Guru buta tabah didik pelajar
Oleh ADNAN MOHAMAD
KUALA TERENGGANU 14 Mei – Cacat penglihatan, tetapi ia tidak menghalang seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam di sini untuk mencurahkan jasanya mendidik pelajar agar menjadi warga negara berguna.
Walaupun terpaksa dipimpin setiap kali ke kelas untuk mengajar, Mohamed Ismail, 53, tidak pernah berasa rendah diri, sebaliknya berbangga kerana bidang perguruan yang diceburinya dapat membantu pelajar terutama dari golongan miskin untuk mengubah taraf kehidupan mereka menjadi lebih baik.
Mohamed ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini menganggap dirinya umpama lilin yang menerangi orang lain meski pun beliau sendiri tidak pernah melihat cahaya kerana buta sejak lahir.
“Menurutnya, setakat ini beliau tidak menghadapi masalah semasa mengajar atau bergerak di dalam kelas menggunakan tongkat kerana sering dibantu oleh guru-guru lain serta para pelajar sekolah berkenaan.
“Mereka selalu memimpin saya untuk dibawa ke kelas atau ke bilik guru sebaik sahaja selesai mengajar,” ujarnya yang mengajar mata pelajaran Sejarah untuk pelajar tingkatan satu dan dua SMK Seri Nilam.
Mohamed yang menceburi bidang perguruan sejak 26 tahun lalu memberitahu, semua bahan pengajaran diperoleh dari huruf braile yang kemudiannya diterjemahkan oleh isteri, Junainah Wan Chik, 49, atau anak-anaknya sebelum dicetak dan diagihkan kepada pelajar.
Di atas kecemerlangannya, Mohamed yang mempunyai tujuh anak dianugerahkan Guru Orang Kurang Upaya (OKU) Cemerlang Peringkat Kebangsaan oleh Menteri Pelajaran, Datuk Hishammuddin Tun Hussein di Seremban, Negeri Sembilan pada tahun 2005.
“Saya bangga kerana walaupun cacat penglihatan namun saya diberi kepercayaan untuk mengajar murid-murid normal,” ujarnya.
Seperti guru-guru lain, beliau yang berkelulusan Diploma Pendidikan dan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pengajian Melayu serta Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya (UM) bangga kerana jasa mereka diingati melalui sambutan Hari Guru pada 16 Mei setiap tahun.
Bagi Mohamed, sambutan Hari Guru disambut dengan perasaan terharu kerana segala jerih payah golongan guru dihargai dan disanjung tinggi.
Katanya, cabaran dalam bidang perguruan bukan sedikit malah menuntut kekuatan semangat yang jitu jika tidak mahu kecundang di tengah jalan.
“Para pelajar serta ibu bapa sekarang tidak sama seperti dulu, justeru para guru perlu mempunyai kemahiran komunikasi dan menyelesaikan masalah supaya tidak timbul sebarang salah faham,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment