Friday, September 15, 2006

Masyarakat perlu miliki sifat prihatin

Berita Harian, 14 September 2006

KOTA TINGGI: Masyarakat perlu memiliki sifat keprihatinan tinggi dalam membantu golongan kurang berkemampuan supaya turut menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Adham Baba, berkata kerajaan sebenarnya tidak pernah melupakan golongan itu, tetapi tanggungjawab itu perlu ada pada setiap individu dalam masyarakat supaya masalah kemiskinan dapat ditangani bersama.

Katanya, kesedaran amat penting bagi membangunkan ekonomi masyarakat tempatan dengan tidak mengasingkan golongan kurang berkemampuan daripada keseluruhan kelompok masyarakat.

"Masalah kemiskinan perlu dipandang serius tidak hanya dibebankan kepada kerajaan semata-mata kerana pemimpin dan masyarakat setempat juga ada tanggungjawab bagi membantu mengurangkan jurang ekonomi dikalangan masyarakat.

"Oleh itu, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan tahap pendidikan dan ilmu pengetahuan bagi menggerak dan membangunkan ekonomi masyarakat secara keseluruhannya," katanya.

Ahli Parlimen Tenggara itu berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (Mayang) Perdana Parlimen Tenggara di Balai Raya Kampung Lukut di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Umno cawangan Kampung Lukut, Mohd Nor Lawang; Ketua Kampung Temenin Lama, Rahmat Ibrahim dan Ketua Kampung Batu Ampat, Hairuddin Ariffin.

Pada majlis itu, seramai 26 penerima membabitkan penduduk miskin, kurang upaya, warga emas, anak yatim dan ibu tunggal masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM200.

Pasangan miskin, uzur diarah kosong rumah

Berita Harian, 14 September 2006

Oleh Fazli Abdullah


TAK BERDAYA: Wan Teh membantu Hussain yang kudung
kaki akibat penyakit kencing manis untuk bangun
setiap kali apabila diperlukan di rumah
mereka di Tanjung Tokong.

Pemilik Rumah Pangsa Uda beri tempoh akhir hingga esok

GEORGETOWN: "Saya nak pindah ke mana. Nak cari rumah sewa baru, saya tak ada duit, rumah ini pun dah lima bulan tak bayar (sewa). Kalau boleh, saya nak duduk di rumah ini," kata Hussain Pawanteh, 72.

Bekas tentera British yang kaki kanannya dipotong pada paras lutut akibat penyakit kencing manis beberapa tahun lalu, menagih simpati supaya tidak 'diusir' daripada Rumah Pangsa Uda, Fasa 3 Tanjong Tokong di sini.

Keluarga itu diberi notis sebulan bertarikh 15 Ogos lalu supaya mengosongkan rumah dan menyelesaikan tunggakan.

Esok, adalah hari terakhir mereka bermalam di rumah itu selepas mendiaminya sejak 17 tahun lalu dengan sewa RM250 sebulan.

Notis itu dikeluarkan Persekutuan Setia Tanjong Tokong, iaitu pemilik rumah berkenaan.

Hussain tinggal bersama isterinya, Wan Teh Kerbasha, 62, serta anak tiri mereka, Wan Dalilaa Sabaruddin, 32.

Sebelum ini, pasangan itu berniaga kuetiau goreng berhampiran rumahnya tetapi berhenti kira-kira tiga tahun lalu kerana mereka menghidap pelbagai penyakit.

Hussain dan Wan Teh menghidap penyakit kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi. Mereka yang tidak menerima sebarang bantuan, sering berulang alik ke hospital untuk rawatan.

Anak mereka pula baru bekerja sebagai juruwang di sebuah farmasi di sini selepas berhenti kerja beberapa bulan lalu untuk menjaga kedua ibu bapanya.

"Dia suruh kami pindah juga walaupun segala tunggakan dijelaskan sebab ada orang lain nak masuk."

"Saya tidak boleh pindah kerana tidak ada rumah, tak kan nak tinggal di tepi jalan," kata Hussain yang terlantar di atas katil yang ditemani Wan Teh.

Perbelanjaan harian keluarga itu kini bergantung kepada anak Wan Dalilaa yang belum sampai sebulan bekerja dengan gaji kira-kira RM600 sebulan. Pasangan itu juga terpaksa menanggung kos untuk berulang alik ke hospital.

Hussain dijadualkan berjumpa dengan doktor Hospital Pulau Pinang esok, manakala Wan Teh pada 29 September ini.

Sementara itu, Wan Teh berkata, pihak berkaitan sepatutnya mengambil kira kedudukan keluarganya sebelum membuat keputusan meminta mereka mengosongkan rumah berkenaan.

"Saya tak tau nak kata apa lagi, dia (Hussain) sakit, saya pula tidak sihat,” katanya yang tidak membuat sebarang persiapan walaupun notis akan tamat dua hari lagi.

Wan Teh berkata, keluarganya pernah meminta untuk mendapat rumah murah daripada kerajaan negeri beberapa tahun lalu, tetapi tiada sebarang maklum balas
.

Thursday, September 14, 2006

Lagi tanya elaun bulanan pelajar OKU

Utusan Malaysia, 14 september 2006

BAJET 2007 telah pun dibentangkan. Amat mesra rakyat dengan beberapa insentif yang menarik. Kami sebagai ibu bapa kepada kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) amat terharu dengan keprihatinan kerajaan kepada golongan ini.

Beberapa tahun dahulu, apabila kali pertama kerajaan membentangkan bajet mengenai peruntukan elaun bulanan RM25 kepada kanak-kanak OKU di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), saya menitiskan air mata.

Rupa-rupanya kerajaan amat prihatin kepada golongan ini. Nasib mereka akan terbela dan tidak sia-sialah perjuangan beberapa NGO dan komuniti PDK agar golongan ini diberi perhatian.

Saya pasti ibu bapa OKU juga merasa amat lega. Dari sehari ke sehari kami menanti, namun sehingga apabila Bajet 2007 dibentangkan, peruntukan bulanan yang dijanjikan sebelum ini belum diterima sepenuhnya.

Malah ada sesetengah pelajar OKU di PDK yang langsung tidak pernah menerima peruntukan yang dijanjikan.

Jika di Selangor, OKU hanya pernah menerima RM100 pada pertengahan tahun ini, semenjak peruntukan itu diumumkan beberapa tahun dahulu.

Mungkin bagi sesetengah orang, apalah sangat RM25 sebulan dapat dibelanjakan. Namun, saya pasti, bagi ibu bapa yang mempunyai anak OKU yang terlantar dan memerlukan lampin pakai buang, jumlah itu cukup membantu.

Bayangkanlah untuk perbelanjaan lampin pakai buang yang harganya kian hari kian meningkat, beratus ringgit diperlukan setiap bulan.

Itu tidak lagi termasuk bagi yang memerlukan makanan, ubatan atau keperluan khas yang lain.

Bagi yang berkemampuan, jumlah RM25 mungkin tiada maknanya, tetapi bagi mereka yang kurang berkemampuan, pastinya jumlah itu cukup besar maknanya.

Hari ini peruntukan ditambah pula kepada RM50 sebulan. Saya tidak tahu bila pula elaun ini akan diterima oleh OKU ini.

Bukannya kami terlalu menagih simpati kerajaan atau masyarakat, tetapi nasib OKU ini perlu dibela. Jika anak yatim atau orang miskin, berlumba kerajaan dan masyarakat menghulurkan bantuan, tetapi bila tiba kepada golongan OKU, mereka hanya dipandang sebelah mata.

Mungkin kerana mereka ini tidak memberikan sebarang hasil kepada kerajaan bahkan menjadi bebanan kepada masyarakat, tetapi mereka juga adalah rakyat Malaysia yang berhak dilayan sama adilnya. Mungkin ini terlalu kasar bunyinya, tetapi itulah hakikatnya yang berlaku sekarang.

