Thursday, May 31, 2007

Mangsa terpaksa dipotong kaki, bayi belum sedar

Utusan Malaysia, 31 mei 2007

ALOR STAR 30 Mei – Dua mangsa yang terselamat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan dan meragut lapan nyawa di Plaza Tol Hutan Kampung dekat sini, petang semalam, dilaporkan stabil dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Alor Star (HAS), di sini.

Bagaimanapun, kaki kiri salah seorang mangsa berkenaan, Umi Syakila Mohd. Sobri, 23, terpaksa dipotong dari paras lutut kerana kecederaan teruk akibat kemalangan itu.

Dia merupakan anak angkat kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kejadian itu, Wan Rohani Wan Ibrahim, 54, dari Kampung Lubuk Batu, Wang Tepus dekat Jitra.

Umi Syakila yang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil ditempatkan di ICU bersama-sama anak tunggalnya berusia enam bulan, Mohd. Arif Irfan Taqyuddin, yang cedera di kepala dan masih belum sedarkan diri selepas dimasukkan ke HAS, semalam.

Sementara itu, suami Umi Syakila, Ahmad Taqyuddin Hamzah, 25, ketika ditemui di HAS hari ini kelihatan muram dan sangat tertekan akibat kejadian menimpa isteri serta anak lelakinya itu dan enggan mengulas lanjut ketika ditemui.

“Saya tidak mahu komen panjang, cuma doktor kata semua (isteri dan anak) stabil, keadaan baik,” jawabnya ringkas kepada pemberita.

Bapa mertua Umi Syakila, Hamzah Othman, 53, pula berkata, menantunya itu belum mengetahui kematian ibu angkatnya dan juga keadaan anak tunggalnya yang masih dirawat di ICU kerana tidak mahu mengganggu fikirannya.