Thursday, February 01, 2007

Budak cacat pendengaran diberi bantuan

Harakahdaily, 31 Januari 2007

Salmah Mat Husain

Wed | Jan 31, 07 | 03:33:24 AM

KOTA BHARU, 31 Jan (Hrkh) – Keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dapat disangkal lagi apabila pelbagai program dan bantuan disediakan kepada mereka.

Kelmarin seorang kanak-kanak, Nur Qamarina Azimi, dua tahun menerima sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM3,480 bagi membeli alat bantuan pendengaran.

Ayah kepada budak malang itu, Azimi Arshad, 40 melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana prihatin terhadap masalah yang dihadapi anaknya sejak dilahirkan lagi.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan kewangan kepada anak saya,” katanya selepas menerima cek bantuan OKU di pejabat Exco di Kota Darulnaim.

Bantuan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat, Haji Zakaria Yaakob.

Azimi seorang kakitangan kerjaaan berkata, beliau mulai menyedari anaknya mengalami masalah pendengaran apabila setiap kali dipanggil namanya dia tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Berikutan Nur Qamarina dibawa ke Hospital Universiti Sains di Kubang Kerian dan doktor mengesahkan dia mengalami masalah pendengaran. Berikutan itu doktor mencadangkan anaknya menggunakan alat bantuan pendengaran.

“Sebelum ini saya pernah memohon bantuan serupa dari pihak tertentu tetapi gagal,” ujarnya. Turut hadir di majlis itu isterinya, Nor Azizni Abdul Rahman.

No comments: