Tuesday, October 10, 2006

Pesakit mental perlu rawatan rapi

Berita harian, 10 oktober 2006

MASYARAKAT khususnya ahli keluarga harus membantu pesakit mental untuk pulih dengan menghantarnya mendapatkan rawatan segera kerana membiarkan pesakit berkenaan bererti merosakkan masa depannya.

Presiden Persatuan Psikiatrik, Prof Dr Mohamad Hussain Habil, berkata realiti yang menyakitkan apabila pesakit mental dianggap bukan ‘isu istimewa’ untuk diberikan perhatian, menjadikan usaha membantu mereka kurang berkesan.

“Saya katakan sedemikian kerana lihat saja kepada bajet diperuntukkan oleh kerajaan amat kecil, malah tidak berbeza jumlahnya sejak puluhan tahun yang lalu andai dibandingkan dengan penyakit lain, sedangkan harga ubat semakin meningkat dan penyelenggaraan semakin kompleks.

“Pendekatan yang diberikan terhadap pesakit ini menjadikan pesakit sendiri tidak mahu datang mendapatkan rawatan. Terkurung dalam persekitaran yang tidak memberangsangkan menjadikan tidak ramai yang ingin mendapatkan rawatan atau menghantar saudara mara mendapatkan rawatan.

“Saya fikir sudah sampai Malaysia mempunyai sebuah jabatan seperti kecemasan, yang mana andai seseorang itu bermasalah dirujuk ke bahagian ini. Stigma dan layanan pesakit mental dikenal pasti menghalang mereka mendapatkan rawatan. Selalunya fikiran mereka bercelaru saja dan inginkan perhatian dan nasihat, bukan disumbat terus ke wad sakit mental,” katanya yang menyatakan hingga hari ini hanya satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ‘mendengar’ luahan individu tertekan seperti Befrienders.

Prof Habil berkata, sudah sampai masanya masyarakat memberikan perhatian serius terhadap pesakit mental dengan memberikan rawatan mengikut pendekatan yang lebih lembut dan tersusun.

Menyedari golongan dewasa cenderung sakit mental beliau menyarankan supaya majikan membantu pekerja yang berhadapan masalah mental dengan memberi sokongan seperti membiayai rawatan kerana mereka mempunyai peluang yang amat cerah untuk pulih seperti asal.

Stigma masyarakat yang sering menyatakan, ‘Tiada apa yang boleh kita lakukan andai seseorang itu ingin membunuh diri’ dan ‘Bunuh diri hanya berlaku pada kaum lain, bukan saya’ dan ‘Bunuh diri hanya berlaku di kalangan orang tidak kuat iman’ dan sebagainya, hanya akan merugikan negara.

Walaupun sakit mental adalah pesakit tertua di dunia, perhatian terhadapnya tidak diberikan perhatian sewajarnya walaupun seseorang itu berpotensi untuk sembuh.

Sempena Hari Kesihatan Mental sedunia hari ini, sama-samalah kita mengubah stigma itu dengan membantu, menghulur tangan membantu mereka.

Friday, October 06, 2006

50,000 terima bantuan wang, hamper di Perlis

Berita Harian, 6 Oktober 2006

KANGAR: Kira-kira 50,000 penduduk Perlis akan menerima sumbangan berupa hamper makanan dan bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan negeri sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata jumlah itu termasuk penduduk di Kedah dan masyarakat Islam dari selatan Thailand yang terpilih.

Beliau berkata, seperti tahun sebelumnya, penerima sumbangan itu terdiri daripada golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal, warga tua dan golongan kurang upaya.


"Bantuan ini bertujuan untuk meringankan bebanan golongan miskin dan kurang upaya bagi membolehkan mereka menyambut Ramadan dengan selesa," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan di Dewan Warisan di sini, kelmarin.

Majlis penyerahan bantuan dimulakan sebaik semua penerima dijamu pada jamuan berbuka puasa dan mengerjakan solat Tarawih secara berjemaah di dewan berkenaan.

