Friday, November 10, 2006

Fespic rintis laluan penubuhan sekretariat tetap OKU di MSN

Berita harian, 10 november 2006


PENGANJURAN Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Selatan (Fespic) di Kuala Lumpur lewat bulan ini dilihat sebagai titik tolak kepada penubuhan sekretariat tetap buat orang kurang upaya (OKU) dinaungi Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memastikan segala usaha membangunkan sukan bagi warga istimewa itu tidak terhenti selepas Fespic.


Penubuhan sekretariat itu antara lain adalah untuk menyelia program pembangunan dan latihan jangka panjang buat paralimpik bagi temasya sukan yang bakal diadakan selepas Fespic 2006, iaitu Olimpik Beijing 2008, Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Para Asia 2010 yang akan menggantikan tempat Fespic.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, Polisi Sukan Kebangsaan (PSK) yang baru mencetus kepada penciptaan pejabat baru itu dalam badan penggerak sukan berprestasi tinggi dalam negara ini.

“Polisi Sukan Kebangsaan menetapkan tiada diskriminasi dalam sukan. Penubuhan sekretariat tetap ini dilihat dapat memperkenalkan program konsisten buat golongan kurang upaya ini.

“Di samping itu ia diharap dapat mencetuskan kesedaran terhadap keperluan golongan upaya dan perkhidmatan yang diperlukan mereka. Misalnya, gelanggang perlu diubah suai bagi menjadikannya mesra kurang upaya. Saya lihat kebanyakan gelanggang dibina tanpa kemudahan buat golongan kurang upaya.

“Ia akan membuka peluang kepada ramai golongan remaja kurang upaya untuk menyertai aktiviti sukan. Ini akan membolehkan kami mengenal pasti golongan ini untuk mewakili negara pada kejohanan-kejohanan lain,” katanya pada sidang media sempena sesi kunjungannya ke pusat latihan paralimpik kebangsaan yang juga dikenali sebagai Skuad Wira Negara di Pusat Pemulihan dan Perindustrian Bangi semalam.

Azalina sempat meninjau persiapan atlit bola keranjang kerusi roda, bola tampar duduk, lawan pedang, ping pong dan angkat berat (power lifting).

Turut hadir sempena lawatan itu adalah Pemangku Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Zainal Abu Zarin; Chef-de-Mission Skuad Wira Negara, Datuk Dr Ismail Md Salleh; Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dan Chef-de-mission Sukan Asia 2006, Datuk Abdullah Sani Karim.

Menurut Dr Ramlan, pejabat buat OKU itu kini masih meniti peringkat awal dengan seorang pegawai diletakkan di sana buat sementara waktu ini.

Fespic (KL 06) yang akan dilangsungkan di sekitar Lembah Klang dari 25 November hingga 1 Disember ini akan menampilkan 2,455 peserta dari 47 negara akan bersaing dalam 19 acara.

Jururawat kudung kena tetak suami

Berita Harian, 10 november 2006


Lelaki bawa isteri cedera parah untuk rawatan


KUALA LUMPUR: Seorang jururawat putus tangan kiri dan dua jari tangan kanan akibat ditetak beberapa kali dengan parang oleh suaminya ketika pertengkaran di rumah mereka di Jalan Klang Lama, di sini, Isnin lalu.

Kejadian ngeri itu berlaku kira-kira jam 5 petang ketika V Mageswary, 33, baru pulang dari rumah adik iparnya selepas mangsa keluar rumah ketika mereka bertengkar kali pertama kira-kira jam 12 tengah hari.

Ketika itu, suaminya, 32, memasuki rumah dan terus menyerang mangsa menggunakan parang menyebabkan Mageswary terpaksa mempertahankan diri dengan kedua-dua belah tangan bagi mengelakkan tetakan itu terkena kepala.

Beliau yang ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, tetakan pertama tepat mengenai pergelangan tangan kiri menyebabkan ia putus dan jatuh di lantai. Serangan bertalu-talu itu juga menyebabkan jari kanannya terputus.

“Hanya itu (tangan) saja senjata saya untuk mempertahankan diri. Saya bimbang parang itu terkena kepala kerana mungkin akibatnya lagi teruk.

“Tetapi dia juga tetap menetak leher, belakang, kepala dan kaki saya. Walaupun tangan saya sudah terputus, saya masih sedar. Melihat keadaan saya terlalu parah, suami membawa ke Hospital Assunta untuk menerima rawatan,” katanya.

Mangsa yang bekerja di hospital swasta sejak 10 tahun lalu kemudian dirujuk ke PPUM selepas mengalami kecederaan parah dan menyambung semula tangan kirinya yang terputus.

Difahamkan, satu jari tangan kanannya gagal disambung dan mungkin menghadapi risiko kecacatan kekal.

Pasangan suami isteri itu berkahwin sejak enam tahun lalu dan mangsa mendakwa sering dipukul suami sejak beberapa bulan lalu terutama ketika berlaku pertengkaran. Mereka dikurniakan dua anak iaitu seorang lelaki berusia lima tahun dan perempuan tiga tahun, tetapi ketika kejadian anak mereka tiada di rumah.

Sehubungan itu, Mageswary, dikatakan sudah serik untuk tinggal bersama suaminya dan menolak kemungkinan akan kembali bersama suami selepas pulih.

“Ini satu pengalaman menakutkan. Hati saya berat untuk kembali (tinggal bersama suami),” katanya.

Berikutan kejadian itu, abang mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya dan suaminya masih menghilangkan diri selepas menghantarnya ke hospital.

9 pingat emas realistik – Azalina

Utusan Malaysia, 10 november 2006

AZALINA Othman Said (kiri) cuba berlawan pedang atas kerusi roda dengan Sharon Lim semasa membuat tinjauan persiapan atlet negara ke Sukan Fespic KL ’06 di Bangi, Selangor, semalam. – Bernama.

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said menyifatkan sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) bahawa kontinjen negara dapat memenangi sembilan pingat emas di Sukan Asia Doha pada 1 hingga 15 Disember ini sebagai realistik.

“Kalau dibandingkan dengan sasaran yang diletakkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) iaitu antara lima hingga lapan pingat emas, sasaran sembilan pingat emas ini saya lihat sebagai realistik.

“Saya juga tidak boleh menilai jumlah pingat emas yang disasarkan itu sehinggalah Sukan Asia Doha berakhir,” katanya kepada pemberita selepas melawat atlet negara membuat persediaan menghadapi Sukan Timur Jauh dan Pasifik Selatan (FESPIC) KL’06 di Bangi, dekat sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai pengumuman sasaran jumlah pungutan pingat emas di Sukan Asia Doha oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz, kelmarin.

Azalina berkata, sasaran MOM adalah berdasarkan kepada maklumat balas yang diterima daripada persatuan sukan yang terlibat, sebaliknya jangkaan MSN pula berdasarkan kepada prestasi semasa atlet berkenaan.

Dr. Ramlan berkata, sembilan pingat emas itu dijangka diperoleh daripada tujuh jenis sukan iaitu masing-masing dua pingat emas dari acara skuasy dan boling, manakala bina badan, karate, berbasikal, perahu layar dan wusyu dijangka menyumbang masing-masing satu pingat emas.

Selain sembilan pingat emas, MSN turut menjangkakan kontinjen negara bakal membawa pulang 12 pingat perak dan 19 gangsa.

Pada Sukan Asia Doha, Malaysia akan menghantar 231 atlet untuk bertanding dalam 23 daripada 39 acara yang ditawarkan oleh tuan rumah.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan Asia ialah pada temasya di Bangkok pada 1966 dengan mendapat tujuh emas manakala di Busan, Korea Selatan empat tahun lepas, kontinjen negara memperoleh enam emas.

– Bernama

Thursday, November 09, 2006

NGO, swasta digesa utama tanggungjawab sosial

Berita harian, 9 november 2006

MUAR: Syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) diminta lebih proaktif melaksanakan tanggungjawab sosial bagi membantu orang kurang upaya, anak yatim dan warga emas.


Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Kassim Yunos, berkata selain bantuan kewangan, pihak terbabit boleh membantu meningkatkan motivasi golongan berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya berbangga tanggungjawab sosial yang dilaksanakan sektor swasta dan NGO di negeri itu sangat baik terutama setiap kali menjelang perayaan.

"Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada syarikat swasta dan NGO yang sanggup tampil membantu JKM dengan memberi sumbangan meringankan nasib golongan kurang berkemampuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Aidilfitri anjuran bersama pejabat JKM daerah dan syarikat STMicroelectronics (ST) Sdn Bhd, di Dewan Jubli Intan, di sini, semalam.

Pada majlis itu, lebih 400 anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya dari 11 Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di daerah ini diraikan dalam jamuan makan dan menerima sumbangan duit raya dan hamper daripada ST.

Tetamu majlis itu juga dihiburkan dengan persembahan tarian moden dan tradisional dari kanak-kanak PDK dan pekerja ST.

Kassim berkata, peningkatan pembabitan sektor swasta dan NGO memberi sumbangan menunjukkan petanda baik bahawa masyarakat tempatan terus prihatin terhadap nasib golongan kurang kemampuan.

Beliau berharap, sektor swasta dan NGO tidak hanya menunggu musim perayaan untuk memberi sumbangan, sebaliknya dijadikan sebagai antara kegiatan tahunan syarikat berkenaan.

"JKM sentiasa mengalu-alukan sumbangan sektor swasta dan NGO dan bekerjasama memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan. Kita berharap lebih ramai lagi syarikat termasuk individu yang tampil memberi sumbangan, "katanya.

10 OKU dapat bantuan hamper, kerusi roda

Berita Harian, 9 november 2006


KUALA LUMPUR: Seramai 10 orang golongan kurang upaya (OKU) menerima sumbangan khas sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakan di Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Gombak, Pusat Bandar Taman Melawati, di sini, malam kelmarin.


Ahli Parlimen Gombak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail , berkata golongan berkenaan menerima sumbangan berbentuk hamper dan kerusi roda bagi membantu meringankan penderitaan mereka.

Lebih 7,000 penduduk pelbagai kaum menghadiri majlis berkenaan sambil menikmati kebudayaan, pertunjukan silap mata dan nyanyian.

“Majlis ini sengaja saya adakan di Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Gombak bagi memberitahu orang ramai mengenai kewujudannya,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka itu.

Beliau berkata, tema sambutan tahun ini ialah ‘memperkenalkan makanan tradisi’ bagi memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai juadah yang terdapat di negara ini.

“Saya lihat majlis ini dapat merapatkan hubungan kaum kerana semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin parti politik, polis, badan bukan kerajaan (NGO) dan artis hadir, “ katanya.