rasional inisiatif BBT melaksanakan projek penerbitan AQBG1 ialah bagi menggalakkan aktiviti penggunaan al-Quran di kalangan pelajar dan guru pendidikan khas.

    Selain itu, beliau berkata, ia memudahkan pelajar cacat penglihatan untuk memperoleh ilmu seperti dinikmati rakan sebaya, sekali gus menjana pengajaran dan pembelajaran lebih mesra kepada keperluan mereka.

    “Di samping itu, ia adalah salah satu program khidmat masyarakat atau projek komuniti BBT untuk bersama menjana kecemerlangan pelajar istimewa.

    “Ia secara langsung memperkasakan peranan BBT menerokai dimensi baru dalam bidang penerbitan bahan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan keperluan golongan pelajar berkenaan,” katanya.

    Sunday, September 10, 2006

    Usaha bantu orang cacat penglihatan

    Utusan Malaysia, 10 september 2006


    KUCHING: Majlis Kebangsaan Bagi Orang Buta Malaysia (NCBM) mahu kerajaan mewajibkan pendaftaran bagi setiap individu cacat penglihatan di negara ini bagi memudahkan usaha membantu mereka.

    Presidennya, S Kulasegaran, berkata langkah itu perlu disegerakan kerana masih ramai ibu bapa enggan mendaftarkan anak-anak mereka yang mengalami masalah penglihatan di seluruh negara.

    "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberitahu hanya 17,000 orang buta didaftarkan di seluruh negara ketika ini. Namun, kita percaya jumlah sebenarnya lebih dari itu, cuma mereka tidak didaftarkan,” katanya selepas menghadiri perasmian Hari Komunikasi Teknologi Maklumat (ICT) Bagi Orang Buta 2006 Peringkat Kebangsaan, di sini semalam.

    S Kulasegaran berkata, kita perlu ada undang-undang yang mewajibkan pendaftaran golongan istimewa ini. Ia penting bagi memudahkan kerajaan dan pertubuhan berkaitan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

    ," katanya.



    Katanya, cadangan itu sedang diperbincangkan dengan kerajaan, malah ia dapat segera dilaksanakan melalui kementerian yang bertanggungjawab terhadap hal kebajikan rakyat.

    "Kita mensasarkan undang-undang berkaitan pendaftaran golongan cacat penglihatan serta kurang upaya yang lain dapat dilaksanakan di negara ini dalam tempoh lima tahun dari sekarang," katanya.

    Beliau berkata, jumlah keseluruhan orang buta dan individu mengalami masalah penglihatan di seluruh negara mencecah 500,000 orang tetapi sebahagian besarnya tidak didaftarkan.

    "Kebanyakan yang belum didaftarkan dari kawasan luar bandar termasuk dari pedalaman Sarawak yang jumlahnya mungkin berlipat kali ganda dari sejumlah 3,000 orang yang didaftarkan setakat ini dari negeri ini," katanya.

    Wednesday, September 06, 2006

    ‘Tell Me’ ciptaan pelajar UTAR untuk OKU

    Utusan Malaysia, 6 september 2006

    Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

    SEKUMPULAN pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Setapak, Kuala Lumpur yang menyedari betapa pentingnya kemudahan awam bagi orang kurang upaya (OKU) terutama mereka yang buta telah berjaya menghasilkan satu ciptaan baru bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

    Rekaan yang dinamakan ‘Tell Me’ itu diharapkan dapat membantu golongan tersebut menjalani hidup dengan lebih selesa.

    Ketua kumpulan berkenaan Kong Kah Wa, 21, berkata, idea berkenaan timbul apabila melihat golongan tersebut sibuk bertanyakan arah jalan semasa mereka membeli-belah.

    “Inilah cara kami membantu mereka menjalani hidup dengan selesa,’’ katanya semasa ditemui di pejabat Philips di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

    Rekaan yang menggunakan cip Philips MiFare RFID itu mempunyai klip audio dalam format MP3 bagi membantu menunjukkan arah seperti ‘belok kanan untuk ke stesen LRT’ atau ‘belok kiri untuk ke tandas’.

    Kang Wah yang dibantu oleh Kwan Chee Yan, 23, Khoo Phaik Lin, 23 dan Keng Hua Chong 24, berkata, satu kad yang telah diformat diletakkan atau ditanam di dalam dinding di tepi simpang empat.

    Pembaca RFID Philips Pegoda yang berkomunikasi dengan telefon bimbit pengguna buta secara tanpa wayar menerusi cip Bluetooth Philips BGB 203 akan diletakkan di hujung tongkat putih.

    “Apabila tongkat yang digunakan menyentuh dinding yang mempunyai kad, ia akan menghantar isyarat melalui Bluetooth ke telefon bimbit.

    “Telefon bimbit akan berbunyi dengan isyarat menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pengguna boleh mendengar pesanan berkenaan,’’ kata Phaik Lin.

    Menggunakan teknologi berkenaan, pengguna buta yang baru pertama kali melalui kawasan berkenaan akan diberikan maklumat. Apabila tongkatnya menyentuh cip MiFare RFID, pembaca Pegoda akan mendapatkan kembali klip MP3 dan menghantarnya ke telefon dan ia dimainkan menggunakan ‘media player’.

    RFID boleh digunakan untuk menulis dan membaca kad MiFare daripada fail teks, manakala data boleh diambil menggunakan Bluetooth.

    Telefon mudah alih boleh menerima fail teks dan menukarkannya kepada bentuk audio.

    Kumpulan pelajar Fakulti Kejuruteraan dan Sains bidang Kejuruteraan Elektronik UTAR menggunakan kad yang mempunyai memori sebanyak 4K yang boleh menyimpan beberapa teks pendek yang berguna bagi pengguna kurang upaya.

    “Kad berkenaan juga boleh disambungkan kepada operator telefon bagi memudahkan pengguna jika berlaku kecemasan,’’ tambah Chee Yan pula.

    Cip RFID juga boleh menyimpan beberapa nombor telefon yang boleh didail secara automatik menerusi program Java yang dimasukkan di dalam telefon.

    Ini dapat memberikan pengguna buta kemudahan maklumat masa tertentu seperti ketibaan kereta api atau LRT.

    Rekaan berkenaan merupakan salah satu daripada 15 ciptaan yang berjaya memasuki peringkat akhir Cabaran Reka Cipta Muda Philips 2005 (PYIC) yang dipilih melalui model-model prototaip.

    Pertandingan yang dianjurkan oleh Philips Malaysia Sdn. Bhd. itu bertujuan untuk melahirkan dan mendidik bakat-bakat kreatif pereka muda di negara ini.

    Cabaran berkenaan telah berjaya menarik lebih banyak penyertaan pada tahun ini yang disasarkan kepada para pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan.

    PYIC pada tahun ini menerima sambutan hangat dengan 133 penyertaan diterima daripada 18 institusi pengajian tinggi dan kolej berbanding dengan 71 penyertaan yang diterima pada tahun lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif Philips Malaysia, Rajah Kumar berkata, sambutan menggalakkan tahun ini membuktikan PYIC berjaya meningkatkan minat pelajar terhadap reka bentuk dan reka cipta.

    Satu tujuan

    “Penerimaan kertas konsep untuk PYIC tahun ini meningkat sebanyak 87 peratus manakala sesi-sesi penerangan yang diadakan di 20 buah institusi telah membantu pensyarah dan pelajar untuk menerangkan tentang objektif cabaran dengan lebih baik.

    “Para hakim telah menilai kesemua prototaip secara berasingan dan memilih 15 penyertaan terbaik untuk memasuki pusingan akhir,’’ jelasnya.

    Penyertaan yang diterima merangkumi pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, industri, aplikasi untuk kegunaan di rumah, gaya hidup dan juga penyelesaian masalah yang mudah.

    Hampir kesemua kertas konsep tersebut mempunyai satu tujuan yang sama, iaitu untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan selesa.

    “Ini menunjukkan para pelajar amat memahami apa yang ingin dicapai oleh kami di Philips melalui Janji Jenama baru kami, ‘Sense & Simplicity’,” jelas Kumar.

    Berdasarkan kepada pelbagai idea yang dipersembahkan, Malaysia boleh berbangga kerana terdapat ramai bakat muda yang kreatif dan inovatif yang boleh mencipta aplikasi baru.

    Dilancarkan pada 2 Ogos tahun lalu, Cabaran Reka Cipta Muda Philips dibahagikan kepada dua peringkat, iaitu pusingan awal yang berakhir pada 18 November lalu. Seterusnya, pusingan separuh akhir akan berakhir pada 9 Februari ini manakala peringkat akhir akan diadakan pada akhir bulan Mac ini.

    Setiap pasukan yang terpilih ke peringkat akhir akan diberi wang tunai RM3,000 untuk membantu mereka membina dan menyudahkan prototaip mereka. Rekaan-rekaan itu harus menekankan penggunaan salah satu komponen semikonduktor Philips.

    Saturday, September 02, 2006

    Retinopati diabetik boleh sebabkan buta

    Berita Harian, 2 September 2006

    Oleh Hafizah Iszahanid


    WALAUPUN ada lebih sejuta penghidap diabetes di Malaysia, kesedaran kepada masalah penglihatan yang dinamakan retinopati diabetek masih kurang.

    Apa yang membimbangkan, penyakit ini tiada simptom dan kebanyakan pesakit hanya menyedari mereka berhadapan dengan retinopati diabetek pada peringkat kronik.

    Retinopati diabetik mampu menyebabkan kebutaan. Jika dapat dirawat sekalipun, ia tidak berupaya mengembalikan semula penglihatan pesakit pada sifat asalnya.

    Pakar Perunding Ophtalmologist Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Rozita Ahmad, berkata retinopati diabetik berlaku kerana kerosakan pada lapisan retina. Diabetes akan merosakkan salur darah di retina dengan dua cara; menyumbat atau melemahkan dinding saluran darah dan menyebabkan kebocoran pada dinding saluran darah.

    “Ada tiga peringkat retinopati diabetik. Pada peringkat akhir, retinopati diabetik proliferatif, kemunculan salur darah baru tidak normal terjadi pada permukaan retina yang menyebabkan pendarahan dan pembentukan membran yang akhirnya menyebabkan retina lekang. Saluran darah boleh juga berlaku pada permukaan iris. Selain pendarahan ia turut menyebabkan glaukoma yang teruk, sakit dan lama kelamaan pesakit boleh menjadi buta,” katanya.

    Retinopati diabetik tiada simptom dan tidak berasa sakit kerana itu kebanyakan pesakit yang menyedari mereka berhadapan dengan diabetik retinopati pada peringkat yang sudah kronik.

    Jika bernasib baik dan jika pesakit peka, pesakit akan mendapati penglihatannya terjejas dan walaupun cuba membuat cermin mata, ia tidak mampu memberi penglihatan yang jelas.

    “Ketika itu penglihatan yang kabur menyebabkan mereka susah untuk membaca dan memandu. Mereka boleh mengalami kehilangan penglihatan secara keseluruhan atau sebahagian. Mungkin dia boleh melihat dengan baik di bahagian tepi berbanding di bahagian tengah ruang pandang misalnya. Jadi dia susah untuk melihat bahagian tengah muka seseorang,” katanya.

    Penglihatan yang terjejas itu terjadi disebabkan pembentukan saluran darah baru yang tidak normal dan menyebabkan pendarahan dalam mata. Peringkat awalnya, pendarahan itu mungkin tidak begitu teruk tetapi ia akan menjadi semakin buruk dalam tempoh beberapa hari atau minggu saja.

    Ketika itu pesakit akan melihat titik-titik hitam atau bayangan yang lebih besar terapung dan mengganggu penglihatan mereka. Lebih banyak pendarahan berlaku lebih teruk penglihatan terjejas. Bagi kes yang lebih teruk, pesakit hanya boleh melihat cahaya dalam keadaan gelap saja.

    Pendarahan di dalam gelamaca mengambil masa beberapa bulan atau tahun untuk hilang, Dalam sesetengah kes, pendarahan berlaku berulang kali dan darah tidak akan hilang sepenuhnya. Senario ini akan terjadi biasanya kepada pesakit yang menjalani haemodialisis dan pendarahan biasanya berlaku ketika tidur.

    Pada ketika itu pesakit mungkin merujuk doktor dan dari situlah imbasan dibuat. Kerana itu sangat penting untuk pesakit diabetes membuat pemeriksaan mata setahun sekali.

    “Pesakit diabetes tidak mengira had umur. Jika mereka mendapat diabetes dalam usia muda, kebarangkalian menjadi buta disebabkan retinopati diabetik sangat tinggi,” katanya.

    Setiap pesakit diabetes sama ada diabetes jenis satu dan diabetes jenis dua termasuk diabetes ketika kehamilan berisiko terhadap retinopati diabetik. Semakin lama tempoh pesakit ‘menyimpan’ penyakit ini, semakin tinggi risiko berhadapan dengan retinopati diabetik. Malah ia boleh berlaku lebih awal pada lebih kronik kepada mereka yang berhadapan dengan diabetes ketika hamil.

    Untuk itu, pemeriksaan mata yang disarankan untuk pesakit diabetes berusia 0-30 tahun, lima tahun sekali selepas didiagnos dan setahun sekali untuk pemeriksaan susulan, 31 tahun dan ke atas pula sebaik saja didiagnos dan rawatan susulan setahun sekali. Untuk wanita hamil yang berhadapan dengan diates pemeriksaan mata harus dibuat pada fasa awal kehamilan dan rawatan susulan setiap tiga bulan.

    Selain pemeriksaan mata setahun sekali, pesakit diabetes boleh memantau kesihatan mata mereka dengan mengawal diabetes.

    Pengawalan paras gula dalam badan anda akan melambatkan kemunculan retinopati diabetik. Sebagai penyakit yang dikenali sebagai ‘ibu segala penyakit’ pengawalan paras gula membantu anda bukan saja untuk kurang mendapat komplikasi mata tetapi juga komplikasi lain yang membabitkan buah pinggang dan sistem saraf. Pengawalan paras gula membabitkan disiplin yang tinggi tetapi tidak mustahil.


    Tiga jenis retinopati diabetik


    1) Retinopati diabetik tanpa proliferatif - Peringkat awal retinopati diabetik. Begitupun, pendarahan, pengumpulan lemak dan pembengkakan retina boleh berlaku. Penglihatan tidak terjejas dan rawatan tidak diperlukan kecuali jika ia membabitkan bahagian makula (bahagian retina yang paling sensitif dan bertanggungjawab memberikan penglihatan yang halus dan berwarna)

    2) Makulapoti diabetik - Apabila makula terjejas disebabkan pembengkakan retina, pendarahan atau pengumpulan lemak, penglihatan akan terjejas. Makulapoti diabetik adalah penyebab utama kebutaan pada pesakit diabetes. Rawatan laser perlu pada tahap ini dan jika rawatan diberikan pada waktu yang tepat boleh menstabilkan penglihatan yang terjejas dan memulihkannya.

    3) Retinopati diabetik proliferatif - Peringkat akhir retinopati diabetik. Ketika ini terdapat pembentukan saluran darah yang baru dan tidak normal serta tisu serat yang boleh menarik permukaan retina. Pendarahan dalam gelamaca (vitreous) kerap berlaku mengakibatkan kehilangan penglihatan. Rawatan laser perlu diberi secepat mungkin jika tidak retina mungkin lekang dan penglihatan menjadi teruk walaupun selepas pembedahan. Jika rawatan tidak diberikan langsung, kerosakan di lapisan retina akan kekal dan tidak akan dapat dipulihkan.

    INFO

    a) Apa yang dimaksudkan dengan penyumbatan saluran darah? Saluran darah yang tersumbat menyebabkan kekurangan bekalan oksigen ke lapisan retina. Ini menyebabkan terbentuknya saluran-saluran darah baru tetapi tidak normal (retinopati diabetik proliferati). Saluran darah yang tidak normal ini amat rapuh, mudah mengalami kebocoran dan pendarahan ke dalam gelamaca boleh berlaku. Apabila proliferati menjadi lebih teruk, tisu serat dan parut terbentuk. Tisu parut ini boleh menarik permukaan retina yang menyebabkan ia lekang.

    b) Kebocoran saluran darah - Dinding saluran darah menjadi lemah disebabkan diabetes. Akibatnya dinding saluran darah mengembang dan menyebabkan kebocoran. Cecair akan berkumpul di lapisan retina menyebabkan pembengkakan retina. Pendarahan dan pengumpulan lemak juga boleh berlaku di situ dan menyebabkan ia gagal berfungsi dan menjejaskan penglihatan.

    Thursday, August 17, 2006

    Disiplin rahsia kejayaan dua OKU

    Berita harian, 17 ogos 2006


    KECEKAPAN pengurusan pentadbiran dan kemudahan lengkap untuk orang kurang upaya (OKU) yang disediakan Universiti Malaya (UM) menjadi pendorong semangat kepada Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus dan Wong Huey Siew untuk terus menimba ilmu ke tahap lebih tinggi.


    Walaupun cacat penglihatan, Ahmad Kamal Ariffin dan Wong membuktikan masalah itu bukan penghalang mereka memajukan diri apabila tergolong dalam 112 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah (PhD) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM 2006, kelmarin.

    Dilahirkan dalam keluarga besar, Wong yang juga anak bongsu daripada 10 beradik menyifatkan usaha menyiapkan tesis bertajuk Persekitaran Pembelajaran Pelajar Cacat Penglihatan di Sekolah Menengah Pendidikan Khas dan Sekolah Menengah: Analisis dan Perspektif Sosiologi banyak dibantu kemudahan dan bahan rujukan yang disediakan UM, khusus bagi golongan senasibnya.

    Tambahan pula, katanya, bidang itu memang kurang dibuat kajian dan beliau yang memang berada dalam persekitaran sama berasa perlu berbuat sesuatu yang boleh menyumbang ke arah kebaikan golongan senasib dengannya.

    “Golongan kurang upaya seperti saya memerlukan usaha lebih untuk merangkul kejayaan. Sepanjang tempoh menyiapkan tesis, saya bangun awal dan sudah berada di perpustakaan UM untuk mencari bahan rujukan seawal jam lapan pagi.

    “Disiplin yang tinggi, minat mendalam dan kekuatan semangat menjadikan usaha itu semakin mudah. Walaupun bahan rujukan dan peralatan terhad, akhirnya kini terbukti saya mampu berdiri setanding orang lain,” katanya yang kini menjadi pengendali program motivasi.

    Bagi Ahmad Kamal Ariffin yang berasal dari Taiping, Perak, tugasnya sebagai pensyarah di Jabatan Sejarah UM menjadikan beliau sentiasa berusaha untuk memajukan diri supaya boleh dijadikan teladan pelajarnya.

    Katanya, beliau perlu berusaha tiga kali ganda berbanding pelajar lain kerana banyak proses yang perlu dilalui semasa mencari bahan untuk menyiapkan tesis.

    “Pada peringkat awal, saya akan keluar mencari bahan rujukan dan terpaksa mengupah pembantu untuk membacanya jika bahan itu bukan dalam bentuk braille. Isteri saya, Nur Hannah Ahmad Zainy hanya boleh membantu pada waktu petang kerana perlu mengajar pada sebelah pagi.

    “Selepas itu saya akan mengumpulkan fakta, membuat nota dan menterjemahkannya ke dalam komputer. Walaupun memerlukan bantuan penuh isteri dan pembantu khas, keazaman dan semangat tinggi menjadikan impian saya untuk menggenggam PhD dalam bidang sejarah tercapai,” kata anak bongsu daripada empat beradik itu.

    Daripada 112 penerima PhD itu, 31 graduan luar negara, manakala 81 lagi tempatan. Graduan luar negara antaranya dari Iraq, Bangladesh, Ghana, Afghanistan, Thailand, Jordan, Brunei dan Uganda.