Sunday, August 05, 2007

AirAsia sedia kren khas untuk OKU di dua LCCT

Berita Harian, 5 ogos 2007

SEPANG: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd (AirAsia) meningkatkan kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini dengan menyediakan kren pengangkut khas atau 'ambulift' kepada golongan itu.

Dua kren pengangkut khas itu akan ditempatkan di LCCT di sini dan Kota Kinabalu, Sabah bagi menyahut permintaan OKU yang mahu AirAsia menyediakan kemudahan kepada mereka sesuai dengan cogan kata syarikat penerbangan itu, 'Kini Semua Orang Boleh Terbang'.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Tony Fernandes, berkata syarikat memperuntukkan bajet RM6 juta bagi meningkatkan kemudahan OKU termasuk membeli dua 'ambulift' serta peralatan lain seperti kerusi roda khas untuk digunakan dalam pesawat.

"Syarikat prihatin dengan permintaan golongan OKU selepas berbincang dengan wakil daripada The Barrier-Free Enviroment and Accesible Transport Group (Beat) malah mahu mengambil ahli mereka bersama menyertai krew AirAsia," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program meningkatkan kemudahan OKU di LCCT di sini, semalam.

Turut hadir Penyelaras Beat, Christine Lee.

Bulan lalu, Beat yang dianggotai 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan piket secara aman di LCCT, di sini sebagai membantah tindakan AirAsia yang dianggap mendiskriminasikan OKU kerana enggan membenarkan penumpang berkerusi roda menaiki pesawat.

Sebelum ini, Tony dilaporkan menafikan dakwaan Beat dan menegaskan kakitangan AirAsia akan membawa sendiri penumpang berkerusi roda menaiki pesawat tanpa bayaran tambahan.

Tony dilaporkan berkata, masalah ketiadaan kemudahan sudah dibincangkan beberapa kali dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan sehingga kini kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat kerana ia membabitkan kos yang tinggi.

Berikutan itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy dilaporkan mengarahkan MAHB dan AirAsia berbincang berhubung penyediaan kemudahan untuk penumpang berkerusi roda dan kurang upaya menaiki pesawat serta menekankan dasar kerajaan berhubung kemudahan OKU adalah jelas.

Tony berkata, syarikat membuat keputusan membeli sendiri dua kren pengangkut khas atau 'ambulift' kerana tidak mahu terus terus berbincang mengenai isu kemudahan untuk penumpang OKU dengan MAHB tanpa sebarang hasil.





"Jadi kita beli sendiri dan gunakan ia untuk penumpang AirAsia," katanya.

Beliau berkata, syarikat akan menawarkan pekerjaan kepada sekurang-kurangnya tujuh OKU untuk bertugas di bahagian kaunter penumpang dan pusat panggilan AirAsia.

Sementara itu, mengulas mengenai isu permohonan akses terhad ke Singapura dengan dua penerbangan setiap hari yang dihalang Penerbangan Malaysia (MAS), Tony berkata, syarikat sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada kerajaan.

"Syarikat menyerahkan isu ini kepada kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menimbangkannya.

"Kita berada dalam pasaran terbuka. Majlis hari ini (semalam) jelas menunjukkan AirAsia mendengar, membantu dan mengeluarkan peruntukan jika perlu," katanya.

Sementara itu, Tony berkata, syarikat juga sedang menyediakan mekanisme membolehkan penumpang yang menghadapi masalah penerbangan tertangguh dipulangkan sebahagian daripada tambangnya.

"Kita masih menjalankan kajian...jika ini dilaksanakan, AirAsia akan menjadi syarikat penerbangan pertama di Asia yang melakukannya," katanya.

No comments: