Monday, February 26, 2007

Ibu bapa perlu bimbing pelajar kurang upaya

Berita Harian, 25 Februari 2007

Guru Besar SK Pendidikan Khas Kuantan, Naemah Ali, berkata setiap ibu bapa juga perlu mendidik anak mereka supaya dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah, termasuk dengan guru dan rakan sekolah mereka.

Katanya, penyesuaian diri dengan keadaan persekitaran perlu diberi keutamaan kerana ia dapat membantu murid kurang upaya terbabit menerima pendidikan di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, selain itu, guru dan penjaga juga perlu bekerjasama membimbing murid kurang upaya itu mengikuti mata pelajaran akademik dan kokurikulum supaya mereka dapat mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

"Saya yakin dengan kerjasama ibu bapa, penjaga dan guru memberi bimbingan kepada semua murid kurang upaya di SK Pendidikan Khas ini, mereka akan dapat memperoleh kejayaan cemerlang seperti murid di sekolah biasa pada masa depan.

"Sehubungan itu, saya harap ibu bapa dan guru dapat memberikan didikan sahsiah, akademik dan penampilan diri kepada murid di sekolah ini.

"Jika guru memberikan pendidikan akademik dan kokurikulum, ibu bapa pula perlu mendidik anak menjaga kebersihan diri, termasuk pakaian, rambut, gigi dan kuku supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan bersih setiap hari.

"Saya harap dengan adanya kerjasama dalam memberikan pendidikan kepada murid cacat pendengaran dan bisu di sekolah ini, murid terbabit juga akan memperoleh kejayaan cemerlang dalam peperiksaan seperti diperoleh murid di sekolah biasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelantikan Pengawas Sekolah dan Pengawas Perpustakaan SK Pendidikan Khas Kuantan bagi sesi 2007, kelmarin.

Pada majlis itu, seramai 20 murid dilantik sebagai Pengawas Sekolah dan 10 lagi dipilih Pengawas Perpustakaan dan diberikan watikah pelantikan, tali leher dan kad akreditasi masing-masing.

Semua murid terbabit belajar di tahun empat hingga enam di sekolah berkenaan.

Naemah berkata, selain mengajar membaca dan menulis menggunakan bahasa isyarat, pihaknya juga turut membimbing penggunaan komputer kepada murid kurang upaya itu.

No comments: