Showing posts with label Bisu. Show all posts
Showing posts with label Bisu. Show all posts

Monday, June 11, 2007

Jangan diskriminasi OKU – MTUC

Utusan Malaysia, 11 jun 2007

KUALA LUMPUR 10 Jun – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa terdapat segelintir majikan sektor swasta di negara ini masih mendiskriminasikan golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Presidennya, Shafie BP. Mamal berkata, terdapat ratusan OKU di negara ini gagal mendapat pekerjaan menyebabkan golongan tersebut hidup susah.

Menurut beliau, sektor swasta tidak seharusnya memandang rendah terhadap kecacatan yang dialami oleh golongan tersebut.

Katanya, golongan istimewa itu boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan sumbangan mereka perlu diiktiraf.

‘‘Jika majikan mendiskriminasikan OKU, di manakah tanggungjawab sosial mereka? Apakah mereka yang buta atau bisu tidak boleh menghasilkan produktiviti yang baik.

‘‘Majikan mungkin boleh beri pelbagai sebab mengapa tidak mengambil OKU bekerja tetapi kadangkala alasan mereka itu tidak munasabah,’’ katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memaparkan kisah seorang graduan Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd. Zahir Zainol, 40, yang terpaksa menjual aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM4 sehari.

Setelah diberhentikan kerja sebagai pegawai bank tiga tahun lalu, Mohd. Zahir gagal mendapat pekerjaan walaupun telah menghadiri lebih 10 temu duga kerja atas alasan dia tidak boleh bertutur kerana bisu.

Lebih menyedihkan, rumah keluarganya yang berharga RM90,000 di Rawang terpaksa dilelong apabila mereka tidak lagi mampu membayar pinjaman.

Menurut isterinya, Noryati Khalid, 39, suaminya pernah menghadiri beberapa temu duga syarikat swasta dan kerajaan tetapi kesemuanya gagal atas alasan Mohd. Zahir tidak boleh bertutur.

Kata Shafie, majikan harus bangga apabila menawarkan pekerjaan kepada OKU.

‘‘Langkah itu membuktikan bahawa mereka tidak lupa untuk menjalankan tanggungjawab sosialnya.

‘‘Mengapa harus kita memandang serong terhadap golongan OKU sedangkan ada kemungkinan hasil kerja mereka lebih baik daripada manusia normal?’’ ujarnya.

Nasib Mohd. Zahir dapat perhatian syarikat komputer

Utusan Malaysia, 11 jun 2007

Oleh AZMAN MD.NOOR

BALING 10 Jun – Tidak sampai 24 jam selepas kisah kepayahan Mohd. Zahir Zainol, 40, lulusan Diploma Sains Komputer mendapat pekerjaan kerana bisu disiarkan dalam muka depan Mingguan Malaysia, sebuah syarikat komputer di Alor Star hari ini tampil menawarkan kerja kepadanya.

Isterinya, Noryati Khalid, 39, menghubungi pejabat Utusan Malaysia hari ini bagi memaklumkan berita gembira itu.

Menurutnya, keluarga mereka dikunjungi oleh wakil syarikat berkenaan di rumahnya di Batu 47, Jalan Weng, Kampung Bawah Gunung dekat sini hari ini bagi menawarkan kerja kepada suaminya.

“Alhamdulillah ada syarikat menawarkan kerja untuk suami saya hari ini.

“Walaupun suami saya masih belum mengetahui latar belakang syarikat yang menawarkan kerja secara ikhlas itu, saya dan keluarga amat gembira dengan perkembangan terbaru ini,” katanya.

Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan kisah Mohd. Zahir yang sukar mendapatkan pekerjaan meskipun memiliki Diploma Sains Komputer dan 13 tahun pengalaman selepas diberhentikan kerja sebagai pegawai bank.

Bapa kepada tiga anak itu mengakui akibat bisu, dia gagal mendapatkan sebarang pekerjaan walaupun telah menghadiri lebih 10 kali temu duga di pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Akibat kegagalan mendapatkan pekerjaan, lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu terpaksa berniaga aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan bagi menyara keluarganya dengan mendapat hasil jualan sebanyak RM4 sehari.

Rumah yang dibeli Mohd. Zahir bernilai RM90,000 di Rawang, Selangor turut dilelong selepas gagal membayar pinjaman.

Selasa lalu, Utusan Malaysia turut menyiarkan kisah graduan kurang upaya, Mohamad Fadhly Mustaffa, 25, yang gagal mendapat pekerjaan kerana status Orang Kurang Upaya (OKU) ekoran penyakit ‘soft bone’ yang dialaminya walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan, Universiti Darul Iman (UDM) dan Diploma Teknologi Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Berikutan itu, nasib Mohamad Fadhly dari Terengganu, mendapat perhatian pengurusan Pasar Raya Besar Mydin yang menawarkan kerja kepadanya bagi jawatan pegawai inventori.

Noryati berkata, dia bersyukur dengan tawaran itu kerana ada pihak simpati dengan nasib yang dialami suaminya sejak diberhentikan kerja.

Dia memberitahu, syarikat berkenaan akan membuat tawaran secara rasmi tidak lama lagi.

Sementara itu, prihatin dengan nasib yang menimpa Mohd. Zahir, Pemuda UMNO Baling juga menawarkannya kerja sebagai Pegawai Teknologi Maklumat (IT) dengan pergerakan itu.

Pekerjaan itu ditawarkan sendiri oleh ketuanya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim ketika mengunjungi rumah keluarga Mohd. Zahir petang ini.

Abdul Azeez berkata, pihaknya menawarkan gaji sebanyak RM 1,000 sebulan dengan insentif lain termasuk insurans sekiranya Mohd. Zahir menerima tawaran tersebut.

Menurutnya, Mohd. Zahir boleh mula bekerja esok jika dia bersetuju dengan tawaran berkenaan.

Katanya, tawaran kerja itu dibuat atas dasar kebolehan bekas pegawai bank tersebut dalam bidang yang diceburinya.

“Pagi esok dia boleh melaporkan diri di pejabat Pemuda dan akan bertanggungjawab memasukkan semua data Pergerakan Pemuda dan Putera bahagian,” ujarnya.

Sunday, June 10, 2007

`Diploma Sains Komputer tidak bererti kerana saya bisu’

Utusan Malaysia, 10 jun 2007

Oleh: AZMAN MD. NOOR

MOHD. ZAHIR ZAINOL.

BALING 9 Jun - Diploma Sains Komputer tidak bererti kerana bisu.

Inilah kenyataan hidup yang terpaksa dilalui oleh Mohd. Zahir Zainol (gambar), 40, setelah diberhentikan kerja sebagai pegawai bank sejak tiga tahun lalu apabila lebih 10 temu duga kerja yang dihadirinya gagal atas alasan dia tidak boleh bertutur.

Demi menampung perbelanjaan keluarganya, Mohd. Zahir, bekas pegawai bank lulusan Diploma Sains Komputer dari Universiti Putra Malaysia (UPM) kini terpaksa menjual aiskrim dan keropok secara kecil-kecilan dengan pendapatan kira-kira RM4 sehari.

Lebih menyedihkan, rumah keluarganya yang berharga RM90,000 di Rawang terpaksa dilelong apabila mereka tidak lagi mampu membayar pinjaman.

Mohd. Zainol dan keluarganya kini menumpang di rumah ibu mertuanya, Saarah Md. Zain, 59, di Batu 47, Jalan Weng, Kampung Bawah Gunung, Baling, dekat sini.

Menurut isterinya, Noryati Khalid, 39, suaminya pernah menghadiri banyak temuduga di sektor swasta dan kerajaan tetapi kesemuanya gagal atas alasan Mohd. Zahir tidak boleh bertutur.

Katanya, kecacatan yang dialami oleh suaminya itu menyukarkannya untuk meyakinkan syarikat atau jabatan kerajaan mengambilnya bekerja.

Jelasnya, suaminya itu mampu memahami dengan jelas setiap percakapan dan berkemahiran dalam bahasa Inggeris.

''Walaupun dia telah menghadiri lebih 10 kali temu duga, tetapi masih gagal atas alasan tidak boleh bertutur," katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di sini hari ini.

Tambah Noryati, Mohd. Zahir yang mempunyai kad OKU berstatus ketidakupayaan fizikal bagaimanapun tidak pernah putus asa membelek akhbar setiap hari bagi mencari peluang kerja yang diiklankan.

“Bukan sahaja di akhbar, malah ada ahli keluarga juga membantu untuk mencari kerja tetapi semuanya hampa,” katanya sayu.

Mohd. Zahir diberhentikan kerja pada 2004 ekoran penstrukturan semula organisasi bank berkenaan (BBMB Securities, kini dikenali Ecm Libra Securities Sdn. Bhd.).

Dia bekerja di bank itu selama 13 tahun dengan bertanggungjawab berkaitan saham melalui komputer dan menerima gaji RM1,700 sebulan.

Menurut Noryati, selepas suaminya diberhentikan, mereka sekeluarga mengambil keputusan pulang ke kampung sambil berniaga aiskrim yang diproses sendiri di rumahnya bagi membiayai persekolahan tiga anak mereka.

Tiga anak pasangan berkenaan ialah Mohd. Fauzan, 12, dan Mohd. Fazrul, 10, yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Putera Baling, serta Norfatin Fahirah, 6, yang belajar di tadika berdekatan rumah mereka.

“Dengan menjual aiskrim antara 15 dan 20 batang sehari, itulah yang suami saya dapat lakukan sambil berharap akan mendapat kerja yang sesuai dengannya,” ujar Noryati yang bekerja membersih dan mencuci rumah seorang peniaga bagi menampung pendapatan keluarganya.

Keluarga tersebut mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Noryati berkata, dia sedih kerana sepanjang berkhidmat selama 13 tahun dengan bank berkenaan, soal kecacatan suaminya tidak pernah timbul.

Justeru dia berharap dengan kelulusan dan pengalaman Mohd. Zahir dalam bidang komputer, akan ada pihak mengambil suaminya bekerja dalam bidang tersebut.

Tuesday, June 05, 2007

Pasangan rayu bantuan biayai rawatan tiga anak

Berita Harian, 5 jun 2007

GEORGETOWN: Sepasang suami isteri memohon simpati orang ramai bagi membiayai kos perubatan tiga anak mereka yang mengalami masalah kegagalan otak berfungsi.

S Nathan, 38, seorang peniaga dari Lunas, Kedah dan isteri, M Mariamah, 36, suri rumah sepenuh masa, tidak mampu menanggung perbelanjaan dua anak mereka yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

N Rageswari, 12, dan N Bawani, 4, dirawat di hospital itu sejak dua bulan lalu manakala N Tanaletchumi, 13, yang pekak dan bisu, mempunyai simpton yang sama dan dijadualkan dimasukkan ke HPP bulan depan.

Anak sulung pasangan itu, N Murali, 16, terpaksa berhenti sekolah. Hanya dua anak pasangan itu yang bersekolah iaitu N Tamilarasan, 10 dan N Ambarasi, 11.

Nathan, yang menjual peralatan sembahyang ketika ditemui di HPP berkata, dia tidak mampu menanggung segala kos perubatan ketiga-tiga anaknya dan perbelanjaan harian keluarga.

"Saya sukar untuk memberi tumpuan kepada kerja selepas anak saya dimasukkan ke HPP," katanya yang turut menanggung tunggakan bayaran bulanan rumahnya.

Beliau berkata, penyakit anaknya itu bermula ketika mereka masih kecil selepas diserang demam panas dan kerap terkena penyakit sawan.

"Kami terkejut apabila doktor mengesahkan Rageswari dan Bawani mengalami masalah otak yang tidak berfungsi dan terpaksa dirawat di HPP sehingga ke hari ini,' katanya.

Nathan juga berharap penderitaannya akan mendapat simpati Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 016-4564857.

Monday, November 13, 2006

Wanita bisu cari waris

Berita Harian, 13 november 2006


KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling memohon bantuan orang ramai mengesan ibu bapa kandung atau waris kepada seorang wanita bisu dan pekak yang kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di Cheras, Selangor.


Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah itu, Azlina Mohd Salleh, berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk mengesan waris wanita berkenaan kerana masalah komunikasi.

Beliau berkata, wanita itu yang diberi gelaran ‘Su’ juga tidak boleh menulis atau memahami sebarang bahasa isyarat.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi talian 03-56335728 atau 03-56337395.

Tuesday, September 05, 2006

SMK Pendidikan Khas johan tarian

Berita Harian, 5 september 2006

SHAH ALAM: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas, Seksyen 17, baru-baru ini muncul johan pertandingan Tarian dan Nyanyian Tradisional sempena sambutan Kemerdekaan ke-49, semalam.

Sekalipun peserta adalah pelajar pekak dan bisu, namun mereka mampu menewaskan 12 sekolah lain sekitar bandar raya ini bagi meraih wang tunai RM3,000, trofi dan hamper.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 pula muncul naib johan, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 (ketiga). Naib johan menerima wang tunai RM2,000, manakala tempat ketiga (RM1,000), selain trofi dan hamper.

Guru SMK Pendidikan Khas, Nadia Satihee, berkata kejayaan itu adalah di luar jangkaan tetapi membuktikan pelajar kurang upaya mampu mengecapi kejayaan setanding pelajar lain.

"Pada mulanya, agak susah mengajar tarian kerana ada kekangan komunikasi antara pelajar dengan tenaga pengajar tapi usaha kami berbaloi berkat kegigihan," katanya.

Semua hadiah disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin yang juga Ahli Parlimen Shah Alam di Laman Budaya di sini.

Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 pula muncul johan kategori Nyanyian Solo, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 (naib johan) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (ketiga)

Bagi kategori Nyanyian Duet, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 mengungguli johan dan naib johan manakala Sekolah Menengah Seksyen 24, tempat ketiga.

Sekolah Kebangsaan Menengah TTDI Jaya pula menang kategori Sekolah Paling Sporting dan Busana Tercantik.

Friday, August 25, 2006

Edisi Timur: Rogol anak bisu

Harian Metro, 25 ogos 2006

TEMERLOH: Seorang buruh kilang papan di Maran, dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas 10 pertuduhan merogol anak tirinya berusia 16 tahun yang cacat pendengaran dan bisu.


Buruh berusia 45 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang dari enam tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta sebatan.

Bagaimanapun tertuduh hanya mengaku bersalah di hadapan Hakim Mohd Yusoff Daud terhadap tiga pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan lainnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Januari, 25 Januari, 25 Februari, 11 Mac, 1 April, 15 April, 12 Mei, 27 Mei, 24 Jun dan 29 Julai 2006.

Semua kejadian itu dilaporkan berlaku di kuarters kilang papan, di Maran.

Tertuduh yang berpakaian kemeja lengan pendek berwarna biru dan berseluar panjang hitam hanya mendiamkan diri ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Nasir Deraman membantah jaminan kerana tertuduh tinggal serumah dengan mangsa.

Wednesday, July 26, 2006

Pasangan bisu tunggu pindah ke rumah baru

Berita Harian, 26 julai 2006

MARANG: Pasangan suami isteri bisu yang memiliki tiga anak, termasuk sepasang kembar seiras menunggu masa berpindah ke rumah baru menjelang Ogos ini, berikutan tapak rumah mereka termasuk dalam projek pembinaan Pasar Kedai Buluh bernilai RM6 juta, menggantikan pasar lama di kawasan berhampiran.


Sulaiman Jusoh, 50, dan isterinya, Mahani Mat Amin, 49, akur dengan arahan kerajaan negeri untuk berpindah kerana tidak mahu menghalang pemba­ngunan yang akan dijalankan di Kampung Dalam Kedai Buluh, Bukit Payung, di sini.

Keluarga itu tidak mempunyai masalah berpindah kerana kerajaan negeri sudah menyediakan tapak dan bantuan rumah di kawasan berhampiran.

Menurut anak sulungnya, Nur Hamira Natasha, 8, bapa dan ibunya sudah memaklumkan bahawa mereka sekeluarga akan berpindah ke rumah lain.

“Walaupun menggunakan bahasa isyarat, saya memahami apa yang cuba disampaikan mak dan ayah.

“Kami tidak sabar untuk berpindah ke rumah yang lebih selesa berband­ing rumah sekarang ini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Nur Hamira Natasha bersama pasangan kembarnya, Nur Hamira Nazuha, 8, dan adik bongsunya, Nurul Soleha, 7, menjadi harapan keluarga terutama membantu ibu dan bapanya untuk berkomunikasi serta membuat kerja rumah sebaik pulang dari sekolah.

Kehidupan mereka tidak semewah insan lain kerana bapanya hanya mencari rezeki dengan mengayuh beca dengan pendapatan kira-kira RM10 sehari.

Selain mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM120 sebulan, mereka sekeluarga turut dibantu masyarakat setempat.

Nur Hamira Natasha berkata, dia dan adiknya masing-masing hanya dibekalkan duit 50 sen untuk perbelanjaan sekolah setiap hari kerana tidak mampu untuk membawa lebih daripada itu.

Dia dan adiknya, masing-masing yang pernah mendapat nombor empat dan dua dalam peperiksaan penggal di Sekolah Kebangsaan Kedai Buluh, tidak menjadikan alasan kemiskinan untuk tidak ke sekolah.

“Kami dilahirkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan memiliki ibu bapa yang cacat, tetapi kami tidak patah semangat untuk belajar kerana dengan pendidikan dapat membantu mengubah kehidupan keluarga kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payung, Datuk Dr Abdul Latiff Awang, berkata pemindahan rumah pasangan bisu itu akan dijalankan secepat mungkin kerana bermula Ogos ini, kerja penimbunan tapak akan dijalankan untuk membina sebuah pasar baru di pekan itu.

Katanya, kerajaan sudah menyediakan peruntukan RM7,000 untuk tapak rumah dan RM15,000 bagi penyediaan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada keluarga itu.

“Sekarang kerja penimbunan tanah bagi tapak PPRT sedang dijalankan dan mereka dijangka berpindah pada awal Ogos ini,” katanya.

Monday, June 12, 2006

Cleo Studio beri peluang kepada OKU

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_03.htm

Oleh ROSMAH DAIN

TERDAPAT pelbagai cara untuk berbuat kebajikan, khususnya bagi mereka yang mempunyai kelebihan dalam kehidupan. Bagi wanita muda ini, Maiyizat-Ul-Najwa Abd. Mutalib, 30, kelebihan yang ada pada dirinya dalam bidang usahawan digunakan untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Pemilik salun kecantikan dan butik Cleo Studio ini berbakti dengan cara tersendiri kepada orang kurang upaya (OKU) iaitu dengan memberikan mereka peluang menimba ilmu dan pengalaman menerusi kemahiran dandanan rambut dan solekan di kedai miliknya.

Wanita ini juga bukan calang-calang usahawan. Selain butik dan salun yang terletak di Taman Dagang, Ampang, Selangor, Maiyizat-Ul-Najwa atau lebih senang dengan panggilan Wawa mempunyai empat lagi kedai serbaneka di Selangor dan Negeri Sembilan.

Antaranya ialah spa, kedai cenderahati, kedai serbaneka dan kedai barangan perkahwinan.

Di butiknya di Ampang, beliau mengambil sepasang remaja OKU (cacat pendengaran dan bisu) yang bertugas menggunting, mendandan dan mewarnakan rambut pelanggan.

Remaja berkenaan ialah Intan Liyana Azmi, 22 dan Khairul Hizan Husin, 22.

Bukan itu sahaja, remaja berkelulusan dari sekolah Vokasional Khas Shah Alam, Selangor itu turut diberi kursus peribadi seperti solekan, perapian, peragaan dan lain-lain sebagai pengetahuan tambahan untuk kemahiran mereka.

Menurut Wawa, tujuan beliau memberikan kemahiran kepada golongan ini adalah untuk menempatkan mereka ke satu tahap profesional yang bakatnya boleh digunakan kepada orang lain.

“Saya melihat golongan ini mempunyai kemahiran tersendiri dalam dandanan dan solekan. Malah ramai pelanggan yang memuji hasil kerja mereka.

“Bagi saya yang telah hampir dua tahun mengambil mereka bekerja saya mendapati golongan ini sangat rajin, kreatif, senang dibentuk dan setia,” katanya.

Kemahiran

Wawa berkata, ramai di kalangan golongan ini yang berkemahiran tidak mendapat tempat di kalangan pengusaha kecantikan dan butik biarpun mereka mempunyai sijil kemahiran yang diperlukan atas beberapa faktor termasuk kesukaran untuk berkomunikasi.

Ada di antara mereka mendapat kemahiran selama dua tahun di Sekolah Vokasional Khas Shah Alam, Selangor dalam bidang dandanan sehingga mendapat sijil yang diiktiraf kerajaan.

Selain itu, Wawa memberitahu, beliau juga menjadikan kedainya sebagai tempat latihan praktikal kepada para penuntut vokasional berkenaan untuk memberikan mereka peluang menimba ilmu.

Dalam tempoh terdekat ini, Wawa bercadang untuk menubuhkan sebuah pusat setempat kemahiran iaitu Pusat Latihan Dandanan Rambut OKU (cacat pendengaran dan bisu) bagi golongan ini menimba pengalaman khususnya mereka yang mempunyai sijil-sijil kemahiran khas.

Golongan ini turut disediakan tempat tinggal dan elaun serta dibekalkan dengan kemahiran lain.

Seterusnya golongan ini akan diserapkan untuk bekerja di salun atau butik di cawangan-cawangan miliknya, manakala pengusaha-pengusaha butik boleh mendapatkan perkhidmatan mereka dengan berhubung terus menerusi pusat latihan berkenaan.

“Melalui cara ini golongan ini akan mendapat pekerjaan dan mempunyai pendapatan sendiri untuk menyara kehidupan mereka,” katanya.

Justeru, Wawa berharap ada agensi-agensi tertentu dan pihak kerajaan dapat memberikan bantuan berbentuk dana untuk merealisasikan impian itu.

Selama ini beliau banyak menggunakan sumber kewangan sendiri untuk menjayakan niat suci berkenaan.

Untuk berkomunikasi dengan para pekerja golongan ini, Wawa sendiri mempelajari bahasa isyarat untuk memudahkan beliau berinteraksi dengan mereka.

Sementara itu, Khairul Hizan berkata, beliau amat bersyukur kerana diterima bekerja di salun berkenaan setelah sukar untuk mendapatkan kepercayaan beberapa majikan untuk membuktikan kemahirannya.

Dengan bantuan sepupunya yang mengetahui bahasa isyarat, remaja yang berasal dari Bangi, Selangor itu turut ditanya mengenai cita-citanya pada masa akan datang.

Katanya, beliau sedang mendalami kemahiran untuk mengetuai satu unit pusat latihan khas bagi golongan OKU yang bakal ditubuhkan oleh majikannya.

Anak bongsu daripada empat adik-beradik ini ternyata mempunyai kemahiran tinggi mendandan rambut dan hasilnya sering memuaskan pelanggan.

Kepada mereka yang inginkan maklumat mengenai pusat latihan berkenaan, anda boleh menghubungi Wawa di talian 012-6048108 dan 013-3399032.