Monday, March 26, 2007

30% tiada insurans hilang upaya

Utusan Malaysia, 26 Mac 2007

Oleh G. Manimaran

KUALA LUMPUR 25 Mac – Sekurang-kurangnya 30 peratus kakitangan awam, yang memperoleh pinjaman perumahan kerajaan, dipercayai berhadapan dengan risiko ketiadaan perlindungan insurans komprehensif kerana tidak menikmati faedah tuntutan hilang keupayaan kekal.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang hanya mengesan perkara itu minggu lalu mahu kerajaan mengkaji semula status kakitangan awam terbabit supaya mereka juga berpeluang menikmati perlindungan skim berkenaan.

Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, kini wujud dua keadaan di mana sebahagian kakitangan menikmati faedah tuntutan hilang keupayaan, manakala sebahagian lagi tidak diberikan perlindungan skim berkenaan.

“Cuepacs mendapati kakitangan awam yang diberikan pinjaman perumahan sebelum 1 Ogos 1995 tidak diberi perlindungan tuntutan hilang keupayaan kekal insurans gadai janji,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs berpendapat, tidak adil bagi Bahagian Pinjaman Perumahan yang memutuskan bahawa semua kakitangan kerajaan yang membuat pinjaman perumahan dan mengalami keilatan selepas 1 Ogos 1995 sahaja boleh mendapat faedah hilang keupayaan kekal seperti terkandung dalam Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 6/1995.

Beliau mengakui perkara tersebut hanya disedari apabila seorang bekas kakitangan Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya) merujuk kepada Cuepacs untuk mendapatkan bantuan menyelesaikan isu berkenaan.

Ahmad Shah yang turut mengakui beliau salah seorang daripada peminjam yang tergolong dalam kumpulan berkenaan memberitahu, Cuepacs berharap Perbendaharaan akan mengambil tindakan untuk memperbetulkan ‘kekurangan’ yang wujud itu demi kebaikan semua kakitangan awam.

Utusan Malaysia difahamkan majoriti kakitangan awam memohon pinjaman perumahan.

“Cuepacs mahu keputusan memberi faedah hilang keupayaan ini dapat dinikmati oleh setiap kakitangan, tidak hanya kepada sesuatu tempoh tuntutan sahaja sebagaimana berlaku kepada peminjam-peminjam sebelum tarikh pelaksanaan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 6/1995,” katanya.

Berdasarkan Laporan Ekonomi 1994/95, sebanyak RM5.4 bilion dikeluarkan sebagai pinjaman perumahan kepada kakitangan awam termasuk anggota badan-badan berkanun.

Dalam tempoh itu, jumlah kakitangan awam adalah dalam lingkungan 870,000 orang dan kini melebihi sejuta orang.

Menurut Ahmad Shah, kakitangan awam yang mengambil polisi perlindungan insurans Malaysia National Insurance Berhad (MNI), atas syor Perbendaharaan sebagai penyedia kemudahan pinjaman sebelum 1 Ogos 1995, tidak menikmati faedah tuntutan hilang upaya.

Sebaliknya faedah berkenaan hanya diperkenalkan kepada peminjam perumahan kerajaan selepas tarikh tersebut.

Situasi itu menyebabkan peminjam perumahan sebelum tarikh tersebut tidak boleh membuat tuntutan melangsaikan pinjaman perumahan jika menghadapi masalah hilang upaya, katanya.

Menurut Ahmad Shah lagi, bagi Cuepacs, situasi sedemikian wujud disebabkan masalah teknikal yang boleh diatasi jika kerajaan sebagai majikan mengarahkan Perbendaharaan mengadakan perbincangan dengan MNI bagi liputan perlindungan seimbang untuk semua kakitangan.

No comments: