Showing posts with label spastik. Show all posts
Showing posts with label spastik. Show all posts

Tuesday, August 15, 2006

Pelajar spastik dapat Pingat Emas Canselor

Berita Harian, 15 ogos 2006

GEORGETOWN: Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengalami penyakit cerebral palsy (spastik), memecah rekod universiti itu apabila muncul pelajar kurang upaya pertama menerima Pingat Emas Canselor.


Tan Chin Chin, 24, yang mengalami kecacatan otak sehingga gagal mengawal pertuturan dan pergerakan fizikal sejak lahir, memperoleh pencapaian akademik cemerlang dalam bidang sains kemasyarakatan.

Beliau menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian), akan menerima pingat itu daripada Raja Permaisuri Agung, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid yang juga Canselor USM pada majlis Konvokesyen ke-35 USM, esok.

Tiga lagi pelajar terbaik yang turut menerima pingat ialah Ling Yoke Li yang meraih Pingat Emas Canselor dan Anugerah Pelajaran Diraja kategori Bukan Bumiputera.

Nawal Radhiah Abdul Rahman (Anugerah Pelajaran Diraja-Bumiputera) dan Fakhrul Razi Sunip (Pingat Emas Naib canselor).

Mereka adalah antara 1,126 graduan ijazah lanjutan dan 6,228 ijazah pertama yang akan menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama lima hari, mulai esok.

Tan, anak seorang buruh, berkata kejayaan itu merealisasikan cita-citanya untuk membantu memberi pendidikan kepada golongan senasibnya.

Beliau yang kini bertugas sebagai tenaga pengajar di Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy (Spastik) Pulau Pinang, mengucapkan terima kasih kepada rakan sekuliah, pensyarah dan ibu bapa yang banyak membantu kerana kekurangan dirinya.

“Saya berterima kasih kepada mereka terutama rakan di asrama yang membantu menghantar saya ke kuliah setiap hari, selain meminjamkan nota kerana saya sukar menyalin nota dengan cepat di dalam kelas,” katanya.

Anak bongsu daripada dua beradik yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana berkata, semangat ibunya yang berjaya pulih daripada sakit kronik turut memberi perangsang kepadanya.

Bagi Nawal Radhiah Abdul Rahman, 24, pesanan bapanya, seorang pesara guru bahawa tiada harta yang ditinggalkan kecuali pelajaran, memberi ingatan kepadanya untuk sentiasa menumpukan pelajarannya.

Beliau bakal bergelar doktor gigi dan akan bertugas di Klinik Pergigian Kulim, esok.

“Bapa saya berpendapatan sederhana dan ibu saya tidak bekerja. Oleh itu, mereka sentiasa mengingatkan kami tujuh beradik supaya berusaha dalam pelajaran bagi mengubah nasib kami sekeluarga,” katanya.

Ling, 25, yang akan bertugas sebagai doktor gigi di Hospital Seremban, bulan depan, berkata kejayaannya hasil galakan lima adik beradiknya yang berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti.

Penolong Pengarah Biro Tata Negara di Jabatan Perdana Menteri, Fakhrul Razi, berkata berkat usaha dan aktif dalam pelbagai kegiatan di kampus dan luar kampus membantunya mendapat kerja selepas tamat pengajian.

Dell tubuh pusat pembelajaran kanak-kanak istimewa




KHUSYUK: Kanak-kanak istimewa, Ooi Wan Chean
menggunakan komputer di pusat pembelajaran yang
dihadiahkan Dell.
Berita Harian, 15 ogos 2006

DELL Malaysia (Dell) membuktikan komitmennya terhadap komuniti kurang bernasib baik di negara ini dengan menubuhkan pusat pembelajaran di Persatuan Kanak-Kanak (Spastic) Cerebral Palsy, Pulau Pinang.


Dengan membabitkan kos kira-kira RM140,000, Dell melengkapkan pusat berkenaan dengan 20 desktop berkeupayaan tinggi, pencetak dan tiga skrin sesentuh.

Komputer itu dibekalkan dengan ciri khas pada suis, papan kekunci dan perisian bagi memudahkan kanak-kanak di persatuan berkenaan menggunakannya.

Pusat berkenaan dibuka oleh Naib Presiden Dell Asia Pasifik (Operasi Asia), Simon Wong dan ia adalah antara beberapa pusat Dell di rantau ini. Pusat sama terdapat di China, India dan Singapura.

Guru komputer persatuan ber­kenaan, R Mahendran berkata, sebelum ini, hanya 52 kanak-kanak boleh menggunakan komputer.

“Dengan pusat baru ini, 80 kanak-kanak akan memanfaatkan kemudahan yang disediakan sekali gus membolehkan mereka mengisi banyak masa dengan komputer,” katanya.

Pusat itu berupaya menyediakan kemudahan pembelajaran interaktif berbantukan komputer bagi membolehkan usaha pembangunan pembacaan, penulisan, terapi simulasi video dan visual selain latihan tingkah laku.

Kakitangan Dell juga akan turut terbabit dalam kerja memprogramkan komputer seperti memasang program perisian istimewa, mengawasi makmal dan membantu kanak-kanak di pusat berkenaan membaca, menyanyi dan melukis.