Sunday, February 25, 2007

Kini tinggal sebelah

Harian Metro, 25 Februari 2007

GEORGETOWN: “Demi masa depannya, saya bersetuju anak saya menjalani pembedahan untuk membuang buah pinggang sebelah kanan,” kata Yusli Hussain, 46, mengenai nasib anaknya yang kini hidup dengan satu buah pinggang.

Biarpun sedih, beliau sekeluarga terpaksa menerima hakikat anaknya, Muhamad Ismail Daniel Yusli, 3, yang menghidap penyakit kanser usus pada usia terlalu muda, terpaksa dibedah.

Buah pinggang kanannya terpaksa dibuang akibat penyakit kanser usus yang dialami dan kini hidup dengan buah pinggang sebelah kiri, sekali gus membataskan pergerakannya, sama ada untuk berjalan atau bermain di luar rumah.

Yusli berkata, pembedahan untuk membuang buah pinggang anaknya dibuat di Hospital Alor Star (HAS) tahun lalu atas nasihat doktor.

Katanya, sejak lahir anaknya sihat dan periang, tetapi selepas itu dia sering demam dan kemudian perutnya menjadi kembung dan membesar, menyebabkannya terpaksa dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Yusli yang bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, pendapatannya cuma RM700 sebulan manakala isterinya Hamidah Abdullah, 46, suri rumah.

“Sekarang anak saya menjalani rawatan kimoterapi dengan kos RM200 setiap bulan. Pendapatan saya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan, termasuk dua anak bersekolah dan bayaran pinjaman rumah,” katanya.

Yusli ditemui ketika kunjungan Pemuda Umno Bayan Baru di rumahnya di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, semalam.

Kunjungan diketuai Ketua Pemuda Umno Bayan Baru, Norman Zahalan bertujuan menyerahkan sumbangan wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung Yusli. Hadir sama Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Zain Omar yang menyerahkan sumbangan itu.

Sementara itu, Zain berkata, usaha dibuat bagi membolehkan Muhamad Ismail mendapat bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Norman pula turut menyampaikan bantuan lampin pakai buang kepada warga tua yang uzur, Aminah Hussain, 81, di rumahnya di Halaman Mayang, Bukit Gedung.

No comments: