Monday, March 26, 2007

30% tiada insurans hilang upaya

Utusan Malaysia, 26 Mac 2007

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR 25 Mac – Sekurang-kurangnya 30 peratus kakitangan awam, yang memperoleh pinjaman perumahan kerajaan, dipercayai berhadapan dengan risiko ketiadaan perlindungan insurans komprehensif kerana tidak menikmati faedah tuntutan hilang keupayaan kekal.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang hanya mengesan perkara itu minggu lalu mahu kerajaan mengkaji semula status kakitangan awam terbabit supaya mereka juga berpeluang menikmati perlindungan skim berkenaan.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, kini wujud dua keadaan di mana sebahagian kakitangan menikmati faedah tuntutan hilang keupayaan, manakala sebahagian lagi tidak diberikan perlindungan skim berkenaan.

“Cuepacs mendapati kakitangan awam yang diberikan pinjaman perumahan sebelum 1 Ogos 1995 tidak diberi perlindungan tuntutan hilang keupayaan kekal insurans gadai janji,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs berpendapat, tidak adil bagi Bahagian Pinjaman Perumahan yang memutuskan bahawa semua kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman perumahan dan mengalami keilatan selepas 1 Ogos 1995 sahaja boleh mendapat faedah hilang keupayaan kekal seperti terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 6/1995.

Beliau mengakui perkara tersebut hanya disedari apabila seorang bekas kakitangan Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya) merujuk kepada Cuepacs untuk mendapatkan bantuan menyelesaikan isu berkenaan.

Ahmad Shah yang turut mengakui beliau salah seorang daripada peminjam yang tergolong dalam kumpulan berkenaan memberitahu, Cuepacs berharap Perbendaharaan akan mengambil tindakan untuk memperbetulkan ‘kekurangan’ yang wujud itu demi kebaikan semua kakitangan awam.

Utusan Malaysia difahamkan majoriti kakitangan awam memohon pinjaman perumahan.

“Cuepacs mahu keputusan memberi faedah hilang keupayaan ini dapat dinikmati oleh setiap kakitangan, tidak hanya kepada sesuatu tempoh tuntutan sahaja sebagaimana berlaku kepada peminjam-peminjam sebelum tarikh pelaksanaan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 6/1995,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ekonomi 1994/95, sebanyak RM5.4 bilion dikeluarkan sebagai pinjaman perumahan kepada kakitangan awam termasuk anggota badan-badan berkanun.

Dalam tempoh itu, jumlah kakitangan awam adalah dalam lingkungan 870,000 orang dan kini melebihi sejuta orang.

Menurut Ahmad Shah, kakitangan awam yang mengambil polisi perlindungan insurans Malaysia National Insurance Berhad (MNI), atas syor Perbendaharaan sebagai penyedia kemudahan pinjaman sebelum 1 Ogos 1995, tidak menikmati faedah tuntutan hilang upaya.

Sebaliknya faedah berkenaan hanya diperkenalkan kepada peminjam perumahan kerajaan selepas tarikh tersebut.

Situasi itu menyebabkan peminjam perumahan sebelum tarikh tersebut tidak boleh membuat tuntutan melangsaikan pinjaman perumahan jika menghadapi masalah hilang upaya, katanya.

Menurut Ahmad Shah lagi, bagi Cuepacs, situasi sedemikian wujud disebabkan masalah teknikal yang boleh diatasi jika kerajaan sebagai majikan mengarahkan Perbendaharaan mengadakan perbincangan dengan MNI bagi liputan perlindungan seimbang untuk semua kakitangan.

Friday, March 16, 2007

STPM: 511 dapat A semua subjek

Utusan Malaysia, 16 Mac 2007

Oleh: S. ANAND KUMAR

BERKONGSI KEGEMBIRAAN...Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2006, Siti Nurjannah Zamzuri (tengah) yang cacat penglihatan menjadi tumpuan pelajar-pelajar cemerlang yang lain selepas majlis pengumuman keputusan dan anugerah pelajar cemerlang peperiksaan itu di Kuala Lumpur semalam. Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. John Kuala Lumpur itu mendapat keputusan 3A, 1B.

KUALA LUMPUR 15 Mac – Sebanyak 511 orang daripada 73,690 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2006 di seluruh negara lulus cemerlang apabila memperoleh gred A dalam semua lima atau empat mata pelajaran yang diambil.

Daripada jumlah itu, seramai 307 calon adalah dari aliran Sains manakala 196 calon aliran Sastera dengan sebanyak 233 daripadanya adalah calon lelaki manakala bakinya 270 merupakan pelajar perempuan.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dzulkifli Abdul Razak ketika mengumumkan keputusan itu berkata, kesemua calon cemerlang STPM menunjukkan prestasi yang amat membanggakan apabila memperoleh Purata Nilai Gred Kertas (PNGK) 4.00.

Kata beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 34 orang pelajar mencapai keputusan cemerlang dengan mendapat semua A bagi lima mata pelajaran manakala bakinya 477 orang memperoleh 4A.

Menurut Dzulkifli, daripada 34 pelajar cemerlang itu, sebanyak lapan calon dari aliran Sains dan tiga calon dari aliran Sastera mendapat gred A dalam semua kertas yang diambil iaitu 13 kertas bagi aliran Sains dan 10 kertas bagi aliran Sastera.

‘‘MPM amat berpuas hati dengan keputusan STPM tahun ini apabila terdapat peningkatan calon yang mendapat gred A dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding tahun sebelumnya,’’ kata beliau.

Dzulkifli yang juga Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) berkata demikian ketika mengumumkan keputusan penuh STPM di sini hari ini.

Pada majlis itu juga MPM menyampaikan replika cek RM1,000, sijil penghargaan dan plak kepada para pelajar cemerlang.

Tambahnya, sebanyak 63,008 (90.86 peratus) daripada keseluruhan calon yang mengambil peperiksaan itu lulus penuh dengan mendapat sekurang-kurangnya satu prinsipal.

Tambahnya, daripada jumlah itu, sebanyak 4,852 (6.99 peratus) calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran.

‘‘Sebanyak 13,218 calon lulus penuh dalam tiga mata pelajaran manakala 10,755 calon lagi mendapat lulus penuh dalam dua mata pelajaran dan bakinya 9,325 calon lulus penuh dalam satu mata pelajaran,’’ katanya.

Menurut Dzulkifli, sebanyak 13 mata pelajaran telah meningkat prestasinya dengan Pengajian Am mencatatkan peratusan calon lulus penuh sebanyak 77.82 peratus.

Tambahnya, mata pelajaran yang turut meningkat prestasinya ialah Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Kesusasteraan Melayu, Kesusasteraan Inggeris, Syariah, Usuluddin, Sejarah, Perakaunan, Matematik (S), Matematik (T), Matematik Lanjutan (T) dan Kimia.

Menurut Dzulkifli, pada tahun lalu 73,690 calon mendaftar menduduki STPM berbanding tahun sebelumnya 81,142 orang.

Menurut beliau, pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris didapati tidak menjejaskan pencapaian calon dalam kedua-dua mata pelajaran itu dalam STPM.

Menurut Dzulkifli, sebanyak 792 calon telah mengambil mata pelajaran Sains Sukan yang buat pertama kali diperkenalkan dalam peperiksaan STPM tahun 2006 dan mencatatkan peratusan kelulusan sebanyak 61.24 peratus.

Tuesday, March 13, 2007

Pelajar OKU hadiah keputusan cemerlang SPM kepada kakak

Utusan Malaysia, 13 Mac 2007

ALOR STAR 12 Mac – Sekeping slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2006 menjadi hadiah paling berharga daripada seorang adik kepada kakaknya yang menghidap penyakit tulang rapuh atau Osteogenesis Imperfecta.

Meskipun hanya mendapat 5A daripada 11 subjek yang diambil dalam peperiksaan itu, Khairunnisa Johari, 20, yang turut menghidap penyakit yang sama menyifatkan pencapaiannya itu sebagai hadiah kepada kakaknya, Juliana, 22, yang terpaksa berhenti sekolah di darjah tiga kerana penyakit itu.

Dia yang lulus semua subjek berkata, selain ibu bapa, Juliana banyak memberi sokongan dan dorongan kepada dirinya untuk menimba ilmu biarpun mereka berdua tergolong dalam golongan orang kurang upaya (OKU).

“Saya mahu menghadiahkan keputusan peperiksaan ini kepada kakak saya yang terpaksa melupakan keinginannya untuk mencari ilmu ekoran penyakit yang dihidapi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Berek Kompleks Latihan Polis Anak Bukit di sini hari ini.

Khairunnisa yang berkerusi roda ke sekolah berkata, pencapaiannya itu juga membuktikan OKU sepertinya boleh lulus dalam pelajaran meskipun terpaksa belajar dalam keadaan yang sukar.

Dia yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gunong dekat sini bertekad akan terus berusaha menimba ilmu dan berhasrat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi tanpa menjadikan penyakitnya sebagai penghalang.

Sementara itu, seorang anak nelayan, Nea Reima Mareana Mahadzir, 17, turut membuktikan kesukaran hidup bukan penghalang untuk memperoleh 14A.

Dia memperoleh sembilan 1A dan lima 2A dalam peperiksaan tersebut yang diumumkan hari ini.

Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, apa yang penting ialah kemahuan untuk berjaya dengan berusaha sedaya upaya bagi merealisasikan keinginan tersebut.

Nea Reima yang bersekolah di SMK Sultanah Asma memberitahu, dia tidak mempunyai waktu tertentu untuk mengulangkaji tetapi akan menelaah pelajaran pada masa yang membolehkannya menumpukan sepenuh perhatian.

Friday, March 09, 2007

171 program diploma, asasi IPTA guna SPM

Berita Harian, 9 Mac 2007

Oleh Azrul Affandi Sobry

KUALA LUMPUR: Sebanyak 171 program diploma dan asasi ditawarkan untuk permohonan kemasukan terus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 13 universiti awam, bagi sesi pengambilan Julai depan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Adham Baba, berkata kursus peringkat diploma ditawarkan di sembilan universiti, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHO), Universiti Malaysia Perlis (UMP), Universiti Teknikal Malaysia (UTeM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Darul Iman (UDI).

Katanya, Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) dan Universiti Sains Islam (USI) menyediakan kursus asasi.

"Ini bermakna peluang kepada lepasan SPM untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lebih tinggi kerana kursus dan tempat yang ditawarkan pada tahun ini lebih banyak daripada tahun lalu.

"Selain itu, lepasan SPM juga berpeluang memohon memasuki pelbagai pusat pengajian lain sekiranya tidak diterima ke universiti kerana diploma dan sijil di semua pusat pengajian milik kementerian mempunyai taraf yang sama," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, tahun ini, 20 politeknik menyediakan 41 kursus peringkat diploma, 24 kursus peringkat sijil dan 5 kursus sijil kemahiran khas khusus untuk pelajar pekak serta bisu.

"Semua kursus di politeknik boleh dimohon terus menggunakan kelayakan SPM dan mempunyai taraf yang sama seperti kursus diploma di universiti," katanya.

Dr Adham berkata, lepasan SPM tidak perlu bimbang peluang melanjutkan pelajaran kerana kementerian menyediakan banyak ruang lain yang turut menawarkan pelbagai kursus yang berkualiti.

Katanya, antara pusat pengajian lain ialah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Pendidikan Guru (IPG), Akademi Tentera, Kolej Komuniti dan kenaikan ke tingkatan enam untuk menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Apa yang penting pelajar perlu memahami tiga perkara sebelum membuat sebarang permohonan iaitu pusat pengajian mana yang ingin dimasuki, bidang yang diminati serta keputusan SPM yang diperoleh.

"Kementerian akan menerima semua permohonan sebelum 22 Mac. Sehubungan itu, pelajar yang memohon menggunakan internet sebelum ini diberi tiga kali peluang meminda butiran permohonan.

"Itulah kelebihan permohonan melalui internet kerana setiap permohonan masih boleh dipinda sekiranya ingin mengubah fikiran, tetapi jika permohonan manual peluang untuk meminda tidak ada," katanya.