Kami amat berharap agar kerajaan dapat mengotakan apa yang telah dijanjikan. Jangan biarkan golongan ini ternanti-nanti janji yang telah dilemparkan kepada mereka.

Jika peruntukan tiada, jangan berjanji apa-apa. Mereka juga tidak rugi apa-apa. Diharap menteri dan jabatan berkaitan memandang berat akan hal ini.

– IBU OKU MR,

Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Wednesday, September 13, 2006

Belum terima elaun OKU

Berita Harian, 13 september 2006

SEHINGGA ke hari ini, anak-anak kami (OKU) yang mengikuti latihan di PDK Trong masih belum menerima elaun RM25 sebulan bagi tempoh Januari- September 2006.

Kami telah bertanya kepada pihak pengurusan PDK, jawapannya duit belum diterima.

Perdana Menteri telah mengumumkan semasa pembentangan Bajet 2007 bahawa elaun berkenaan akan dinaikkan ke RM50.

Terima kasih kepada kerajaan, tetapi yang menjadi tanda tanya elaun RM25 pun masih belum dibayar sehingga ke hari ini.

– MOHD. RAZAK AHMAD,

Trong, Perak.

Edisi Utara: YSB bantu Nur Atikah

Harian Metro, 13 september 2006

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Nasib yang menimpa keluarga Nur Atikah Abdullah, 36, yang hidup terumbang-ambing selepas suaminya menghidap penyakit usus mendapat simpati orang ramai termasuk kerabat diraja Kedah.

Anakanda Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Soraya sanggup mencemar duli ke rumah wanita malang itu di Kampung Hujung Sungai, Tebengau dekat sini, untuk melihat sendiri keadaan keluarga itu selepas menerima laporan mengenai kegigihan wanita itu sebelum ini.

Harian Metro pada 24 Ogos lalu melaporkan kisah Nur Atikah sanggup memikul tanggungjawab berat menjaga suaminya yang menderita penyakit usus besar selain ibu mentua yang lumpuh dan empat anak kecil.

Nur Atikah hanya menerima wang bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM100 sebulan tidak cukup untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga kerana memerlukan belanja yang besar.

Berikutan laporan itu, Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mengadakan lawatan ke rumah keluarga berkenaan sebelum menyusuli lawatan kedua yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan YSB, Datin Tunku Nafisah Almarhum Sultan Badlishah dan Datin Wira Ramizan Ibrahim.

Menurut Penyelaras Projek YSB, Fadzil Ahmad, Tunku Soraya yang juga Ahli Lembaga Amanah YSB menyampaikan sumbangan peribadi RM1,000 untuk membantu Nur Atikah meneruskan kehidupan mereka sekeluarga selain sumbangan RM2,000 daripada YSB.

Katanya, Tunku Soraya bersimpati dengan nasib yang menimpa suami wanita berkenaan, Abdul Razak Bahari, 42, yang hanya terlantar di kerusi malas selain badannya semakin susut akibat penyakitnya itu.

"YSB turut menyampaikan sumbangan lampin pakai buang untuk suami dan ibu mentua Nur Atikah, barangan keperluan harian serta membiayai susu khas suami wanita itu.

"Kami turut bercadang menguruskan pembedahan Abdul Razak dan ia masih dalam perbincangan, tetapi doktor menyarankan supaya berat badan pesakit terbabit perlu bertambah terlebih dahulu," katanya.

Fadzil berkata, pihaknya akan terus melawat keluarga berkenaan untuk melihat perkembangan Abdul Razak.

Sementara itu, Nur Atikah ketika ditemui bersyukur dengan bantuan itu kerana ia sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan yang dihadapinya untuk mencari wang bagi membesarkan anak-anaknya.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada YSB terutama Tunku Nafisah dan Tunku Soraya yang sanggup mencemar duli ke rumahnya dua kali sebelum ini.

"Wang ini akan digunakan sebaik-baiknya untuk persekolahan anak-anak serta membeli barangan keperluan lain untuk Aidilfitri nanti," katanya.

Hadir sama, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tebengau, Ismail Abdul Majid.