Showing posts with label jangkitan paru-paru. Show all posts
Showing posts with label jangkitan paru-paru. Show all posts

Thursday, September 28, 2006

Murid balang oksigen belajar berpuasa

Utusan Malaysia, 28 September 2006

Oleh SHARIZA ABDULLAH


MOHAMAD Zulhilmi Yahya tabah mengerjakan ibadat puasa sambil menyiapkan kerja sekolah di rumahnya di Taman Makmur, Kulim, Kedah, semalam. – Gambar Shamsudin Salleh.


ALOR STAR 27 Sept. - Meskipun penghidap penyakit paru-paru kronik, Mohamad Zulhilmi Yahaya baru berusia tujuh tahun, namun ia tidak menghalangnya berpuasa seperti kanak-kanak lain yang sebaya dengannya.

Zulhilmi yang menghidap jangkitan paru-paru Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun, tetap menggagahkan dirinya untuk melaksanakan rukun Islam ketiga itu walaupun dengan penuh kesukaran termasuk terpaksa memakai satu tiub pernafasan pada hidungnya.

Apa yang menggembirakan, kanak-kanak yang pernah mendapat liputan akhbar ekoran keadaannya itu, berjaya berpuasa penuh semalam walaupun gagal melaksanakannya pada hari pertama, Ahad lalu.

“Pada hari pertama, dia hanya mampu ‘berpuasa’ separuh hari kerana tidak larat untuk menghabiskannya.

“Namun semalam dia dapat berpuasa penuh. Inilah kali pertama dia berpuasa sejak menghidap penyakit tersebut kira-kira tiga tahun lalu,” kata ibunya, Norizan Yeop, 39, ketika dihubungi di sini hari ini.

Kisah kesusahan dan penderitaan Mohamad Zulhilmi dari Taman Makmur, Lunas yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram ke sekolah mendapat perhatian umum setelah Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenainya pada awal tahun ini.

Balang oksigen itu terpaksa dibawa setiap hari bagi membolehkan kanak-kanak yang mengalami jangkitan paru-paru Bronchiolotis Obliterans itu bernafas dengan selesa.

Berikutan laporan itu, pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan kepadanya termasuk pengurangan kos pembelian bekalan gas itu oleh Malaysia Oxygen Bhd. (MOX).

Menurut Norizan, anak tunggalnya itu beria-ia untuk berpuasa dan dia memberi sepenuh sokongan kerana menyifatkan Ramadan sebagai bulan penuh berkat dan rahmat yang perlu direbut oleh setiap individu.

“Mana tahu nanti penyakitnya akan sembuh sepenuhnya berkat bulan Ramadan ini,” ujarnya.

Jelasnya lagi, semasa bersahur dia akan memastikan Zulhilmi yang kini bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Seluang, Lunas, dekat sini mengambil kesemua ubatnya sebagai ‘bekalan’ untuknya berpuasa.

Selepas berbuka pula, katanya, dia akan memastikan Zulhilmi terlebih dahulu menggunakan penyedut (inhaler) sebelum menjamah makanan.

Norizan menjelaskan, dia tidak pernah memaksa Zulhilmi berpuasa kerana memahami kesihatan dan usia anaknya yang masih muda.

‘‘Setakat mana kemampuan Zulhilmi berpuasa adalah bergantung kepada kesihatannya dan saya akan meminta dia berbuka sekiranya tidak larat. Yang penting dia belajar berpuasa setakat yang termampu,” katanya.

Saturday, July 15, 2006

Doktor pakar sumbang mesin kepada murid balang oksigen

Utusan Malaysia, 15 julai 2006

Oleh: MARZUKI YUSOFF


INILAH mesin Oxy Concerntractor yang akan disumbangkan oleh seorang doktor pakar jantung klinik swasta dari Kuala Terengganu kepada murid balang oksigen, Muhamad Zulhilmi Yahya di Kedah.

KUALA TERENGGANU 14 Julai - Berita menggembirakan buat kanak-kanak penghidap jangkitan paru-paru di Kedah, Mohamad Zulhilmi Yahya (gambar), 7, apabila seorang doktor pakar jantung di sini, bersedia mendermakan sebuah mesin pembekal oksigen kepadanya.

Mesin Oxy Concentractor berharga RM7,000 itu akan dikirimkan oleh doktor pakar itu ke pejabat Biro Utusan Malaysia di Alor Setar, Kedah Sabtu ini, untuk diserahkan kepada keluarga kanak-kanak tersebut.

Doktor pakar jantung bergelar ‘datuk’ itu yang mempunyai klinik pakar perubatan swasta di Jalan Sultan Omar di sini bagaimanapun enggan namanya didedahkan.

‘‘Mesin itu saya beli empat tahun lalu sebagai bantuan kecemasan di klinik saya dan keadaannya masih baru kerana mesin itu tidak pernah digunakan.

‘‘Memandangkan kanak-kanak itu amat memerlukan mesin tersebut, saya membuat keputusan untuk menyumbangkannya kepada Mohamad Zulhilmi,” katanya ketika ditemui di kliniknya, di sini semalam.

Hari ini, Utusan Malaysia menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang menghadapi masalah berganda apabila mesin Oxy Concentractor yang digunakan di rumahnya mengalami kerosakan.

Sebelum ini, murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Sungai Seluang, Alor Setar itu berdepan dengan masalah apabila peralatan pernafasan balang oksigennya yang dibawanya ke sekolah rosak.

Pelajar itu memerlukan kedua-dua alat itu bagi memastikan dia sentiasa mendapat bantuan oksigen untuk bernafas.

Menurut doktor tersebut, dia tergerak hati untuk menyumbangkan mesin pernafasan itu setelah terharu dengan kesulitan yang dialami oleh kanak-kanak berkenaan.

‘‘Mesin yang saya sumbangkan ini agak berbeza dengan mesin yang digunakan oleh kanak-kanak itu kerana ia boleh menapis terus udara di luar untuk mendapatkan oksigen.

‘‘Udara luar yang mengandungi gas lain seperti nitrogen dan karbon dioksid akan ditapis keluar untuk mendapatkan oksigen 100 peratus dan ini tentunya lebih menjimatkan kos.

‘‘Bagaimanapun, mesin ini agak berat dan digerakkan dengan menggunakan elektrik. Jadi ia hanya sesuai digunakan untuk bantuan pernafasan di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, jika keluarga kanak-kanak itu mempunyai kereta, mesin itu boleh dibawa ke kelas Muhammad Zulhilmi sementara menunggu peralatan pernafasan balang oksigennya dibaiki.

Mengenai penyakit Muhammad Zulhilmi, beliau enggan mengulas lanjut tetapi kagum dengan ketabahan kanak-kanak itu mengharungi kesulitannya tersebut.

Wednesday, July 05, 2006

Pelajaran ‘murid balang oksigen’ menggalakkan

Utusan Malaysia, 5 julai 2006

ALOR STAR 4 Julai - Keluarga Mohamad Zulhilmi Yahaya, murid yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram (kg) ke sekolah setiap hari gembira dan bersyukur kerana kanak-kanak itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pelajarannya.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas itu mendapat tempat keempat dalam peperiksaan pertengahan tahun, dua bulan lalu.

Ibu 'murid balang oksigen' itu, Norizan Yeop, 39, menyifatkan prestasi memberangsangkan anaknya adalah hasil sokongan semua pihak yang memberi keselesaan dan kemudahan untuk Mohamad Zulhilmi, 7, berjaya dalam pelajaran.

Katanya, walaupun masih terlalu awal untuk menilai prestasi sebenar anak tunggalnya itu, namun tanpa bantuan dan sokongan semua pihak, adalah sukar bagi Mohamad Zulhilmi atau Amy menumpukan perhatian dalam pelajaran akibat menghidap penyakit paru-paru kronik.

Lancar

''Sehingga kini segalanya berjalan lancar bagi Amy berikutan pelbagai bantuan yang disalurkan kepadanya.

''Saya amat gembira dan bersyukur dengan perkembangannya dalam pelajaran dan berharap, impian Amy untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara akan tercapai suatu hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah penderitaan Mohamad Zulhilmi dari Taman Makmur, Lunas yang terpaksa menggalas balang oksigen seberat lima kilogram ke sekolah mendapat perhatian umum setelah Utusan Malaysia menyiarkan laporan mengenainya pada awal tahun ini.

Berikutan laporan itu, pelbagai pihak yang prihatin tampil menghulurkan bantuan kepadanya termasuk pengurangan kos pembelian bekalan gas itu oleh Malaysia Oxygen Bhd. (MOX).

Norizan berkata, Mohamad Zulhilmi menunjukkan penguasaan yang baik dalam kesemua subjek terutama Sains dan Matematik dengan mendapat A bagi kedua-dua mata pelajaran berkenaan.

Menurutnya, ia adalah permulaan yang baik kepada anaknya itu untuk terus berusaha bersungguh-sungguh.

''Kami akan terus memberinya semangat supaya berusaha meningkatkan prestasi. Biarpun Amy mempunyai masalah kesihatan, namun kami sekeluarga tidak mahu ia menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya," katanya.