Fakta Nombor:

Kemasukan lepasan SPM ke IPTA



9 - universiti sediakan kursus diploma

35 - kolej komuniti sediakan kursus sijil

Monday, March 05, 2007

Bapa harap HUSM pulih anak lumpuh

Berita Harian, 5 Mac 2007

KOTA BHARU: Bapa pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikhuatiri lumpuh separuh badan akibat kecederaan ketika melakukan senaman tekan tubi di Kem Rubiah, Sitiawan, Perak pada 24 Februari lalu, berharap pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dapat membantu memulihkan kecederaan anaknya itu.

Abdul Basir Abdul Rahman, 40-an, berkata dia hanya mampu berdoa dan berharap anak sulung kepada dua beradik itu, Asila Latin Husna Abd Basir, 17, pulih kembali kepada keadaan asalnya.

"Saya tidak tahu nak kata apa, ini mungkin takdir. Saya serahkan kepada kepakaran HUSM. Mudah-mudahan Asila pulih semula untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Saya harap kecederaan saraf tunjang belakangnya mampu pulih kerana dia bercita-cita melanjutkan pelajaran tinggi selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Ibu saudara mangsa, Hayati Abdul Rahman 34, yang juga seorang peguam, berkata walaupun sedih dengan kejadian itu, mereka tidak menyalahkan pengurusan PLKN.

"Kami terkejut melihat keadaannya kini tidak mampu bergerak separuh badan. Mungkin disebabkan tidak biasa dengan senaman lasak, dia mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku ketika Asila bersama kira-kira 400 pelatih melakukan aktiviti harian itu, termasuk tekan tubi antara 10 hingga 20 kali, kira-kira jam 7.40 pagi

Asila berkata, ketika melakukan tekan tubi itu, dia terdengar bunyi benda patah pada tulang belakangnya menyebabkan dia jatuh tertiarap.

Beliau cuba bangun tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana mengalami kesakitan di bahagian badan, di samping keadaan dua kakinya berasa lemah.

"Saya kemudian dipapah beberapa kawan memasuki bilik rehat, tetapi kesakitan semakin kuat pada tulang belakang menyebabkan saya dikejarkan ke Hospital Manjung, Perak," katanya.



"Saya dirujuk ke HUSM Kubang Kerian sejak Jumaat lalu, atas permintaan keluarga kerana rumah di sini," katanya yang berasal dari Pasir Mas di sini.

Saturday, March 03, 2007

OKU umpan seks RM20

Harian Metro, 3 Mac 2007

Oleh Ibrahim Isa

PONTIAN: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) warga emas dikatakan mengumpan antara RM20 hingga RM50 kepada remaja perempuan berusia 16 tahun untuk melakukan seks, hingga remaja itu kini mengandung tiga bulan.

Perbuatan keji itu dikatakan dilakukan sejak tahun lalu di rumahnya atau di sebuah pondok dalam kebun kelapa sawit sebuah kampung di Air Baloi, di sini.

Bagaimanapun, perubahan fizikal remaja perempuan itu disedari jiran yang kemudian memaklumkan kepada saudara terdekat, sebelum membuat laporan polis, malam kelmarin.

Bapa mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka lelaki OKU terbabit yang juga jiran sekampung, tergamak melakukan perbuatan terkutuk kepada anak ketiga daripada lima beradik itu.

Katanya, anaknya itu sudah tidak bersekolah sejak tahun lalu iaitu penghujung tingkatan dua dan kini membantu menguruskan urusan rumah seperti memasak dan membersihkan rumah.

Bapa berusia 80 tahun itu berkata, dia hanya tahu mengenai kejadian itu selepas jiran memaklumkan kepadanya dan polis datang ke rumah, kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, untuk membawa anaknya itu ke balai polis Air Baloi.

Menurutnya, dia kemudiannya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, kira-kira jam 11 pagi semalam untuk membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Kami sekeluarga memang kenal lelaki itu. Dia seorang bujang warga emas dan mengambil upah melakukan kerja kebun.

“Saya tidak menyangka dia sanggup melakukan kerja terkutuk itu ke atas anak saya dan kejadian itu bukannya sekali, malah sudah berlarutan sejak tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian, Deputi Superintedan Muzamil Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

“Lelaki berkenaan juga sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.