Shahidan berkata, kerajaan negeri akan memastikan tidak ada seorangpun kalangan mereka yang layak, tercicir daripada senarai penerima sumbangan itu.

"Siri pertama sumbangan telah bermula pada malam pertama Ramadan dan akan berterusan sehingga penghujung bulan yang mulia ini. Setiap penerima sumbangan akan menerima hamper makanan selain bantuan kewangan," katanya.

Beliau menasihatkan penerima supaya memanfaatkan bantuan itu dan tidak menggunakan wang berkenaan untuk perkara tidak berfaedah.

Warga emas daif dapat bantuan sambut raya

Berita Harian, 6 Oktober 2006

BUTTERWORTH: "Pak cik susah nak bergerak sebab sakit lutut, mandi pun seminggu sekali, itupun dibantu anak saudara," kata seorang warga emas yang tinggal sendirian di rumah usang di Kampung Perlis, di sini.

Ariffin Osman, 82, yang sukar bergerak sejak 20 tahun lalu dan pandangannya yang kabur, kini menetap dalam rumah usang kecil tidak ubah seperti reban ayam.

Dia hanya terperap di rumah menanti anak saudaranya, Siti Maimunah Saad, 43, yang tinggal berhampiran menghantar makanan.

Seminggu sekali, anak Siti Maimunah, Ilias Mohamad, 16, akan datang menjirus Ariffin dalam rumah di tempat sama dia makan dan tidur.

"Anak saudara pak cik yang hantar makanan. Kalau dia tidak hantar, pak cik pun tak makan. Lagipun kedua-dua belah mata pak cik tak nampak," katanya yang memilih untuk terus tinggal di rumah berkenaan.

Kelmarin, Biro Pengaduan Umno Pulau Pinang diketuai Pengerusinya, Azlina Mehtab Mohd Ishaq melawat dan menyampaikan sumbangan makanan dan pakaian Aidilfitri kepada Ariffin.

Turut sama, Penolong Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perlis, Mohd Saad Baharom dan Ketua Umno Cawangan kampung itu, Abdul Latif Majid.

Ariffin tidak dapat menahan sebak sebaik menyedari ada orang mengunjungi rumahnya dan menitiskan air mata ketika diberi sumbangan Aidilfitri.

"Pak cik dah tak boleh buat apa...puasa pun tidak. Terserah pada Allah hendak menilai," katanya yang menerima bantuan bulanan RM200 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta jiran yang bersimpati.

Rumah Ariffin berada atas tapak milik seorang Cina dan menyukarkan usaha membina semula rumah berkenaan. Dia enggan tinggal di rumah orang tua walaupun ada usaha berbuat demikian.

Kasihnya Embun kepada anak-anak yatim

Utusan Malaysia, 6 oktober 2006

Oleh: ANGELINA SINYANG

ANAK-ANAK didik Embun yang memanggilnya Opah mengelinginya sambil bergurau senda di hadapan asrama Yayasan Hikmah di Gopeng, Perak baru-baru ini.

WARGA Amerika Syarikat berketurunan Sepanyol, Charles Cerda deVelaresto Conway merupakan seorang daripada Pegawai Penempatan British di Tanah Melayu pada sekitar tahun 1900.

Semasa bertugas di Perak, pemuda kacak bermata biru ini telah jatuh cinta dengan seorang gadis Melayu bernama Maimunah Karim. Conway tidak bertepuk sebelah tangan kerana rupa-rupanya Maimunah juga menyimpan perasaan yang sama.

Tanpa menunggu lama, Conway mengambil keputusan memeluk agama Islam dengan menggunakan nama Mohd. Ali Abdullah untuk berkahwin dengan Maimunah.

Beliau yang sangat suka kepada binatang mengambil keputusan berhenti kerja dengan kerajaan British kerana ingin menyertai pertunjukan sarkas sebagai kerjaya barunya.

Rumahtangga Conway dan Maimunah bertambah lengkap apabila mereka dikurniakan seorang anak perempuan bernama Embun pada 5 November 1919.

Kebahagian pasangan suami isteri itu bagaimanapun musnah semasa Embun berusia enam tahun gara-gara keengganan Maimunah mengikut suaminya berhijrah ke Sepanyol.

Sejak itu, Embun terpaksa tinggal bersama neneknya di Kampung Gunung Panjang, Perak kerana ibunya juga berkahwin baru dan mengikut suaminya berpindah ke tempat lain.

Meskipun dijaga dengan penuh kasih sayang oleh neneknya, jiwa Embun tetap terasa kosong kerana hidupnya ibarat anak yatim piatu tanpa belaian ibu dan ayah tercinta.

Berkat ketabahan, Embun berjaya menamatkan persekolahan sehingga ke darjah lima dan dengan kelulusan itu beliau diterima menjadi guru mengajar subjek Sains Rumah Tangga kepada murid-murid sekolah rendah pada 1935.

Kerjaya beliau dalam bidang perguruan terus cemerlang selepas diterima mengikuti latihan sebagai guru terlatih di Malay Women Training College di Melaka pada 1937.

Semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Malim Nawar, Perak pada 1945, tercetus Perang Dunia Kedua dan Embun berhenti bekerja sebagai guru kerana enggan berkhidmat di bawah pemerintahan Jepun.

Apabila British datang semula ke Tanah Melayu selepas perang, Embun kembali menyambung tugasannya sehinggalah beliau bersara dengan jawatan sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Kepayang Fair Park, Ipoh.

Pengalaman membesar tanpa ibu bapa pula mendorong beliau menubuhkan Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah bertujuan menegakkan syiar Islam melalui pendidikan dan kebajikan.

Asrama anak yatim terletak di Desa Kenangan, Kampung Pintu Padang, Sungai Itek, Gopeng, Perak ini ditubuhkan pada 1991 bersama suaminya yang juga bekas nazir sekolah, Allahyarham Din Kimi.

Pasangan suami isteri ini menggunakan wang pencen yang dikumpul selama 18 tahun berjumlah RM250,000 untuk membina asrama ini yang dilengkapi kemudahan seperti tempat tinggal, perpustakaan, bilik darjah, dewan perhimpunan dan dewan makan serta padang permainan.

Utusan Malaysia dan rombongan dari syarikat jualan langsung terkemuka, CNI Enterprise (M) Sdn. Bhd. bertemu Embun di Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah baru-baru.

Dalam usia ini 91 tahun beliau kelihatan ceria biarpun hanya duduk di kerusi roda dan kurang jelas pendengarannya. Embun cukup sabar melayan kerenah anak-anak yatim yang sudah dianggap seperti cucu dan cicitnya sendiri.

Beliau yang mesra dipanggil `opah' oleh kanak-kanak di situ masih lagi kelihatan masih sihat dan tidak kedekut dengan senyuman biarpun pertama kali berjumpa dengan kami.

Oleh kerana menghadapi masalah komunikasi akibat kurang pendengaran, Embun membiarkan kami dilayan oleh menantu lelakinya, Ismail Din, 59, yang juga selaku Pentadbir di asrama anak yatim itu.

Hadir sama ialah isteri Ismail iaitu Dahlia, 53, yang juga anak kesembilan Embun selaku Setiausaha Kerja di situ.

Pasangan suami isteri ini sudah lama berhenti kerja semata-mata mahu menjadi sukarelawan sepenuh masa di asrama anak yatim itu.

Menurut Ismail, asrama anak yatim berusia 15 tahun itu mempunyai 47 penghuni terdiri daripada anak-anak yatim dan fakir miskin dari seluruh negara.

“Kategori penghuni di sini ialah anak-anak yatim yang kematian ibu atau ayah atau kedua-dua orang tua mereka, golongan fakir miskin termasuk anak yang ibu bapanya bercerai, mangsa dera dan cabul yang dihantar oleh mahkamah.

“Anak-anak yatim di sini dipastikan menerima pendidikan formal di sekolah selain pendidikan agama, malah mereka yang cemerlang akan dihantar melanjutkan pelajaran ke luar negara seperti Syria, manakala yang lemah dimasukkan ke Pusat Giat Mara untuk belajar kemahiran,'' katanya.

