Showing posts with label disleksia. Show all posts
Showing posts with label disleksia. Show all posts

Friday, April 20, 2007

Darul Najjah rancang buka pusat pembelajaran khas

Berita Harian, 20 April 2007


KUALA LUMPUR: Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur dan Selangor mahu menubuhkan pusat pembelajaran khas kanak-kanak disleksia bagi memberi peluang mendapat peluang pendidikan sama dengan kanak-kanak normal.

Menerusi perancangan yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan sokongan Kementerian Pelajaran, dua kawasan iaitu Bukit Lanjan dan Jalan Kebun, Klang di kenal pasti untuk pembinaan pusat itu.

Setiausahanya, Salmah Nordin, berkata dengan adanya pusat itu kelak, ia akan memberi peluang kepada masyarakat di seluruh negara menghantar anak mereka belajar di pusat khas pembelajaran anak disleksia.

Beliau berkata, pihaknya merancang membina pusat itu tahun ini dengan sasaran menempatkan 100 pelajar.

“Persatuan memerlukan peruntukan kira-kira RM900,000 untuk membina pusat itu di Bukit Lanjan atau di Jalan Kebun, Klang yang disediakan JHEOA Selangor.

“Kita harap lebih ramai masyarakat tampil memberi sumbangan kepada persatuan bagi membolehkan rancangan membina pusat itu menjadi realiti untuk anak-anak disleksia,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Disleksia An-Najjah yang disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, yang turut dihadiri Sultanah Pahang Sultanah Kalsom, di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Saudara Baru An-Najjah di sini, semalam.

Pada majlis itu, Sultan Pahang menyumbang RM100,000 kepada tabung berkenaan. Turut memberi sumbangan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Abdul Aziz dan Yayasan Pendidikan Titiwangsa, masing-masing RM5,000.



Mengenai Pusat Jagaan Anak Yatim dan Saudara Baru An-Najjah di Jalan Kent 2, Jalan Maktab di sini, katanya ketika ini ada 19 penghuni, termasuk anak Orang Asli, anak saudara baru dan anak yatim.

Katanya, daripada jumlah itu anak Orang Asli dan saudara baru masing-masing enam orang dan dua anak yatim yang mengalami disleksia.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian atas nama Persatuan Kebajikan Darul Najjah Kuala Lumpur dan Selangor menerusi nombor akaun 564212-10-3300 (Maybank Jalan Maktab).

Monday, February 26, 2007

Sindrom lambat membaca

Berita Harian, 26 Februari 2007


Disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman

BIASANYA kanak-kanak yang berumur tujuh tahun ke atas sudah tahu mengenal huruf, mengeja, membaca dan menulis. Bagaimana pula bagi mereka yang masih tidak mampu melakukan semua itu?

Sesetengah ibu bapa mungkin menganggap anak mereka yang mengalami masalah berkenaan lembap dan malas tanpa berusaha mengenal pasti punca masalah itu berlaku.

Kanak-kanak yang berumur lima tahun ke atas yang masih tidak mampu mengeja dan menulis mungkin disebabkan oleh sejenis sindrom yang dipanggil disleksia. Sindrom lambat membaca ini bukan satu penyakit berbahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran.

Disleksia disebabkan oleh kerosakan pada kebolehan otak untuk menterjemahkan imej tulisan kepada kefahaman. Ia juga dipanggil sebagai sindrom "lambat baca" di kalangan kanak-kanak.

Kanak-kanak disleksia adalah normal dari segi fizikal, pemikiran dan cara percakapan tetapi yang membezakan mereka daripada kanak-kanak lain ialah kesukaran membentuk satu kefahaman bagi sesuatu huruf serta menyebutnya.

Rawatan bagi sindrom ini adalah dengan menyertai pelbagai jenis program pembelajaran bagi membentuk minat mereka untuk membaca dan menulis. Sokongan padu amat penting bagi kanak-kanak terbabit.

Presiden Persatuan Kanak-Kanak Disleksia Wilayah Persekutuan, Sariah Amirin, berkata sindrom disleksia agak sukar dikenal pasti kerana ia tidak seperti sindrom atau penyakit lain.

"Jika kanak-kanak mula menunjukkan kelewatan bercakap dengan fasih, lambat mengenal pasti huruf serta menyanyi, mereka mungkin berisiko mengalami disleksia.

"Apabila mereka mula memasuki alam persekolahan keadaan itu akan kelihatan lebih ketara termasuk ketidakupayaan mengenal huruf, membaca, memahami, cepat lupa serta menterbalikkan huruf.

"Kanak-kanak ini juga membaca dari kanan ke kiri, tidak dapat membezakan persamaan perkataan dan kesukaran untuk menyebut ayat yang dieja," katanya.

Disleksia juga boleh diklasifikasikan sebagai kelewatan pembelajaran dari segi umur daripada yang sepatutnya. Kebanyakan kanak-kanak yang berumur enam tahun sudah mampu untuk belajar membaca, tetapi bagi kanak-kanak disleksia, mereka tidak dapat memahami asas pembacaan walaupun sudah mencapai Tahun Satu.

"Tiada ujian tunggal yang dilakukan untuk mengenal pasti disleksia. Penilaian diagnosis yang dilakukan adalah berkaitan dengan perubatan, proses mengenal (kognitif), pengolahan pancaindera dan sejarah perubatan keluarga.

"Rawatan dari segi psikologi juga patut diberikan kepada kanak-kanak ini. Ini boleh menentukan bahawa mereka mengalami masalah sosial atau tidak. Sifat bimbang atau tekanan yang dihadapi akibat kesukaran penerimaan pembelajaran boleh merencatkan kebolehan mereka," katanya.

Komplikasi yang dihidapi oleh kanak-kanak disleksia ini mampu menjejaskan mata pelajaran lain seperti matematik. Selain itu disebabkan membaca adalah perkara asas dalam keseluruhan pembelajaran, kanak-kanak ini akan menghadapi masalah untuk meneruskannya ke peringkat paling tinggi.

Sariah berkata, rawatan pemulihan bagi kanak-kanak ini adalah melalui program pengajaran yang bersesuaian.

Katanya, pengajar perlu menggunakan teknik mendengar, melihat dan sentuhan untuk membantu meningkatkan kemahiran pembacaan mereka.

"Anda boleh membantu dengan cara membacakan buku kepada mereka bagi membantu mereka menyebut sesuatu huruf itu dengan baik.

"Bagi mereka yang tidak boleh membaca, sesi pengajaran mesti dilakukan dalam jumlah kumpulan yang kecil setiap minggu. Selain itu, sokongan keluarga adalah peluang paling besar bagi menyembuhkan disleksia” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa perlu banyak meluangkan masa bercakap dengan mereka dan memberi semangat kepada mereka yang mengalami sindrom disleksia.

“Jangan sekali-kali bandingkan mereka dengan kanak-kanak normal lain. Ini mampu menjatuhkan maruah serta semangat mereka," katanya.



FAKTA: Disleksia

  • Disleksia adalah sejenis sindrom lambat membaca

  • Kanak-kanak berusia lima tahun boleh dikenal pasti sama ada menghidap disleksia atau tidak.

  • Kanak-kanak ini adalah normal seperti kanak-kanak lain, malah mereka juga dikatakan lebih bijak dalam berfikir.

  • Masalah utama penghidap disleksia ialah ketinggalan dalam pelajaran.

  • Cara pembelajaran yang sesuai dan menarik mampu merawat permasalahan disleksia ini.
  • Monday, September 11, 2006

    Permata Hati: Rawatan terapi bantu pulihkan Hafiz Aqiq


    Jalina gigih berusaha, tidak patah semangat didik anak sulung alami masalah disleksia

    IBU mana yang tidak bimbang dan susah hati apabila mengenangkan nasib anak yang mengalami masalah Disleksia. Kadang kala timbul persoalan apa salah seorang ibu sehingga mendapat anak yang sedemikian. Itulah yang sering bermain di fikiran dan suara hati Jalina Jalil.

    Namun itu kenangan 11 tahun lalu. Hari ini, segala yang berlaku diterimanya dengan redha dan pasrah di atas ketentuan Ilahi apatah lagi permata hatinya itu semakin menunjukkan perkembangan positif, semakin ceria malah keletahnya sentiasa menghiburkan. Kehadiran Mohd Hafiz Aqiq Mohd Alwi cukup menceriakan kehidupan mereka suami isteri.

    Jalina mengaku, pada peringkat awal kanak-kanak, beliau kurang menyedari ‘perbezaan’ antara anaknya itu berbanding rakan sebayanya yang lain. Bukan salahnya kerana secara realiti, disleksia sukar dikesan ketika lahir sebaliknya masalah itu hanya dapat dilihat dengan jelas semasa kanak-kanak itu mula bersekolah.

    “Apa yang saya perhatikan, ketika di sekolah rendah, beilau agak ketinggalan dalam pelajaran berbanding rakannya yang lain. Saya mula mengesan sesuatu yang pelik pada diri Aqiq ketika berada di darjah tiga. Kadangkala apabila saya menyuruhnya membaca, pelbagai alasan yang diberi Aqiq.

    “Melalui bantuan Penolong Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Kajang, Nor Hayati Lee, saya membawa anak saya ke hospital untuk menjalankan pemeriksaan lebih lanjut yang dilakukan oleh pakar psikologi kanak-kanak hospital tempatan dan beliau disahkan menghidapi masalah disleksia,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Ibu kepada dua anak itu berkata, selepas mengetahui kedudukan berkenaan, beliau memutuskan untuk menyertai persatuan berkaitan masalah disleksia kerana tahu menerusi persatuan, aktiviti yang dilaksanakan boleh membantu Aqiq menjalani kehidupan seharian seperti rakan sebayanya.

    “Aqiq saya bawa menjalani rawatan terapi di kelas yang dianjurkan oleh Persatuan Dyslexia Wilayah Persekutuan. Hingga kini Aqiq semakin pulih berbanding dulu yang sukar untuk membunyikan huruf. Perkembangan positifnya itu menyebabkan saya mengabil keputusan menghantarnya ke sekolah khas kerana saya tahu masalah ini tidak boleh diatasi andai terus berada di sekolah biasa.

    “Selama tiga bulan saya menghantar menghantar Aqiq ke kelas anjuran Persatuan Dyslexia. Pada masa sama saya tetap meluangkan masa mengajar Aqiq seperti melatihnya membaca selama setengah jam pada waktu malam, setiap hari, tanpa culas,” katanya.

    Jelasnya mengajar kanak-kanak sebegini memerlukan sedikit usaha kerana kajian mendapati, penerimaan mereka berbeza kerana tidak dapat mengingati secara langsung. “Ada gangguan pada pandanganya” menyebabkan timbul sedikit kesukaran bagi kanak-kanak disleksik ini.

    Bagaimanapun, kanak-kanak sebegini, dikatakan berkebolehan dalam mengingati sesuatu malah pelbagai bantuan grafik membantu kanak-kanak disleksik untuk terus belajar kerana minda mereka mudah mengingati apa yang dilihat menerusi ‘cara berlainan itu’.

    Jalina juga mengakui kekurangan kemudahan untuk kanak-kanak ini untuk maju juga punca ibu bapa tidak berkeupayaan membantu anak mereka.

    "Kekurangan kemudahan seperti pusat pembelajaran kanak-kanak ini masih belum mencukupi dan masih jauh jika dibandingkan dengan negara luar. Ramai di kalangan ibu bapa yang berpendapatan tinggi dan golongan profesional menghantar anak mereka ke sekolah khas di luar negara. Di luar negara kanak-kanak ini dilatih berdasarkan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang.

    "Di Malaysia, hanya terdapat dua pusat pembelajaran kanak-kanak ini iaitu di Kuala Lumpur dan Johor dan yang terbaru di Pahang sedangkan perangkaan yang diberikan oleh Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia menganggarkan seramai 314,000 kanak-kanak di seluruh negara mengalami masalah ini dan dianggarkan seorang bagi setiap 20 kanak-kanak Malaysia berhadapan masalah itu,” katanya.

    Mengulas lanjut, katanya ada segelintir ibu bapa yang tinggal di pedalaman, didapati sukar menghantar anak mereka mendapatkan bantuan disebabkan jarak yang jauh. Yuran yang tinggi kerana rata-rata pusat pembelajaran dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO), antara halangan dikenal pasti.

    Katanya, membantu kanak-kanak diseksik, setiap sekolah perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang guru khas dalam bidang itu agar kanak-kanak ini dapat belajar dengan baik. Institusi Pengajian Tinggi (IPT) juga seharusnya turut menyediakan kursusu berkaitan kerana ia akan memperbanyakkan pakar dalam bidang berkaitan.

    “Dalam mendidik anak sebegini, kesabaran adalah perkara paling perlu diutamakan oleh setiap ibu bapa. Jangan berputus asa kerana mereka bukannya tidak pandai, sebaliknya ibu bapa perlu tahu kaedah yang betul dan tepat. Jika perlu, jangan berat hati menghantar anak ini ke sekolah khas,” katanya.

    Profil Jalina Jalil
    Asal: Georgtown, Pulau Pinang
    Tempat Lahir: Pulau Pinang
    Nama Suami: Mohd Alwi Dali
    Anak: Mohd Hafiz Aqiq, 11 tahun; Aifa Arina, 8 tahun
    Kerjaya: Bekerja di salah sebuah syarikat swasta di ibu kota

    Monday, July 03, 2006

    P&G bantu buka pusat disleksia baru

    Berita Harian, 3 julai 2006


    RAKYAT Malaysia sememangnya terkenal sebagai masyarakat pemurah. Kini, bukan sekadar individu, malahan syarikat korporat turut prihatin dalam menunaikan tanggungjawab sosial. Terbaru Procter & Gamble Malaysia Sdn Bhd (P&G Malaysia) atas dasar kemanusiaan menyumbangkan sejumlah dana bagi membuka pusat disleksia di Subang Jaya.

    Pusat Disleksia Subang Jaya itu menyediakan kemudahan pembelajaran khusus bagi kanak-kanak disleksik. Penghidap disleksia menghadapi kesukaran untuk memahami proses pembelajaran tradisional seperti kanak-kanak biasa. Oleh itu golongan ini menjurus kepada sistem pembelajaran interaktif yang pastinya menelan belanja lebih daripada sistem konvensional.

    Pengurus Perhubungan Awam P&G Malaysia, Shahira Ahmed Bazari, berkata segalanya bermula pada 2005 apabila P&G Malaysia melalui Yayasan Nur Open Minds menjalankan pelbagai aktiviti bagi mengumpul dana bertujuan membantu kanak-kanak yang memerlukan.

    “Antara aktiviti termasuklah menjual kek dan biskut, mengadakan kelas belajar tenis, dan majlis makan malam. Hasilnya, P&G berjaya memperoleh RM2 juta yang turut diagihkan kepada Persatuan Autisme Kebangsaan, Yayasan Kebajikan Malaysia dan pusat disleksia ini,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian pusat berkenaan di Subang Jaya, baru-baru ini.

    Majlis perasmian menyaksikan kanak-kanak disleksi menerima hadiah berupa blok mainan lego dari P&G Malaysia. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Persatuan Disleksia Wilayah Persekutuan, Sariah Amirin.

    Menerusi projek itu, P&G Malaysia mensasarkan seorang pekerja untuk mendapatkan sumbangan sekurang-kurangnya bernilai RM2,000. Sementara bagi pekerja pengurusan kanan, jumlah yang disasarkan ialah RM20 ribu setiap individu.

    Menariknya, Ketua Eksekutif P&G Malaysia, Patrick Lockwood-Taylor sendiri mengutip RM50 ribu dalam satu majlis climbthon yang dilakukannya dengan mendaki Gunung Kinabalu. Usahanya itu memakan masa setengah hari demi mengutip sumbangan buat Open Minds.

    Shahira berkata, Subang Jaya terpilih sebagai destinasi baru pusat disleksia berikutan permintaan ibu bapa di kalangan kawasan sekitarnya yang lebih tinggi berbanding kawasan lain. Kebanyakan ibu bapa itu datang dari kawasan berhampiran seperti Shah Alam, Subang Jaya dan Klang. Secara kebetulan, ibu pejabat P&G Malaysia juga terletak di Subang Jaya.

    Rumah teres lot tepi itu dilengkapi lima komputer dengan perisian Fitzroy Reading bagi membantu kanak-kanak disleksik membaca. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan ruang riadah, manakala kedua buah bilik dijadikan bilik pembelajaran efektif.

    Sementara itu, Sariah berkata, ada 30 sekolah di seluruh Malaysia yang menyediakan program khas bagi mengajar kanak-kanak disleksia. Bagaimanapun, ia tidak mencukupi bagi menampung sejumlah 314,000 orang kanak-kanak disleksik di seluruh negara.

    Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai lagi pihak tampil memberi sumbangan bagi menyediakan kelengkapan buat insan disleksik.

    Setakat ini, Pusat Disleksia Subang Jaya menempatkan 10 kanak-kanak pada hari biasa, manakala 12 orang lagi pada hari Sabtu.

    Bagi yang berminat mendapatkan maklumat mengenai disleksia, bolehlah menghubungi Pusat Kegiatan Persatuan Disleksia di nombor 03-4025 5109. Persatuan itu terletak di No 6, Persiaran Kuantan Off Jalan Titiwangsa, Setapak Kuala Lumpur.