Ditanya apakah cabaran dihadapi semasa menjaga kanak-kanak ini, Ismail memberitahu, masalah utama ialah kewangan disebabkan kos pentadbiran yang tinggi setiap bulan.

Menurut Ismail, setiap bulan, mereka memerlukan peruntukan sebanyak RM12,000 untuk menyelenggara asrama anak yatim ini merangkumi perbelanjaan bagi bayaran air dan elektrik, membeli makanan, peralatan pejabat, kenderaan, mesin serta membayar gaji pekerja.

Selain bantuan kewangan, Ismail juga mengalu-alukan tenaga pengajar sukarela datang memberi tuisyen kepada anak-anak yatim di situ terutama pada sebelah malam.

Berbanding rumah anak-anak yatim lain di negara ini, keadaan Asrama Anak-Anak Yatim/Miskin Yayasan Hikmah amat menyedihkan dengan bangunan masih diperbuat daripada kayu, malah kanak-kanak dihantar ke sekolah menggunakan sebuah van buruk berusia 16 tahun.

Tuesday, October 03, 2006

Edisi Utara: Pesakit kusta mohon simpati

Harian Metro, 3 oktober 2006

Oleh Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my

BALING: Seorang pesakit kusta terpaksa bergantung hidup kepada isterinya selepas tidak mampu melakukan sebarang pekerjaan apabila kedua-dua belah tangannya lumpuh akibat penyakit yang dideritainya itu.

Zainol Ali, 61, dari Kampung Setol, Mukim Pulai di sini, yang menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu, berkata kedua-dua tapak tangan dan kakinya merekah dan gatal menyebabkan tidak mampu mencari rezeki untuk isteri dan tiga anak mereka.

Berikutan itu, Zainol kini hanya bergantung kepada isterinya, Norazizah Ramli, 45, sebagai ketua rumah untuk mencari nafkah seharian.

“Isteri sajalah yang bekerja menyara kami anak beranak kerana saya tidak mampu bekerja lagi.

“Dengan sumbangan bulanan RM240 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia tidak dapat menampung keperluan harian keluarga apatah lagi harga barangan yang mahal sekarang ini,” katanya ketika ditemui.

Zainol berkata, dia dikesan menghidap penyakit itu sejak empat tahun lalu selepas disahkan doktor pakar di Hospital Alor Star.

Katanya, dia juga terpaksa mendapat rawatan di hospital sehingga hari ini, dan bergantung kepada isterinya untuk menguruskannya.

Sementara itu, Norazizah berkata, dia hanya menjual kuih dengan menumpang di kedai makan di kampung berkenaan bagi menampung perbelanjaan hidup keluarganya.

“Kadang-kadang dapat RM10 sehari dan dengan pendapatan itulah digunakan untuk perbelanjaan di rumah dan anak yang bersekolah,” katanya.

Pasangan itu dikurniakan tiga orang anak iaitu Mohd Fitri, 11, dan Siti Hajar, 10, yang sedang belajar di Sekolah Kebangsaan Pulai manakala Halimatun Saadiah, 8, belajar di Sekolah Kanak-Kanak Istimewa Rumah Amal Baling.

“Anak saya yang bongsu (Halimatun) mengalami terencat akal sejak dilahirkan dan terpaksa dimasukkan ke sekolah kanak-kanak istimewa,” katanya.

Sehubungan itu, dia merayu orang ramai menghulurkan bantuan bagi merawat penyakit suaminya kerana dia tidak berdaya melakukan kerja berat untuk menyara keluarga.

“Saya pun sering sakit dan tidak mampu melakukan kerja berat dan bergantung dengan hasil jualan kuih yang tidak seberapa,” katanya.

Norazizah berkata, rumah yang didiami sekarang juga hanya menumpang di atas tanah milik orang dan menunggu masa saja untuk berpindah sekiranya pemiliknya memerlukan tapak itu.